K
UALA LUMPUR, 31 Julai (Hrkh)- Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir, Dato' Hamdan Abdul Rahman meninggal dunia awal pagi hari ini di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur.
Pesuruhjaya PAS Negeri, Ustaz Salleh Man ketika memberitahu, jenazahnya dalam urusan di bawa balik ke Pusat Khidmat Dun yang pernah menjadi tempat tinggal sewanya sewaktu memenangi Dun Permatang Pasir sejak pilihanraya umum ke 10 tahun 1999 lalu.
Menurutnya, allahyarham telah seminggu berada di IJN untuk menjalani rawatan susulan akibat kesakitan di bahagian jantung kembali setelah menjalani pembedahan sebelum pilihanraya umum ke 11 tahun 2003 di Hospital Besar Pulau Pinang.
Pada Pilihan raya ke 12 lalu beliau sekali lagi menang dengan majoriti besar mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) sekaligus mengekalkan kemenangan tiga penggal berturut-turut bersama Ahli Parlimen Permatang Pauh, Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
"Allahyarham menjadi Pesuruhjaya PAS Negeri selama 11 tahun setelah pemergian allahyarham Tuan Guru Haji Zabidi Ali penghujung tahun 1980 an. Beliau seorang yang dedikasi dan merupakan pejuang yang sanggup berkorban apa sahaja termasuk harta benda kerana memartabatkan Islam, " jelasnya.
Baru-baru ini allahyarham dianugerahkan Darjah Setia Pangkuan Negeri yang membawa gelaran Dato' sempena ulangtahun Tuan Yang Terutama Dato' Seri Utama Dr Abdul Rahman Abbas yang ke 71.
Harakhadaily dimaklumkan, jenazah allahyarham bertolak dari IJN pukul 10 pagi ini dan dijangka sampai ke Permatang Pasir jam 2 petang ini.
Bagaimanapun tempat dan waktu pengkebumianya belum dipastikan cuma berkemungkinan petang ini.
Sementara itu, Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar dalam smsnya kepada Harakahdaily memaklumkan sedang dalam perjalanan ke IJN bagi menziarahi allahyarham, beberapa pimpinan dijangka akan menziarahi jenazah dalam masa terdekat.
AJK PAS Pusat, Dato' Kamarudin Jaffar menyifatkan pemergian allahyarham merupakan kehilangan besar kepada PAS.
"Allahyarham adalah seorang pemimpin PAS yang amat kuat bekerja, rapat dengan rakyat sehingga mampu mempertahankan kerusi di Permatang Pasir walau dalam keadaan genting," ujarnya.
TERKINI!!!!!Sementara itu, pada jam 9.30 pagi tadi, jenazah allahyarham telah dibawa dari IJN ke Permatang Pasir.Turut mengiringi jenazah ialah sanak saudara dan kaum keluarga yang sejak semalam menemani allahyarham di IJN.
Menurut salah seorang anak allahyarham, Hamdan meninggal selepas dimasukkan ke IJN Isnin lalu, namun katanya allahyarham meninggal dengan amat mudah pagi tadi.
"Tak nampak tanda-tanda beliau tenat semalam, saya sedang buat surat cuti untuk allahyarham dari menghadiri Dun Pulau Pinang, namun belum sempat siap surat tersebut, pagi ini allahyarham menghembuskan nafasnya yang terakhir, beliau seorang yang cukup tenang dan bapa yang sangat baik dan penyayang," ujar seorang menantunya kepada Harakahdaily.
Suasana sayu mengiringi perjalanan jenazah sebaik dikeluarkan dari Bilik Mayat IJN.Turut hadir ialah Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar; Presiden KeADILan, Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; AJK PAS Pusat, Dr Dzulkifly Ahmad; ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo Lo Mohd Ghazali dan pimpinan PAS yang lain.
Mewakili pihak PAS, Mahfuz mengucapkan takziah kepada keluarga allahyarham di atas pemergian Adun Permatang Pasir.
"Beliau seorang yang cukup baik, rapat dengan rakyat, komited dan wakil rakyat yang memahami kehidupan rakyat, beliau rakan saya yang banyak membantu saya terutamanya ketika saya ditahan ISA (operasi lalang).Beliaulah yang menjaga kebajikan anak isteri saya.
"Beliau juga adalah teman yang amat memahami, saya rasai kehilangan yang sangat besar kepada satu perjuangan," ujarnya.
Sementara itu, Presiden KeADILan turut mengucapkan takziah kepada keluarga allahyarham.
Dr Wan Azizah menyifatkan, Pakatan Rakyat kehilangan 'permata' yang sangat komited dengan kerja, membantu Dato' Seri Anwar Ibrahim ketika Ketua Umum KeADILan itu menghadapi krisis politik tahun 1998.
"Beliau seorang yang mudah memahami, sangat penyayang dan bekerja keras untuk rakyatnya," ujar beliau. - wann/mr _
Sabri Said dan Wan Nordin Wan Yaacob | Foto Wan Zahari Wan Salleh
Fri | Jul 31, 09 | 9:07:05 am MYT ( Harakah Daily)
Friday, July 31, 2009
Adun PAS Permatang Pasir meninggal dunia
Memali semarakkan tentangan terhadap ISA
"S
UAMI ketika itu sedang berdiri dan apabila terkena tembakan, beliau terjatuh ke atas lantai. Mak Lang angkat kepalanya dan letak atas riba. Darah segar memenuhi ruang tamu rumah Ustaz Ibrahim Libya. Suami menghembuskan nafas terakhirnya di riba Mak Lang," kata Aishah Ahmad, 56, balu kepada Maaruf Hashim salah seorang yang syahid dalam peristiwa berdarah Memali pada bulan November 1985.
"Mak Lang tak tahu apa yang terjadi kepada mayat suami selepas itu. Mak Lang bersama anak dan beberapa isteri syuhada yang lain dibawa ke Pejabat UTK Tanjung Pari. Di sana, Mak Lang disoal siasat selama 18 hari.
"Selama di sana, Mak Lang pernah disoal siasat hingga enam jam sehari. Selesai disoal siasat, Mak Lang dihantar ke bilik kurungan. Mak Lang ditahan bersama anak perempuan, Mariza yang pada masa itu berusia 15 tahun. Selepas 18 hari di Tanjung Pari, Mak Lang dihantar ke PPH Sungai Petani dan dipenjara selama dua bulan.
"Selepas dua bulan, kami dibebaskan dari PPH Sg Petani, barulah Mak Lang pulang ke Memali untuk bertemu anak-anak lain yang ditinggalkan dan menziarahi perkuburan arwah suami," ujar beliau lagi yang dikurniai lima anak bersama suaminya, Assyahid Maaruf.
Terkial-kial
Begitu lancar Aishah @ Mak Lang bercerita mengenai pengalamannya membuatkan saya terkial-kial mencatat setiap butir bicaranya. Setelah segalanya yakin dicatat, saya mengangkat kepala, melihat pada wajah beliau dan kelihatan air mata bergenang di kelopak mata yang sudah berusia itu.
Walaupun peristiwa itu hampir 24 tahun berlalu, saya dapat merasakan seolah-olah ia baru berlaku semalam ...
Itu adalah salah satu testimoni yang saya perolehi ketika melawat keluarga mangsa berdarah Memali yang berlaku pada 1985. Ketika itu, saya masih terlalu muda dan tidak begitu ambil berat untuk mengetahui siapakah yang benar dan siapakah yang zalim dalam peristiwa itu.
Cuma yang masih saya ingat, media kerajaan mendakwa mereka adalah pesalah dan penderhaka. Ketika itu tiada media alternatif, tanpa internet atau SMS. Memang amat sukar untuk diketahui, apakah dan siapakah yang menjadi punca pembunuhan beramai-ramai itu.
Cuma yang jelas bagaimana gas pemedih mata, kereta perisai, beberapa trak polis dikerahkan dengan lengkap bersenjata boleh sewenng-wenangnya dihantar ke sebuah perkampungan terpencil di Baling itu dan mengepung sebuah rumah kecil milik seorang ustaz yang hanya menyampaikan ajaran Islam kepada masyarakat di sekelilingnya.
Siapakah yang empunya gas pemedih mata, kereta perisai, trak polis, polis dan segala senapang yang digunakan di kejadian itu?
Saya tidak pernah berpeluang mengetahui jauh sekali mengenali lelaki bernama Ibrahim Libya ini yang menjadi tajuk utama perbualan penduduk Memali. Namun berdasarkan penceritaan dan beberapa penulisan ringkas mengenainya, saya dapat simpulkan bahawa beliau seorang berpendidikan tinggi dalam bidang agama, bijak dalam penyampaian kelas-kelas dikendalikannya, berkarisma, berkepimpinan dan beliau amat disenangi oleh sebahagian besar ahli masyarakat setempat.
Berdasarkan daripada beberapa pondok (asrama) yang didirikan di sekitar surau yang terletak tidak jauh dari rumahnya, dapat disimpulkan beliau adalah seorang aktivis muda yang bercita-cita tinggi untuk melihat ramai anak bangsa di daerah itu mempelajari dan menghayati Islam dengan sebaiknya.
Sebagai seorang graduan dari Libya dan pernah bertugas di Pusat Islam, saya yakin, kedudukan beliau ketika itu bukan setakat dikasihi tetapi juga dipandang tinggi dan amat dihormati.
Berdasarkan pembacaan juga, saya melihat kepimpinan, keperibadian, kebijaksanaan dan kegiatan beliau telah membuatkan ada pihak lain yang tidak senang dengan perkembangan tersebut dan ingin mencantas atau mematikan saja segala bakat yang dimiliki itu dengan menahan beliau di bawah ISA.
Tamatkan bakat
Sebelum kes Ibrahim Libya, sudah ada pemimpin PAS yang ditahan tanpa bicara lebih awal, antaranya Dr Burhanuddin Helmi. Tidak mustahil, alat yang sama iaitu ISA, digunakan terhadap Ibrahim Libya untuk menamatkan bakat dan kepimpinan politik beliau.
Keengganan beliau menyerah diri kepada pihak berkuasa telah menjadikan penguasa ISA merasa tercabar status quonya dan akhirnya bertindak ke atas Asy-syahid dan para pengikutnya menggunakan kekerasan.
Apabila menyelami isu Ibrahim Libya dan pembunuhan beramai-ramai di Memali ini, saya teringat peristiwa penahanan Dato' Seri Anwar Ibrahim pada 1998 di mana beliau dengan tegas menunjukkan sikapnya melawan tindakan kerajaan yang memecatnya ketika itu.
Beliau terus melawan dan mendapat sokongan rakyat hinggalah akhirnya ditahan di bawah ISA. Ketika dalam tahanan polislah beliau dipukul hingga lebam di bahagian mata, yang menjadi 'trademark' KeADILan hingga kini.
Membandingkan isu keengganan Ibrahim Libya menyerah diri pada pihak berkuasa (tahun 1985) dengan sikap tidak mahu mengalah oleh Anwar (tahun 1998) nampaknya polis telah mempelajari sesuatu daripada peristiwa Memali.
Mereka tidak menyerang rumah Anwar sebaliknya memburu dan menangkap beliau ketika dalam perjalanan pulang daripada satu program ceramah yang mengajak rakyat bangun untuk menuntut 'reform' atau pembaharuan.
Sekiranya Menteri Dalam Negeri, polis pada tahun 1985 itu bersabar sedikit, mungkin peristiwa berdarah Memali dapat dielakkan...
Sewaktu menziarahi mangsa pembunuhan beramai-ramai di Memali baru-baru ini, fokusnya bukan siapa atau bagaimana peristiwa itu terjadi, tetapi saya terlalu ingin mendapatkan reaksi mangsa yang juga merupakan penduduk setempat, bagaimanakah pandangan mereka terhadap kerajaan Umno-BN yang seolah-olah melihat nyawa rakyat marhaen ini tidak bernilai sama sekali.
"Setelah suami kami dikebumikan, ada pihak yang membantu kami supaya menyaman kerajaan disebabkan kematian suami kami itu. Kes itu difailkan pada 1986 dan terpaksa melalui fasa yang lama untuk mendapat keputusannya.
Masih menyusu
"Alhamdulillah, pada tahun 2004, tiga peguam yang mewakili kes tersebut telah berjaya memenangi perbicaraan," kata Rokiah Mohd Hassan, balu kepada Asy-syahid Mohd Rezki Ahmad, berusia 27 tahun ketika kejadian. Selepas pembunuhan suaminya, Rokiah dan seorang anak kecil yang masih menyusu juga turut ditahan di penjara selama dua minggu.
"Mak Pah sedang mengandung empat bulan ketika suami ditembak di rumah Ustaz Ibrahim Libya. Kami semua berada dalam keadaan 'curfew' hampir dua bulan. Kami cuma boleh keluar rumah untuk mencari rezeki dan memotong getah dari jam 9 pagi hingga 6 petang. Mak Pah dan semua penduduk di sekitar Memali tidak tahu apa yang terjadi kepada 14 orang yang telah ditembak hingga mati itu.
"Alhamdulillah aktivis PAS dan penduduk dari kampung lain telah datang ke Memali untuk melakukan urusan pengkebumian mereka," tambah Mak Pah yang nama sebenarnya Siti Maryam binti Omar kepada aku. Sebaik saja tamat menceritakan kisah duka Memali, beberapa titik air mata gugur di wajah yang mula dimamah usia itu.
"Pada tahun 2004, kami menang kes pembunuhan di Memali. Kes itu berjalan hampir 18 tahun. Pihak kerajaan membayar pampasan RM20,000 kepada 14 keluarga syuhada. Maknanya, hampir 20 tahun selepas suami kami ditembak dengan kejam, kerajaan menilai nyawa suami sebanyak RM1,000 setahun. Sungguh rendah nilai nyawa mereka di sisi kerajaan BN!" kata Siti Aishah @ Mak Lang sambil mengesat matanya. Beliau tidak mahu mengulas panjang.
