S
eperti yang dijanjikan, Hj Amin Nordin Hj Abdul Rahman, 65, dengan penuh kesabaran telah menunggu saya di sebuah restoren, sekitar ibu kota. Sebenarnya, beliau mahu memperkenal sebuah bukunya yang terbaru.
Walaupun usia penulis ini melebihi separuh abad, tapi semangatnya masih muda dan memikirkan hal itu, rasa segan pun bertandang apabila melihat kesungguhannya menulis beberapa buah buku yang menyentuh hal ehwal kemurnian agama Islam.
Buku itu sememangnya antara judul yang cepat menambat perhatian, kerana ia secara tak langsung mengaitkan Melayu sebagai pengangkat agama dan nilai tauhid sebagai sebuah tenaga penggerak kuasa baru Islam di rantau Nusantara ini.
Perihal kebangkitan Islam di Nusantara kerap disebut dalam banyak hal. Ada pihak yang mengaitkannya dengan peranan Ahlul Bait yang menyebarkan dakwah di rantau itu.
Sementara itu, pendapat pemimpin Barat seperti Richard Nixon umpamanya banyak menyebutkan rantau Nusantara sebagai antara kawasan yang menarik perhatiannya serta berpotensi sebagai rantau yang perlu dipantau.
Ini kerana, rantau Nusantara mempunyai potensi untuk membangun sebagai sebuah kuasa Islam pada masa-masa yang akan datang. Pendek kata, rantau itu bukan saja membangun sebagai tempat di mana Islam berkembang, malah Islam itu sendiri akan tertegak sebagai sebuah pusat kuasa dunia!
Buku 'Kebangkitan Semula Islam'
Haji Amin Nordin, lewat bukunya berjudul Kebangkitan Semula Islam memperihalkan keyakinan ini walaupun di celah kegawatan siasah Nusantara.
Ketika berbual ringkas bersamanya sementara menunggu solat Jumaat baru-baru ini, Haji Amin Nordin menyelak beberapa helaian bukunya yang berharga RM7 itu untuk mencari perenggan yang memperihalkan perkara tersebut.
"Amerika pernah memberi bantuan sebanyak RM600,000,000 kepada pesantren-pesantren di Indonesia agar institusi-institusi itu bersetuju mengadakan kurikulum pelajaran yang dikehendaki mereka.
"Bagaimanapun, jumlah wang tersebut tidak berjaya mempengaruhi pihak pentadbir pesantren itu," kata beliau.
Pesantren Gontor di Surabaya, mempunyai lapan cawangan, dan mempunyai seramai 12,000 pelajar itu antara yang diintai oleh kuasa besar Amerika.
Beliau optimis bahawa keagungan Islam di Nusantara akan hampir sama setara dengan kegemilangan empayar-empayar Islam yang terdahulu.
"Sekiranya pada zaman-zaman kegemilangan Islam dulu lahirnya khalifah-khalifah atau empayar Islam seperti Khalifah Umaiyah, Abasiyah, Uthmaniyah dan sebagainya, maka adalah dipercayai akan lahirnya khalifah atau empayar Islam yang standing khalifah yang terdahulu.
"Dari segi negara atau wilayah yang berpotensi untuk menjadi khalifah atau empayar Islam dewasa ini adalah wilayah Nusantara (meliputi Indonesia, Malaysia, Brunei, Selatan Thailand dan Selatan Filipina). Ini kerana selain daripada mempunyai bilangan penduduk Muslim paling ramai di dunia, keinginan untuk menghayati ajaran Islam juga adalah tinggi di sini," tulisnya melalui buku itu yang baru terbit pada tahun ini.
Tetapi, adakah Melayu yang selalu dilihat sebagai bangsa yang lemah dibanding Barat ini akan dapat bingkas bangun mempertahan Islam sebagai sebuah kuasa di Nusantara?
Mengulas hal ini, Haji Amin Nordin berkata, adalah suatu keperluan untuk mengeluarkan golongan mujahid berjiwa sufi dan sufi berjiwa mujahid.
"Dalam buku ini, saya sebutkan bahawa kita perlukan golongan mujahid, bukan sufi saja tapi tidak berjiwa mujahid," tambah beliau sambil menyelak beberapa helaian lagi.
