Sunday, November 16, 2008

Kumilikimu (Part 14)

Ketukan dipintu, kedengaran. Memang aku nantikan. Faizal tersenyum memandangku, seolah tidak terkesan dengan air mukaku yang aku rasa dah kelat semacam. Aku cuba kawal perasaanku, kerana aku tahu aku tak boleh marah lelaki ini seperti budak-budak. Aku harus profesional. Harus bertindak sebagai lelaki yang matang.


"Kau tak keluar ari ni Qel?"Masih tidak menyedari 'mood'ku. Aku senyap. Memerhatikan Faizal yang sedang membetulkan duduknya.
"Hai... tadi macam ada hal penting... senyap pulak kenapa. Anyway... Serina sekarang makin mengancam aku tengok... kalau aku jadi kau...."

"Dah lama makan dia?" Potongku. Faizal ketawa besar.

"Kau ingat aku jenis macam tu, pantang nampak perempuan terus nak baham. Sori, itu bukan sikap aku ok!"Aku mencebik.

"Aku tahu.... kau tak macam tu.... hai.. kau ni macam nak marah aje...... aku gurau la...."Dia tersengih memanjang.

"Aku tak kisah kau nak makan sapa pun.... itu hak kau... tapi aku nak ingatkan... jangan buat yang bukan-bukan pada Ain. Aku serius." Aku renung wajah lelaki
itu sungguh-sungguh.

Giliran Faizal terdiam.

"Kau fikir aku sejahat itu?"

"Aku cuma nak ingatkan.."Balasku lagi."Ain gadis kampung yang tak tahu apa-apa. Dia tak kenal kau "

"Itu sebab aku nak lebih rapat dengan dia. Aku nak dia kenal aku betul-betul."

"Untuk apa?" Faizal angkat kening. Agak sangsi dengan soalan aku mungkin.

"Qel..... aku nak terus terang dengan kau.... aku memang sukakan Ain tu.

Aku rasa tak salah kalau aku approach dia..."

"Aku tak benarkan....."Aku mendengus.

"Kenapa?

"Dia sepupu aku.."

"Sepupu kau.. then, apa masalahnya. Semata-mata dia sepupu kau, kau keberatan kalau aku approch?"Wajah Faizal berubah. Aku tarik nafas panjang. Kalau boleh
aku tak mahu bertekak dengan lelaki ini hanya kerana seorang perempuan. Sesuatu yang aku tak suka sejak dulu.

"Aku cuma nak bagitahu , Ain tak sesuai untuk kau..."

"Atau aku yang tak sesuai untuk Ain?"Matanya membesar. Aku menggeleng.

"Hubungan ini takkan berjaya Jai..."Balasku perlahan.

"Nampaknya kau begitu yakin..."Dia tersengih.

"Aku tak nak kau terlalu mengharap...'

"Haiqel, "Dia menegakkan badan. "Aku hormat kau sebagai kawan aku,dan sebagai sepupu Ain. Tapi dalam soal perasaan, aku harus ikut hati aku.Kalau kau fikir aku ni tak berapa bagus untuk Ain, aku sanggup ubah.Aku tahu kau anggap aku seperti seorang playboy yang punya perempuan keliling pinggang,bukan?"Sedikit tersinggung mungkin, dia mengeluh.

"Bukan sebab tu..... aku tak pandang rendah pada kau...."

"Wait.. wait,... atas sebab ni ker kau panggil aku?"Aku diam.

"Kau marah aku keluar makan dengan Ain tadi?" Aku diam lagi.

"Kau ni macam budak-budak la Haiqel...."Dia ketawa nipis. Darahku panas tiba-tiba.

"Tak kiralah budak-budak ke, bapak budak ke... aku nak bagitahu...... Ain is belonged to someone!"Suaraku meninggi. Aku lihat wajah Faizal berubah. Dia
pandang aku lama.

"Maksud kau?"

"Ok, frankly aku cakap, Ain dah .... bertunang.. maksud aku... dia akan berkahwin tak lama lagi. "Otak aku dah tak boleh nak bagi alasan yang logik lagi. Aku rasa alasan yang sebegini saja yang dapat menghalang lelaki ini.

"Bertunang? Ain tak pernah cakap pun!"Sedikit terkejut.

"Itu hak dia nak bagitahu atau tak. Tapi sebagai sepupu, aku ada tanggungjawab untuk jaga dia. Since dia sekarang pun tinggal dengan aku. So, it's up to you nak percaya atau tidak."Faizal termenung seketika. Dia menarik nafas panjang.

"Ok lah.... whatever! Tapi, selagi dia belum berkahwin, aku rasa aku masih ada peluang. Isn't true?"Dia tersengih. Kurang ajar! Mamat ni memang tak makan
saman.

Faizal bangun dari kerusi. Bersedia untuk beredar. Sambil membetulkan tali lehernya dia memandangku.

"Thanks for your advice, Qel. Kau sepupu yang bertanggungjawab. Aku respect. Tapi, as you know, prinsip aku.. best man win !"Dia ketawa sebelum berpaling.

Aku ketawa sama, sekadar menyedapkan hati. Dalam hati aku menyumpah seranah. Lelaki ini memang tak boleh dibagi muka.Dengan kawan sendiri pun dia nak berkeras. Mahu saja aku katakan yang Ain itu isteriku. Mahu terlopong mulut dia nanti. Tapi aku tak mahu hebohkan dulu. Aku tak mahu semua orang tahu selagi Serina tidak tahu. Aku tahu ia akan menjadi lebih sukar nanti. Aku tak sanggup hadapi.

****************************************
Sudah hampir satu jam berlalu. Aku masih di atas kerusi. Sambil menghadap skrin komputer. Sesekali jam di dinding ku kerling sekilas. Tersenyum seketika. Biarlah. Biarlah dia menunggu. Aku tahu dia masih ada di bawah. Mungkin sudah jenuh menantiku. Kalau dia sudah bosan menunggu, pasti dia akan naik ke bilikku. Lalu meminta aku segera pulang. Dan aku takkan mengendahkan. Biar dia marah. Biar dia tahu bagaimana sakitnya hati dipermainkan. Sakitnya hati tidak diendahkan.

