Tuesday, August 4, 2009

YAKINKAH KITA ALLAH TIDAK BERTEMPAT?

G
olongan tua yang mendakwa mengikut fahaman Ahli Sunnah wa-Jaamah menuduh golongan Wahabi mempercayai Allah bertempat. Dakwaan ini berikutan jawapan Ibnu Taimiah ketika diajukan soalan anak muridnya tentang bagaimana Allah turun dari Arasy. Bagi menjawab soalan itu, beliau yang berada di pentas turun ke bawah sambil berkata, inilah cara turun.


Soalan ini adalah berikut huraiannya tentang ayat, الرحمن على العرش استوي yang maksudnya: “Iaitu (Allah) Ar-Rahman bersemayam di atas Arasy.” (Surah Taha: 5).
Oleh sebab golongan Wahabi merujuk persoalan aqidah kepada Ibnu Taimiah maka golongan tua melabelkan golongan itu berfahaman seperti itu juga. Apatah lagi Mohammad Abdul Wahab berpegang kepada fahaman salafi dalam memahami ayat mutasyabihat.

Salaf dan Khalaf
Sebenarnya dalam ilmu tauhid terdapat dua pandangan dalam memahami ayat mutasyabihat; salaf dan khalaf. Ahli Salaf ialah mereka yang berada dalam tempoh tiga ratus tahun yang terdiri daripada Sahabat dan Tabiin. Manakala Ahli Khalaf ialah mereka yang hidup selepas 300 tahun itu apabila muncul fahaman Abu Hasan Asyaari dan Abu Mansur al-Maturidi yang dinamakan Ahli Sunnah wa-Jamaah.

Bagi ahli salaf, ayat mutasyabihat diterima seperti makna asal, tidak diberikan sebarang tafsiran kecuali difahami bahawa maknanya itu selayaknya pada Allah dan pastinya tidak sama dengan makluk ciptaan-Nya. Maka firman Allah, يد الله فوق ايديهم bermaksud tangan Allah menguasai tangan-tangan mereka itu difahamkan bahawa Allah mempunyai tangan juga tetapi tangan Allah itu tidak sama dengan makhluk ciptaan-Nya.

Tetapi bagi ahli khalaf, ayat tersebut ditafsirkan sebagai kuasa Allah mengatasi kuasa mereka. Tangan dalam ayat itu bukan bermaksud tangan tetapi kuasa. Tafsiran ini diguna terus sehingga ke hari ini. Walau bagaimanapun terdapat juga orang yang berada pada zaman itu masih berpegang kepada fahaman salaf tersebut.

Inilah yang dipegang oleh Ibnu Taimiah dan Mohammad Abdul Wahab serta pengikut-pengikutnya. Persoalannya, adakah salah pandangan dan pegangan mereka? Kalau mereka berpandukan salaf tentulah tidak mengapa kerana walaupun pegangan mereka tidak sama dengan pegangan Abu Hasan Asyaari dan Abu Mansur al-Maturidi, mereka saling mengiktiraf. Apatah lagi pegangan salaf itu adalah pengangan sahabat dan tabiin.

Kalau begitulah pegangan orang Ahli Sunnah wa-Jamaah yang berasaskan khalaf, apakah pula pandangan mereka, salafi terhadap khalafi. Wajarkah orang salafi memandang salah terhadap khalafi? Ya, seharusnya tidak berlaku kerana istilah salaf dan khalaf lahir selepas kewafatan Nabi. Kedua-duanya setaraf, malah pandangan yang berbeza itu diterima dalam Islam.

Sebenarnya salafi yang dipegang Ibnu Taimiah dan Mohammad Abdul Wahab berdasarkan pendekatan selamat yang dipakai oleh generasi sabahat dan tabiin. Mereka mempertahankan pegangan itu bagi mengelak tersalah tafsiran.

Sastera Arab
Tetapi saya percaya jika dua tokoh itu hidup sehingga sekarang atau tinggal di Malaysia dia boleh terima pandangan khalaf dan tidak menggunakan salaf lagi. Saya berani katakan begitu kerana mereka berdua pasti fasih bahasa Melayu dan faham sastera Melayu. Sama seperti fasih bahasa Arab dan memahami ilmu balaghah, sastera Arab.

Suka dijelaskan di sini, setiap ayat al-Quran mengandungi seni sastera, balaghah yang tinggi. Maka setiap ayat perlu ditafsirkan dengan teliti. Ada yang boleh difahami secara lahir tetapi ada juga yang perlu difahami secara balaghah. Oleh sebab itulah, mereka yang hendak menjadi ulama mujtahid mereka mesti pandai imu balaghah selain pandai bahasa Arab.

Asas ilmu balaghah ialah tasybih, contoh yang mudah ialah ayat محمدٌ أسدٌ bererti Muhammad itu singa. Muhammad dalam ayat itu bukan singa kerana tidak ada kaki empat, tidak ada taring, dan tidak pula berbulu garang. Kalau begitu ayat itu bermaksud Muhammad itu berani macam singa. Samalah seperti dalam bahasa Melayu, bila kita marah kepada seseorang, lalu kita katakan kepadanya, awak ini lembulah. Ertinya awak ni bodoh macam lembu.

