Thursday, July 2, 2009

Ibrahim a.s; bapa segala nabi

S
empena Hari Bapa, kita sering terlupa dengan kedudukan bapa dalam agama. Ada hadis nabi yang menunjukkan bahawa penghormatan anak ke atas ibu itu mestilah tiga kali ganda berbanding penghormatan ke atas bapa.


Dalam ajaran Kristian, bapa dinisbahkan kepada Tuhan yang berada di langit manakala anak Tuhan, Jesus Christ berada di bumi. Nabi Ibrahim a.s digelar sebagai bapa segala nabi. Padanya lahir agama-agama samawi (langit); Yahudi, Islam dan Kristian.

Oleh kerana Ibrahim adalah bapa kepada sekalian nabi, maka daripada baginda juga telah lahir bangsa-bangsa yang agung di dunia ini. Bagi umat Islam, kita ternyata yang paling akrab dengan Ibrahim a.s berbanding umat lain.

Ini kerana, salah satu selawat nabi yang kerap diulang-ulang dalam kalangan Muslimin di seluruh dunia ialah selawat nabi yang mencakupi kesejahteraan ke atas keluarga Ibrahim a.s.

Selawat itu berbunyi begini:-

"Ya Allah, limpahilah selawat ke atas Muhammad dan kepada keluarga Muhammad, seperti mana Engkau telah limpahkan selawat ke atas Ibrahim dan ke atas keluarga Ibrahim. Dan, berkatilah Muhammad dan ke atas keluarga Muhammad, seperti mana Engkau telah berkati ke atas Ibrahim dan ke atas keluarga Ibrahim di dunia ini. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Agung."

Oleh kerana selawat ini dibaca dalam tahiyat akhir setiap kali solat fardhu lima waktu, justeru setidak-tidaknya, seseorang Muslim itu secara tidak langsung akan berselawat 5 kali sehari semalam ke atas Nabi Ibrahim a.s dan Keluarga baginda.

Timbul persoalan baru, kenapakah antara banyak-banyak selawat, maka selawat ini yang terpilih untuk disertakan sebagai ratib dalam solat kita? Kenapa tidak selawat syifa', selawat tafrijiyyah dan lain-lain jenis selawat lagi?

Sebelum kita menelusuri lebih jauh hal ini, marilah kita saksikan pengorbanan Nabi Ibrahim; peneguh dan penegak ajaran Tauhid ini.

Pengikut Muhammad, umat Islam adalah pengikut Ibrahim

Sebelum kedatangan Islam dengan membawa al-Quran, kaum Yahudi dan Kristian sering bertelingkah mengenai status agama Nabi Ibrahim a.s yang sebenarnya. Lalu turunlah ayat Allah untuk menerangkan perihal agama Nabi Ibrahim serta pegangan akidah tauhid baginda:

Firman Allah s.w.t itu bermaksud:

"Wahai Ahli Kitab! (Yahudi dan Kristian) Mengapa kamu berani bertengkar tentang (agama) Nabi Ibrahim, padahal Taurat dan Injil tidak diturunkan melainkan selepas (zaman) Ibrahim; patutkah (kamu berdegil sehingga) kamu tidak mahu menggunakan akal?"

"Ingatlah! Kamu ini orang-orang (bodoh), kamu telah memajukan bantahan tentang perkara yang kamu ada pengetahuan mengenainya (yang diterangkan perihalnya dalam Kitab Taurat), maka mengapa kamu membuat bantahan tentang perkara yang tidak ada pada kamu sedikit pengetahuan pun bersabit dengannya? Dan (ingatlah), Allah mengetahui (hakikat yang sebenarnya) sedang kamu tidak mengetahuinya."

"Bukanlah Ibrahim itu seorang pemeluk agama Yahudi, dan bukanlah dia seorang pemeluk agama Kristian, tetapi ia seorang yang tetap di atas dasar tauhid sebagai seorang Muslim (Hanif) (yang mendengar, taat serta berserah bulat-bulat kepada Allah), dan dia pula bukanlah dari orang-orang musyrik (golongan yang menyekutukan Allah)."

"Sesungguhnya orang-orang yang hampir sekali kepada Nabi Ibrahim (dan berhak mewarisi agamanya) ialah orang-orang yang mengikutinya dan juga Nabi (Muhammad) ini serta orang-orang yang beriman (umat Islam). Dan (ingatlah) Allah itu adalah Pelindung dan Penolong bagi sekalian orang yang beriman." --- Surah Ali-Imran (65 - 68)

Maka jelaslah bahawa Allah s.w.t telah menetapkan mengenai kedudukan Nabi Muhammad s.a.w sebagai pewaris ajaran Tauhid Nabi Ibrahim a.s. Dan, umat Islam yang menjadi pengikut ajaran Nabi Muhammad s.a.w itulah yang lebih layak digelarkan sebagai golongan yang benar-benar mewarisi ciri-ciri ibadah Nabi Ibrahim a.s.