"Suami saya yang ditahan ISA pada 2002, ikut saja perintah dan arahan kakitangan KDN dan Menteri Dalam Negeri, hingga kini masuk lapan tahun ditahan di Kem Kamunting. Jika ditahan di bawah ISA, mangsa dikurung tanpa bicara bertahun-tahun lamanya. Jika enggan ditahan di bawah ISA jadilah macam kes Asy-syahid Ibrahim Libya, mangsa terus kena tembak, rakyat tiada nilai di mata kerajaan Umno-BN," kata saya kepada semua Muslimat yang hadir di rumah Siti Aishah.
Semua tetamu wanita itu terkejut dan mula tersenyum. Salma Ismail, Ketua Wanita KeADILan Kedah dan timbalannya, Nurin yang menemani lawatanku ke Memali juga turut tersenyum melihat riak wajah mereka yang sejak dari awal kelihatan agak serius ketika bercakap denganku.
Mereka tidak sangka, saya adalah isteri kepada seorang tahanan ISA kerana sejak awal saya melangkah masuk ke ruang tamu rumah Siti Aisyah @ Mak Lang saya hanya sibuk bertanya soalan, mencatat fakta, merekod perbualan dan mengambil gambar tiga wanita balu mangsa pembunuhan di Memali itu. Mereka menyangka saya seorang wartawan Harakah!
Sebaik selesai mencatat fakta-fakta penting, saya dibawa melawat kesan-kesan peristiwa itu. Dua puluh empat tahun peristiwa itu berlalu dan banyak pembangunan dilakukan hingga menghilangkan struktur asas rumah, surau dan pondok yang dibina oleh Ibrahim Libya dan teman-teman rapatnya.
Namun kesan peluru yang menembusi dinding sebuah rumah kecil untuk menyimpan padi, dapat menggambarkan bagaimana rakus dan ganasnya polis menembak Ibrahim Libya dan teman-teman setianya pada waktu Subuh pada November 1985.
Sesiapa saja yang berada di Memali ketika itu, pasti tidak dapat melupakan drama hebat pembunuhan beramai-ramai yang begitu kejam dan tragis!
Debat secara terbuka
Kisah Memali juga mendapat tempat di minda penulis sejarah ISA berbangsa Cina. Dalam buku '45 Years Under ISA' Koh Swe Yong menyebut: "... pada 1985, peristiwa Memali menyaksikan ramai aktivis PAS ditahan di bawah ISA. Peristiwa itu mengubah persepsi PAS yang selama ini memandang sepi isu ISA, dan mereka mula mengkritik serta menentang akta zalim itu. "
Kritikan itu diluahkan dalam berbagai bentuk, di mana saja ada peluang bercakap atau debat tentang ISA, PAS segera menyuarakan secara terbuka supaya ISA segera dimansuhkan."
Kini, 24 tahun selepas Peristiwa Berdarah Memali, rakyat semakin faham dan jelas tentang kejahatan dan kezaliman akta tanpa bicara yang menjadi nadi utama Umno untuk memastikan parti reput itu terus bertahan. Sejarah telah membuktikan, semua Perdana Menteri Malaysia, amat gemar menggunakan ISA untuk mencantas pihak lawan.
Dan mutakhir ini, kegunaan ISA juga dipelbagai. Selain menjadikan mangsanya sebagai 'pengganas Islam', ISA juga digunakan untuk melabel 'pembuat syiling palsu', 'pembuat Mykad', 'penghantar SMS', 'menyelamatkan wartawan wanita' dan pelbagai lagi.
Penulisan ini hanya berkisar kepada mangsa ISA daripada bangsa Melayu dan berugama Islam. Bagaimana dengan bangsa lain? Bagaimana dengan kaum Cina dan India?
Sejak 49 tahun yang lalu, semua bangsa dan pelbagai peringkat usia dijadikan mangsa ISA, adakah rakyat Malaysia masih terus bersabar dan membiarkan pemerintah menggunakan ISA sesuka hati mereka saja?
Rakyatlah yang berkuasa untuk menolaknya. Jika rakyat bersatu padu mahu akta ini dimansuhkan, maka tunjukkanlah sokongan anda semua di HIMPUNAN MANSUH pada 1 Ogos ini. _
Norlaila Othman
Tue | Jul 28, 09 | 11:14:02 pm MYT ( Harakah Daily)
Posted by keristamingsari at 8:23 PM 0 comments
Tuesday, July 28, 2009
'Umno kini tiada maruah, dulu 'tendang' kami keluar' - Nik Aziz
K
OTA BHARU, 28 Julai (Hrkh) - Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan bahawa hubungan yang terjalin sekarang ialah di antara Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan dan bukan hubungan dengan parti Umno.
"Hubungan negeri ialah dengan Kerajaan Pusat oleh kerana sistem yang diamalkan ialah sistem Federalisma, oleh itu tidak timbul hubungan dengan Umno,"kata Mursyidul Am PAS itu pada sidang media selepas melawat pameran ternakan di Padang Perdana dekat sini semalam.
"Kerajaan Pusat ada kewajipannya kepada Kerajaan Negeri dan Kerajaan Negeri pula ada kewajipannya terhadap Kerajaan Pusat, maka kenapa mahu disekat (hubungan itu).
"Kerjasama Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri hendaklah menyentuh isu penubuhan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) di Kelantan," katanya.
Dalam pada itu Nik Aziz berkata, tindakan parti lain di peringkat Pusat yang menghalang Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat dari mendapat kemudahan daripada Kerajaan Pusat itu adalah tidak menurut Perlembagaan.
"Tidak terdapat dalam Perlembagaan dan tidak terfikir pada akal fikiran manusia bahawa negeri Kerajaan Pakatan Rakyat dihalang oleh parti lain di Pusat dari mendapat kemudahan sepatutnya.
"Kenapa peruntukan Kerajaan Persekutuan tidak diberi terus kepada Kerajaan Negeri sebagaimana dilakukan Kerajaan Pusat ketika Kelantan diperintah Umno dahulu. Kenapa kini ditubuhkan JPP?
"Apa kata kalau parti lain (Kerjaan Pakatan Rakyat) menguasai Pusat lalu menubuhkan juga JPP di negeri yang di perintah Umno, apa perasaan mereka," katanya sambil menyifatkan konsep Satu Malaysia dan demokrasi yang dilaung-laung bercanggah dengan tindakan dilakukan Umno Pusat ke atas Kerajaan Negeri.
Oleh itu katanya, selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, Kerajaan Pusat mesti membantu Kerajaan Negeri, dan urusan membantu mana-mana Kerajaan Negeri bukan dilakukan dengan sukarela, tetapi melalui peruntukan Perlembagaan.
"Kalau dia (Kerajaan Pusat) tidak buat juga, kita gulinglah. Pandailah kita guling.
"Terbaru, ada Menteri yang tidak mengizinkan pegawai dia di Kelantan ini bekerjasama dengan Kementeriannya. Itu bukan sifat seorang Menteri,"katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa dasar perjuangan Umno dan PAS memang selamanya tidak sama.
"Umno memang tidak serupa dengan PAS, bahkan pada setiap kali diadakan pilihan raya sama ada Pilihan Kecil atau Pilihan Raya Umum, Umno tetap melawan PAS.
"Kerana apa Umno melawan PAS, setiap tahun sama ada pilihan raya kecil atau pilihan raya besar sedangkan sekiranya di dunia ini tidak ada Umno, (andai kata), orang Melayu boleh hidup molek, bahkan Islam itu sendiri boleh berkembang dengan baik, tegasnya
Menteri Besar turut mengulas perkembangan mutakhir mengenai surat yang dihantar kepada Perdana Menteri Dato' Seri Najib Razak bertujuan untuk bermujadalah.
"Menerusi surat itu, saya bertanya dia kenapa Umno menolak Islam dan menggantikannya dengan 'Kebangsaan'.
"Dan kenapa Umno melawan PAS. Di mana tidak kenanya kedudukan PAS khususnya dari segi agama dan Perlembagaan. Di mana tidak kena kedudukan PAS dengan Perlembagaan Persekutuan.
"Sehingga kini dia tidak jawab-jawab pun (surat itu)," katanya.
Dalam perkembangan politik semasa, beliau turut mengulas tindakan meninggalkan parti oleh anggota pimpinan Umno-BN termasuk mantan Menteri Kesihatan dan bekas Naib Presiden MCA Dato' Chua Jui Meng dan mantan Naib Presiden MIC, Dato'S S Subramaniam.
Kedua-dua mereka memasuki Parti Keadilan Rakyat (KeADILan).
Terdahulu mantan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang juga mantan Ketua Umno Bahagian Kota Bharu Dato' Zaid Ibrahim memasuki KeADILan.
"Insya-Allah, ramai lagi orang Melayu, Cina dan India yang sedar, mereka akan meninggalkan Umno-BN," katanya.
Beliau mempertikaikan cadangan bekerjsama dengan Umno walaupun ada dakwaan bahawa dengan itu akan lebih memudahkan lagi kerjasama antara pemerintah.
"Umno sekarang sudah tidak ada maruah. Nak minta bekerjasama dengan orang PAS). "(Tetapi) waktu kamu gagah dahulu kamu tendang aku (PAS) (keluar daripada Kerajaan Pusat). Saya ingat perkara itu," tegasnya sambil mengingatkan bahawa PAS menyertai Kerajaan Pusat ketika itu dengan jemputan daripada Tun Abdul Razak sebagai Perdana Menteri. - azm/mks. _
Muhammad Yusri Amin
Tue | Jul 28, 09 | 8:51:21 am MYT ( Harakah Daily)
Posted by keristamingsari at 12:26 PM 0 comments
MB Kelantan lancar Padi Organik
K
OTA BHARU, 27 Julai: Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melancarkan padi organik di Dun Salor, dekat sini baru-baru ini. Turut serta di majlis itu adalah Adunnya yang juga Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa.
Dalam ucapan pelancaran, beliau menyarankan agar zon organik di wujudkan di setiap DUN di negeri Kelantan, bahkan projek padi SRI organik ini diperluaskan ke zon tersebut.
Sunnah Tani dan Salorcare yang bertanggungjawab terhadap projek ini di Dun Salor, diminta oleh Nik Aziz agar berperanan juga untuk memastikan projek seumpama ini dilaksanakan di Dun-Dun lain di negeri ini.
Bersempena dengan pelancaran ini, Salor Mol iaitu ragi baja organik juga dilancarkan dengan harga promosi RM10 seliter.
Salor Mol ini dijamin berkualiti dan bermutu bahkan apa yang istimewa ia dibuat sendiri oleh PAK AEP yang merupakan perintis kepada SRI Organik di Indonesia.
Apa yang dimaksud dengan Padi Organik?
Menurut sebuah laman web dari Indonesia, padi organik adalah padi yang disahkan oleh sebuah badan independen, untuk ditanam dan diolah menurut standard ‘organik’ yang ditetapkan.
Walau tidak ada satu definisi pun untuk “organik”,kebanyakan definisi memiliki elemen umum. Misalnya,“organik” sebagaimana digunakan pada kebanyakan tanaman sawah yang umumnya berarti bahwa:
1. Tidak ada racun serangga dan baja dari bahan kimia sintetis atau buatan yang telah digunakan.
2. Kesuburan tanah dipelihara melalui proses “alami” seperti penanaman tumbuhan penutup dan/atau penggunaan baja kandang yang dikompos dan limbah tumbuhan.
3. Tanaman dirotasikan di sawah untuk menghindaripenanaman tanaman yang sama dari tahun ke tahun disawah yang sama.
4. Pergantian bentuk-bentuk bukan-kimia dari pengendalian hama digunakan untuk mengendalikan serangga, penyakit dan gulma – misalnya serangga yangbermanfaat untuk memangsa hama, jerami setengahbusuk untuk menekan gulma, dan lain-lain.
Mengapa padi organik?
Produk “organik” – terutama di pasar-pasar maju – biasanya menerima harga yang lebih tinggi. Produk organik juga sering dianggap sebagai memiliki manfaat kesehatan yang lebih besar
SiasahDaily/- ( Diambil dari Blog Cina Islam)
Posted by keristamingsari at 12:19 PM 0 comments
'Salafi' di Yaman Masuk Politik
S
alafi adalah satu istilah yang merujuk kepada golongan tertentu yang beriltizam mengamalkan sunnah dan mengikut jalan dan manhaj salafus-soleh dalam perkara akidah, fiqh dan tazkiah al-nafs (akhlak).
Hal ini adalah sangat baik kerana kita sedang hidup pada satu zaman yang cukup mencabar dan seruan untuk kembali kepada manhaj salaf adalah satu perkara yang dirasakan sangat perlu.
Akan tetapi, kita juga perlu melihat realiti zaman yang sudah banyak berubah. Maka, seruan untuk kembali kepada manhaj salaf dan berhadapan dengan realiti zaman di mana kita berada perlu diimbangi dengan kaedah-kaedah syarak demi maslahah umat dan menolak mafsadah serta kerosakan yang lebih teruk.
Kembali kepada istilah ‘salafi’, berpunca daripada salah faham dan kejahilan umat, maka gelaran yang mulia ini telah mendapat reaksi yang agak negatif dari kalangan masyarakat muslim di mana-mana negara dan Malaysia juga tidak terkecuali.
Ini kerana, apabila disebut gelaran ‘salafi’ atau ‘wahhabi’ atau golongan ‘sunnah’, kebiasaan yang tergambar dalam pemikiran masyarakat ialah golongan ini menolak berpegang dengan satu-satu mazhab, amalan tahlil, bacaan Yassin pada malam Jumaat, talkin di atas kubur dan lain-lain perkara yang disifatkan sebagai furu’ iaitu cabang dalam agama.
Saya tidak ingin terjun dalam membincangkan fitnah ini. Terlalu banyak kontroversinya. Lagi pun sudah ramai ilmuwan agama di negara kita yang telah menghuraikannya dari sudut pro dan kontra. Bahkan, hari ini ramai juga yang sudah faham hakikat sebenar istilah ‘wahhabi’ yang dituduh sesat dan menyeleweng dari akidah Ahlul-Sunnah wal-Jamaah.
