Friday, July 10, 2009

Tazkirah Jumaat: Merealisasi slogan Islam pejuang silam

W
arisan para pejuang (mujahid) di kalangan ulama, sarjana, cendekiawan dan bidang pekerjaaan lain pada zaman silam, adalah generasi yang benar-benar hidup dengan Islam serta melaksanankannya dalam agenda kehidupan berasaskan kesedaran dan tanggungjawab terhadap agama.


Mereka meletakkan keyakinan penuh bahawa Islam sahajalah yang mampu menyelesai segala permasalahan, masalah krisis keyakinan umat, krisis pegangan terhadap ajaran agama, penyimpangan akidah, pengamalan cara hidup yang tidak selari dengan tuntutan syarak menjadi keutamaan untuk diberi pengamatan sepenuhnya.

Apapun yang penting selain taat setia, wala', ikrar, sumpahan janji terhadap Allah SWT dimeterai pada setiap pelaksanaan ibadat solat lima waktu, mereka buktikan dalam bentuk slogan yang amat terkenal khususnya di kalangan para harakiyyin iaitu ulama haraki yang berjuang untuk meletakkan Islam pada tempat yang paling tinggi dalam segenap agenda hidup.

Lima slogan yang dimaksudkan:

1. Allah matlamat hidup kita.

2. Rasulullah ikutan, pemimpin dan contoh teladan kita.

3. Al-Quran perlembagaan hidup kita.

4. Jihad pada jalan Allah adalah cara hidup kita.

5. Mati pada jalan Allah adalah cita-cita tertinggi dalam hidup kita.

Bagaimana merealisasi Allah matlamat hidup kita?

Allah 'minded' memang menjadi darah daging kepada generasi kalangan ulama silam. Ini menunjukkan bahawa mereka meletakkan Allah segala-galanya dalam agenda hidup mereka yang utama. Ia juga menggambarkan betapa Allah menjadi pra syarat pertama yang mesti didahulukan dalam segenap perancangan jangka pendek atau panjang untuk melebarkan sayap-sayap Islam, tanpanya segala perancangan bagaikan tidak mendapat restu Allah SWT.

Ia boleh direalisasi dalam perkara berikut secara urutan:

1. Memperbaiki niat dalam segenap amal soleh yang memimpin seseorang itu menuju jalan kepada Allah.

2. Bersangka baik kepada Allah dalam setiap apa yang berlaku ke atas dirinya.

3. Bersegera untuk bertaubat apabila mendapati diri tersasar jauh dari kebenaran Islam dengan terlibat dalam dosa-dosa besar atau kecil.

4. Sentiasa berada dalam posisi ketaatan kepada Allah walaupun pada perkara yang sukar untuk dilakukan.

5. Sentiasa mengingati kematian, kerana ia boleh membantu untuk memperbaiki diri dalam menyediakan bekalan yang cukup untuk menemui Allah SWT.

6. Memperbanyak dan membentengi diri dengan zikrullah (zikir) seperti tasbih, tahmid, takbir, tahlil, ma�thurat dan zikir-zikir harian yang lain.

7. Sentiasa komited dengan pembacaan al-Quran setiap hari, kerana ia merupakan kitab Allah, apabila seseorang itu membacanya setiap hari, ia telah berinteraksi dengan Tuhannya dan Dia akan sentiasa sayang dan kasih kepadanya, termasuk mentadabbur (meneliti) isi-isi kandungannya.

8. Memohon doa restu Allah dalam segenap tindakan yang dilakukan.

9. Tidak jatuh pada perkara yang menjadikan seseorang itu merasa was-was dalam perkara ibadat, hingga akhirnya meninggalkannya kerana menganggap Islam itu sukar untuk dilaksanakan. Ia boleh diatasi dengan banyak duduk dalam majlis-majlis ilmu dan bergaul dengan orang-orang soleh yang boleh mengingatkan diri kepada Allah SWT.

10. Mesti memahami bahawa Islam itu adalah agama yang menyuruh untuk beramal atau bekerja dan menghasilkan sesuatu yang terbaik buat dirinya dan orang lain sesuai dengan tuntutan dan keperluan hidup.