Aku tahu, dalam hal ini aku perlu berbuat sesuatu untuk menyedarkan. Kalau dengan Faizal tak jalan. Dengan Ain juga aku perlu berpendirian.Aku tak mahu dia
terus-terusan dipermainkan. Kalau bukan Faizal yang mempermainkan Ain, mungkin aku yang dipermain Ain. Perjanjian dulu rasanya tidak relevan lagi. Jangan
masuk campur hal masing-masing. Ah..... persetan dengan semua itu!

Aku melihat jam sekali lagi. Rasanya sudah cukup masanya. Aku menutup komputer. Mematikan suis aircond. Di luar, semua staff sudah tidak kelihatan. Lampu juga sudah dipadamkan. Hari ini hari Jumaat, patutlah tak ada sesiapa yang OT. Masing-masing pulang awal kerana esok hari Sabtu. Aku buru-buru keluar. Sampai di reception, suasana sudah suram. Tipah juga sudah pulang. Aku membuka pintu. Oleh kerana aku orang terakhir, jadi akulah yang mengunci pintu. Dato Rustam sudah 2 hari ke Penang. Mungkin esok baru pulang. Aku menuju ke keretaku. Mencari-cari kelibat Ain. Aku sengaja biarkan dia menungguku, tapi kelibatnya tidak kelihatan. Kemana dia pergi. Tak tunggu akukah?

Aku nak lihat dia marah. Aku nak tengok dia tarik muka. Aku akan buat-buat bodoh, dah aku pasti dia akan sakit hati dengan pelakuanku. Biar dia tahu
bagaimana perasaanku tengahari tadi. Aku nak sakit hatiku ini terbalas.Aku masuk ke dalam kereta tetapi menyedari ada sesuatu yang terselit di celah wiper. Sekeping kertas putih. Aku keluar kembali dan mengambil cebisan kertas tersebut. "Qel ot? Ain tak dapat tunggu. Ain balik dulu." Ah.... geramnya aku! Balik-balik aku yang sakit hati!

*************************
"Kenapa tak tunggu Qel tadi?"Tanyaku sebaik masuk ke dalam rumah.

Ain sedang bersandar di sofa. Sepertinya sedang keletihan juga. Nampaknya dia juga baru sampai ke rumah. Ain tidak segera menjawab. Dan dia tidak memandangku langsung. Hanya dadanya yang kelihatan turun naik laju, seperti orang yang benar-benar kepenatan.

"Kenapa tak tunggu Qel?"Sekali lagi aku bertanya. Kali ini agak kuat.

Ain berpaling padaku.

"Qel ot bukan?"Tanyanya perlahan.

"Hari ni ari Jumaat, siapa yang nak ot!"Balasku tegas. Ain terdiam seketika.

"Ain ingat Qel ot....."

"Kenapa tak tanya dulu?"Ain mendongak, menatap wajahku.

"Ain tunggu..... tapi lama sangat.... Ain terus balik..."

"Kenapa tak tanya dulu?"

"Ain minta maaf......"Lirihnya. Dia kembali menunduk, memainkan jemarinya. Aku campak briefcase aku atas sofa. Melonggarkan tali leher lantas menghempaskan
badan ke sofa, betul-betul di hadapan Ain.

"Ain ingat nak tumpang Suzy.... tapi Suzy dah balik dulu...."

"Habis tu, Ain tumpang siapa, Faizal?"Ain sedikit terkejut. Dipandangnya aku tanpa berkelip.

"Atau Iskandar?"

"Qel!" Ain terjerit kecil. Wajahnya mencemik, dan aku lihat rona merah pada wajah itu.

"Ain tumpang siapa?" Ain menggeleng. Dia berusaha untuk bangun. Kelihatan susah benar.

"Ain naik atas dulu...."Dia mencapai tas tangannya. Cepat-cepat aku tarik tangannya, dan dia sedikit terkejut.

"Qel.... jangan buat macam ni...."

"Kenapa? Ain tak suka Qel pegang tangan Ain macam ni. Kalau Faizal pegang tak apa?"

"Ya Allah Qel...."Ain tersedu. Air mata sudah merembes. Di kesatnya dengan hujung tudung.

"Kenapa Qel cakap macam ni?"Dia pandang aku.

"Qel tak boleh cakap macam ni kah?... Qel suami Ain, Qel berhak untuk ambik tahu..."Genggaman semakin kejap. Aku lihat dia seperti mengeliat. Mungkin
kesakitan.

"Ain tahu..... Qel berhak buat apa saja. Tapi bukan di sini, Ain tak mahu mak nampak..."Dia pandang ke arah dapur. Aku tahu mak ada didapur. Aku dengar bunyi pinggan berlaga di sana.

"Ain tak mahu rahsia Ain bocor?"

"Rahsia apa?"Dia kaget memandangku.

"Rahsia Ain ada hubungan dengan lelaki lain......"

"Haiqel!" Dia terjerit halus. Direntapnya tangannya pantas. Terlepas genggamanku.

"Kenapa Qel tuduh Ain macam ni?"

"Qel tak tuduh, Qel nampak depan mata..."Aku tersengih tawar.

"Qel tuduh Ain ada hubungan dengan lelaki lain, tapi bagaimana dengan Haiqel... apa hubungan Qel dengan Serina, bukan pasangan kekasih?"Dia menentang mataku.

"Hubungan Qel dan Serina, dah lama berlaku. Sebelum kita kahwin lagi. Tapi Ain dengan Faizal...."

"Jadi itu adil namanya?" Aku tarik lengan Ain supaya menghadapku. Terdorong dia sedikit ke depan.

"Jadi Ain fikir dengan menjalin hubungan dengan lelaki lain, itu baru adil? Macam tu?" Ain menggeleng. Dia menghela nafas.

"Ain tak ada hubungan dengan sesiapa. Baik Faizal mahupun Iskandar. Tak ada!"

"Bohong!"

"Qel..... Ain tak sangka Qel macam ni!"Ain berpaling, terus melangkah meninggalkan, separuh berlari. Aku mencapai briefcase, dan sama menaiki tangga. Masuk ke bilik aku lihat Ain sudah sudah terbaring atas katil, bertelangkup atas bantal. Menyedari aku berdiri di belakangnya, segera dia bangun, sambil menyeka
pipi.

"Kalau Qel sangsi dengan hubungan Ain dan Faizal, kenapa Qel tak berterus terang saja dengan mereka semua tentang hubungan kita. Biar mereka tahu, jadi tak ada sesiapa pun yang akan menggangu Ain..."Ain merenungku sungguh-sungguh. Aku menarik nafas dalam-dalam. Sesuatu yangsukar untuk aku jawab.