Satu perkara yang kurang diketahui tentang golongan ‘salafi’ ini ialah tentang pegangan mereka dalam bidang politik yang mengharamkan pilihanraya untuk memilih pemimpin negara kerana ianya dibuat mengikut acuan demokrasi. Sedangkan demokrasi adalah suatu yang bukan berasal dari syariat Islam.
Pengamal demokrasi atau kepartian sering dituduh sebagai sesat, menyeleweng, malah dikafirkan oleh golongan yang agak keras. Bukan sekadar itu, mana-mana golongan yang menentang pemerintah dalam pilihanraya akan dihukumkan sebagai bughah yang menderhaka dan memerangi pemimpin kaum muslimin. Perbuatan ini adalah haram dan termasuk dalam dosa-dosa besar.
Kerana itu, akhbar-akhbar berhaluan bebas di Yaman mula mempersoalkan pendirian kelompok ‘salafi’ di Yaman yang sudah mula terjun ke dalam medan politik dengan menyokong parti pemerintah secara terang-terangan.
Dalam pilihanraya presiden tahun 2006, ramai para pemerhati melihat bahawa mereka telah dipergunakan oleh pihak pemerintah supaya mengeluarkan fatwa melarang rakyat Yaman mengundi calon-calon daripada parti pembangkang terutamanya Parti Islah yang berhaluan Islam. Kerana perbuatan itu termasuk menentang pemerintah muslim dan dikira sebagai dosa besar.
Ketika itu, mereka menyebarkan buku-buku yang menerangkan haramnya menentang pemerintah dengan dana yang cukup besar. Malah mereka juga mempergunakan mimbar khutbah untuk memberi amaran kepada rakyat agar tidak menyokong pihak pembangkang.
Di pihak pemerintah pula, fatwa golongan ‘salafi’ ini telah disebarkan melalui SMS Yemen Mobile. Maka dengan jelas, golongan ini telah masuk ke dalam kancah politik demokrasi yang dahulunya dikecam sebagai sesat, kufur dan syirik.
Syeikh Abu Hassan al-Ma'rebi adalah di antara tokoh ulama salafi yang dilihat rapat dengan presiden dalam jangka masa kempen pilihanraya di Ma'reb. Mereka hanya berpegang bahawa menentang pemerintah adalah haram tanpa menyedari bahawa pemerintah yang dipertahankan itu juga lahir daripada sistem demokrasi yang haram sebagaimana dakwaan mereka.
Sebenarnya terdapat ramai para ulama berhaluan ‘salafi’ yang mengambil pendirian sederhana dalam persoalan ini. Malah terdapat di kalangan mereka yang berada dalam Parti Islah walaupun mereka kurang percaya pada ketelusan sistem demokrasi dan pilihanraya. Syeikh Muhammad as-Sodeq Abdullah Mughlis adalah salah seorang tokoh ulama salafi dalam Parti Islah dan beliau pernah berperanan sebagai ahli parlimen.
Di antara tokoh-tokoh salafi yang dikenali keras menentang pilihanraya dan demokrasi ialah Syeikh Muhammad bin Abdullah al-Imam, Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab dan Syeikh Muqbil bin Hadi – rahimahullah Ta’ala.
Dalam sebuah buku karangan Syeikh Muhammad bin Abdullah al-Imam berjudul Tanwir al-Zhulumat bi Kasyf Mafasid wa Syubuhat al-Intikhabat, beliau telah menyenaraikan 45 kerosakan dalam pilihanraya. Di antaranya ialah perbuatan keluar menentang pemerintah muslim adalah haram dalam agama Allah (hal.171).
Beliau mendatangkan dalil daripada hadis-hadis yang sahih bagi menyokong pendapatnya. Di antaranya ialah, hadis Ummu Salamah r.anha tentang golongan pemerintah yang tidak dibenci oleh rakyatnya. Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah! Adakah boleh kami memeranginya? Jawab Rasulullah s.a.w: “Tidak, selagi mana mereka masih bersolat.” (Riwayat Imam Muslim, al-Tirmizi dan Abu Daud).
Dalam hadis Ibnu Abbas pula, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesiapa yang melihat sesuatu yang dibencinya pada pemerintah, maka hendaklah dia bersabar. Maka sesungguhnya sesiapa yang memecahkan jamaah sebanyak satu jengkal, lalu dia mati dengan kematian jahiliyyah.” (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim).
Kedua-dua hadis ini melarang umat Islam daripada memerangi pemerintah selama mana mereka masih solat dan hendaklah bersabar ketika menghadapi perbuatan zalim daripada pemerintah.
Tetapi, adakah boleh dikiaskan hadis ini dengan tindakan menukar pemerintahan melalui pilihanraya? Di mana pihak pemerintah sendiri yang membuka jalan agar jawatan pemerintah ini dipertandingkan. Malah pemerintah itu juga turut sama bertanding untuk menyandang kembali jawatan tersebut. Dalam keadaan pemerintah itu sendiri redha jawatannya itu dipertandingkan, adakah tindakan parti pembangkang meletakkan calon untuk bertanding mendapatkan kerusi pemerintahan dikira sebagai bughah, fasik, berdosa besar atau kafir?
Persoalan ini akhirnya menjerat kembali golongan ‘salafi’ dengan fatwa-fatwa mereka dan pendirian mereka berhubung dengan pilihanraya dan demokrasi. Sekiranya mereka sudah iltizam bahawa ianya adalah sesat dan keluar daripada sumber-sumber Islam, maka mengapakah mereka kini semakin menzahirkan diri dalam kancah politik di Yaman?
Menurut tokoh-tokoh salafi yang sederhana dalam Yayasan al-Hikmah dan al-Ehsan di Yaman, mereka juga menyeru dan menyokong Presiden Ali Abdullah Saleh kerana beliau telah dipilih oleh rakyat dalam pemilihan pada tahun 1978. Tetapi mereka sendiri terpaksa menyedari hakikat bahawa proses pemilihan itu juga bukanlah bersifat syura yang dianjurkan dalam Islam.
Yang jelas, golongan ‘salafi’ di Yaman ini terpaksa berhadapan dengan realiti negara republik ini dan dalam masa yang sama mereka perlu bersikap berkecuali sekiranya benar-benar berpegang dengan prinsip mereka.
Bukanlah suatu yang pelik, di negara saya sendiri terdapat golongan yang mengaku berpegang dengan manhaj salaf begitu keras menolak pilihanraya dan demokrasi, akan tetapi sangat kuat juga menyokong dan berdampingan dengan pemerintah yang berhaluan sekular dan kebangsaan. Pastinya, mereka juga berdalilkan hadis-hadis di atas sebagai hujah. Lalu adakah tindakan menentang pemerintah dalam pilihanraya umum di Malaysia juga dikira sebagai bughah dan berdosa besar?
BINGKISAN DARI YAMAN
Oleh: Imran al-Malizi
(imran_almalizi@ yahoo.com) ( Blog Cina Islam)
Posted by keristamingsari at 12:10 PM 0 comments
KALIMAH SIHIR OBAMA
T
elah banyak yang diulas tentang ucapan Presiden Barack Obama di Kaherah pada 4 Jun 2009 lalu. Ramai yang memuji ucapan beliau yang ditujukan kepada dunia Islam. Kelihatannya mahu memperbaiki hubungan AS dengan dunia Arab dan Islam seluruhnya. Saya membaca teks penuh ucapannya itu beberapa kali, malah berulang kali pada beberapa titik penting.
Kemudian tahulah saya bahawa ucapan ini hanyalah ‘kalimah sihir’ yang memperdayakan. Bahkan lebih hebat lagi, ianya dimulakan dengan ucapan salam dan diselitkan petikan ayat-ayat al-Quran.
Apabila Obama bercakap tentang latar belakang hidupnya yang dekat dengan komuniti Islam, memuji sejarah peradaban Islam serta jasanya kepada dunia Barat, mengiktiraf sumbangan masyarakat muslim sepanjang sejarah Amerika Syarikat sendiri, malah beliau menegaskan pentadbiran AS juga mempertahankan hak-hak muslim di negara itu, mungkin ramai yang tersentuh dengan keluhuran bicaranya.
Kata Obama, “Saya menjelaskan bahawa Amerika tidak dan sekali-kali tidak akan memerangi Islam.” Ternyata Obama mahu memulihkan imej AS yang sudah hodoh di mata umat Islam akibat serangannya terhadap Afghanistan dan Iraq serta bantuan berterusan kepada pentadbiran Israel termasuklah serangan terakhir ke atas Gaza .
Kata-kata yang indah diteruskan lagi dan lagi dan lagi.. sehinggalah bagi orang-orang yang berakal sahaja dapat menghidu bahawa ucapan Obama ini sebenarnya membawa mesej yang sama dengan pentadbiran Bush yang terdahulu.
Cuma pada kali ini, cara penyampaiannya berbeza, seolah-olah ianya menepati ajaran Islam dan mementingkan maslahah dunia Islam.
Obama menjustifikasikan peristiwa 11 September 2001 untuk mengharuskan serangan di Afghanistan. Kata Obama, “Kami tidak punya pilihan, kami pergi kerana terpaksa. Saya sedar masih ada yang mempertikaikan atau malah mewajarkan serangan 9/11. Tetapi kita perlu jelas, Al-Qaeda telah membunuh hampir 3000 orang pada hari itu.”
Obama menghiasi ucapannya dengan petikan ayat al-Quran: “dan sesiapa yang membunuh satu nyawa bukan kerana ia membunuh orang lain, atau membuat kerosakan di muka bumi, maka seakan-akan dia telah membunuh manusia seluruhnya. Dan sesiapa yang memelihara satu nyawa, seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia seluruhnya.” (Al-Maidah: 32)
Obama mungkin tidak sedar, ramai rakyat AS sendiri sudah menafikan kaitan serangan itu dengan al-Qaeda atau mana-mana kumpulan muslim, malah banyak hujah dan bukti yang menunjukkan serangan tersebut sudah dirancang oleh AS sendiri untuk memulakan perang ke atas Afghanistan kerana kekayaan sumber gas asli dan serangan terhadap Iraq bagi menjaga kepentingan Israel, mengaut kekayaan minyak dan menamatkan riwayat hidup Saddam yang dilihat sudah tidak berfungsi lagi menurut kepentingan AS.
Micheal Moore, seorang pengarah dokumentari bebas telah memenangi anugerah filem terbaik Cannes Film Festival (2004) dengan pendedahannya melalui filem Fahrenheit 9/11. Seorang anak muda, Dylan Avery telah menafikan penglibatan Osama bin Laden dan al-Qaeda dengan bukti-bukti yang terlalu jelas dalam Loose Change 2nd Edition.
Bagaimanapun, Obama mengakui kesilapan AS dalam peperangan di Afghanistan dan Iraq. Menurut Obama, serangan di Iraq adalah berbeza kerana ia dilakukan dengan pilihan dan beliau bersetuju isu di Iraq telah mengundang pertentangan dalam AS sendiri dan masyarakat antarabangsa.
Obama juga mengakui kehadiran tentera AS tidak diperlukan lagi di kedua-dua negara itu. Katanya tentera AS akan berundur sepenuhnya pada 2012 (mengapa lama sangat?).
Kerana itu saya tidak berminat mengulas lanjut tentang itu. Sebenarnya saya memerlukan ruang yang lebih banyak untuk menghuraikan satu-persatu kalimah sihir Obama ini.
Pada kali ini, cukuplah saya memetik kata-kata beliau mengenai isu Palestin. Kata Obama, “Hubungan kuat Amerika dan Israel sudah diketahui umum. Hubungan ini tidak dapat dirungkaikan. Ianya berasaskan ikatan budaya dan sejarah serta pengiktirafan bahawa aspirasi untuk (mewujudkan) tanahair bangsa Yahudi yang bersusur galur daripada sejarah tragik tidak dapat dinafikan.”
Kemudian Obama berbicara tentang peristiwa Holocoust di mana 6 juta orang Yahudi terbunuh dan anti-semitic di Eropah yang membawa kepada keperluan wujudnya sebuah negara Israel di bumi Palestin pada ketika ini.
Namun begitu menurutnya, rakyat Palestin dari kalangan Muslim dan Kristian juga turut menderita selama 60 tahun akibat pendudukan Yahudi di bumi suci itu.
Kata Obama, “Jangan ada keraguan, situasi yang berlaku pada rakyat Palestin tidak boleh diterima. Amerika tidak akan membelakangi hak aspirasi orang Palestin untuk mendapatkan kehormatan, kesempatan dan negara mereka sendiri.”
Tidakkah Obama sedar, tindakan AS menyokong Israel dan polisi negara haram itu adalah sangat bertentangan dengan ucapan beliau di atas? Adakah tindakan AS yang membantu ketenteraan Israel termasuklah serangan terakhir yang dilancarkan terhadap Gaza juga sangat bertentangan dengan ucapan ini?
Ucapan ini bukan baru, Clinton dan Bush juga pernah berbicara dengan nada yang sama. Cuma ucapan Obama lebih berkesan sihirnya.
Kata Obama lagi, “Penyelesaian yang ada ialah aspirasi kedua-dua negara harus ditemukan, di mana rakyat Israel dan Palestin masing-masing hidup dalam aman damai.”
Sudah lebih 60 tahun AS memejamkan mata daripada pembunuhan demi pembunuhan yang dilakukan oleh regim Zionis demi meluaskan wilayah Israel. Walaupun dari segi politiknya, rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat memiliki kurang 20% dari keseluruhan bumi Palestin, namun hakikatnya mereka langsung tidak berkuasa dalam wilayah mereka.
Dalam keadaan ini adakah layak bagi Obama untuk mencadangkan supaya rakyat Palestin dan Israel mesti hidup bersama dengan aman damai?
