Sunday, December 13, 2009

Bawa Saya Ke Laos


Z
AQUAN Adha Abdul Razak ingin kembali semula ke Laos bagi membantu Malaysia menghadapi Laos dalam saingan separuh akhir bola sepak Sukan Sea, esok.

Pemain itu yang dihantar pulang ke Malaysia selepas digantung dua perlawanan kerana menerima kad merah sewaktu menentang Vietnam selain mengalami sakit mata yang dibimbangi menjangkiti pemain lain, memberitahu hasratnya itu menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) kepada abang kembarnya, Aidil Zafuan.

“Dia menghantar mesej itu sebelum kita bertemu Thailand. Sekarang kita sudah layak ke separuh akhir dan saya rasa kami memang perlukan Zaquan untuk baki saingan temasya ini,” kata Aidil, semalam.

Kali terakhir Malaysia layak ke final pada Sukan Sea Kuala Lumpur 2001, tetapi tewas kepada Thailand 1-0. Inilah peluang terbaik negara selepas menyingkirkan Thailand.


“Benar kita sudah layak tanpa Zaquan dan penyerang yang ada seperti Fakri, Norshahrul dan Manaf boleh memikul tugas. Mereka sudah membuktikannya ketika menewaskan Thailand, tetapi saya rasa pengalaman antarabangsa Zaquan boleh membantu menajamkan jentera serangan kita,” katanya.Ditanya nalurinya sebagai abang kembar, Aidil mengakui kehadiran adiknya itu perlu dalam menyuntik semangatnya sendiri ketika beraksi di tengah padang.

“Apapun semuanya bergantung kepada pemeriksaan doktor di Kuala Lumpur terhadap matanya. Saya berdoa keadaan matanya semakin baik dan dapat datang ke sini segera.

“Terus terang saya katakan kehadiran Zaquan memang nantikan rakan sepasukan kerana dia sentiasa memberikan kata-kata semangat, malah sebelum berangkat pulang, dia sempat meninggalkan pesan agar berjuang habis-habisan,” katanya.

Sementara itu, jurulatih K Rajagobal berharap keadaan mata Zaquan segera pulih.

“Dia tonggak pasukan dan sudah tentu saya mengharapkan kepulangannya,” katanya.


Diambil daripada my Metro

0 comments:

Newer Post Older Post Home