"Kalau Qel tak nak, biar Ain saja yang beritahu...."

"Jangan!"Aku melangkah ke arahnya.

"Kenapa Qel tak nak? Qel takut Serina tahu, bukan?"Aku diam.

Kata-katanya itu mengena batang hidungku.

"Qel tak nak dia tinggalkan Qel, begitu?"

"Ain!"Suaraku meninggi.

"Jangan kaitkan Serina dalam hal ni..."Ain bangun, berdiri betul-betul di hadapanku.

"Habis, kalau bukan sebab dia, kenapa Qel tak mahu berterus terang. Qel malu nak mengaku yang Ain ini isteri Qel? Sebab Ain cuma gadis kampung, belajar pun
tak tinggi.... bukan anak mat saleh.."

"Cukup Ain, cukup!" Tanganku sudah naik separas bahu. Ain sedikit terkejut. Dipandangnya aku dengan riak tidak percaya.

"Qel nak tampar Ain?"Dia mendorongkan wajahnya.

"Kalau itu yang boleh membayar kesilapan Ain tadi, Qel tamparlah!"Dia pejamkan matanya seolah bersedia menerima apa-apa kemungkinan.

Aku tarik nafasku dalam-dalam. Perasaanku kembali menurun. Wajah bersih itu, mana mungkin aku daratkan tangan kasar ini di wajah itu. Wajah itu bukan untuk
dikasari. Bukan. Aku gigit bibir sampai sakit. Perlahan-lahan tangan diturunkan. Aku menunduk. Tak tahu kenapa perasaan aku mudah benar menjadi panas tadi.
Aku tak suka dia membalas kata-kata aku tadi, yang sedikit sebanyak mendedahkan keadaan terdesakku yang sebenar. Aku mengeluh saat Ain membuka matanya. Dadanya berombak laju dan terdengar helaan nafasnya.

Aku segera berpaling. Masuk ke dalam bilik air lalu membasuh mukaku dengan air sejuk. Menatap wajahku dicermin seketika. Bagaimana wajahku tadi? Nampak
garangkah? atau tak berperasaankah? Kejamkah aku bertanya soalan-soalan seperti itu. Adakah aku sengaja menuduh dia. Aku hanya menegakkan kenyataan, yang aku lihat dengan mata aku sendiri. Jadi salahkah aku bersifat ingin tahu sebegitu?Aku keluar kembali, dan kulihat Ain masih di situ, tercatuk dibirai katil. Wajahnya muram dan dia tidak memandangku.

"Mulai hari ini, Qel tak nak tengok Ain keluar dengan Faizal lagi. Even pergi makan sekalipun. Ramai lagi kawan perempuan kat ofis tu yang
boleh diajak teman. Jangan layan jantan tuh!" Ain diam tak bersuara.

Aku puashati. Sejurus aku segera keluar, turun ke dapur mendapatkan mak. Orang tua itu sedang menyiang ikan di sinki. Dia menoleh sebentar kepadaku.

"Kenapa balik lambat Qel? Biarkan Ain balik naik bas sorang-sorang. Nasib baik sampai tadi....."Mak berhenti menyiang ikan.

"Ain naik bas tadi?"Aku mendekati mak. Sedikit terkejut.

"Dia kata kau ot..... jadi dia balik dulu..... nasib baik tak sesat.

"Aku pandang mak tanpa berkelip. Fikiranku tiba-tiba kosong.

bersambung...

Read More...

Kumilikimu (Part 13)

Aku tidak pernah gagal. Benar. Waktu kecil-kecil dulu aku tidak pernah merasa sebenar-benarnya erti kegagalan. Aku tidak pernah kecewa walau himpitan kehidupan keluarga begitu mendesak. Walaupun setiap hari harus menjamah makanan yang sama, tapi aku tidak pernah merasakan itu satu kegagalan dalam menikmati kemewahan. Seingatku, sekejap waktu saja aku dapat merasa sedikit mewah. Waktu arwah ayah masih ada. Tapi itu pun terlalu singkat rasanya. Banyak perkara yang tidak lagi aku ingat sekarang ini. Yang aku ingat aku masih terlalu kecil waktu itu. Hanya 10 tahun sewaktu ayah kembali ke rahmatullah. Kalau ada pun kekecewaan waktu itu ialah disaat kematian ayah, aku tidak dapat melihat jenazahnya buat kali terakhir.


Tidak dapat mengucup dahinya. Tidak dapat mengusap rambutnya. Walaupun masih terlalu kecil waktu itu, tapi aku sudah mula dapat berfikir. Sudah dapat membayangkan apa itu kematian. Sudah dapat mengerti perasaan terkilan. Terkilan kerana tidak dapat mendakap jenazah arwah ayah. Kerana atuk melarang keras aku menghampiri apalagi menyaksikan jenazah ayah. Aku selalu terfikir, kenapa mak langsung tidak berkata-kata denganku. Aku lihat mak hanya duduk diam-diam di sisi nenek. Matanya sudah bengkak kemerahan dan dia lupa untuk mengusap-ngusap kepalaku seperti selalu. Ternyata mak terlalu sedih waktu itu. 2-3 hari dia tidak makan, sampai aku naik bingung kerana kerap ditegur nenek kerana asyik
merengek minta dielus mak.

Akhirnya aku sendiri faham. Ayah pergi tinggalkan mak buat selama-lamanya. Bukan sedikit kesedihan yang ditanggung mak sehinggakan mak terlupa sebentar pada anak tunggalnya ini. Tapi aku sedikitpun tidak terkilan kerana aku sudah mulai memahami. Erti kasih sayang sekaligus keperihan ditinggal orang tersayang. Emak terlalu muda untuk menghadapi semua itu.

Mungkin ada yang berbekas dalam hatiku sejak peristiwa itu. Membuatkanku
sedikit terkilan. Aku tidak melihat wajah akhir arwah ayah. Aku hanya melihat jenazah ayah setelah siap dikafankan. Itu pun dari jauh saja. Sempat juga aku mendengar perbualan orang-orang yang ada disitu. Kata mereka kematian ayah amat menyedihkan. Kemalangan itu terlalu tragis. Tubuh ayah remuk. Kepalanya hampir pecah. Aku lihat kain yang membalut jenazah ayah juga berwarna merah. Darah ayah tidak henti-henti keluar. Kerana itu atuk melarang keras aku melihatnya. Mak yang terjelepuk pun tidak dibenarkan menjenguk, apalagi aku.