Ini lebih jelas lagi, apabila Obama bercakap tentang keganasan. Katanya, “Rakyat Palestin mesti menolak keganasan. Penentangan melalui keganasan dan pembunuhan adalah satu kesalahan dan ia tidak akan berjaya.”
Semua mengetahui bahawa ucapan ini ditujukan kepada HAMAS. Menurut Obama, kaum hamba kulit hitam di Amerika yang ditindas tidak menggunakan kekerasan untuk mendapatkan hak mereka. Tetapi beliau lupa, kemerdekaan Amerika Syarikat dari British pada 4 Julai 1776 juga dicapai melalui peperangan dan kekerasan. Mengapa Obama mesti mempertikaikan perjuangan rakyat Palestin menghalau penjajah Zionis dengan kekerasan?
Obama mengulas, tindakan melancarkan roket kepada kanak-kanak yang sedang tidur atau meletupkan wanita tua di dalam bas bukanlah tindakan yang berani. Tidakkah beliau terfikir bagaimana kanak-kanak dan wanita Palestin dibunuh di jalanan juga bukan satu tindakan yang bermoral? Tetapi, bukankah sebelum ini beliau menyatakan simpati kepada nasib rakyat Palestin? Benar, begitulah kalimah sihir.
Kata Obama, “HAMAS memiliki sokongan dari kalangan rakyat Palestin, tetapi mereka juga perlu mengakui mereka mempunyai tanggungjawab untuk memainkan peranan memenuhi impian rakyat Palestin, menyatukan mereka, HAMAS mesti mengakhiri keganasan, mengiktiraf perjanjian-perjanji an terdahulu, mengiktiraf hak kewujudan Israel.”
Sekali lagi, Obama menegaskan sebagaimana hak kewujudan Israel tidak boleh dinafikan, begitu juga dengan Palestin. Beliau menolak pendudukan Israel yang terus meluaskan wilayahnya. Kerana tindakan ini melanggar perjanjian-perjanji an sebelum ini untuk mencapai keamanan.
Jika begitu, maka jelaslah bukan HAMAS yang melanggar perjanjian. Mereka hanya mempertahankan nyawa dan kehormatan mereka. Kata Obama lagi, “Krisis kemanusiaan yang berterusan di Gaza tidak membantu keselamatan Israel..”
Obama perlu sedar, polisi luar dan bantuan ketenteraan AS juga yang menyebabkan krisis ini berterusan. Menurut beliau, “Terlalu banyak airmata dan darah yang telah tumpah.”
Obama mencadangkan bahawa menjadi tanggungjawab kita untuk bersama melihat ibu-ibu di Israel dan Palestin boleh melihat anak-anak mereka membesar tanpa perasaan takut. Katanya, “Apabila Jerusalem menjadi tanahair yang selamat untuk kaum Yahudi, Kristian dan Muslim.. serta tempat untuk semua keturunan Nabi Ibrahim hidup aman damai sebagaimana dalam peristiwa Israk – di mana Nabi Musa, Isa dan Muhammad bersama-sama dalam solat.”
Satu impian yang menarik disebut oleh Presiden Obama, tetapi beliau perlu ingat polisi AS menyokong dan mempertahankan kota Jerusalem (al-Quds) menjadi ibu negara bagi Israel, sekaligus menafikan hak rakyat Palestin padanya. Bagaimana umat Islam di kota itu ditindas dan ditekan malah dihalau keluar secara halus dan sistematik. Masjid suci al-Aqsa al-Mubarak juga terus menghadapi ancaman untuk dirobohkan.
Semua ini adalah persoalan utama yang mesti difikirkan oleh Obama sebelum mengeluarkan kata-kata sihir yang indah itu.
Majalah pro-HAMAS, Filisteen AlMuslima, keluaran Julai 2009 (hal.46-47), mendedahkan bahawa ucapan Obama itu disampaikan di Kaherah setelah beberapa perjumpaan dibuat di Washington antara Raja Jordan - Abdullah II, Presiden Palestin Mahmoud Abbas, Perdana Menteri Israel Benjamin Nentahayu dan lain-lain.
Maka lahirlah ucapan yang menarik dan penuh sihir itu. Mesej yang tersembunyi masih sama seperti polisi AS-Israel sebelum ini. Nasib rakyat Palestin tidak akan berubah melainkan dengan cara yang telah ditulis di sisi Allah S.W.T.
Oleh: Imran al-Malizi
(imran_almalizi@ yahoo.com) ( Blog Cina Islam)
Posted by keristamingsari at 12:08 PM 0 comments
Sunday, July 26, 2009
ADAKAH GURU BIASA SELAMAT?
A
dakah guru yang tiada berjawatan ataupun senang dipanggil guru biasa akan selamat ketika menjalankan tugas? Fenomena inilah yang selalu bermain di jiwa seorang guru. Rutin guru yang sudah berkeluarga, pagi bangun seawal jam 5 pagi menguruskan diri dan keluarga serta tanggungjawab sebagai seorang Islam melakukan solat subuh. Sesudah itu bersiap menghantar anak-anak ke sekolah dan terus ke sekolah untuk bertugas.Di sekolah mulalah sibuk mengajar hingga jam 2 petang termasuk kelas tambahan. Kadang-kadang berlanjutan ke jam 3 petang kerana mesyuarat.
Anak-anak guru di sekolah? Adakah guru biasa selamat? Itu baru sikit pengorbanan seorang guru biasa yang terpaksa berkorban demi untuk mendidik anak-anak Malaysia menjadi orang berguna. Persoalannya jika berlanjutan ke 5 petang kerja di sekolah, anak-anak guru macamana? Rasanya guru terpaksa berkorban walau anak-anak dia belum tentu selamat. Perkara ini bukan jadi omongan kosong tapi saya membawanya untuk kita memikirkan betapa besarnya tanggungjawab sebagai seorang guru biasa.
Sekarang hari cuti seperti Sabtu, jiwa seorang guru jadi terganggu. Kenapa? Ladap yang terpaksa di hadapi selama 7 hari. Mungkin yang bukan guru berkata 7 hari dalam setahun bukannya susah, tapi bila tolak campur dengan aktiviti-aktiviti sekolah yang mula melampau seperti motivasilah, khemah ibadat, rakan muda, program rakan sebaya, rombongan sekolah, hari anugerahlah dan bermacam-macam lagi. Adakah guru biasa selamat? Justeru tidak hairanlah mengikut kajian yang dibuat baru-baru ini banyak guru yang menjadi gila atau mengalami simpton kemurungan. Yang hairannya kerani-kerani sekolah, pembantu tadbir kerja hari Isnin hingga hari Jumaat sahaja. Sabtu dan Ahad bolehlah dengan keluarga mereka tapi guru? Dahlah bebanan buku stok juga dibebankan kepada guru. Adakah guru biasa selamat?
Ibu Bapa pelajar senantiasa perhati sahaja tindakan guru-guru. Jumpa sahaja kesalahan walaupun sikit melenting hingga ke pejabat pelajaran. Pegawai-pegawai ppd pun turunlah menyiasat dan kadang-kadang menghukum tanpa usul periksa. Pernah 1 kes yang saya jumpa, seorang guru tidak mahu bawa pelajar-pelajar ke majlis sukan sekolah lain kerana ibu bapa pelajar masih tidak beri surat keizinan. Guru Besar melenting sebab guru tersebut engkar. Bila diteliti memang patut guru tersebut tidak berbuat demikian kerana kalau terjadi sesuatu yang buruk, pasti Guru Besar akan lepas tangan punya. PPD apatah lagi.Tahu apa jadi pada guru tersebut? Beliau dipindahkan jauh ke pedalaman atas alasan guru besar kepada ppd bahawa guru tersebut tidak memberi kerjasama dan engkar perintah. Yang PPD pun tak menyiasat terus jalankan hukuman. Adakah guru biasa selamat? Tapi kalau guru besar yang kena tangkap khalwat, apa PPD buat, TUTUP KES..........Bukan cerita tipu 1 Taiping dah tahu..........
Kisah seterusnya berlaku pada isteri saya pula. Cuba 1 Malaysia bayangkan, seorang pengetua buat mesyuarat di bulan puasa bermula jam 2.30 petang habis jam 6 petang. Patutkah perkara ini? Pengetua memanglah ada kuasa, tapi dia tidak sedarkah tanggungjawab sebagai seorang Muslim. Alasannya keluarga nombor 2. Memanglah boleh dia kata begitu sebab kahwinpun tidak umur dah 50 lebih. Adakah guru biasa selamat? Itu tragedi pertama yang berlaku kepada isteri saya, tragedi yang kedua lagi teruk. Isteri saya sudah banyak kali keguguran. Memang susah untuk lekat sebab menurut doktor rahim kurang kuat. Berusahalah saya dan isteri mendapat rawatan di hospital swasta. Alhamdulillah isteri saya mengandung, dan saya menjaga isteri saya sebaik mungkin takut keguguran lagi dan bila kandungan mencecah 4 bulan ada 1 peristiwa sedih berlaku lagi. Sepatutnya isteri saya mendapat rawatan di hospital kerajaan sebelah petang kerana pagi sekolah, namun pada hari berkenaan ada mesyuarat dibuat oleh pengetua tersebut lagi. Isteri saya telah berjumpa dengan pengetua tersebut memohon keizinan untuk pelepasan. Tahu apa pengetua tersebut kata, cikgu wajib hadir ke mesyuarat. Takpe nanti saya suruh cikgu lain hantar cikgu ke klinik tersebut mendapat rawatan disebelah pagi dan balik nanti cikgu naiklah bas ataupun teksi. Menangis isteri saya diklinik waktu menghubungi saya bila ditinggalkan di klinik tersebut. Apakah perasaan anda wahai pembaca 1 Malaysia? Adakah guru biasa selamat? ..............Dengarnya pengetua tersebut dah mengajar di daerah Kuala Kangsar pula......... Wahai pembaca, setiap apa yang saya paparkan di atas bukannya hendak menakutkan orang dari menjadi guru. Apa yang saya luahkan ini untuk mengingatkan pentadbir-pentadbir agar lebih berperasaan. Semoga guru biasa tidak terus terkorban...............
ANAK KOMANDO REJIMEN 1( Blog Cina Islam)
Posted by keristamingsari at 9:49 PM 0 comments
Suruhanjaya Diraja perlu kuasa penuh
K
UALA LUMPUR, 26 Julai (Hrkh) - AJK PAS Pusat, Dato' Seri Ir Mohamad Nizar Jamaluddin menggesa Suruhanjaya Diraja diberi kuasa penuh menyiasat punca kematian Teoh Beng Hock dan siapa yang bertanggungjawab melakukannya dan bukannya menyemak cara penyiasatan kes berkenaan dilakukan.
Ujar beliau rakyat mahu tahu kedudukan sebenar kes dan mahu pihak bertanggungjawab menerima hukuman setimpal.
Rakyat Malaysia dan pimpinan parti-parti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkehendakkan keamanan dan keadilan mahukan Suruhanjaya Diraja yang bebas menyiasat kenapa perkara ini berlaku dan siapa yang bertanggungjawab, katanya.
Beliau juga menolak tugas suruhanjaya yang hanya ditugaskan untuk menyiasat proesdur siasatan yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan siasatan pelanggaran hak asasi manusia.
Sebaliknya suruhanjaya perlu mengendali semua tugasana tersebut dengan jujur, telus dan tidak bias kepada mana-mana pihak, ujar Nizar yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak.
Sementara itu keluarga Teoh menolak penubuhan sebuah Suruhanjaya Diraja bagi meneliti dan mengkaji peraturan berkaitan soal siasat yang diguna pakai SPRM seperti yang diumumkan Perdana Menteri.
Malah mereka turut menolak keputusan kabinet yang mahu satu inkues yang diketuai seorang majistret akan dijalankan mencari punca kematian, sebaliknya mendesak kerajaan supaya memperluaskan skop suruhanjaya itu bagi turut menyiasat punca kematian bekas Setiausaha Politik Exco Selangor itu.
Dalam pada itu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang pula berkata, keputusan itu dibuat kerana mereka merasakan bidang kuasa seorang majistret terhad berbanding sebuah suruhanjaya dalam menentukan punca kematian Teoh.
Menurutnya, beberapa kes sebelum ini, termasuk kes mata lebam Ketua Pembangkang Dato' Seri Anwar Ibrahim, telah disiasat suruhanjaya yang diketuai hakim dan bukannya seorang majistret.
Dengan tahap keyakinan orang ramai mengenai badan kehakiman kita, maka kita merasakan adalah lebih baik sebuah Suruhanjaya Diraja ditubuhkan bagi menyiasat punca kematian Teoh.
Beliau dan keluarga Teoh pada asalnya gembira apabila mendapat tahu bahawa satu Suruhanjaya Diraja akan ditubuhkan,
Namun selepas meneliti maklumat dengan mendalam, DAP kecewa kerana suruhanjaya itu ditubuhkan bukan untuk menyiasat punca kematian, katanya.
Bagi keluarga Teoh, mereka mahukan sebuah suruhanjaya menyiasat mengapa mendiang boleh mati berhampiran bangunan ibu pejabat SPRM.
Kit Siang turut menyamakan keputusan PM itu sebagai satu 'silap mata' yang hanya memperolok rakyat.
Sebaliknya jika Najib ingin mencari kebenaran sebagaimana yang dinyatakannya, jawapannya ialah suruhanjaya tersebut perlu diberi bidang kuasa menyiasat penuh punca kematian, dan bukan inkues. - mks. _
Wan Nordin Wan Yaacob
Sun | Jul 26, 09 | 1:16:39 pm MYT ( Harakah Daily)
Posted by keristamingsari at 4:00 PM 0 comments
ISA: Abdullah disaran sertai Pakatan Rakyat
P
ERMATANG PAUH, 26 Julai (Hrkh) - Mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi disaran menyertai PAS atau Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) segera setelah sekata dalam usaha memperjuangkan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Haji Mohamad Sabu.
