G
ESAAN pelbagai lapisan rakyat supaya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuhkan nampaknya menjadikan para pemimpin Umno gelisah tak tentu pasal.
Isu-isu sampingan yang melatari perhimpunan Mansuhkan ISA di ibu negara 1 Ogos lalu diperbesar-besarkan. Perhimpunan raksasa yang sepatutnya berlangsung secara aman bagi menyerahkanh memorandum kepada Istana Negara sengaja dijadikan kucar-kacir dengan tindakan keterlaluan polis.
Polis yang pastinya bertindak atas arahan pemimpin kerajaan BN telah menghalang lalu lintas daripada masuk ke pusat bandar khususnya ke jalan menuju Istana Negara bermula dari awal pagi Sabtu, 1 Ogos.
Sekatan jalan raya diadakan di semua laluan masuk ke ibu kota bermula sehari sebelumnya.
Pasukan Polis Simpanan Persekutuan (FRU) pula bertindak keras menghalang perhimpunan dengan menangkap orang awam, membelasah dengan belantan, menembak gas pemedih mata dan menyemburkan air menggunakan meriam air (water cannon) kepada mereka yang disyakki peserta perhimpunan.
Akhirnya, perhimpunan aman itu bertukar menjadi medan membelasah dan menangkap orang awam dan suasana aman ibu kota menjadi 'huru-hara' kerana tindakan-tindakan keterlaluan pihak polis.
Suasana huru-hara yang sengaja dicipta ini kemudiannya dijadikan modal oleh pemimpin Umno dan BN untuk memburuk-burukkan peserta perhimpunan dan para pemimpin Pakatan Rakyat.
Seorang menteri kabinet yang dilantik atas ihsan Perdana Menteri secara semberono memberikan angka kerugian hasil kejadian 1 Ogos itu yang didakwanya mencecah RM200 juta!
Bagaimanapun menteri yang sama tidak menjelaskan apakah punca sebenar 'kerugian' itu selain meletakkan kesalahan kepada demonstrasi jalanan. Mengapakah beliau yang bertanggung jawab terhadap hal ehwal Wilayah Persekutuan tidak langsung terfikir bagaimanakah perhimpunan mega itu mampu memberi impak positif kepada ekonomi Kuala Lumpur khususnya para peniaga kecil?
Cuba bayangkan jika perhimpunan itu berlangsung secara aman, pastinya seratus ribu rakyat yang datang daripada seluruh pelosok Semenanjung itu akan berbelanja di Kuala Lumpur. Paling tidakpun menghilangkan dahaga dan menjamu selera di Chow Kit, Jalan Masjid India, Jalan Raja Laut, Jalan Tunku Abdul Rahman dan lain-lain tempat yang menjadi tumpuan para peniaga kecil.
Cuba bayangkan jika seorang peserta perhimpunan membelanjakan RM50 sepanjang berada di di Kuala Lumpur, transaksi itu boleh mencecah RM5 juta. Dan apabila dicampurkan dengan 'kerugian' RM200 juta itu, jumlahnya akan menjadi RM205 juta.
Dan jika Dato' Raja Nong Chik, menteri terbabit dapat berfikir di luar kotak, pastinya beliau akan mengalu-alukan kehadiran peserta himpunan anti-ISA ke Kuala Lumpur!
Beliau boleh menasihati polis supaya memberikan kerjasama kepada penganjur perhimpunan dengan mengawal lalulintas. Jalan tidak menjadi sesak manakala rakyat yang mahu menyuarakan pandangan dan rasa hati mereka boleh berarak ke Istana Negara dengan selesa dan bersisplin. Kehadiran seribu ahli Unit PAS pasti membantu.
Jika tidak mahu para peserta perhimpunan menambahkan kesesakan lalulintas ibu kota, Raja Nong Chik boleh menasihati mereka supaya menggunakan kenderaan awam seperti bas, keretapi, LRT, teksi dan seumpamanya. Ini sekaligus boleh membantu menambah pendapatan operator pengangkutan awam.
Sebenarnya banyak lagi faedah yang boleh didapati daripada perhimpunan 1 Ogos itu jika Raja Nong Chik, polis dan pemimpin kerajaan boleh berfikir di luar kotak.
Janganlah terlalu jumud untuk berfikir sehingga tergamak mengajak Ahli Parlimen wanita untuk menuruti beliau ke tandas!- tajdid _
Kemat Baba, Lubok Cina
Mon | Aug 03, 09 | 2:15:27 pm MYT (Harakah Daily)
Tuesday, August 4, 2009
Matematik mudah untuk Raja Nong Chik
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Post a Comment