W
alaupun kanak-kanak mewarisi gen daripada ibu bapa, persekitaran dan cara dibesarkan turut pengaruhi tumbesaran anak
"Ooh, senyumannya sama seperti ibunya!" Anda tentu bangga mendengar kata-kata rakan setiap kali mereka melihat si manja anda. Tahukah anda bahawa kajian turut menunjukkan bayi bukan saja mewarisi senyuman anda yang menawan, malah juga gen anda.
Sebenarnya ibu bapa berkongsi lebih daripada lesung, ketinggian, warna rambut dan sifat fizikal lain dengan anak-anak mereka. Tingkah laku dan personaliti juga terbukti diwarisi. Sekiranya anda seorang yang ekstrovert dan ramah, si manja juga berkemungkinan besar menjadi seorang yang ceria seperti anda.
Pakar pengasuhan anak, Tracy Hogg yang juga dikenali sebagai 'pemujuk bayi' atas kebolehannya menenangkan dan memahami si kecil pernah berkata, setiap bayi dilahirkan dengan sifat personaliti yang unik..
"Dari masa dilahirkan, sesetengah bayi mewarisi sifat pemalu, ada yang agak degil dan ada juga yang aktif dan suka mengambil risiko. Kajian sedekad lalu membuktikan bahawa dalam setiap manusia, faktor gen dan kimia otak mempengaruhi sifat, kekuatan dan kelemahan serta apa yang digemari dan tidak disukainya.
"Kajian yang dilakukan ke atas pasangan kembar menunjukkan ciri semula jadi memberi pengaruh besar berbanding persekitaran dalam membentuk sifat peribadi seseorang. Satu kajian yang dilakukan terhadap sepasang kembar seiras di Minnesota yang membesar dalam persekitaran berlainan dan tidak pernah bertemu antara satu sama lain sehingga berumur 40 tahun menunjukkan bahawa mereka masih berkongsi sifat yang sama.
"Bagi pelbagai ukuran personaliti dan pembawaan, pekerjaan dan minat waktu lapang serta sikap sosial, kembar seiras yang dibesarkan berasingan didapati mempunyai persamaan sama seperti kembar seiras yang dibesarkan bersama," katanya.
Mungkin ada yang berkata itu adalah 'telepati pasangan kembar', namun penyelidik percaya bahawa persamaan di antara pasangan kembar adalah disebabkan oleh gen yang dikongsi bersama. Malah Texas Adoption Project turut mendapati sedikit persamaan di antara anak angkat dengan adik-beradik kandung mereka dan lebih banyak persamaan di antara anak angkat dengan ibu bapa betul mereka.
Begitu pun, masih ada saintis yang menyokong pendapat bahawa persekitaran memainkan peranan dalam membentuk peribadi kanak-kanak. Tidak dinafikan bahawa didikan dan bimbingan keluarga mempunyai pengaruh dalam perkembangan kanak-kanak kelak. Bagaimanapun, kajian terhadap pasangan kembar dan anak angkat menunjukkan gen turut mempengaruhi sifat seseorang.
Apa sebenarnya yang kita wariskan?
Anda wajar berbangga jika si kecil memiliki tenaga, keyakinan dan keupayaan menarik minat orang kerana sesetengah gen yang baik memang boleh diwarisi daripada anda.
Ahli akademik Buss dan Plomin ada menyatakan, sifat-sifat peribadi yang diwarisi terbukti ada pada peringkat kanak-kanak. Kajian tokoh akademik itu juga menyatakan bahawa kecenderungan seseorang bertindak dengan cara tertentu sebahagian besarnya adalah berasaskan gen.
Buss dan Plomin turut mengenal pasti tiga jenis pembawaan laku yang diwarisi iaitu tahap sosialisasi, emosi dan keaktifan individu. Tahap sosialisasi merujuk kepada keutamaan yang ditentukan oleh setiap individu dalam berinteraksi dengan orang lain. Kemahuan bayi anda untuk berkongsi aktiviti dan keinginan untuk mendapat tindak balas daripada orang lain serta stimulus kebanyakannya disebabkan oleh gen yang dimiliki. Secara ringkasnya, sekiranya anda seorang yang suka bersosial, anak anda berkemungkinan besar mempunyai minat yang tinggi untuk berinteraksi dengan orang lain.
Seterusnya, tahap aktiviti anak anda akan menentukan sama ada dirinya cenderung kepada aktiviti lasak seperti bersukan atau aktiviti yang tenang seperti bermain catur. Dia mungkin memiliki tahap tenaga yang tinggi dan memilih untuk bermain permainan yang rancak berbanding yang perlahan bergantung kepada gen yang dimilikinya.
Akhir sekali, emosi bayi anda dalam pelbagai situasi yang berbeza turut dipengaruhi oleh sifat emosi anda. Jika anda seorang yang tenang dan sabar ketika menyelesaikan masalah, berkemungkinan besar bayi anda akan mewarisi sifat anda yang penyabar ketika bermain. Begitu juga sekiranya anda seorang yang cepat teruja, anak anda mungkin mewarisi sifat yang sama.
Selain pembawaan, kecerdasan turut terbukti sebagai diwarisi. Kajian menunjukkan bahawa lebih tinggi tahap IQ ibu bapa, lebih bijak anak-anak mereka. Perkara ini tidak berlaku untuk ibu bapa angkat dengan anak-anak angkat mereka.
Tahap keyakinan kanak-kanak terhadap kecerdasan mereka juga diwarisi secara gen. Keyakinan intelek walaupun tidak sama dengan kecerdasan itu sendiri adalah penting kerana ia dapat meramalkan prestasi akademik kanak-kanak.