Aku rasa itulah satu-satunya kekecewaan yang pernah aku rasa. Selepas itu
tidak pernah lagi. Aku tidak pernah gagal pada hari-hari mendatangku selepas itu. Pelajaranku amat cemerlang. Selepas UPSR, aku ke Johor Bahru menetap di asrama penuh. Walaupun permulaannya mak agak keberatan melepaskanku pergi. Apa lagi yang menyedihkan seorang ibu tunggal yang kehilangan suami dan harus pula berjauhan dengan anaknya yang seorang ini?


Selepas SPM aku cemerlang lagi. Dan atas pertolongan atuk, Pak Long dan wang KWSP arwah ayah, aku terbang ke Nottingham. 4 tahun di sana, aku tidak pernah gagal walau sekali. Segalanya berjalan dengan lancar. Segalanya berjalan seperti yang diinginkan. Segulung ijazah kepujian dan satu jawatan yang membanggakan. Perjalanan hidup berjalan lancar. Amat lancar.
Sehinggalah....... sehinggalah ke hari ini. Hari kegagalanku yang pertama.
Setelah segalanya seperti berada dalam genggaman. Setelah semuanya seperti
telah dimiliki. Tetapi akhirnya... aku gagal. Gagal dalam perkara yang langsung tidak pernah aku terfikirkan. Gagal dalam merebut sekeping hati
mungkin. Ah.. lucu! Kenapalah aku mesti gagal dalam perkara seremeh ini.
Bukankah ini perkara yang tidak sepatutnya aku beratkan dalam fikiran.

Mungkin begini rasanya kegagalan. Kekecewaan. Kehilangan. Mungkin ini yang
dirasakan mak sewaktu pemergian ayah dulu. Marina setelah kad-kadnya tidak
pernah aku endahkan. Atau Julia Hanim setelah cintanya ku tolak bulat-bulat. Mungkin kesedihan dan sakit hati begini yang mereka rasa. Kecewa setelah apa yang diingini tidak tercapai. Dikecewakan, ditinggalkan. Dan kini aku sedang merasakan bagaimana perasaan-perasaan itu. Kesakitan-kesakitan itu. Sungguh! ia amat menyakitkan. Berbekas dalam hati seolah tidak mampu di buang lagi.

Saat melihat Ain bergandingan pagi tadi, aku tahu segala yang aku angan-angankan sebelum ini tidak menjadi. Apa yang aku harapkan dan apa yang aku rasakan sebenarnya tidak wujud dalam diri Ain. Mungkin hanya aku seorang yang merasa getar-getar halus itu. Merasakan keindahan perasaan itu. Tetapi tidak pada Ain.


**************************************************

"Cepat balik Qel, kata nak pergi makan dengan Ain?" Aku sangka mak tak akan tanya bila melihat aku pulang tengahari itu.

"Emm... tak sempat mak..."Balasku lambat-lambat tanpa memandang mak. Cepat-cepat tubuh kurebahkan ke atas sofa sambil memejam mata. Mata kupejamkan dengan harapan mak tidak akan terus-terusan bertanya.

"Apa yang tak sempatnya.... habis rehat pukul berapa?" Mak melabuhkan punggung di sofa bertentangan denganku.

"Qel sampai diorang dan masuk ofis semula. Lagipun Qel tak bagitahu Ain pun Qel nak makan dengan dia. Tak apalah......"Malas rasanya hendak mengingati peristiwa tadi.

"Habis tu, Qel dah makan belum?"

"Dah mak....."Sekali lagi aku berbohong. Aku tidak tahu apa yang hendak dikatakan. Untuk menceritakan perkara sebenar rasanya tidak mungkin.

"Mak tak menjahit ke?" Mak tersenyum.

"Sekejap lagi Qel. Mak nak solat dulu.." Mak bangkit dari sofa. Mungkin dia faham kekeruhan pada wajahku. Aku sedikit lega.

Aku merenung ke syiling. Melihat gerakan kipas yang berpusing. Agak laju tetapi tetap tidak dapat meredakan kepanasan hatiku. Rasanya akulah manusia paling bodoh sebentar tadi. Paling lurus atau paling mengikut kata hati. Aku terburu-buru? Atau sudah terlewat? Apa yang Ain Fathihah inginkan sebenarnya? Perkahwinan atau kebebasan. Kalau sebuah perkahwinan, dia sudah punya itu. Kalau sebuah kebebasan, dia juga akan punyai itu. Aku akan berikan kebebasan kalau benar itu yang dia inginkan. Tapi bukan begini caranya.


Aku lebih rela menyerahkan dia kepada Iskandar kalau itu yang sebaiknya. Biarlah sekali ini aku merasa kegagalan dan kekecewaan. Iskandar pernah memiliki dia dulu dan aku tidak ralat andai menyerahkan semula miliknya itu. Biarlah aku beralah. Tetapi kenapa Ain tidak telus. Dia bukan saja tidak jujur denganku, malah dengan Iskandar juga. Aku bukannya buta lagi. Aku lihat jelas gandingan mereka berdua tadi. Dan aku tidak sangka, Faizal telah memulai langkahnya. Ketiadaanku telah dijadikan satu kesempatan. Kesempatan untuk menakluki hati Ain.

Kenapa Faizal? Aku tidak sanggup melihat Ain menjadi milik Faizal. Faizal
bukanlah lelaki yang sesuai untuk Ain. Walaupun mungkin ditakdirkan jodohku tiada dengan Ain, aku masih rela melepaskan dia, tetapi bukan untuk Faizal. Sesekali tidak.

****************************************

"Haiqel, ada someone nak jumpa you kat bawah ni. You turun ya.."Suara Tipah kedengaran melalu interkom.

"Siapa, Tipah? I tak ada appointment hari ni.."Aku menjawab dengan malas. Aku menarik laci meja. Melihat kotak berbalut cantik dengan reben merah di tepi. Aku rasa macam nak campak saja bungkusan itu ke luar.

"Someone yang nak sangat jumpa you. You nak turun atau nak dia naik atas?"

"Emm.. ok, ok lah... I turun!"Aku sedikit mendengus. Pagi-pagi dah kena kacau. Siapa pula yang rajin benar nak jumpa aku ni? Setahu aku hari ini aku tidak ada temujanji dengan mana-mana syarikat. Kalau Faizal, aku tak tahu pula. Dia pagi-pagi lagi sudah keluar entah kemana. Aku tak mahu tahu kemana lelaki itu pergi. Bukan urusan aku.