Menurutnya, walaupun sudah pencen daripada sebarang jawatan kerajaan kata-katanya masih berbisa dan merupakan tamparan hebat pada Umno dan Barisan Nasional (BN) apabila turut menyuarakan ketidak setujuan terhadap akta zalim itu.
"Pak Lah jangan berlegah lagi marilah bersama PAS atau KeADILan kerana suaranya pasti berbisa jika berada dalam Pakatan Rakyat. Jika bersama Umno dan BN apa yang diperkatakan ditolak mentah-mentah oleh kepimpinan sekarang, " ujarnya ketika berceramah di Taman Guar Perahu, Penanti semalam.
Baginya, jika Tun Abdullah masih kekal dalam Umno pastinya Umno sendiri akan melebelkan dirinya sebagai pengkhianat tambahan lagi datuknya, Tuan Guru Abdullah Fahim merupakan aktivis pergerakan Islam sehingga membawa penubuhan PAS pada awalnya.
Lebih-lebih lagi rakan seperjuanganya, seperti bekas menteri dan bekas pemimpin MCA, Dato' Chua Jui Ming serta terbaru bekas Naib Presiden MIC, S.S. Subramaniam mengumumkan menyertai KeADILan.
Kata Haji Mohamad, dua orang ternama dalam parti MCA dan MIC tidak teragak-agak membuat pilihan tepat apatah lagi Tun Abdullah yang dimalukan agar turun lebih awal daripada tarikh persaraan sebenar setelah didesak oleh orangnya sendiri setelah menunjukan prestasi terburuk dalam pilihanraya umum ke 12 lalu.
"Pak Lah buatlah pilihan yang tepat di usia yang ada kerana jika bertanding jawatan Tok Siak pun belum tentu menang kerana Umno dan penyokongnya tidak pandang pengalaman tetapi kuasa. Siapa yang berkuasa dipuji tapi bila pencen atau jatuh dalam politik diketepikan, " tambahnya dalam program Pemansuhan ISA anjuran Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang.
Turut berceramah sama dalam program 'Roadshow' Gerakan Mansuh ISA (GMI) peringkat Negeri itu ialah Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri, Ustaz Yusni Mat Piah dan wakil Dema yang mewakili Mahasiswa. - mks. ._
Mohd Sabri Said
Sun | Jul 26, 09 | 1:21:54 pm MYT ( Harakah Daily)
Posted by keristamingsari at 3:27 PM 0 comments
Himpunan Mansuh ISA 1 Ogos, jangan timbulkan provokasi!
K
UALA LUMPUR, 25 Julai (Hrkh) - Semua pihak diminta tidak menimbulkan provokasi dan melakukan pertembungan pada himpunan Mansuh ISA pada 1 Ogos kelak.
Menurut Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), Syed Ibrahim Syed Noh, pihaknya mengalu-alukan tindakan Pewaris dan beberapa NGO lain yang berhasrat mengadakan himpunan menyokong ISA, 1 Ogos akan datang dengan prinsip hak kebebasan mana-mana pihak untuk berhimpun.
Katanya, hasrat kumpulan pro-ISA itu untuk berhimpun merupakan hak mereka, yang tidak boleh ditahan oleh sesiapa pun.
Bagaimanapun, pihaknya berharap tidak berlaku 'pertembungan' atau apa-apa perkara yang boleh menimbulkan provokasi kepada kumpulannya (GMI) dan penyokong anti-ISA yang turut berhimpun pada hari yang sama.
"Kita tidak halang niat mereka, kerana berpegang dengan prinsip kebebasan bersuara dan berhimpun. Mereka juga ada hak seperti kita, cuma yang jelasnya program kita ini telah diuar-uarkan lebih awal lagi dengan pelbagai kempen dan penerangan mengenainya," kata beliau dalam sidang akhbar Sekretariat MANSUH, di Pejabat Agung PAS, hari ini.
Syed Ibrahim turut menyeru para peserta anti-ISA supaya datang lebih awal di ketiga-tiga lokasi yang ditetapkan supaya himpunan dapat bermula seperti dirancang dan lancar.
Tiga lokasi itu - Sogo, Masjid Jamek dan Masjid Negara dikekalkan mengikut perancangan asal, sebelum kumpulan dari ketiga-tiga lokasi tersebut akan ke Istana Negara bagi menyerahkan 'Deklarasi Rakyat'.
Beliau turut mengingatkan para peserta supaya mengenakan pakaian bertemakan merah hitam, dan bukannya berwarna putih seperti penyokong ISA.
Sementara itu, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub yang dilantik sebagai Komander himpunan tersebut mengharapkan Perdana Menteri,Dato' Seri Najib Tun Razak bersedia memansuhkan ISA bagi membuktikan komitmen beliau terhadap konsep 'Satu Malaysia-Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan' yang diperkenalkan beliau.
Beliau turut mengharapkan Najib mengambil peluang ketika menjadi PM untuk memansuhkan akta ini, dan bukannya hanya berani bersuara selepas meletakkan jawatan seperti Tun Abdullah Badawi.
Dalam pada itu, Salahuddin berkata himpunan 1 Ogos ini bukan melibatkan kepentingan politik, tetapi kepentingan semua yang tidak mahu melihat akta ini terus berkuasa dan berharap akan dipertimbangkan oleh Yang di-Pertuan Agong kelak.
Ditanya tentang hasrat Pewaris untuk berhimpun pada hari yang sama, Salahuddin berkata pihaknya mengalu-alukan badan bukan kerajaan itu untuk 'belajar' cara berhimpun serta memahami Akta Polis.
"Bagi mengelakkan sebarang pertembungan, kita akan memberi taklimat kepada para peserta supaya tidak termakan dengan sebarang provokasi dan berharap himpunan ini berjalan dengan baik," kata beliau.
Turut hadir dalam sidang media tersebut ialah Tian Chua, Setiausaha Parti Sosialis Malaysia (PSM), S. Arutchelvan; Ketua Pemuda PAS, Nasruddin Hassan; Timbalannya, Azman Shafawi; exco Pemuda PAS, wakil Hindraf, mahasiswa dan wakil Suaram. - mks._
Anis Nazri | Foto Wan Zahari Wan Salleh
Sat | Jul 25, 09 | 9:16:16 pm MYT ( Harakah Daily)
Posted by keristamingsari at 3:21 PM 0 comments
Bekas pemimpin MIC sertai KeADILan
K
UALA LUMPUR, 25 Julai (Hrkh) - Barisan Nasional (BN) menerima satu lagi tamparan hebat hari ini apabila bekas Naib Presiden MIC, Dato' SS Subramaniam mengumumkan menyertai KeADILan dalam satu majlis yang diadakan di MBPJ tengahari tadi.
Sebelum ini, bekas pemimpin MCA, Dato' Chua Jui Ming telah menyertai KeADILan dan menyatakan sokongan secara terbuka terhadap dasar-dasar perjuangan yang dibawa oleh Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim.
Tengahari tadi, dalam majlis di Petaling Jaya itu, Subramaniam juga mengumumkan bahawa 10 buah cawangan MIC di Petaling Jaya akan dibubarkan dan ahli-ahlinya akan menyertai KeADILan secara besar-besaran.
Dianggarkan seramai 1,700 ahli MIC daripada cawangan-cawangan tersebut akan menyertai KeADILan.
"Saya telah menyokong KeADILan dan Anwar Ibrahim sejak dahulu lagi, cuma sekarang saya dapat memberanikan diri untuk menyatakan bahawa saya akan sertai parti ini,"katanya sambil mendapat sorakan daripada lebih 350 hadirin dalam majlis tersebut.
Menurut laporan daripada Malaysiakini, Subramaniam telah berkhidmat sebagai Naib Presiden MIC lebih 20 tahun dan juga merupakan bekas Naib Pengerusi MIC Selangor untuk tiga dekad.
Selain itu, beliau juga pernah menjadi Adun Bukit Raja dan Ahli Parlimen Segamat.
Sementara itu, di awal majlis tersebut, pemimpin MIC cawangan Pekan Meru, AR Palaya juga mengumumkan menyertai KeADILan dan akan membubarkan cawangannya. - mks._
Harakahdaily
Sat | Jul 25, 09 | 6:35:59 pm MYT
Posted by keristamingsari at 3:20 PM 0 comments
Friday, July 24, 2009
Peranan Suruhanjaya Diraja dipersoal
K
UALA LUMPUR, 24 Julai (Hrkh) - Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Zaid Ibrahim mempertikai persoalan mewujudkan Suruhanjaya Diraja (RC) yang hanya untuk menyiasat prosedur pelanggaran hak asasi dan siasatan SPRM.
Sebaliknya isu tragedi kematian Teoh Beng Hock, tidak hanya boleh berpuas hati dengan pengumuman penubuhan Suruhanjaya Diraja oleh kerajaan Barisan Nasional.
"Seolah-olah dengan adanya pengumuman itu, semua masalah akan selesai. Nampaknya ada orang Malaysia sudah lupa dalam soal salah laku polis dan kes-kes kematian semasa siatan dan sewaktu dalam tahanan. Mereka sudah lupa bahawa cadangan-cadangan pokok yang dibuat oleh Tun Dzaiddin dan Tun Hanif dalam Laporan Suruhanjaya Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) lima tahun lalu masih belum dilaksanakan," katanya.
Mereka juga lupa mengenai cadangan-cadangan Suruhanjaya Diraja yang diketuai oleh Tan Sri Haidar mengenai kes pita video V.K. Lingam, katanya.
Walaupun kandungan laporan itu sudah dimaklumkan kepada umum, dan secara "prima facie" memang ada kes salah laku oleh orang-orang ternama, tindakan susulan yang sepatutnya dilaksanakan oleh Peguam Negara tidak pun berlaku, katanya
Kini satu lagi sejarah hitam berlaku dalam negara ini di mana Teoh menjadi mangsanya, ujar beliau.
Rakyat Malaysia sekali lagi mahu sebuah suruhanjaya untuk menyiasat kematian Teoh, namun apakah penubuhan itu benar-benar akan menyelesaikan pokok permasalah sebenar, ujarnya.
"Nampaknya sekali lagi kita akan dipermainkan, dan sudah pasti kita akan terus kecewa dan hampa.
"Perdana Menteri menyediakan dua badan untuk menyiasat kes tersebut. Oleh kerana rakyat mahukan Suruhanjaya Diraja, maka Najib menghadiahkan satu suruhanjaya tapi ia hanya untuk menyiasat prosedur yang digunakan oleh pihak penyiasat, iaitu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
"Yang menyiasat soal pokok yang lebih besar dan penting, iaitu mengenal punca sebab kematian Teoh yang memang semua orang ingin tahu, Najib menyerahkan tugas yang maha berat itu kepada seorang majistret, iaitu pegawai mahkamah yang paling rendah pangkat dan kedudukannya di bawah kawalan Peguam Negara," katanya.
"Jadi, marilah kita sama-sama fikirkan sendiri, sejauh mana hasil siasatan seorang majistret dan sama ada kebenaran akan terserlah nanti. Saya jangka satu lagi 'cover up' akan berlaku," ujar Zaid yang juga bekas ahli Parlimen BN Kota Bharu.
Beliau mengingatkan bahawa Suruhanjaya Diraja di bawah undang-undang hanya boleh membuat cadangan-cadangan sahaja.
Sementara tindakan muktamad terhadap orang yang didapati bersalah bergantung kepada Peguam Negara, katanya.
Sekiranya Peguam Negara menyatakan tiada salah laku, maka dengan itu tak wujudlah kesalahan, walaupun Suruhanjaya Diraja mendapati ada kesalahan, ujarnya.
Lihatlah apa yang berlaku dalam kes pita video Lingam, hingga hari ini, yang jelas bersalah masih belum di bawa ke muka pengadilan, katanya.
"Kalau rakyat mahu tahu dengan sebenar-benarnya mengenai bagaimana dan sebab-sebab Teoh, A. Kugan dan 1,500 orang lagi yang mati dalam tahanan sejak 6 tahun lalu, hanya ada satu cara sahaja, kita kena tolak BN. Biarlah Pakatan Rakyat pula diberi peluang memerintah. Itu sahaja harapan kita untuk mengetahui perkara yang sebenar," katanya. - mns_
Wan Nordin Wan Yaacob
Fri | Jul 24, 09 | 2:28:30 pm MYT ( Harakah Daily)
Posted by keristamingsari at 7:40 PM 0 comments
Kenyataan YB Dr. Lo' Lo' isu hukuman sebat ke atas pesalah minum arak
A
rtikel Themalaysianinsider.com bertarikh 23 julai 2009 dengan tajuk-tajuk berikut 'Outrage Over Caning For Model' dan 'Syariah Lawyers Association Regrets Shahrizat's Statement On Whipping Of Model� adalah dirujuk.
Di dalam kedua-dua artikel tersebut ada menyiarkan seperti berikut : a) Titiwangsa MP Lo'lo Mohd Ghazali, who is also head of the women's wing of the opposition PAS, said that punishment should educate and not cause hurt. b) Shahrizat said she was shocked by the Syariah Court decision and called for a fair and just punishment. Meanwhile, Dr Lo'lo was surprised that whipping of women was sanctioned by the Malaysian syariah law adding punishment should be educational, and not to cause hurt.
Petang semalam saya telah dihubungi oleh wartawan meminta saya memberi sedikit komen berkaitan hukuman oleh Mahkamah Syariah Kuantan yang menjatuhkan hukuman sebat terhadap seorang model sambilan atas kesalahn meminum arak.
Saya telah memberikan komen saya dengan sucihati megikut pengetahuan saya berkaitan hukuman dan realiti masyarakat Malaysia. Malangnya terdapat pihak-pihak yang melihat kenyataan di akhbar dari konteks yang lain.
Pertama, saya terkejut dengan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Syariah Kuantan ke atas model tersebut. Memang saya terkejut kerana ada juga Mahkamah Syariah di Malaysia yang berupaya menghukum pesalah dengan hukuman sebegitu walaupun peruntukkan tersebut telah lama ada.