Dengan sebab itu jugalah, selawat yang kerap diratibkan dalam tahiyat akhir itu terus menjurus kepada selawat ke atas Nabi Ibrahim sendiri.

Hal ini adalah satu perisytiharan kepada orang-orang Yahudi dan Kristian bahawa penganut Islam itulah yang lebih layak digelar sebagai pewaris ajaran Tauhid Ibrahim a.s. Selawat terakhir dalam solat itulah antara bukti-buktinya.

Kita boleh berbangga dengan hal ini dan kita boleh bertanya kepada penganut agama samawi lain; berapa banyakkah mereka menyebut nama Ibrahim a.s dalam ibadat-ibadat mereka?

Kalaupun mereka ada menyebut nama Nabi Ibrahim dalam ibadat mereka, tetapi kekerapan lidah kita menyebutkan selawat ke atas Nabi Ibrahim itu ternyata jauh lebih banyak berbanding mereka lantaran kita menunaikan solat lima kali sehari dan setidak-tidaknya lima kali kita melafazkan selawat tersebut. Itu belum campur solat-solat sunat lagi.

Melayu keturunan Nabi Ibrahim a.s?

Tapi di sana ada suatu hal yang menarik diperhatikan juga jika kita suka berfikir dan meneliti dengan lebih halus lagi iaitu kenapakah selawat itu turut disertakan juga ke atas 'keluarga Muhammad' (ahlul bait) dan 'keluarga Ibrahim' (ali Ibrahim)? Dari suatu segi, kita boleh memahami kedudukan dan kewujudan ahlul bait sehingga sekarang.

Tetapi, bagaimana pula dengan kedudukan dan kewujudan 'keluarga Ibrahim' sampai sekarang? Siapakah 'keluarga Ibrahim' dan jika Tuhan mengiktiraf kewujudan fungsi mereka hari ini, maka di mana peranan mereka sebagai pembela ajaran Tauhid itu? Adakah Yahudi dan Nasrani hari ini (ahli kitab) itu masih beribadat sebagai ibadat warisan Ibrahim a.s walaupun risalah Islam telah tersebar dengan meluasnya pada hari ini?

Mari kita teliti dalil-dalil di bawah ini:-

"Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhanku! Jadikanlah (negeri Makkah) ini, negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki dari berbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya, iaitu orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat di antara mereka."

Allah berfirman:" (Permohonanmu itu diterima) tetapi sesiapa yang kufur dan ingkar maka Aku akan beri juga ia bersenang-senang menikmati rezeki itu bagi sementara (di dunia), kemudian Aku memaksanya (dengan menyeretnya) ke azab neraka, dan (itulah) seburuk-buruk tempat kembali."

"Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah (Kaabah) itu, sambil keduanya berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui."

"Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua: Orang-orang Islam (yang berserah diri) kepadaMu, dan jadikanlah daripada keturunan kami: umat Islam (yang berserah diri) kepadamu, dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami, dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani."

"Wahai Tuhan Kami! Utuslah kepada mereka seorang Rasul dalam kalangan mereka sendiri, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat (firmanMu) dan mengajarkan mereka isi kandungan Kitab (Al-Quran) serta Hikmat kebijaksanaan dan membersihkan (hati dan jiwa) mereka (dari syirik dan maksiat). Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana." --- (Al-Baqarah: 126 - 129)

Al-Quran jelas menyebutkan doa ke atas negeri Makkah dan bangsa Arab yang berasal daripada Ismail a.s telah mendapat sebuah negara, hasil titipan doa Ibrahim a.s.

Sementara itu, dalam al-Quran tiada disebutkan doa Nabi Ibrahim a.s ke atas Bani Israel yang berasal daripada Ishak a.s yang menjelaskan hubungan negara Palestin yang bakal menjadi milik Bani Israel.

Maka, Tuhan sebenarnya memihak kepada kita, umat Islam untuk mengambil semula Palestin tersebut. Lagi pun, tiada yang khusus oleh Nabi Ibrahim ke atas Bani Israel tersebut, walaupun Bani Israel termasuk dalam keluarga baginda daripada tulang sulbi Nabi Ishak a.s dan kemudiannya Yaakub a.s yang juga dikenali sebagai Israel.

Sementara itu ada riwayat-riwayat lain yang mesti kita kaji semula mengenai zuriat Nabi Ibrahim di belahan dunia Asia. Malah, ada riwayat yang menyebutkan bahawa agama Hindu berasal daripada Nabi Ibrahim.

Sesetengah pihak mendakwa - Dewa Brahma adalah Nabi Ibrahim. Kasta Brahmin itu pula berawal daripada Ibrahim. Manakala Dewi Saraswathi, isteri Dewa Brahma sebenarnya Sarah, isteri Ibrahim a.s.