Aku turun ke bawah dengan perasaan yang berbaur. Hari ini aku agak kurang bersemangat untuk bekerja. Pelan-pelan yang perlu disiapkan untuk projek
bulan depan juga terbengkalai begitu saja. Biasanya kalau tidak sempat sangat aku akan serahkan kepada Faizal untuk prosiding seterusnya tetapi sejak peristiwa tempohari rasa-rasanya aku tak mahu melihat wajah lelaki itu lagi. Hendak bercakap pun rasanya tidak sepenuh ikhlas.

"Tipah! " Aku bergerak ke arah Tipah. Seorang gadis yang sedang membelakangku segera berpaling.

"Surprise!!!!" Dia terjerit halus lalu menerpa ke arahku. Aku tergamam. Tidak sempat berbuat apa-apa bila terasa leherku telah dipagut oleh tangannya. Tipah yang melihat tersipu-sipu, sedikit terkejut.

"Haiqel! " Pelukan terlerai. Aku masih terkejut. Wajah gadis di hadapanku itu kutatap.

"Serina?" Bagai mahu luruh jantungku. Terkejut dengan kemunculannya secara tiba-tiba. Terkejut dengan tindakannya yang tanpa segan silu memelukku.

"Haiqel, I'm sure you mesti terkejut kan....'Dia ketawa penuh ceria. Jemariku digenggam erat.

"Serina,... behave yourself please.... inikan ofis.."Aku berbisik perlahan sambil menahan debar di dada.
"Sorry Qel... but I'm really excited to see you right now..."Dia tersenyum lebar. Nampak perbezaan pada wajah itu. Sebulan dia meninggalkanku, rasanya terlalu banyak yang berubah.

"Bila you balik ?" Aku tarik tangan Serina menuju ke sofa. Tipah tersenyum melihat gelagatku.

"Malam tadi..."Serina menguak rambutnya yang tampak lebih keperangan. Seingat aku rambutnya dahulu agak gelap sedikit berbanding yang kulihat sekarang ini. Serina seakan mengerti.

"Qel, I tak dye rambut I ni tau... I banyak berjemur. That's why jadi perang macam ni..."Aku mendengus.

"Betul! " Serina mengangkat tangannya seperti bersumpah. "Last 2 week I pergi Florida. Beach kat sana cantik tapi panas sikit. You tengok kulit I pun dah nampak tan sekarang..." Aku memerhatikan Serina seketika. Kulitnya agak kemerahan. Aku melihat rambutnya kembali.

"Ok, nanti I hitamkan semula, ok!" Dia melurut-lurut rambutnya.

"Qel, you sihat tak? " Tangannya menyentuh pipiku. Aku menarik kembali tangannya, tak mahu dilihat Tipah, kerana aku tahu ia agak kurang manis.

"Serina, kenapa tak call I. Balik pun senyap-senyap je.. kenapa?" Aku menarik nafas. "You buat I terkejut aje..."

"I saja nak kejutkan you..."Aku menggeleng kepala. Melihat betisnya yang terdedah. Skirtnya terlalu pendek pada pandanganku. Sekali lagi Serina menyedari ekor mataku.

"Emm... I dari rumah mama tadi.... terus ke sini. so I tak sempat nak tukar baju..."

"Kat sana pun you seksi-seksi macam ni?"

"Eh.... tak.... I tak seksi... kalau Qel tak percaya, nanti I tunjuk gambar-gambar I kat sana. Banyak sangat..."Dia senyum lagi. " I ganggu you ke?"

"Emm.... tak jugak. Tapi lain kali call lah dulu.."

"Kan I dah cakap... I saja nak surprisekan you..."Aku tersengih.

"Sebulan you tak call I langsung. I ingatkan you dah kawin dengan mat saleh kat sana..."Serina mencebik.

"You ni memang nak sangat I kawin dengan mat saleh kat sana agaknya?"Mulutnya memuncung. "You kan tahu I sayang you sungguh-sungguh....."Aku pura-pura mencebik. Serina tarik muka.

"You tak percaya ke... you tak rindukan I langsung?" Aku renung wajah Serina dalam-dalam. Segaris senyuman terukir di bibirku. Mungkin, perasaan rindu itu masih ada dalam hatiku. Belum terhakis sepenuhnya.

"Kita lunch sama-sama ya. I nak makan dengan you.... dah lama rasanya tak makan sama kan?"

"Serina, you tengok sekarang baru pukul berapa.."

"That's why lah I datang awal-awal. I nak booking you dulu. You tu kalau tak book awal-awal... sure sibuk aje dengan kerja you tu..."

"So you nak tunggu I?"

"Gila! satu jam lagi. You nak I jadi batu kat sini?... I nak keluar dulu cuci gambar dulu. Pukul 12.00 nanti I datang semula..."Serina merenungku sungguh-sungguh. Dan matanya masih cantik seperti dulu-dulu.

Bila Serina beredar, aku termenung seketika. Bagai tak percaya. Saat hati aku sedang gundah gulana, gadis itu menghadirkan dirinya. Adakah dia akan menyelamatkan keadaaan ini. Membaik pulih hatiku seperti dulu-dulu.

**********************************

Pukul 12.30, aku sudah berdiri di depan pintu kaca. Aku keluar 5 minit lebih awal kerana tidak mahu bertembung dengan sesiapa. Baik Faizal, mahupun Ain. atau sesiapa saja. Aku dapat rasakan perasaanku sedikit lega dengan kemunculan Serina pagi itu.

Tak lama. Dari jauh aku lihat kereta Serina membelok ke arah bangunan lalu
berhenti betul-betul di depanku. Cermin kereta diturunkan.

"Naik kereta I sajalah...."Serina menggamitku. Aku segera masuk ke dalam kereta. Selesa dan dingin. Sempat melempar pandangan ke pintu kaca.Belum ada sesiapa yang keluar makan.

"Nak makan kat mana?"Serina bersuara sambil membetulkan kaca mata hitamnya. Dia benar-benar tampak berkeyakinan. Rambutnya yang perang menyerlahkan lagi gaya kebaratannya. Seketika aku bagai tidak percaya punya seorang gadis sepertinya. Patutlah Faizal sering mencemburuiku.