Kajian yang dilakukan di London ke atas pasangan kembar bukan saja menunjukkan keyakinan intelek diwarisi, malah kanak-kanak yang memberi menilai sendiri tinggi akan kebolehan mereka berjaya di sekolah. Dalam erti kata lain, jika anda rasa anda bijak, anak anda berkemungkinan besar yakin dengan kecerdasan mereka dan bersedia untuk menghadapi cabaran dunia.
Warisan menerusi pemupukan
Keperibadian dan tingkah laku mungkin boleh diwarisi, tetapi gen yang baik saja tidak menjamin sikap atau pewatakan seseorang kanak-kanak. Walaupun anak anda mewarisi beberapa sifat terbaik anda, ia tidak bermakna tugas anda sebagai ibu bapa boleh diambil mudah.
Sebenarnya gen dan persekitaran saling berkait. Walaupun kajian pasangan kembar dan anak angkat yang disebutkan di atas menunjukkan peranan gen dalam membentuk sifat kanak-kanak, ada penyelidik lain yang berpendapat bahawa warisan semula jadi perlu dipupuk untuk dibentuk.
Menurut United States National Research Council and Institute of Medicine, ibu bapa dan pengaruh persekitaran yang lain boleh mengurangkan perkembangan sikap yang diwarisi dalam kanak-kanak. Penyesuaian antara keadaan persekitaran dan sikap kanak-kanak dapat dilakukan sebagai contohnya dalam rutin keluarga yang memberi peluang kepada permainan lasak untuk kanak-kanak yang sangat aktif atau dalam suasana penjagaan kanak-kanak dengan kawasan yang senyap untuk kanak-kanak pemalu mengasingkan diri mereka daripada aktiviti intensif bersama rakan sebaya.
Hogg turut bersetuju dengan menyatakan bahawa walaupun saintis masih belum dapat menentukan bagaimana sebenarnya perkaitan antara persekitaran dan gen mempengaruhi perkembangan seseorang, apa yang pasti ialah 'warisan menerusi pemupukan'.
Dalam erti kata lain, kanak-kanak masih memerlukan sokongan dan panduan daripada ibu bapa mereka untuk memperkembangkan personaliti yang mereka warisi. Seseorang kanak-kanak mungkin dilahirkan dengan penuh rasa yakin, tetapi dia masih memerlukan galakan daripada ibu bapa untuk memastikan sikap ini dibawa dalam hidupnya, tidak kira apa pengalaman yang dilalui olehnya.
Bagaimanapun, Hogg mengingatkan ibu bapa bahawa untuk memberikan sokongan yang sebenar, mereka perlu menggunakan apa yang ada dalam diri anak mereka. Mereka perlu menghormati keupayaan atau kekurangan anak-anak mereka dan mengadakan persekitaran yang menggalakkan ciri-ciri terbaik anak mereka.
"Manusia dibentuk oleh kedua-dua ciri biologi dan persekitaran di mana mereka dilahirkan. Ada kanak-kanak yang pemalu kerana mereka mewarisi gen pemalu, namun ibu bapa boleh membantunya merasa selamat dan mengajar anak mereka strategi untuk mengatasi perasaan malu ini.
"Ada anak yang suka mengambil risiko disebabkan oleh tahap serotonin mereka dan ibu bapa boleh membantunya mempelajari cara mengawal keinginannya. Memahami pembawaan anak anda membolehkan anda membuat perancangan, " katanya.
Menyayangi dan menerima anak anda seadanya bukan saja membantu mereka membuat pencapaian terbaik, malah memberi anda peluang untuk menghargai ciri si kecil yang mungkin dilihat sebagai sesuatu yang tidak diingini.
Lazimnya, tingkah laku yang dilihat baik atau buruk selalunya bergantung kepada perspektif dan Hogg berkata, perspektif ibu atau bapa terhadap sifat anak boleh menentukan bagaimana cara anda menangani sifat itu.
"Ada ibu yang melihat anak mereka yang degil sebagai selalu tidak mendengar kata dan ada ibu lain yang melihat sifat degil ini satu kebaikan kerana anak ini tahu apa yang diingininya.
"Ibu jenis kedua boleh membantu anaknya menggunakan sifat-sifat agresif yang ada ke arah penggunaan yang lebih sesuai contohnya sebagai pemimpin," katanya.
Oleh itu, sekiranya anda sering pening memikirkan mengapa anak anda mewarisi sikap anda yang tidak baik, anda perlu berfikir semula. Sesuatu sifat yang tidak disukai oleh satu pasangan ibu bapa mungkin menjadi kebanggaan pasangan ibu bapa yang lain. Ia bergantung pada sudut pandangan anda terhadap sifat anak anda dan bagaimana anda menanganinya.
Segala-galanya bergantung kepada kebijaksanaan anda mendidik si manja kerana dunia keibubapaan penuh dengan dugaan walaupun anda mewariskan gen yang baik.
Pertandingan Johnson's Baby
Bagi menghargai pelanggan, jenama produk penjagaan kanak-kanak terkenal, Johnson's baby akan mengadakan pertandingan bayi tahun ini (Johnson's Baby of the Year). Ibu bapa boleh menyertai peraduan ini yang dibuka sekarang. Tarikh tutup penyertaan ialah pada 31 Ogos 2009.
Syarat dan peraturan peraduan, borang penyertaan, penyertaan dan maklumat mengenai promosi fotografi peraduan di pusat beli-belah boleh didapati dengan melayari www.ilovejohnsonsba by.com/boty atau dapatkan borang penyertaan di pusat beli-belah.
Email Oleh : mohd naim mohd zain (Blog Cina Islam)
Thursday, July 9, 2009
BAGAIMANA ACUAN, BEGITULAH KUIHNYA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Post a Comment