Dalam hadis dan al-Quran, banyak ayat yang seperti itu. Perhatikan hadis الدنيا سجن للمؤمنين bererti dunia adalah penjara bagi orang mukmin. Penjara lazimnya dipagari dengan tembuk atau besi dan sentiasa dalam kawalan waden yang garang. Adakah dunia ini macam itu, tentu tidak. Jadi, apa maksud hadis itu? Jelas maksudnya, orang Mukmin ketika hidup di dunia ini seperti berada di dalam penjara yang sentiasa dikawal gerak kerjanya, mesti patuh undang-undang dan tidak boleh melakukan sebarang dosa.

Berdasarkan itu, apa sahaja ayat mutasyabihat perlu dilihat begitu. Maka merujuk kepada ayat di atas, ar-Rahman (Allah) bersemayam di atas Arasy. Adakah ayat itu menunjukkan Allah duduk di atas Arasy? Kalaupun betul, samakah Allah duduk seperti sultan bersemanyam? Dalam sebuah lirik lagu ada menyebut satu baris berbunyi, “Cintamu bertahta di hati” adakah cinta itu bertempat dan duduk macam sultan duduk?

Di sinilah letaknya nilai sastera, sesuatu ayat itu tidak boleh diterjemahkan dan difahami secara zahir. Ayat al-Quran itu seharusnya difahami sebagai symbol pihak Yang Berkuasa. Ya, lazimnya pihak yang berkuasa berada di atas dari orang yang diperintah. Allah yang digambarkan berkuasa itu tidaklah bermakna dia duduk di atas singgahsana.

Begitu juga dengan Allah turun, sebuah hadis menyebut: ينزل الله إلى السماء الدنيا ليلة النصف من شعبان bererti Allah turun ke langit dunia pada nisfu Syaaban. Bolehkah kita bayangkan bahawa Allah turun macam kita turun tangga? Dalam al-Quran banyak ayat yang menyebut tentang turun, turun al-Quran, adakah al-Quran turun macam kita turun tangga?, turun hujan, adakah hujan turun macam kita turun. Dalam surah al-Qadr ayat 4 Allah berfirman yang bermaksud: “Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka,” adakah malaikat ada rumah dan turun macam kita juga?

Jawapannya, sudah tentu tidak, kalau sesama maklukpun tidak sama dengan kita cara turunnya, betapa Allah yang menciptakan kita, tentu turunnya bukan bermaksud begitu. Ya, dalam bahasa Melayu kita selalu sebut, “pemimpin turun padang” adakah perlu turun guna tangga? Jadi, ayat itu jelas sebagai simbolik kepada pihak yang berkuasa mahu bersama dengan orang bawahan.

Kita rujuk pula kepada ayat, “tangan Allah mengatasi tangan-tangan mereka.” Adakah Allah ada tangan? Dalam bahasa Melayu kita selalu menyebut, “kaki tangan kerajaan” adakah kerajaan ada tangan dan kaki? Kita juga pernah guna simpulan bahasa, “kaki botol” adakah botol ada kaki? Katalah kita bersetuju botol ada kaki, adakah kakinya sama dengan manusia? Tentu tidak. Yang jelasnya maksud kaki botol bukan begitu, tetapi orang yang suka minum arak. Oleh sebab itulah, tangan Allah itu kita fahamakan sebagai kuasa Allah.

Ada satu lagi ayat al-Quran yang berbunyi, ويبقى وجه ربك bererti, “dan yang kekal wajah tuhan kamu.” Tuhan ada wajah ke? Macammana wajah Allah. Bolehkah kita kata wajah Allah macam wajah kita? Tentu tidak. Dalam bahasa kita banyak menggunakan kata muka, muka surat, muka tembok, muka air dan banyak lagi. Ketiga-tiga contoh itu tidak sama maksudnya, dan yang pasti, muka yang dimaksudkan itu tidak sama dengan muka manusia.

Tidak Bercanggah
Melihat kepada hujjah yang dibentangkan di atas, apakah masih ada ruang untuk umat Islam bertelagah lagi? Golongan Wahabi yang dikata mendakwa Allah bertempat, benarkah mereka berfahaman begitu? Mungkinkah mereka faham bahawa kedudukan Allah di atas arasy itu sebenarnya adalah sebagai simbol semata-mata. Kalau begitu, tentu tidak bercanggah dengan fahaman Ahli Sunnah wa-Jamaah.

Saya percaya golongan Wahabi yang berada di negara ini akan bersetuju dengan saya. Dan pastinya mereka akan menilai semula hujjah salafi itu. Hakikatnya salafi dan khalafi tidak ada bezanya kalau difahami dengan sebaiknya secara ilmiah. Semuanya merujuk kepada firman Allah ليس كمثله شيء tidaklah sesuatu yang ada di alam ini seumpama dengan-Nya.

Jadi, hentikan pergaduhan tradisi yang berpanjangan. Banyak lagi yang perlu dilakukan oleh umat Islam untuk mentadbir bumi Allah ini. Banyak lagi kerosakan yang dibawa oleh manusia yang perlu dibasmikan. Bersatulah kita untuk kemajuan Islam dan ummatnya. Takutlah kepada Allah yang ketika ditanya di akhirat nanti, jawapannya tiada satupun pembangunan yang mampu kita lakukan untuk umat Islam.

Ahmad Baei Jaafar
(Bahagian kedua) ( Daripada BLOG CINA ISLAM)

0 comments:

Newer Post Older Post Home