"Makan kat area-area sini sajalah. You tahu kan waktu lunch I bukannya panjang sangat.."

"Bos you tak ada ke?"

"Tak..."

"So.... boleh masuk lambat sikit...."

"Tak boleh sayang...."Balasku mendatar. "Malam ni kalau you nak, I boleh spend time untuk you.. tapi hari ni I kena masuk ofis on time, ok..."

"Malam ni tak boleh la Qel..... I nak kemas rumah dulu. Emm.. ni I keluar pun mama dah bising.... I bawa balik banyak barang. Tak sempat nak kemas.."Matanya tancap memandang ke depan. "Barang you pun I tak sempat nak bawa. Weekend ni you free, kita jumpa ya..."

"Emm... tengok la nanti.... I tak janji...."Serina menoleh ke arahku.

"You ni lain la Qel.... kenapa dengan you ni? Sakit ker?" Aku tersenyum, menggeleng.

" I ok . Sihat.."
"Tak... I rasa you dah lain sikit.... you macam tak happy..."

"Kita makan kat sini je la..."Aku memotong cakapnya. Bukan untuk mengelak, tetapi kebetulan selekoh untuk masuk ke kafe yang dimaksudkan sudah dekat benar. Segera Serena memperlahankan kelajuan.

Masuk saja ke dalam kafe aku terus memesan makanan. Kebetulan tidak begitu ramai pelanggan pada waktu itu. Maka makanan yang dipesan siap dalam tempoh yang singkat. Untuk beberapa minit yang pertama, masing-masing tidak bersuara. Hanya menikmati makanan dengan penuh selera. Aku, memang kebetulan waktu itu perutku terasa lapar benar. Serina, aku tidak pasti adakah dia juga berselera kerana lapar atau terlalu gembira berjumpa denganku.

"I ada inform daddy pasal kita..."Aku terhenti mengunyah. Wajah Serina aku pandang seketika.

"You cerita apa.?"

"I cakap tentang you..... apa kerja you... macamana kita boleh kenal..... itu saja.."

"Daddy you?"

"He wish me luck!"Serina ketawa. "Daddy tak kisah lah Qel.... dia memang sporting... bila I bagitahu dia you're Muslim, dia terdiam sekejap."

"Dia marah?"

"Dia tak marah..... cuma terkejut. Dia tanya, how can his daughter in love with a Muslim guy... but I said, that's a normal matter... cinta tak kenal siapa bukan?"Serina senyum penuh makna. Aku hanya mengangguk-angguk. Tak tahu apa yang harus dikatakan. Persoalan cinta melibatkan agama?... ah... kalut! aku tak mahu terfikir sebegitu jauh. Persoalan aku dengan Ain pun belum selesai lagi. Yang ini lagi berat nampaknya!

'Eh.. you tengok siapa tu?"Mata Serena membulat bagai melihat sesuatu. Aku segera berpaling.

"Itu Faizal, bukan?" Lehernya dipanjangkan. Aku menoleh sama. Terlihat kelibat Faizal sedang berjalan masuk ke dalam kafe dengan seorang gadis di sisi. Darahku menyirap. Serina melambaikan tangannya menggamit Faizal.

"Biarkanlah mereka..."Aku mendengus tapi nampaknya Faizal telah terlihat lambaian Serina. Dia mengubah haluan, menuju ke arah kami. Saat itu aku rasakan darah panasku naik ke muka. Membuak-buak bagai ingin pecah dada.

"Hai Serena.... bila you balik?" Faizal menyambut huluran tangan Serena. Aku menjeling lelaki itu. Bila pula dia pulang ke ofis. Waktu aku keluar tadi tak ada pula.

"Malam tadi, you apa khabar?"

"Sihat.... wah... malam tadi you sampai... pagi ni dah jumpa buah hati?"Serina ketawa. Manis gelaknya, tetapi tidak mampu meredakan perasaanku. Aku sedari ada ekor mata yang sejak tadi tertumpu ke arahku. Tidak mampu aku balas renungan itu.

"You all nak lunch ker... jom lah join us.."Aku tidak mampu menghalang Serina dari terus bersuara.

"It's okay, I makan dengan kawan...."

"Siapa ni? Girlfriend baru you ya?" Serina menguntum senyum. Hatiku semakin panas. Kalau ikutkan angin gila aku ni mahu terbalik kerusi meja ni nanti.

"Eh, tak lah. Ini officemate I. Ain Fathihah. Eh, Qel tak ada bagitahu you ke? Inilah sepupu Qel...."

"Cousin?"Serena agak terkejut. Dia mengalih pandangan ke arahku.

"Hai Qel.... kau tak cerita kat Serena ker? "Faizal memandangku.

"Belum lagi...."Aku menjawab malas. "Masa Ain start kerja dulu kan Serina dah ke Paris...."Faizal ketawa kecil.

"Ain, inilah Serena yang I cerita dulu. Haiqel punya mata air..."

Ain senyum, sambil menghulurkan tangannya. Serena pantas menyambut. Nyata
dia gembira dengan perkenalan itu. Aku pula yang macam cacing kepanasan.

"Okeylah... we all nak order makan dulu.. see you ..."Faizal menarik tangan Ain. Ya Allah!..... sakitnya hati aku melihatnya. Mamat ni dah terlebih benar... sejak bila pegang-pegang tangan pulak. Si Ain pun satu. Macam orang bodoh. Biarkan saja jantan tu sentuh dia. Tak ingatkan suami dia ke?

"You tak pernah cerita pun tentang cousin you tu."Serina mengalih pandangan kepadaku. Sesekali dia menoleh ke arah Faizal dan Ain yang duduk tidak jauh dari meja kami.

"Nak cerita apa. Tak ada apa yang menarik untuk diceritakan.."Balasku perlahan. "She is working at my office since 3 week ago... I yang introduce dia to my boss. That's all "

"She is beautiful, right? Do you notice it?"

"I pun handsome, kan. No wonder lah dia pun cantik. We all kan sepupu." Serina ketawa.