11. Tidak membebankan diri dengan melakukan sesuatu yang sukar untuk dilakukannya seperti memaksa diri bangun setiap malam dengan melakukan 11 rakaat solat Tahajjud dan Witir, cukuplah buat peringkat awal dua rakaat Tahajjud dan satu Witir tetapi konsisten.

12. Mencontohi sebaik-baik contoh teladan yang terbit dari diri baginda Rasulullah s.a.w., para sahabat dan para tokoh ulama Islam terkemuka.

13. Menjauhkan diri segala perkara-perkara yang haram seperti rasuah, riba, makan harta anak yatim dan sebagainya.

14. Menyatakan taat setia kepada segenap suruhan Allah dan Rasul-nya dan meninggalkan segenap tegahan dan larangan Allah dan Rasul-Nya.

15. Merasakan segala habuan dunia boleh membawa kepada kehinaan pada diri.

16. Memperbanyak munajat kepada Allah (menyatakan rasa rindu dengan ibadat di tengah malam).

17. Tidak banyak berangan-angan untuk mencapai status pangkat dan kedudukan di dunia.

18. Tidak mengejar kamasyhuran dengan mengambil pendekatan matlamat menghalalkan cara.

19. Memperbanyak ibadat khusus dan umum yang boleh mengeratkan hubungan sesama manusia.

20. Merasakan keagungan Allah dalam seluruh penciptaan-Nya.

21. Mengadu nasib hanya kepada Allah dan meminta pertolongan hanya kepada-Nya jua.

22. Berusaha untuk sentiasa membantu orang-orang Islam dalam apa jua keadaan yang diperlukan.

Jika seseorang itu mampu mengikuti kaedah atau pendekatan seperti yang ditunjukkan di atas, insya-Allah dia akan dibayangi dengan rahmat serta kasih sayang Allah SWT yang akan menjadikan dirinya bersedia untuk diwakafkan hanya untuk agamanya yang disayangi.

Sementara maksud Rasulullah sebagai ikutan, pemimpin dan contoh teladan kita dibuktikan secara sungguh-sungguh pelaksanaan sunnah-sunnah baginda dari sudut kenyataan, ungkapan, cara hidup, cara berkeluarga, cara berfikir, cara mentadbir negara dan banyak lagi, pendek kata ia boleh digarap melalui penghayatan Sirah baginda Rasulullah s.a.w.

Al-Quran sebagai perlembagaan hidup kita difahami sebagai sumber faktor kekuatan jati diri pada ketika umat Islam semakin longgar ikatan dan hubungan mereka kepada ajaran agama mereka sendiri. Justeru ia perlu dibaca setiap hari, dihayati, didiskusi dalam majlis-majlis ilmu bagi mengembalikan sejarah kegemilangan kekuatan umat Islam pada era sahabat dan tabi'in.

Jihad pada jalan Allah adalah cara hidup kita merupakan slogan keempat, ia bukan sahaja difahami dalam konteks carta haraki sebagai memikul senjata dalam medan peperangan, akan tetapi diertikan juga sebagai jihad melawan tipu daya syaitan yang berusaha untuk menyekat pergerakan diri kita untuk mendaulatkan Islam dan merasa lemah dan lesu untuk berbuat demikian.

Akhir sekali ialah mati pada jalan Allah adalah cita-cita tertinggi dalam hidup kita, iaitu ada ruang dalam hati kecil kita, mahu memperjuangkan Islam walau tergadai nyawa, harta, masa, tenaga, keluarga seperti yang pernah dibuktikan oleh para ulama dalam menghadapi tribulasi ketika berdakwah menegakkan kebenaran agama Islam. Ada yang terbunuh syahid dan ada pula yang sedang menunggu giliran untuk meraih anugerah sebagai golongan syuhada untuk bersama para anbiya di dalam syurga. - lanh _

Ustaz Zainudin Hashim
Fri | Jul 10, 09 | 11:38:03 am MYT (Harakah Daily)

0 comments:

Newer Post Older Post Home