Tetapi baru sekarang hukuman sebegitu dijatuhkan bagi pesalah kesalahan tersebut. Saya amat bersetuju dengan hukuman tersebut kerana sekurang-kurangnya hukuman tersebut begitu hampir dengan hukuman Hudud.
Di dalam Hudud, hukuman bagi pesalah minum arak adalah 40 kali sebatan malah ada ulamak yang mengatakan sehingga 80 kali sebatan. Sebelum ini tiada Mahkamah yang menjatuhkan hukuman sebegitu walau pun Mahkamah Syariah sepatutnya menghukum mengikut hukaman Allah tetapi di Malaysia ini hukuman yang dikenakan tidak seperti yang ditetapkan Allah dalam Al-Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W.
Apabila Mahkamah Syariah Kuantan menjatuhkan hukuman sebat ke atas model tersebut, ini membuatkan saya terkejut.
Bukan terkejut kerana hukuman tetapi terkejut kerana keberanian Hakim Mahkamah Syariah tersebut. Syabas kepada beliau.
Kedua, saya mengatakan sebarang bentuk hukuman yang dikenakan samada denda, sebatan atau penjara, semuanya hendaklah dalam bentuk untuk memberi pengajaran kepada pesalah, bukannya untuk mendera atau menyebabkan kecederaan kepada pesalah.
Hukuman di dalam Islam adalah untuk memberikan pengajaran kepada pesalah dan khalayak supaya menginsafi perbuatan itu.
Di dalam kes ini, saya berpendapat masyarakat umumnya masih tidak memahami kaedah bagaimana sebatan ke atas pesalah dilakukan.
Adakah ianya dilakukan sama seperti pesalah-pesalah jenayah lain di dalam undang-undang jenayah sivil. Masyarakat umum mengetahui bagaimana hukuman sebat dilakukan ke atas pesalah jenayah sivil seperti di dalam kes pengedaran dadah, merogol, meliwat dan sebagainya.
Adakah hukuman sebat di Mahkamah Syariah dilakukan dengan kaedah yang sama? Inilah kebimbangan yang saya sebutkan kepada wartawan tersebut bimbang hukuman sebat ini dianggap sebagai hukuman Mahkamah Sivil sehingga memberi tanggapan buruk kepada Mahkamah Syariah, lebih-lebih lagi yang dihukum seorang wanita.
Ini yang perlu diperjelaskan. Inilah maksud saya bila saya mengatakan hukuman sepatutnya untuk tujuan pengajaran, bukan untuk mendatangkan kecederaan.
Saya merujuk kepada Titiwangsa MP Lo'lo Mohd Ghazali, who is also head of the women's wing of the opposition PAS, said that punishment should educate and not cause hurt. Artikel ini dengan jelas tidak tepat kerana saya bukan
Ketua Muslimat PAS seperti yang didakwa. Justeru saya mengharapkan agar tiada pihak yang sewenang-wenangnya mempercayai sebarang tulisan di akhbar sebelum mendapat maklumat secukupnya.
Saya kira sudah sampai masanya pihak berkuasa di Malaysia iaitu Umno/BN 'merotan' Pengurus MAS yang menyebabkan semua mereka yang berada dalam satu-satu penerbangan terlibat secara langsung dengan arak, iaitu dari pramugara/i yang hidang arak sehinggalah pilot yang mengemudi kapal terbang tersebut.
Begitu juga perlu 'disebat' pihak yang terbabit berpuluh-puluh tahun membiarkan orang-orang Islam terlibat secara langsung dengan arak di hotel-hotel, 7- Eleven, pasaraya-pasaraya dan pekerja-pekerja Islam di kilang Carlberg.
Akhir sekali, SYABAS KEPADA MAHKAMAH SYARIAH KUANTAN dan Syukur Alhamdulillah kepada Puan Kartika Sari Dewi Shukarnor yang telah menginsafi perbuatan tersebut.
Moga Allah menerima taubat hambaNya yang menyesali kesalahan. DI SINI SAYA LONTARKAN PERSOALAN INI KEPADA SEMUA ORANG ISLAM DI MALAYSIA, SIAPAKAH YANG SEPATUTNYA DISEBAT DALAM ISU ARAK DI MALAYSIA?./wann _
Dr Lo Lo Dato' Mohd Ghazali
Fri | Jul 24, 09 | 12:02:25 pm MYT ( Harakah Daily)
Posted by keristamingsari at 7:37 PM 0 comments
Darihal Isra' Mi'raj
I
sra' Mikraj adalah antara proses kematangan kerohanian Rasulullah s.a.w dalam menempuh perjuangan baginda. Ketika ini, seluruh tubuhnyadibalut keletihan. Jiwanya dibungkus keresahan.
Letih, lesu dan resah gelisah yang berkubang di jiwa raganya dipendam bersendirian saat mengenang apakah lagi malang nasib yang jatuh ke atasnya bertimpa-timpa pada masa-masa yang akan datang.
Khadijah, saudagar wanita, penyokong sendi kekuatannya telah wafat. Abu Talib, bapa saudaranya, tonggak perjuangan dan penampan kepada serangan kafir Quraisy telah pun pergi meninggalkannya.
Selama ini, rasa segan terhadap Abu Talib dalam kalangan musyrikin itulah yang menyelamatkannya daripada serangan yang berlaku akibat dakwah itu.
Bermodalkan kedudukannya sebagai anak saudara Abu Talib, maka tiada sesiapa pun yang berani menyentuh baginda.
Tetapi keadaan telah berubah kini. Dengan kewafatan Khadijah disusuli pemergian Abu Talib, akar tunjang dan tonggak kekuatan lambang keutuhan perjuangan dakwah baginda telah hilang.
Pemergian kedua-duanya berlaku dalam tahun yang sama. Hal ini begitu terkenal dalam sirah sehingga sejarawan telah menamakan tahun tersebut sebagai 'Tahun Kesedihan' ('amul huzni).
Bayangkan, bagaimana baginda dapat menempuh kehidupan ini bersendirian dengan Fatimah yang masih kecil. Apalah sangat yang mampu dilaksanakan gadis sekecil itu melainkan dengan menyapu najis unta yang dilumurkan ke atas kepala baginda ketika sedang bersujud di depan Kaabah.
Allah maha besar! Allah maha berkuasa. Tidak sesekali Dia meninggalkan kekasihNya dihimpit derita itu bersendirian. Sudahlah ketika kecilnya dia kehilangan bapa ketika masih dalam kandungan, malah al-Amin juga ditinggalkan oleh ibu dan datuknya ketika masih kecil.
Kini, menjelang dewasa, ketika dia diarahkan Tuhan untuk menyebarkan dakwah, maka dia diuji dengan rasa bersendirian menanggung bebanan dakwah ini.
Bagi tujuan menghibur baginda, dan atas tujuan mengingatkan pertalian perjuangan risalah ini yang ada kaitan dengan perjuangan nabi terdahulu, maka itulah antara sebabnya kenapa baginda dijemput Tuhan ke langit tertinggi.
Isra' Mi'raj adalah suatu peristiwa yang teragung dalam bulan Rejab, setahun sebelum penghijrahan Rasulullah s.a.w dan para sahabat, beramai-ramai ke Madinah.
Ertinya, Isra' Mi'raj adalah 'turning point', titik permulaan Islam mula bertapak di Mekah, solat mula diisytiharkan sebagai suatu amalan dan ketika itu hidup Muslimin penuh dengan riwayat sengsara dan gangguan sehingga memaksa mereka mencari perlindungan di Madinah. Lalu, dengan itu terbentuklah sebuah Negara Islam yang pertama di dunia.
Ini kerana, sejurus kembalinya baginda membawa khabar berita, gambaran peristiwa langit, maka baginda dicela Abu Lahab, bapa saudaranya sendiri. Bermula saat itu, tekanan ke atas baginda telah bermula. Itu perkara yang pertama.
Yang kedua, Isra' Mi'raj adalah satu 'turning point' di mana Islam itu terasas dengan begitu kukuh oleh kerana telah termaktub suatu resolusi dari langit mengenai kefardhuan solat yang mana sebelum itu, solat belum lagi diperkukuhkan sebagai suatu amalan yang wajib.
Tiga pihak, dua kejadian
Resolusi mengenai kewajipan solat itu melibatkan tiga pihak, dua kejadian. Pihak yang terlibat dalam hal 'mewajibkan' solat itu ialah Allah s.w.t, Nabi Musa a.s yang berunding dengan Rasulullah s.a.w dan hasil ulang-alik Nabi Muhammad s.a.w menemui Allah s.w.t untuk mengurangkan jumlah bilangan solat fardhu tersebut.
Selain itu, dua peristiwa yang menyebabkan timbul rasa ghairah supaya diwujudkan suatu mekanisme perhubungan langsung antara manusia dengan penciptaNya, ialah kerana baginda telah menyaksikan gelagat para malaikat yang telah bersujud, rukuk kepada Tuhan dengan lain-lain perbuatan yang mirip kepada solat hari ini.
Peristiwa kedua, ialah ketika Nabi Muhammad s.a.w sendiri diangkat menjadi imam untuk mengerjakan solat di mana para makmum di belakangnya adalah nabi-nabi yang terdahulu sebelum baginda.
Lalu, terfikir di benak baginda, alangkah baiknya jika diwujudkan suatu mekanisme yang menyebabkan manusia sentiasa dapat berhubung dengan Tuhannya lewat ibadat tersebut.
Keghairahan Rasulullah s.a.w mengenai solat itu tergambar ketika hampir tiba saatnya baginda wafat. Di bibir baginda hampir tidak lekang menyebutkan, "Ummati.. as-Solah.." (Umatku.. sembahyang..)
Betapa tidak! Nabi Muhammad s.a.w telah naik ke langit menyaksikan malaikat bersujud hingga baginda tentang bagaimana mahu umatnya bersujud sebegitu rupa dengan tempoh lama dan penuh semangat.
Tetapi, amalan berat seperti solat ini telah diminta dikurangi oleh Musa a.s apabila nabi itu teringatkan pengalaman Bani Israel yang berat menerima perintah solat tersebut.
Sebab itu, kita dapatlah memahami kenapa sampai begitu tebal sekali baginda mengingatkan hal tersebut kepada umatnya berhubung solat, hatta ketika hampir wafat sekali pun. Tidaklah disebut hal zakat, puasa dan lain-lainnya, melainkan solat itulah yang kerap diperingatkan baginda.
Pembebasan Palestin
"Maha suci Allah yang membawa hambaNya pada malam hari dari Masjidil Haram di Makkah hingga ke Masjid Aqsa (Palestin) yang diberkati sekelilingnya untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Allah juga yang amat mengetahuinya." (Surah al-Isra': 1)
Ada riwayat menunjukkan bahawa Rasulullah s.a.w diarah Jibril agar berhenti, bersolat dua rakaat, seperti di Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah s.a.w akan melakukan hijrah, Bukit Tursina (tempat Nabi Musa a.s menerima wahyu) dan Baitul-Laham (tempat Nabi 'Isa a.s dilahirkan).
Unsur kesengajaan memang wujud di sini walaupun dalam nas di atas, hanya perihal Israk sahaja yang dihebahkan Tuhan. Langsung sahaja Tuhan menyebut tempat berlepas Rasulullah s.a.w itu dari Masjidil Aqsa yang kini berada dalam tahanan Yahudi Zionis.
Seolah-olah Tuhan mahu beritahu kita sesuatu, apakah tindakan kita untuk membebaskan Masjid al-Aqsa? Sebagai Muslimin individu yang terhad kuasanya, kita mungkin boleh diampunkan dengan sebab kita telah mengeluarkan wang ringgit untuk membantu seadanya, termasuk menggesa negara berbuat sesuatu tanpa melibatkan PBB.
Yang patut menjawab di hadapan Allah s.w.t kelak ialah para pemimpin negara Islam yang tunduk berdiam diri dan hanya bertawakal kepada PBB untuk menyelesaikan kemelut berkenaan.
Syahadan, mungkin tak perlu diletakkan perihal mi'raj ke langit oleh sebab langit itu tiada nama yang khusus seperti halnya di bumi. Tapi, sengaja disebutkan Masjidil Aqsa guna menyentuh hati nurani Muslim agar peka ke atas pergolakan di sana yang berombak dengan lautan darah dan membadai dengan air mata.
Pada zaman ini, kita boleh saja menaiki pesawat terbang ke udara. Perihal naik ke udara itu tidak perlulah ditekankan sangat sebab kawasan langit dan laluan udara tempat laluan pesawat itu tidak penting sangat untuk diketahui.
Yang penting diketahui adalah tempat di mana pesawat kita mahu berlepas (departure) dan tempat di manakah pesawat itu bakal mendarat (landing). Ertinya, terbang ke awan itu sudah diketahui umum, tapi yang diperkirakan orang ketika mahu berpergian ke mana-mana ialah di tempat mana pesawat mereka mahu berlepas dan di tempat mana ia akan mendarat.
Sebab itu, kita jangan hairan kenapa nas itu tidak menghebahkan soal mi'raj, sebaliknya cuma menyebut tempat berlepas ketika Isra' (berjalan malam). Tuhan menyebutkan Masjidil Aqsa itu bererti, tempat itu amat penting dan bernilai.
Sebagai termaklum, selepas peristiwa Isra' Mi'raj, solat difardhukan. Tempoh daripada kisah itu hingga penghijrahan ke Madinah memakan masa selama setahun. Dan, ketika di Madinah juga, Muslimin masih berkiblat kepada Masjidil Aqsa.
Maka, sebelum mendapat arahan bahawa Muslimin wajib solat fardhu lima waktu, Nabi Muhammad s.a.w diminta 'berkenalan' terlebih dahulu dengan kiblat pertama kita di Baitul Maqdis itu, sebuah daerah kelahiran Nabi Isa a.s dan tempat Nabi Musa a.s menempatkan Bani Israel dalam sebuah negara merdeka dalam riwayat-riwayat terakhir perjuangan dakwahnya.