Perihal kedatangan utusan akhir zaman yang didakwa sebagai Muhammad s.a.w juga turut diriwayatkan dalam kitab Veda.

Diriwayatkan juga dalam beberapa tafsir bahawa Melayu itu punya pertalian zuriat dengan Nabi Ibrahim a.s. Jika andaian ini boleh diterima buat sementara, maka, persilangan zuriat ini berlaku dalam beberapa gelombang.

Gelombang pertama, hasil percantuman benih Nabi Ibrahim a.s dengan isteri baginda dalam kalangan bangsa di Asia. Dan, gelombang kedua, hasil percantuman benih Raja Zulkarnain yang dikatakan pembawa ajaran Nabi Ibrahim di Asia.

Antara kebanyakan bangsa-bangsa di Asia seperti Cina di China, India (India), Mon dan Khmer (Kemboja), Viet (Vietnam), Mongol (Mongolia), maka hanya satu-satunya bangsa yang masih kekal dan tebal menganut ajaran Tauhid Ibrahim itu adalah Melayu dan Melayu Champa.

Timbul persoalan lagi - kenapakah antara ramai-ramai bangsa di Asia, hanya Melayu yang dipilih sebagai bangsa beragama Islam dan bukannya bangsa lain?

Melayu juga pernah merentasi sempadan agama sebelum menerima Islam. Mereka pernah menganut agama Hindu kemudian Buddha dan akhirnya Islam.

Apakah Nabi Ibrahim a.s pernah berdoa semoga ada kalangan zuriatnya kelak di belahan dunia Asia ini yang akan bangkit untuk meneruskan ajaran Tauhidnya dengan kedatangan Islam? Wallahu'alam...

Jawapan kepada semua spekulasi, andaian dan teori ini boleh ditemui jika kita berani mengkaji kitab-kitab agama lain, berani membongkar lebih banyak rahsia agama-agama besar dan purba di dunia.

Ahlul Bait (Ali Muhammad-Keluarga Muhammad) akhirnya singgah ke Nusantara, menyebarkan dakwah Islam kepada keluarga Ibrahim dalam kalangan bangsa Melayu. Akhirnya, penyatuan semula keluarga Muhammad dan keluarga Ibrahim berlaku juga di Nusantara ini.

Dan, barangkali selawat yang menggandingkan keluarga Muhammad s.a.w dan keluarga Ibrahim itu menunjukkan kepada kita bahawa betapa perlunya kedua-dua pertalian keluarga lama ini kembali bertaut untuk meneruskan ajaran Tauhid di akhir zaman ini.

Tidaklah menghairankan betapa Richard Nixon, mantan Presiden Amerika pernah menyatakan kebimbangannya ke atas potensi Islam di rantau Nusantara hari ini sejak sekian lama. Nusantara ini, menurutnya adalah rantau yang perlu dipantau.

Jika benar Melayu ini bahagian daripada zuriat Nabi Ibrahim a.s di benua Asia, maka bangsa Melayu ini layak termasuk dalam selawat ke atas golongan 'Ali Ibrahim' (Keluarga Ibrahim) sebagai yang kerap diratibkan dalam tahiyat akhir di dalam solat fardhu harian itu.

Maka tiadalah rugi jika kita kerap melafazkan selawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w dan ahlul bait seperti mana selawat itu ditujukan juga kepada Nabi Ibrahim a.s dan keluarga Ibrahim a.s.

Keluarga Ibrahim a.s yang masih mencari jalan pulang ke arah landasan Tauhid pada zaman ini seperti Maryam Jameelah (lahir sebagai Yahudi) dan lain-lain tentu termasuk dalam golongan yang dirahmati.

Keluarga Ibrahim a.s yang telah menderhaka kepada Tuhan tidak termasuk dalam kalangan yang dirahmati sebagai yang disebut dalam nas di atas. Allah s.w.t sendiri berkata, bahawa antara keluarga Ibrahim a.s yang zalim (Yahudi dan Nasrani) akan dikecualikan daripada doa Nabi Ibrahim a.s tersebut.

Selagi mana Melayu sebagai keluarga Ibrahim a.s masih fasih beribadat menurut acuan celupan sibghah yang dikehendaki Allah maka tiada sebarang kuasa pun yang akan dapat menjejaskan mereka kerana berkat selawat yang lazim kita ratibkan pada akhir tahiyat kita itu, insya Allah.

9:04 p.m, 29 Jun
Sekolah Pemikiran Kg Baru

Pandangan-pandangan yang termuat di dalam tulisan ini perlu dimuhasabah dengan teliti. Maklumbalas terhadap tulisan ini boleh dimajukan lewat mel-e ibnuamir@yahoo.com.Alamat email ini telah dilindungi dari spam bots, anda perlukan Javascript enabled untuk melihatnya _

Fahri Abdullah al-Masri
Tue | Jun 30, 09 | 9:22:14 am MYT ( Harakah Daily)

0 comments:

Newer Post Older Post Home