S
OALAN: Dato', saya telah melihat gambar dalam internet dan mendengar beberapa ceramah Israk Mikraj, ada penceramah menunjukkan gambar batu besar yang tergantung-gantung di Masjidil Aqsa, Baitulmaqdis. Adakah benar batu itu tergantung-gantung (tidak berpihak di bumi) dan terlepas daripada tarikan graviti. Pohon Dato' perjelaskan apakah yang sebenarnya. - ZAINAL AHMAD
JAWAPAN: Ulama umumnya berpendapat Rasulullah s.a.w. bermikraj dari satu tempat di Biatulmaqdis yang disebut sebagai Qubbatul Mikraj (kubah tempat dimikrajkan). Tempat itu juga dikenali sebagai Sakhrah Baitulmaqdis.
Dalam kitab al-Israk wal-Mikraj oleh Khalid Saiyyid Ali di halaman 82, atas tajuk yang bermaksud 'Tempat Nabi bermikraj', disebut di bawahnya suatu penulisan (yang bermaksud): "Berkatalah al-Imam Aku Bakar Ibnul 'Arabi, ketika membuat penjelasan (syarah) Kitab al-Muwattak oleh Imam Malik disebutkan, batu besar di Baitulmaqdis adalah suatu keajaiban Allah SWT.
"Batu itu berdiri sendiri di tengah-tengah Masjidil Aqsa, tergantung-gantung dan terpisah daripada semua bahagiannya dengan bumi. Tidak ada yang memegangnya, melainkan Yang Memegang langit, daripada jatuh menimpa bumi.
"Di puncaknya dari arah selatan, itulah tempat kaki Nabi s.a.w. berpijak untuk menaiki Buraq, di sebelah itu agak condong. Dikatakan kerana kegerunannya atas kehebatan baginda s.a.w maka batu itu tergantung, saya sendiri takut untuk berada di bawahnya, kerana takut batu itu menghempap saya kerana dosa-dosa saya.
"Setelah beberapa ketika kemudian, saya pun memberanikan diri dan masuk berteduh di bawahnya, maka saya dapat melihat pelbagai keajaiban. Saya dapat menyaksikan ia dari semua arah. Saya benar-benar melihatnya terpisah dari bumi. Ada arah yang lebih jauh terpisah dari bumi daripada arah yang lain."
Inilah penulisan yang saya rujuk daripada penulisan seorang ulama besar yang dikenali dengan nama Ibnul 'Arabi.
Daripada sinilah timbul cerita demi cerita yang menyatakan batu tempat Nabi Muhammad s.a.w tergantung-gantung.
Itu adalah cerita dahulu. Ada sandarannya, ada catatannya dalam kitab-kitab yang berautoriti, termasuk daripada kitab yang saya sebutkan tadi.
Ada pun mutakhir ini, saya sendiri berpengalaman, telah masuk dan melihat batu tersebut, yang sekarang tempat itu dikenali sebagai Qubbatul Sakhrah (kubah yang di bawahnya ada batu). Sekarang ini sudah berada di belakang daripada Masjid al Aqsa.
Jika dilihat Masjid al-Aqsa, imam akan dilihat berada nun jauh daripada arah kiblat dan berakhir kawasan masjid dengan Qubbatul Sakhrah ini.
Saya telah memasuki tempat ini, berpeluang melihat batu itu dan masuk ke bawahnya. Memang batu itu benar-benar wujud dan terletak di tengah-tengah bangunan.
Gambaran sekarang ini, batu itu jika dilihat daripada bawah, seolah-olah seperti sebuah payung besar, seperti gua yang kita berada di bawahnya.
Saya menganggarkan keluasan tempat itu, sebesar ruang solat untuk 20 atau 25 orang, jika untuk masuk bersesak-sesak boleh sampai 150 orang.
Merenung batu itu dengan cermat, saya dapati ia sekarang terletak di atas fondisi konkrit batu yang kukuh. Di segenap arahnya berpijak ke atas fondisi itu dan tidak nampak pun ia tergantung seperti yang dijelaskan di atas.
Semasa lawatan itu, saya kebetulan bertemu dengan Imam Besar Masjid al-Aqsa yang berada di situ, di samping pemandu pelancong kami. Mereka menyatakan memang dahulu batu besar yang macam payung itu tergantung-gantung.
Oleh kerana banyak pembesar-pembesar negara dan banyak pelawat-pelawat luar datang, mereka terperanjat dan amat gerun dengan keadaan batu itu, banyak yang tidak berani masuk di bawah batu itu, kerana takut tiba-tiba batu itu menghempap.
Memandangan hal keselamatan penting dan mengelak daripada berlakunya berbagai tanggapan orang ramai ke atas keadaan yang unik itu, maka pihak berkuasa mengambil tindakan membina fondisi yang menyambung batu itu dari bumi.
Ketakutan pembesar-pembesar zaman ini samalah seperti yang dirasai oleh al-Imam Aku Bakar Ibnul 'Arabi seperti dalam bukunya.