Maka, sejurus tibanya baginda ke Mekah, ketika itulah bermulanya solat dengan kiblat terarah ke Masjidil Aqsa; kiblat pertama yang mana Nabi Muhammad s.a.w telah diperkenalkan terlebih dahulu dengannya sebelum ini.
Seolah-olahnya, sebelum menerima perintah solat yang wajib itu, Tuhan juga mahu berbicara kepada kekasihnya, "Inilah nantinya yang akan menjadi kiblat umatmu kelak!"
Mirip kisah tarbiyah Musa - Khidhir
Perjalanan kerohanian Nabi Muhammad s.a.w bersama Jibril a.s itu mirip kepada tarbiyah Khidhir a.s ke atas Musa a.s dalam surah al-Kahfi. Dalam perjalanan, ada saja penglihatan yang terbentang dan pengajaran yang baginda lihat.
Diriwayatkan bahawa baginda telah menyaksikan golongan yang sedang bertani dam terus menuaikan hasil pertaniannya.
Baginda juga menyaksikan tempat berbau harum iaitu bau kubur Masyitah (tukang sikat rambut anak Firaun) bersama suami dan anak-anaknya yang dibunuh Firaun, kaum sedang memecahkan kepala, kaum yang menutup kemaluan dengan secebis kain serta lelaki dan perempuan yang memakan daging mentah berbau busuk.
Rasulullah dibawa ke beberapa lapisan langit bertemu dengan kalangan nabi dan rasul, termasuk Nabi Isa, Nabi Musa dan Nabi Ibrahim yang sedang berada di Baitul Ma'mur bersama beberapa kaumnya.
Rasulullah s.a.w juga melihat golongan yang sedang menanggung satu bebanan. Ketika bebanan itu berat, mereka menambah lagi bebanan itu sehingga mereka tidak terdaya lagi menanggungnya.
Demikian iktibar ke atas penguasa yang tidak kuat menanggung amanah rakyat, tapi masih sanggup lagi menanggung amanah rakyat yang akhirnya menyebabkan mereka menderita azab yang parah di akhirat kelak.
Demi sesungguhnya, iktibar dan pengajaran Isra' Mi'raj ini tak akan sampai tamat diulas kerana falsafahnya sangatlah kaya sekali sehinggakan kita tidak akan jemu-jemu meneliti kisah ini.
Sebuah kisah yang sarat dengan inti pengajaran dan padat dengan iktibar khususnya kepada pemerintah yang masih enggan menginsafi segala kejahatan yang dilakukannya selama ini sehingga mengundang musibah besar ke atas rakyatnya pula.
4:25 p.m, 19 Julai
Sekolah Pemikiran Kg Baru
Pandangan dan maklumbalas boleh dimajukan lewat mel-e ibnuamir@yahoo.com.Alamat email ini telah dilindungi dari spam bots, anda perlukan Javascript enabled untuk melihatnya _
Fahri Abdullah al-Masri
Mon | Jul 20, 09 | 7:01:44 pm MYT ( Harakah Daily)
Posted by keristamingsari at 9:54 AM 0 comments
Matahari menangisi penderhakaan penghuni bumi terhadap Allah
G
ERHANA matahari yang menyelubungi sebahagian mukabumi pada Rabu (22 Julai) dihitung sebagai yang paling lama dalam abad ini. Ia dapat dilihat secara maksimum selama enam minit dan 39 saat di beberapa bahagian dunia, terutama sekitar India, China dan Jepun.
Menurut rekod pakar kaji bintang, kali terakhir berlakunya gerhana penuh sebelum ini ialah pada Ogos 2008. Kejadian itu dapat dilihat selama dua minit dan 27 saat.
Ada pun di rantau sekitar negara kita gerhana matahari yang berlaku kali ini hanya separa dan dapat dilihat secara minimum sahaja. Ia memang sukar dicerap dengan mata kasar memandangkan hanya tidak sampai 18 peratus permukaan matahari dilindungi bulan.
Sementara penduduk dunia lebih cenderung membicarakan gerhana matahari sebagai fenomena astronomi dan keganjilan alam, agama Islam pula mengajar umatnya menjadikan kejadian yang amat jarang berlaku itu sebagai peluang manusia mengagumi qudrat (kekuasaan) dan iradat (kehendak) Yang Maha Menjadikan.
Di dalam al-Quran, Allah Ta'ala beberapa kali menyebut tentang kekuasaannya ke atas kejadian langit, bumi dan apa juga yang ada di antara kedua-duanya. Tidak ada seinci pun dari alam cakerawala ini yang bebas dari jajahan takluk Allah, termasuk bulan, bintang dan matahari.
Al-Quran juga memperincikan tabiat bulan dan matahari yang masing-masing beredar di atas paksi tersendiri. Kedua-dua makhluk itu tunduk dan patuh kepada ketentuan Allah. Antaranya sebagaimana firmanNya dalam Surah Yaasin 36: 38-40:
"Dan (sebahagian dari dalil kekuasaan Allah ialah) matahari. Ia kelihatan beredar ke tempat yang ditetapkan baginya. Itu adalah takdir Tuhan Yang Maha Kuasa lagi Maha Mengetahui.
"Dan bulan pula Kami takdirkan dia beredar melalui beberapa peringkat, sehingga di akhir peredarannya kelihatan kembalinya pula ke peringkat awalnya (berbentuk melengkung) seperti tandan yang kering.
"(Dengan ketentuan yang demikian), matahari tidak mudah baginya mengejar bulan dan malam pula tidak dapat mendahului siang, kerana tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edarannya masing-masing."
Menginsafi betapa setiap kejadian di alam ini adalah tanda dan bukti kekuasaan Allah, maka Islam menganjurkan cara tersendiri untuk umatnya menyambut kehadiran gerhana, sama ada matahari atau bulan. Kita digesa berkumpul mendirikan solat khusus sempena gerhana.
Di kalangan orang-orang tua dulu, mereka ada cara tersendiri untuk menafsirkan setiap kali kejadian gerhana, sama ada matahari atau bulan. Mereka membahasakan gerhana bulan itu sebagai "bulan sakit", manakala gerhana matahari sebagai "matahari marah" atau "matahari menangis".
Ketuk batang pokok
Ada pula berbagai upacara dibuat sewaktu melihat gerhana yang entah diceduk dari ajaran kitab atau agama mana. Antaranya ialah mengetuk batang pokok yang tidak mahu berbuah. Kononnya ketukan itu dapat membuang sifat malas berbuah yang mendiami pokok itu.
Ada banyak lagi cerita dan pegangan yang bertradisi dalam masyarakat dahulu kala berkaitan gerhana. Namun dengan peredaran zaman dan disebabkan kejadian gerhana itu terlalu jarang berlaku, adat dan kepercayaan itu tidak begitu diwarisi oleh generasi sekarang.
Apa yang lebih menguasai pemikiran masyarakat dunia hari ini ialah teori dan pembuktian saintifik. Bahawa gerhana matahari adalah fenomena astronomi yang berlaku apabila bulan berkebetulan melintasi hadapan matahari di waktu siang. Bayang bulan yang jatuh ke mukabumi menghasilkan kegelapan.
Namun, sepertimana dinyatakan Allah Ta'ala di dalam firmanNya yang dipetik tadi, "matahari tidak mudah baginya mengejar bulan". Pun begitu, soal mudah atau tidak sebenarnya tertakluk kepada kuasa Allah jua.
Begitu juga, oleh kerana kedua-dua planet itu "beredar terapung-apung di tempat edarannya masing-masing" mengikut ketentuanNya, maka wajib juga diimani bahawa jika Dia menghendakinya Dia juga Maha Berkuasa sesekala melencongkan peredaran mereka dari tabiat biasa itu.
Dalam mengagumi kekuasaan Tuhan ini, penulis teringat satu ceramah agama yang secara tidak langsung menyentuh soal matahari. Ustaz yang memberikan ceramah menghuraikan ayat berhubung tanda-tanda kekuasaan Allah ke atas penciptaan langit, bumi, bulan, bintang dan matahari.
Katanya, dengan qudrat dan iradat Allah, matahari mengelilingi bumi tanpa henti. Namun ada ketikanya matahari mengadu kepada Allah Ta'ala. Sebagai makhluk yang tunduk patuh tanpa engkar kepada Tuhan, matahari "menangis" dan meminta izin Allah Ta'ala untuk tidak lagi terus menyinari bumi.
Ia sangat kecewa dan merasa seolah-olah nikmat cahaya yang dipancarkannya tanpa jemu kepada penghuni bumi telah tidak dihargai apabila penghuni bumi tetap kufur dan derhaka terhadap Alah Ta'ala.
Namun permintaan matahari itu tidak diizinkan Allah. Dia sebaliknya menegaskan kepada matahari, "kamu sempurnakanlah tugas kamu (terus beredar dan bersinar). Ada pun soal keengkaran dan penderhakaan penghuni bumi itu biarlah Aku menanganinya dengan cara lain." Moral cerita ini amat dalam. Ia antara lain mengajar kita bahawa di dalam melaksanakan suruhan dan larangan Allah, kita makhluk mesti menunjukkan ketaatan mutlak. Meski pun suruhan Tuhan itu bertentangan dengan pendapat atau nilaian kita, itu bukan pilihan untuk kita tinggalkan apa yang telah diarahkan Allah Ta'ala.
Dari sudut pandang berbeza, jika gerhana matahari itu boleh diistilahkan sebagai "matahari menangis", maka menjadi tanggungjawab kita manusia membahasakan sebab-musabab tindakan matahari itu. Untuk itu kejadian gerhana matahari wajar dijadikan peringatan agar kita tidak terus engkar dan derhaka terhadap Rabbil Alamin._
Mat Zain Mat Isa
Thu | Jul 23, 09 | 2:51:52 pm MYT ( Harakah Daily)
Posted by keristamingsari at 9:49 AM 0 comments
Bukan majlis berkabung - Khalil Idham Lim
P
ARIT BUNTAR, 23 Julai (Hrkh) - Ketua Penerangan PAS negeri yang juga Adun Titi Serong, Khalil Idham Lim menafikan majlis menyalakan lilin yang turut dihadiri beliau dan Dato' Seri Ir Mohamad Nizar Jamaludin adalah majlis berkabung bagi memperingati kematian Teoh Beng Huat seperti didakwa pensyarah Jabatan Fiqh Universiti Islam Antarabangsa, Profesor Dato' Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid.
Gambar tersebut dan majlis menyalakan lilin itu diadakan semasa sesi sidang media 17 Julai lalu bertempat di Wisma DAP Ipoh.
Sidang media itu dianjurkan Sekretariat Pakatan Rakyat yang dihadiri 20 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Rakyat dan pemimpin parti.
Idham Lim yang juga bekas penganut Buddha menjelaskan, amalan memegang lilin dan colok bagi orang Cina adalah budaya nenek moyang yang sudah turun temurun diamalkan.
"Saya ingin jelaskan bahawa menyalakan lilin adalah budaya yang diamalkan oleh bangsa kami turun temurun malah ia menjadi amalan kepada penganut Islam di negara China.
"Sebab itulah jika kita berkunjung di mana-mana masjid di China kita pasti akan dapat membeli colok yang dijual di masjid," katanya.
Beliau yang memeluk Islam ketika berusia 23 tahun berkata, di negeri China para imam, ahli jawatankuasa masjid dan umat Islam akan berbaris masuk ke dalam masjid dengan memegang colok yang dinyalakan sambil mengalunkan takbir raya.
"Sebelum melangkah masuh ke dewan sembahyang, colok itu ditinggalkan di luar. Saya ada koleksi gambar mengenai upacara ini sebagai bukti," ujarnya.
Menurutnya, beliau dan Nizar bersama Adun Pakatan Rakyat yang lain memegang lilin sebagai menghormati acara selingan yang diadakan dalam sidang media tersebut dan bukannya bertafakur seperti diminta.
"Sebelum ini sudah banyak kawan-kawan bukan muslim yang menghormati upacara membaca doa dalam pelbagai majlis," jelasnya.
Idham Lim turut mempersoalkan motif isu itu diperbesarkan tetapi di dalam masa yang sama persoalan asal yang lebih besar iaitu tindakan meragut nyawa manusia yang merupakan hak Allah tidak dipersoalkan.
"Saya bimbang pihak berkenaan hanya berani berkokok dalam isu ini tetapi apabila melibatkan pemimpin Umno, golongan ini tidak bersuara menegur," katanya kesal.
Banyak lagi tindakan dan perlakukan pemimpin Umno yang mengaku beragama Islam wajib ditegur tetapi golongan tersebut hanya berdiam diri.
"Antaranya adalah upacara meletakkan kalungan bunga di Tugu Negara yang telah difatwakan haram (oleh Majlis Fatwa Kebangsaan), kenapa golongan tersebut tidak berani menegur," katanya.
Beliau berharap penjelasan ini dapat meredakan suasana resah yang sengaja ditimbulkan golongan tertentu khususnya Umno bagi mengelirukan rakyat.
Baru-baru ini Adun Pangkor, Dato' Seri Dr Zambry Abdul Kadir dalam kenyataannya di sebuah akhbar menggesa Mursyidul Am PAS, Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat 'mengeluarkan fatwa' berhubung tindakan Nizar menyertai majlis nyalaan lilin bagi memperingati Beng Hock.- tajdid_
Johari Jaafar
Thu | Jul 23, 09 | 5:23:27 pm MYT ( Harakah Daily)
Posted by keristamingsari at 9:47 AM 0 comments
Wednesday, July 22, 2009
ISA 'penyelamat' pemimpin pemerintah, bukan keselamatan negara - Presiden PAS
A
LOR SETAR, 21 Julai (Hrkh) -Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada masa ini bukan lagi undang-undang keselamatan negara sebaliknya menjadi undang-undang keselamatan kepada tokoh dan pemimpin parti yang memerintah.
Demikian ditegaskan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang baru-baru ini berhubung akta 'tanpa bicara' yang telah mendapat bantahan seluruh masyarakat sekaligus menggesa kerajaan memanmsuhkannya serta-merta.