"Sudahlah you Qel. Tak boleh puji sikit. Mulalah nak lebih...." Tapi aku sudah tak mendengar kata-kata Serina lagi. Kerana mataku, otakku dan semua pancainderaku telah beralih ke sana. Ke pasangan yang sedang leka menikmati makanan tanpa memikirkan perasaanku. Pasangan yang tidak padan langsung pada pandanganku. Ah.... perasan aku menjadi semakin tidak tentu arah. Sekejap-sekejap mataku meliar ke sana. Kenapa mereka selalu nak menyakitkan hati aku. Sengaja bermesra-mesra didepanku. Ain Fathihah, kau tak terfikirkah perasaan suamimu ini. Kenapa kau sengaja sakitkan hati aku. Tidak cukupkah ketidakpedulian kau terhadapku selama ini dan kini kau bersama pula dengan lelaki yang kurang aku gemari. Sengajakah engkau? Atau memang kau benar-benar menginginkannya.

Aku pandang Ain dari jauh. Sejauh hatiku. Entah bagaimana Ain tiba-tiba menoleh kepadaku dan mataku terus kaku.

bersambung.....

Read More...

Thursday, November 13, 2008

Tokku Paloh

Masyarakat Malaysia yang celik sejarah perkembangan Islam di Kepulauan Melayu serta cerita para wali yang terlibat mesti pernah mendengar nama Tokku Paloh. Beliau atau nama sebenarnya Sayyid Abdul Rahman Al-Idrus adalah ulamak terkenal yang menjadi guru kepada Sultan Zainal Abidin III, pemerintah Terengganu penghujung abad ke 19. Tokku Paloh juga dikenali sebagai wali Allah penuh karamah yang sangat ditakuti penjajah.




Ada diceritakan bahawa apabila Inggeris cuba berunding meminta tanah kepada Sultan Zainal Abidin, baginda menyuruh mereka berjumpa Tokku Paloh kerana katanya Terengganu ini ada tuannya... Maksudnya Tokku Paloh lah yang lebih berhak membuat keputusan. Pegawai Inggeris telah pergi ke rumah wali Allah itu untuk berunding. Tokku Paloh bertegas tidak mahu memberi walau seinci pun tanah. Inggeris yang berang bangun untuk menunjukkan kemarahan tetapi kerusi pula melekat dipunggung mereka. Lalu Tokku Paloh memerli mereka: "Sudahlah tanah kita mahu diambil, kerusi kita pun mahu dibawa lari..."

Dalam peristiwa lain pula, Inggeris mengajak Tokku Paloh berunding di atas kapal perang. Tujuan mereka adalah untuk mengugut secara halus dengan mempamirkan kekuatan angkatan laut mereka dengan meriam berkuasa tinggi yang mampu membedil pantai Terengganu, satu taktik yang dikenali sebagai "gunboat diplomacy". Tokku Paloh cuma menyengetkan serbannya lalu seluruh armada kapal laut Inggeris turut senget sama! Pada masa yang lain pula, mereka cuba menghampiri perairan Terengganu tetapi melihat ia dijaga pahlawan-pahlawan Melayu siap bersenjata sejauh mata memandang. Ini menyebabkan mereka takut menjajah Terengganu selagi Tokku Paloh masih hidup.

Read More...

Asal Usul Nama Terengganu

Setakat ini terdapat beberapa cerita yang dikaitkan dengan nama negeri Terengganu. Nama Terengganu itu dikaitkan dengan " Terangnya ganu ", " Taring anu ", dan " Terangan nu ". Kisah asal nama Terengganu ini melibatkan penduduk luar Terengganu ( Kelantan dan Pahang ) dan juga dari penduduk Terengganu sendiri. " Terangnya ganu " ini dikaitkan pula dengan peristiwa beberapa orang pelajar Kelantan tiba di Kuala yang kini dipanggil Kuala Terengganu melihat pelangi di langit. Mereka pun menyatakan " Terang sungguh ganu di sini ". Apabila pulang ke Kelantan mereka menyatakan di negeri jiran sungguh "terang ganunya ".




Sementara itu " Taring anu " dikatakan berasal daripada cerita yang dikisahkan oleh Sultan Terengganu yang kesembilan, Baginda Omar ( 1839 – 1876 ). Sebelum wujud nama negeri Terengganu, satu rombongan Pahang telah datang memburu di kawasan hulu. Apabila mereka tiba di satu tempat ( kini dikenali dengan Sungai Terengganu Mati ), salah seorang daripada rombongan itu berjumpa sebatang taring. Beliau pun bertanya kepada temannya, taring apa? Salah seorang daripadanya menyatakan – "Taring anu " kerana ia tidak dapat mengingatkan nama taring tersebut. Tidak lama kemudian, di antara mereka di dalam rombongan ini dapat memburu seekor rusa. Apabila dibawa pulang ke tempat mereka berkhemah, salah seorang daripada mereka bertanya tempat rusa itu diburu. Mereka yang berkenaan menyatakan berburu di "Taring anu ". Begitu juga apabila membawa pulang kayu gaharu dan ditanya tempatnya, mereka menyatakan di " Taring anu". Lama kelamaan dikenali dengan Terengganu.

Terdapat dua kisah asal nama Terengganu yang melibatkan penduduk tempatan. pertamanya kisah " Taring anu " yang berlaku di tempat lain ( bukan di hulu ). Kisah ini menyatakan yang " Taring anu " berasal daripada sebatang taring sebesar gading gajah dijumpai di sebuah pulau ( kini dikenali sebagai Pulau Duyung ) berhampiran Kuala Sungai. Ketua pulau tersebut menyembahkan kepada raja " taring anu tuanku ". Dengan itu kuala sungai itu disebut sebagai Kuala Sungai Taring anu. Kemudiannya Kuala Sungai Terengganu.

Sebuah kitab lagi berkait dengan salah sebuah sungai yang bernama Sungai Terengan. Kuala Sungai Terengan ini adalah pertemuan Sungai Kerbat dan Sungai Terengan. Dipercayai pada zaman silam sudah ada penduduk di sini. Mereka berulangalik menggunakan kedua-dua sungai ini. Oleh itu jika mereka bertolak dari Kuala Terengan, mereka akan menggunakan samada Sungai Terengan atau Sungai Kerbat. Jika ada di antara mereka bertanya hendak ke mana? Mereka akan menjawab sama ada ke " Terangan ni " atau " Terengan nu". Dengan itu lama kelamaan muncullah Terengganu.

Read More...

