Saturday, August 8, 2009

Mencari kelah di air deras


B
AGI penggemar-penggemar memancing ikan air tawar, ikan kelah memang dianggap raja ikan dan spesies inilah yang sentiasa menjadi buruan mereka.

Bagi kaki pancing juga rasanya tidak sempurna jika memancing di sungai mereka tidak membawa pulang kelah.

Begitupun, untuk memperolehi kelah bukanlah kerja mudah melainkan mereka yang berpengalaman yang tahu habitat sebenar kelah mampu menaikkan ikan tersebut.


Kelah atau nama saintifik disifatkan ikan paling liar, bijak dan sensitif kepada keadaan persekitaran dan kerana itu ia menjadi ikan yang paling sukar untuk diperolehi.

Ramai kaki pancing yang baru berjinak-jinak untuk memperolehi ikan itu mengakui hakikat bukan mudah untuk memancing kelah.

Hanya di beberapa sungai tertentu yang bersih airnya tidak mengalami pencemaran sahaja, kelah boleh dijumpai.

Seperti di sungai-sungai sekitar Taman Negara di Pahang termasuk antara yang menjadi tumpuan ialah Sungai Lebir dan Kuala Koh di Kelantan, Sungai Cacing dan Tasik Kenyir di Terengganu, Sungai Tenum, Sungai Tahan, Sungai Keniang di Pahang serta di pedalaman Sungai Endau dan Sungai Jasin di Johor hingga Kuala Lemakoh dan kawasan larangan di Kuala Kemapan.

Suasana kedamaian destinasi itu, tanpa sebarang pencemaran membuatkan kelah mudah membiak dan hidup bebas.

Bagi kaki pancing yang pernah mengikuti pakej memancing memburu kelah anjuran Angler's Heaven 'The Adventure Club' di Jalan Peel, sudah pastinya mengenali 'Man Kelah'.

Man Kelah atau nama sebenarnya Azman Abd Hamid, 35, dianggap sebagai orang yang cukup mahir dan amat berpengalaman untuk menjejak dan menjinakkan kelah.

Pengalaman yang diperolehi daripada Pak Uda Kamar daripada Jabatan Perhilitan Taman Negara menjadikan dia antara orang yang cukup dikenali pakar untuk menangkap kelah.

''Memang benar untuk menangkap kelah bukan satu tugas yang mudah. Beberapa aspek seperti tabiat kelah perlu diketahui sebelum dapat menangkap ikan tersebut,'' ujarnya yang menjadikan ekspedisi memburu kelah sebagai kerja sehariannya.

Jelasnya lagi, kelah memang diakui sebagai raja ikan air tawar kerana kekuatan tempurnya dan amat sukar untuk dijinakkan.

Katanya, jika ada kaki pancing yang biasa menaikkan apa jenis ikan laut antara 9 hingga 10 kilogram dengan mudah tetapi tidak dengan kelah seberat itu.

''Kalau kelah seberat 9 kilogram ke atas, bukanlah mudah untuk menjinakkannya dan semestinya mempunyai pengalaman dan kepakaran,'' ujarnya.

Selain itu jelas Man, kelah mempunyai keistimewaan tersendiri dari daging hinggalah ke sisiknya boleh dimakan.

Walaupun hanya digoreng atau disalai memang cukup melazatkan, sisiknya pula jika digoreng cukup rangup seperti keropok.

Satu lagi keistimewaan kelah, jelasnya, tangan tidak mudah luka apabila terkena sirip ikan tersebut.

Menceritakan detik-detik menjejaki kelah Man berkata, kelah adalah ikan air tawar paling liar, bijak dan sensitif kepada keadaan persekitaran.

Bagaimanapun katanya, untuk memancing kelah memang memerlukan kesabaran yang cukup tinggi. Kerana kelah memerlukan suasana yang tenang dan sunyi.

''Selain itu, untuk memancing kelah ia memerlukan teknik tersendiri selain umpan yang digemari ikan tersebut, jika tidak pastinya akan pulang hampa,'' ujarnya.

Katanya, pelbagai jenis umpan yang digemari kelah antaranya ialah kelapa sawit, buah neram (biasa terdapat di tebing sungai), ubi kayu, pisang, epal, lipan bara dan cacing.

Tetapi katanya, yang lebih penting untuk menjejaki kelah adalah mengetahui habitat dan tabiat ikan itu.

''Kebiasaannya kelah suka bermain di jeram-jeram di mana arus deras tetapi bukan di air tenang'' ujarnya.

Beliau menambah, tiba di satu-satu kawasan, umpan perlu dicampak ke sungai untuk mengetahui sama ada kelah ada di situ.

Jika kelah yang memakan umpan tersebut, ombak yang agak besar tetapi alunnya agak lembut.

''Kaedah ini memang menyulitkan bagi mereka yang baru berjinak-jinak untuk memancing kelah. Memang ada bezanya jika ikan lain yang memakan umpan ini,'' katanya.

Begitupun katanya, sewaktu tiba di tebing sungai berjalan tidak boleh terlalu kuat kerana kelah begitu sensitif dan peka dengan sebarang getaran. Jika kelah dapat merasai getaran itu ia akan mudah meninggalkan kawasan itu.

''Setelah mengenal pasti kelah ada di situ, kita tidak boleh terus memancing tetapi sebaliknya terus mencampakkan umpan sekali lagi.

''Ini bertujuan untuk memastikan kelah masih berada di kawasan tersebut dan kemudiannya barulah kita boleh memancing'' katanya.

Begitupun waktu memancing, seseorang itu mesti menyorokkan diri di balik pokok ataupun balik batu yang berhampiran dengan tebing sungai.

''Di sinilah kesabaran pemancing akan diuji. Di waktu kita lalai atau leka, masa inilah kelah akan menyambar umpan yang dipasang.

''Jika lalai, silap-silap batang pancing pun akan turut ditarik kelah ke sungai. Oleh itu kita perlu memberikan tumpuan yang penuh sabar setiap detik yang berlalu tetapi jangan terlalu berharap,'' ujarnya.

Biasanya kelah yang dipancing di sekitar kawasan itu adalah dari jenis berwarna perak, merah dan biru tetapi yang sering menjadi buruan kaki pancing adalah yang berwarna perak.

Tidak hairanlah kelah mempunyai nilai harga yang tinggi (tangkapan dari sungai) sehingga mencecah antara RM30 hingga RM40 sekilogram (kg).

Bagi kaki pancing yang berminat untuk merealitikan impian memburu kelah, Angler's Heaven 'The Adventure Club' di Jalan Peel bersedia menawarkan pakej itu dengan kadar bayaran antara RM350 hingga RM400 untuk tiga hari dua malam.

Pakej tersebut termasuk pengangkutan, makan, minum, tempat penginapan khemah serta penggunaan bot khas yang digunakan dari jenis 'Coleman Scanoe' dan bukannya dari jenis kayu ataupun fiber.

Menurutnya, beliau akan mengajar semua kaedah memancing yang dapat dipraktikkan oleh semua yang menyertai ekspedisi itu.

Bagaimanapun, jika gagal menaikkan kelah, yang pastinya ikan lain yang bakal diperolehi antaranya ialah kaloi, lampam, sebarau, tengas, tapah, toman, baung dan terbul.

Kepada sesiapa yang berminat untuk mengikuti pakej tersebut bolehlah menghubungi Jeffrey Ahmad atau Man Kelah pada talian 03 - 9872090 atau 012 - 2108010.


Oleh: AMRAN MULUP ( Utusan On-line )

0 comments:

Newer Post Older Post Home