Katanya, ISA adalah undang-undang zaman penjajah sedangkan negara ini memerlukan satu undang-undang yang merdeka tanpa mengongkong rakyat sebaliknya bertujuan untuk menjaga keamanan dan keselamatan.
"Bukan kita tidak boleh bertindak untuk selamatkan negara. Tetapi undang-undang itu sudah lapuk, undang-undang yang diamalkan oleh penjajah. Kita sudah merdeka, mesti undang-undang yang tidak mengongkong rakyat, yang menjaga keamanan, keselamatan.
"Apa yang berlaku hari ini undang-undang keselamatan negara menjadi undang-undang keselamatan pemimpin-pemimpin parti yang memerintah, keselamatan tokoh-tokoh yang memerintah, ini bukan undang-undang keselamatan negara!" tegasnya pada sidang media di Hotel Holiday Villa, di sini semalam
Ditanya wartawan mengenai kedapatan pihak dalam Umno yang mulai mempertikaikan ISA, Ustaz Hadi menyifatkan perkara itu sebagai kejayaan dari teguran dan kritik dibuat selama ini.
"Menunjukkan bahawa mereka (Umno) sudah tidak bersetuju dengan konsep ISA itu dan dasarnya yang perlu dikaji semula, perlu dinilai semula. Apatah lagi akta ini akta dari zaman penjajahan, negara kita telah mencapai kemerdekaan, sepatutnya dilakukan pembaharuan termasuklah pembaharuan undang-undang; memerdekakan undang-undang negara, undang-undang negara mesti dibebaskan dari belengu-belengu kezaliman yang mengongkong rakyat.
"Umno juga ada yang setuju mansuh, ada yang setuju pinda, (maknanya) dalam Umno sudah ada perbahasan di dalam mereka," ujarnya pada sidang media selepas selesai Retreat PAS Pusat yang berlangsung selama tiga hari itu.
Turut serta pada sidang media tersebut ialah Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa; Naib Presiden, Dato' Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man dan Dato' Mahfuz Omar; Ketua Muslimat, Ustazah Nuridah Mohd Salleh; Setiausaha Agung, Dato' Mustafa Ali; Ketua Penerangan, Ustaz Idris Ahmad dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak. - azm _
Izwan Abdul Halim
Tue | Jul 21, 09 | 9:23:49 am MYT (Harakah Daily)
Posted by keristamingsari at 8:19 AM 0 comments
Zahid Hamidi mesti disiasat kerana jumpa Ehud Barak
P
AS mengecam tindakan Menteri Pertahanan Malaysia yang berjumpa dengan Menteri Pertahanan Israel, Ehud Barak semasa Pertunjukan Udara Paris di Perancis Jun lepas.
Pertemuan yang berlangsung selama 35 minit dengan Barak adalah satu pertemuan yang mengguris perasaan umat Islam di Palestin dan saudara seagama di Asia Barat.
Persoalannya, adakah kerajaan Malaysia sudah mengiktiraf kerajaan haram ini?
Zahid mesti disiasat kenapa beliau berani berbuat demikian. Paling merbahaya, beliau adalah Menteri Pertahanan yang sanggup berjumpa dengan manusia yang saban hari menyembelih umat Islam di Palestin.
Siapakah Zahid yang hendak berlagak dan tunjuk hero kepada dunia untuk berbincang dengan Israel?
Seperti sedia maklum bahawa pemimpin Israel bukan bangsa yang boleh berbincang.
Israel hanya faham dengan bahasa jihad sahaja. Buktinya, berapa banyak perundingan mengenai masalah Palestin terutamanya, telah gagal kerana dikhianati oleh Israel.
Tentu kita masih ingat, Dr Mahathir Mohamad, sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri dahulupun, menafikan pertemuan dengan pemimpin Israel kerana takut umat Islam marah.
Sudah pasti pertemuan Zahid dengan Barak ini mendapat restu daripada Perdana Menteri Malaysia Dato' Seri Najib Razak, ini satu lagi hadiah 1Malaysia pada rakyat.
--
Idris ialah Ketua Penerangan PAS Pusat_
Ustaz Idris Ahmad
Tue | Jul 21, 09 | 7:26:56 pm MYT (Harakah Daily)
Posted by keristamingsari at 8:17 AM 0 comments
Imam Besar ajak ke masjid, Menteri Besar galak ke pantai?
H
ari Isnin, 20 Julai 2009, bersamaan 27 Rejab 1430H, umat Islam seluruh dunia memperingati peristiwa Israk dan Mikraj. Peristiwa besar dan antara yang terpenting dalam sejarah permulaan Islam itu membawa bersamanya lautan iktibar dan hikmah yang kekal menjadi panduan dan peringatan kepada umat Islam hingga ke akhir dunia.
Di antara pengajaran dan perkara utama ditonjolkan menerusi apa yang dialami Rasulullah s.a.w. di dalam peristiwa itu ialah berkaitan kepentingan mendirikan solat. Menerusi peristiwa Israk dan Mikraj Baginda s.a.w. menerima syariat mendirikan solat lima waktu sehari semalam.
Diriwayatkan juga Nabi Muhammad s.a.w. telah mengimami solat bersama para anbiya dan mursalin. Episod itu bukan sahaja mengisyaratkan Baginda s.a.w. sebagai penghulu segala anbiya dan mursalin, malah kepimpinan beliau itu dikaitkan pula dengan penghormatan diberikan oleh sekalian mereka dalam memimpin ibadat utama kepada Allah itu.
Kejadian itu juga dijadikan iktibar betapa Islam amat menekankan solat berjamaah. Sebab itu setiap kali para asatizah dan ulama menceritakan Israk dan Mikraj, mereka tidak akan ketinggalan mengaitkannya dengan kepentingan menjaga solat dan memakmurkan masjid menerusi solat berjamaah.
Amat malang bagi umat ini, meski pun peringatan dan penekanan mengenai kepentingan solat berjamaah sering diulangsebut pelbagai pihak yang menitikberatkan amalan itu, ia masih terlalu jauh untuk menjadi tabiat harian umat Islam.
Fenomena masjid dan surau yang kosong dan lengang terzahir di mana-mana. Pihak pemerintah pula lebih gemar memperbanyakkan jumlah masjid berbanding mengambil daya usaha memperbanyakkan jumlah anggota kariah yang melazimi masjid sedia ada untuk berjamaah.
Mereka lebih ghairah mengeluarkan belanja menghias dan memperindahkan masjid dan surau berbanding memakmurkannya dengan berbagai aktiviti berpatutan dan berterusan di situ.
Fenomena ini agak menyeluruh. Sebab itu apabila berlaku kejadian 'sejadah terapung' di Masjid Kristal, Kuala Terengganu, akhir bulan lalu, ada pandangan mengaitkannya dengan peringatan Allah agar umat Islam memperbetulkan kepincangan ini.
Sebuah akhbar Inggeris, 30 Jun lalu memetik ulasan Imam Besar Negeri Terengganu, Ustaz Aizi Saidi Abdul Aziz mengenai kejadian yang dianggap aneh dan menggemparkan itu.
"Tidak perlu panik. Kejadian itu adalah ingatan kepada umat Islam agar tidak mengabaikan tanggungjawab menunaikan solat berjamaah," ujarnya.
Menurut laporan akhbar itu, seorang wanita dari Seremban yang menziarahi masjid popular di tengah Sungai Terengganu itu terserempak dengan fenomena pelik itu. Beliau dikatakan sempat merakamkan kejadian 'sejadah terapung' itu menggunakan kamera telefon bimbitnya.
Penyebaran cerita itu dikatakan menimbulkan ketakutan di kalangan masyarakat berdekatan. Aizi Saidi bagaimana pun mengaitkan kejadian itu sebagai gambaran sikap tidak ambil berat rakyat negeri Terengganu dengan tuntutan menunaikan solat berjamaah.
Beliau malah mengakui fenomena masjid kosong semakin menjadi lumrah di negeri itu. Katanya, Terengganu mempunyai masjid yang sangat banyak, tetapi jumlah jemaah yang memakmurkannya amat mendukacitakan.
"Sebilangan masjid kita malah kekurangan ahli jemaah walaupun ketika solat Jumaat," akhbar itu memetik pengakuan beliau.
Pengakuan terus-terang itu bukan suatu yang mengejutkan. Ia bukan cerita baru. Cerita masjid-masjid di Terengganu kosong dan lengang kedengaran sejak berdekad dulu.
Hanya buat beberapa tahun di zaman pemerintahan PAS, fenomena itu diperbaiki. Sebahagian besar masjid milik kerajaan kelihatan "basah" dan makmur. Jumlah anggota kariah yang menghadiri masjid meningkat mendadak di serata negeri. Kemakmurannya ditambah dengan siri kuliah dan tazkirah yang silih berganti.
Perkembangan positif dan membanggakan itu bagaimana pun susut dan beransur pupus ekoran tindakan politik oleh Barisan Nasional (BN) yang mengambil alih pemerintahan pada 2004.
Ia dimulakan dengan pemansuhan semua Jawatankuasa Masjid Mukim (JMM) dilantik oleh kerajaan PAS. BN menggantikannya dengan kumpulan manusia yang sealiran dengan fahaman politiknya.
Keghairahan BN membalas dendam kepada penyokong parti lawan di peringkat kampung juga gagal mengambilkira keperluan menjaga kemakmuran masjid. Orang yang BN lantik sebagai Ahli JMM sebahagian besarnya bukan dari jenis manusia yang dekat dengan masjid. Satu-satunya kelayakan diambil kira ialah pendirian dan kecenderungan politik mereka yang memihak BN.
Akhirnya berlakulah fenomena masjid-masjid yang kosong dan kontang. Jumlah ahli kariah yang berjamaah merosot mendadak. Bilangan majlis ilmu juga tidak lagi sekerap sebelumnya. Sebahagian besar tenaga pengajar dan ustaz terlibat memberikan kuliah dan tazkirah tidak lagi diberikan ruang meneruskan usaha dakwah dan pengajaran agama.
Sikap sepi dan tidak serius BN terhadap usaha memakmurkan masjid amat terserlah. Mereka turut menganjurkan majlis memperingati Israk dan Mikraj. Ingatan dan ajakan kepada hadirin agar sentiasa mengunjungi masjid dan mendirikan solat secara berjamaah turut disuarakan para penceramah di majlis itu.
Namun, suratan atau kebetulan, petang menjelang 27 Rejab (Ahad lalu) juga kerajaan negeri di bawah Menteri Besar, Dato' Ahmad Said turut mengumumkan satu agenda penting dalam kalendar pelancongan negeri. Ia telah memutuskan akan menghidupkan kembali 'Pesta Main Pantai', satu pendekatan yang amat bertentangan dengan hasrat memakmurkan masjid.
Pesta itu adalah amalan tradisi masyarakat Terengganu sejak dulu. Ia dikatakan dibuat oleh masyarakat kampung yang bertanam padi sebagai acara hiburan mereka selepas selesai musim menuai. Mereka akan membawa keluarga ke tepi pantai, mendirikan khemah dari kayu atau buluh. Daun kelapa berpelepah akan digunakan sebagai dinding dan atap khemah.
Mereka akan berkampung di situ buat beberapa hari sambil berehat dan mengadakan aktiviti sukan rakyat dan persembahan hiburan kebudayaan.
Pesta itu diteruskan di era moden dengan sedikit pengubahsuaian. Ia bagaimana pun terhenti seketika sebelum ini. Pandangan beberapa pihak, terutama ulama dan pemimpin agama diambil kira. Pesta sebegitu didapati banyak mengundang kesan tidak baik kepada masyarakat, terutama berhubung gejala sosial dan dorongan melakukan maksiat.
Kini, BN Terengganu telah berkeputusan menghidupkannya kembali. Tidak dapat dipastikan pandangan ulama dan tokoh agama mana yang mereka rujuk.
Pesta itu bakal dilangsungkan selama dua minggu pada awal bulan depan. Kerajaan negeri menyandarkan rasionalnya kepada melaksanakan agenda pelancongan, menghidupkan seni warisan dan kebudayaan, serta hiburan kepada rakyat.
Memang itulah rasional yang paling mudah dan lumrah digunakan mana-mana pihak untuk menghidupkan sesuatu yang mendapat tentangan sebahagian anggota masyarakat.
Kita juga tidak terlalu jumud sehingga menolak sepenuhnya aktiviti budaya dan seni warisan. Apatah lagi sesuatu itu dikaitkan dengan agenda pelancongan yang dibuktikan dapat menambahkan pendapatan kepada negeri.
Bagaimanapun, sepertimana dibuktikan banyak pihak sebelum ini, penganjuran pesta seumpama itu lebih banyak mudarat berbanding manfaat, terutama terhadap akhlak dan moral umat Islam.
Ia menjadi medan sangat kondusif dan dorongan kepada kejadian yang menyalahi hukum dan suruhan agama. Apatah lagi dalam keadaan biasa tanpa pesta sebegitu pun, kerajaan sudah menghadapi suasana amat sukar menbendung dan mencegah maksiat dan mungkar.
Mengambil kira fenomena kebobrokan sosial dan keruntuhan akhlak masyarakat mutakhir ini, pengumuman kerajaan negeri Ahad lalu yang mahu menghidupkan kembali pesta pantai dilihat amat bercanggah dengan semangat sambutan Israk dan Mikraj.
Ekoran itu ada suara dalam masyarakat negeri itu yang mengatakan, "Imam Besar bersungguh ajak rakyat ke masjid, Menteri Besar pula anjur program galakkan rakyat bermain di pantai".
Tindakan itu bukan sahaja membuktikan kerajaan tidak ambil pusing seruan sebegitu baik oleh Imam Besar Negeri, malah BN sekali lagi tersilap kaedah dan cara untuk mengubati penyakit sosial yang melanda masyarakat. - mns_
Mat Zain Mat Isa
Tue | Jul 21, 09 | 2:10:50 pm MYT (Harakah Daily)
Posted by keristamingsari at 8:15 AM 0 comments