Beliau turut mengaitkan pandangan yang tercetak dalam buku ini dengan kenyataan Prof. Dr Yusuf al-Qaradawi yang menyatakan bahawa abad ke-19 adalah milik Kristian, kurun ke-20 adalah milik Yahudi dan kurun ke-21 adalah milik umat Islam.
Beliau memetik nas dari ayat daripada surah al-Anfal ayat 65 yang menyebutkan bahawa jika ada 100 orang Islam yang bersabar, nescaya mereka dapat menumpaskan 1,000 bala tentera kafir. Perkembangan mutakhir ini telah menyokong kebenaran nas itu.
"Lihat Hamas di Palestin dan Hizbullah di Lubnan," tambah Haji Amin Nordin, "dengan jumlah bilangan mereka yang kerdil, tapi mampu menumbangkan tentera Israel yang jauh lebih besar daripada mereka."
"Tak perlu ramai orang. Mungkin jika ada 10 mujahid sufi dah boleh mengangkat maruah Islam di rantau ini," tambahnya sambil menjelaskan; bukunya pernah mahu diterjemah ke bahasa Indonesia oleh Drs Sidi Gazalba; seorang cendekia dari tanah seberang itu.
Blok Negara Islam?
Tampil dengan beberapa gagasan menarik, ialah pandangan yang termuat dalam buku itu; penubuhan blok Negara Islam; gagasan yang pernah diapung oleh mantan Presiden Iran; Khatami ketika Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri.
Tun Dr Mahathir, bagaimanapun, mungkin kerana idea itu bukan miliknya, telah bersikap dingin terhadap gagasan tersebut.
"Kita kena fikirkan semula mengenai keperluan kita menubuhkan blok seperti Kesatuan Eropah (EU)," tambah beliau lagi.
Selain itu, tambahnya, negara-negara Islam perlu menilai semula pembabitan mereka di dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Beberapa halaman lagi telah diselak. Haji Amin memberitahu mengenai kaitan PBB dengan The Protocols of the Elders of Zion, iaitu masyarakat rahsia yang masih wujud ke hari ini untuk menjatuhkan peradaban sekali gus membunuh kemanusiaan.
Sebuah petikan daripada protokol Yahudi itu telah dimasukkan di dalam buku beliau itu, bagi menyokong hujahnya bahawa kelahiran PBB adalah hasil daripada perbincangan-perbincangan awal tokoh-tokoh Zionis.
"Sebab itu apabila Iraq, Afghanistan, Palestin, Serbia diserang, PBB tidak melakukan apa pun. Sebabnya, mereka sendiri yang mengemudikan pertubuhan dunia tersebut.
"Lihat sahaja siapakah yang menguasai Majlis Keselamatan PBB? Semuanya bukan dari kuasa-kuasa Islam," tambah Haji Amin Nordin lagi.
Banyak lagi isu yang dikupas dengan menarik dalam buku ini kalau mahu diteliti semua. Namun, apa yang penting bagi mantan pegawai Felda sejak zaman Dato' Asri Muda ini, umat Islam berjiwa mujahid dan berjiwa sufi perlu dicetak ke serata alam.
Hal ini perlu kerana, menurutnya, di tangan mujahid berjiwa sufi inilah akan tercetaknya umat Islam yang menggalas perubahan mendasar di rantau ini sebagai pembela maruah Islam seperti yang berlaku pada zaman-zaman sebelumnya.
Mereka yang berminat menyelongkar pemikiran penulis ini boleh menghubungi Hj Amin Nordin di 397 Jalan B-6, Taman Melawati, 53100 Kuala Lumpur. Beliau dapat dihubungi juga menerusi talian 03-41074737 dan 017-3873978.
5:13 p.m, 1 Mei
Sekolah Pemikiran Kg Baru
Pandangan, maklumbalas serta buku-buku yang difikirkan menarik untuk diulas, bolehlah dimajukan lewat mel-e ibnuamir@yahoo.com.Alamat email ini telah dilindungi dari spam bots, anda perlukan Javascript enabled untuk melihatnya _
H Fansuri
Fri | Jun 26, 09 | 8:20:11 am MYT ( Harakah Daily)
Thursday, July 2, 2009
Islam bangkit semula di Nusantara?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Post a Comment