Maka atas itulah batu tersebut sudah tidak lagi kelihatan tergantung-gantung, tetapi ia menjadi seperti sebuah bangunan yang di bawahnya boleh dimasuki, ia kelihatan seperti sebuah batu biasa yang dapat dilihat. Wallahua'lam. - lanh _
Dato' Dr Haron Din
Fri | Jul 03, 09 | 11:29:06 am MYT (Harakah Daily)
Tambahan kepada cerita di atas :
Apakah batu itu tergantung?
Menurut Prof Dr Tala'at Muhamad Afifi, dari Universiti al-Azhar:
وقبة الصخرة ليست معلقة بالهواء كما ورد في السؤال وإنما لها حافة تمتد بعيداً عن قاعدتها بحيث يتخيل الشخص أنها معلقة.
"Qubatul Sakhra' itu bukanlah terapung diatas udara sebagaimana
yang dinyatakan didalam soalan, akan tetapi hujungnya luas dari
tapaknya yang menjadikan ianya tergantung"
Kesimpulannya, cerita Batu yang tergantung itu merupakan cerita-cerita
Israiliyyat. Ulama' mengatakan bahawa orang Yahudi sengaja ingin
mewarwarkan mengenai Qubatul Sakhra' agar orang Islam dapat melupakan
Masjid Al-Aqsa yang dipercayai merupakan tapak masjid yang dibina oleh
Nabi Sulaiman yang ingin mereka kuasai.
Di Baitul Maqdis, khasnya di tempat yang dinamakan Haram As-Sharif,
terletak Masjidil Aqsa iaitu kiblat pertama bagi orang-orang Islam
sebelum kiblat dialihkan oleh Allah ke arah Ka'abah di Makkah. Di sana
juga ada sebuah batu besar (panjangnya 56 kaki dan lebarnya 42 kaki)
terletak dalam satu binaan berkubah yang dipanggil Qubatul Sakhra' atau
'Dome of The Rock'.
Batu
itu berbentuk hampir separuh bulatan dan di tengah-tengah batu ini
terdapat satu lubang yang turun ke bawah menuju ke sebuah gua kecil
yang dipanggil "Gua Arwah". Pada masa pemerintahan Khalifah Umar
Al-Khattab r.a. kawasan batu itu dikepung dengan mendirikan sebuah
masjid berbentuk bulat dan senibinanya direka khas oleh seorang akitek
Greek. Pada masa pemerintahan Abdul Malik ibn Marwan iaitu Khalifah Ke
10, masjid itu telah dibangunkan semula serta dinamakan Masjid Qubatul
Sakhra' (Dome of The Rock), setinggi 10 meter dan diameter 20 meter.
Mungkin
ada diantara kita yang telah mendapat berita bahawa batu besar itu
terapung di udara, dan berita itu pula ada kaitannya dengan peristiwa
Isra' dan Mi'raj Rasulullah s.a.w. Mungkin cerita itu berbunyi lebih
kurang begini: "Di ceritakan bahawa batu ini cuba mengikuti Rasulullah
s.a.w. Mikraj ke
langit, tetapi ianya ditahan oleh Baginda Rasulullah saw dan malaikat
Jibrail. Dari sejak itu batu ini terus terapung sehingga kini." Atau
lebih kurang begini: Diceritakan bahawa batu tersebut terapung apabila
Rasul berkata: "Tetaplah di tempatmu".
Ada cerita-cerita yang mengatakan bahawa batu ini terangkat ke atas
ketika Rasulullah melepaskan kaki Baginda dari batu ini untuk melakukan
Mi'raj ke Sidratul Muntaha. Batu ini dikatakan ingin mengikut
Rasulullah waktu Mi'raj tetapi ditahan oleh malaikat Jibril. Bekas
tapak tangan Jibril dikatakan masih ada di sana. Menurut Sayyid
Muhammad bin Alwi Al-Maliki, ulama Masjidil Haram di Makkah, mereka
yang berkata bahawa batu ini tergantung di antara langit dan bumi
adalah tidak benar kerana kisah ini tidak tersebut dalam Al-Qur'an atau
dalil-dalil hadis yang kuat. (Bait Al-Maqdis, Masjid Al-Aqsa dan Batu
Bergantung oleh Syed Hassan Muhammad Al-Attas)
Walau ada ulama' yang menyebut bahawa ketika kejadian Isra' dan Mi'raj,
batu itu cuba terbang mengikut Nabi Muhammad s.a.w., setelah dikaji
semula berdasarkan kepada hadis-hadis sahih, perkara itu tidak benar.
Ia hanya bersumber dari Yahudi (dongeng Israiliyyat). Batu itu
sebenarnya tidak terapung.
oleh..... Ibnu Yusof.( Al Kulliyah)
Sunday, July 5, 2009
Perihal batu besar tergantung di Masjidil Aqsa
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Post a Comment