Kesultanan Negeri Terengganu

Pengasas Kesultanan Terengganu pada hari ini ialah Sultan Zainal Abidin I. Baginda ialah putera Tun Habib Abdul Majid atau dikenali juga dengan panggilan Bendahara Padang Saujana. Mengikut buku Tuhfat al-Nafis karangan Raja Ali Haji, Tun Zainal Abidin ditabalkan sebagai Sultan Terengganu oleh Daeng Menampuk atau Raja Tua di atas pemerintahan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah. Sumber yang lain pula dinyatakan Tun Zainal Abidin ditabalkan di atas tahta Kerajaan Negeri Terengganu oleh Phra Chau Yang, Raja Pattani.


Mengikut hikayat Johor serta Pahang, Tun Zainal Abidin datang ke Pattani setelah Paduka Raja Laksamana Wan Abdul Rahman dibunuh di Terengganu disekitar 1688. Ketika berada di Pattani, Tun Zainal Abidin dijadikan anak angkat oleh Raja Pattani, Phra Nang Chau Yang.
Tun Zainal Abidin menjadi Sultan Terengganu pada tahun 1708. Ini berdasarkan duit kupang emas Terengganu yang mencatatkan nama Sultan Zainal Abidin dan tahun 1120 hijrah ( bersamaan tahun 1708 ). Sultan Zainal Abidin I tidak lama bersemanyam di Tanjung Baru, Kuala Berang, berpindah ke Kota Batang Mahang, ke Langgar dan ke Pulau Manis. Kemudian berpindah lagi ke Chabang Tiga, Kuala Terengganu dan akhirnya di kawasan berhampiran Bukit Keledang ( kini dipanggil Kota Lama ).
Sultan Zainal Abidin I digantikan oleh putera baginda, Ku Tana Mansur dengan gelaran Sultan Mansur I pada tahun 1733, ketika berusia 7 tahun. Baginda memerintah Terengganu sehingga tahun 1794. Pada tahun 1739, Sultan Mansur Shah I berkahwin dengan Raja Bulang anak Daeng Chelak, Yamtuan Muda Johor Kedua. Berikutnya berkahwin pula dengan Raja Bakul, putera Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah. Ketika menduduki takhta kerajaan Terengganu, Sultan Mansur I telah menghabiskan empat belas tahun (1746 – 1760 ) daripada masa pemerintahannya di Riau, terlibat dalam persaingan di antara orang Melayu dengan orang Bugis. Apabila pulang ke Terengganu pada 1760, baginda terlibat pula dalam politik Kelantan membantu Long Yunus, Putera Long Sulaiman Ibni Long Bahar, Yang DiPertuan Kelantan menduduki takhta kerajaan Kelantan pada tahun 1776.
Sultan Mansur di gantikan oleh putera baginda Sultan Zainal Abidin II (1794 – 1808 ). Pada masa pemerintahan baginda, berlaku peperangan dengan Kelantan yang dipimpin oleh Long Mahammad Ibni Long Yunus, Raja Kelantan. Terengganu dikalahkan dan seterusnya Kelantan berjaya membebaskan diri daripada naungan Terengganu. Seterusnya takhta kerajaan Terengganu diduduki oleh Sultan Ahmad (1808 – 1830 ), Sultan Abdul Rahman ( 1830 ), Sultan Daud ( 1830 – 1831 ), Sultan Mansur II ( 1831 – 1837 ), Sultan Muhammad ( 1837 – 1839 ), Baginda Omar (1839 – 1876 ). Baginda Omar pernah menduduki takhta kerajaan Terengganu pada tahun 1831 mengantikan Sultan Daud. Tetapi baginda diturunkan dari takhta kerajaan oleh Tengku Mansur dan seterusnya sebagai Sultan Mansur II. Sultan Mansur II digantikan oleh putera baginda, Sultan Muhammad. Pada tahun 1839, Baginda Omar berjaya mengalahkan Sultan Muhammad dan seterusnya menduduki takhta kerajaan Terengganu. ketika pemerintahan baginda, Terengganu berkembang maju.
Apabila Baginda Omar mangkat, takhta kerajaan Terengganu diduduki oleh Sultan Ahmad Shah II ( 1876 –1881 ). Sultan Ahmad Shah pula digantikan oleh putera baginda, Sultan Zainal Abidin III ( 1881–1918 ). Ketika pemerintahan baginda, British beberapa kali cuba melibatkan diri dalam kerajaan Terengganu. Pada tahun 1911, Sultan Zainal Abidin III meluluskan Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Negeri Terengganu yang di antara lain menyatakan Sultan Yang DiPertuan Besar Terengganu memiliki kuasa kerajaan dan jajahan serta adalah ketua tertinggi kerajaan Terengganu. Seterusnya takhta kerajaan digantikan oleh Sultan Muhammad Shah II ( 1918 – 1920) dan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah ( 1920 – 1942 ).
Menurut Warta Chahaya Timor No. 38 bertarikh 29 September 1942, apabila Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah telah mangkat pada 26 September 1942, Tengku Ali, yang dirujuk sebagai putera sulong baginda telah dilantik sebagai " Pemangku Sultan Sementara " oleh pihak pentadbiran Jepun pada 29 September 1942. Seterusnya Tengku Ali telah diberikan gelaran " Sultan " pada 30 September 1942 oleh Syuckokan atau Gabenor Jepun. Walau bagaimanapun perlantikan ini dinyatakan tidak menurut Undang-Undang Diri Bagi Negeri Terengganu 1911.
Tengku Seri Paduka Raja, Tengku Ismail diisytiharkan sebagai Sultan Terengganu pada pukul 9.00 pagi Ahad, 16 Disember 1945. Baginda seterusnya ditabalkan pada tahun 1949 dengan gelaran Sultan Ismail Nasaruddin Shah. Sultan Ismail Nasaruddin dilantik sebagai Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong ke – 6 dari 21 September 1965 hingga 20 September 1970. Dalam tempoh itu Duli Yang Amat Mulia Tengku Mahmud dilantik sebagai Pemangku Raja Terengganu. Apabila Sultan Ismail Nasaruddin Shah mangkat pada tahun 1979, takhta kerajaan Terengganu digantikan oleh putera baginda, Duli Yang Teramat Mulia Yang Dipertuan Muda Tengku Mahmud. Baginda menduduki takhta kerajaan Terengganu dengan gelaran Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah. Sultan Mahmud mangkat pada 15 Mei 1998 di Singapura. Dengan itu, takhta kerajaan Terengganu digantikan oleh putera baginda, Yang DiPertuan Muda Tengku Mizan.

Read More...

Newer Posts Older Posts Home