Sunday, December 6, 2009

36 Taktik Peperangan: Mengambil keluar Kayu Api Daripada Bawah Kuali


M
engambil Keluar Kayu Api dari bawah Kuali" bukan sahaja merupakan judul satu taktik ketenteraan, tetapi juga ialah satu peribahasa yang sering disebut oleh orang China. Maksudnya ialah jika ingin menyejukkan air didih dalam kuali, mengambil keluar kayu api di bawah kuali lebih berkesan daripada menambah air sejuk ke dalam kuali itu. Peribahasa itu juga bermaksud menyelesaikan masalah dari akar umbinya.


Dalam bidang ketenteraan, taktik "Mengambil Keluar Kayu Api dari bawah Kuali" mempunyai maksud yang berbeza. Ahli ketenteraan berpendapat bahawa air dalam kuali mendidih dengan tenaga haba. Air mendidih dan api yang terlalu panas merupakan sesuatu yang tidak dapat ditahan. Akan tetapi, kayu api yang menjanakan tenaga haba boleh disentuh dengan tangan. Sehubungan itu, ketika kita menghadapi musuh yang hebat, pertempuran langsung akan mengeluarkan kos yang tinggi dan sama ada boleh mencapai kemenangan atau tidak pun tidak dapat dipastikan. Jadi, kita sepatutnya mengelakkan daripada berhadapan dengan pasukan elit tentera musuh untuk mencari kelemahan pihak musuh dan melemahkan daya tahan tentera musuh dengan menggunakan peluang.

Dalam medan pertempuran, pencarian kelemahan pihak musuh boleh dilakukan dengan banyak cara. Misalnya, kita boleh melancarkan serangan psikologi terhadap tentera musuh untuk menjatuhkan semangat para askar, menyerang pangkalan atau gudang tentera musuh serta menyekat laluan pengangkutan barangan tentera musuh. Dalam keadaan yang berbeza, penggunaan taktik "Mengambil Keluar Kayu Api dari bawah Kuali" dengan betul boleh mencapai kesan yang luar biasa.

Pada Dinasti Song iaitu pada sekitar Abad Ke-10 Masihi, terdapat seorang gabenor yang bernama Xue Changru. Pada suatu hari, pemberontakan askar telah berlaku di kem tentera yang ditadbirnya. Pasukan pemberontak telah membunuh pegawai tempatan dan membakar bangunan pejabat kerajaan tempatan. Setelah kejadian itu berlaku, Xue Changru telah tampil pergi ke kem pasukan pemberontak untuk berunding dengan mereka. Beliau berkata kepada pasukan pemberontak dengan air muka yang serius bahawa "Kamu semua ada ibu bapa dan anak, jika kamu tidak menghentikan kegiatan pemberontakan ini, kamu semua akan dibunuh dan keluargamu juga akan menjadi mangsa. Mereka yang meletakkan senjata dan menyerah diri sekarang tidak akan dikenakan tindakan selanjutnya". Sebenarnya, ramai orang dalam pasukan pemberontak adalah terpaksa menyertai kegiatan itu. Ketika mendengar ucapan Xue Changru, air muka mereka sudah mula berubah. Dengan memerhatikan perubahan itu, Xue Changru mengambil kesempatan menambah bahawa "Sekarang, mereka yang merancang pemberontakan kali ini berdiri di sebelah kiri dan mereka yang terpaksa menyertai pemberontakan sila berdiri di sebelah kanan".

Akhirnya, beratus-ratus orang askar yang menyertai pemberontakan itu telah bergerak ke arah kanan. Dengan melihat situasi ini, beberapa orang yang mengetuai pemberontakan itu segera melarikan diri dan bersembunyi di kawasan kampung.

Dalam penanganan kejadian itu, Xue Changru telah menggunakan taktik "Mengambil Keluar Kayu Api dari bawah Kuali". Bagi Xue Changru diri sendiri, pasukan pemberontak yang dilengkapi dengan senjata adalah kuat, akan tetapi keluarga para anggota pasukan pemberontak akan terdedah dan mudah terjejas daripada tindakan kerajaan. Pada dahulunya, Xue Changru telah mengingatkan kemalangan yang mungkin akan menimpa askar pasukan pemberontak akibat apa yang telah dilakukan oleh mereka. Kemudian, beliau juga telah mengumumkan akan membebaskan mereka yang terpaksa menyertai pemberontakan itu untuk meminggirkan sejumlah kecil ketua pasukan itu dan sekali gus menjatuhkan semangat pasukan itu.

Dalam penggunaan taktik "Mengambil Keluar Kayu Api dari bawah Kuali", kita mesti mendapatkan apakah masalah utama dan melancarkan serangan dengan menggunakan unsur yang boleh mempengaruhi keputusan peperangan.

Dalam masyarakat kini, taktik "Mengambil Keluar Kayu Api dari bawah Kuali" juga sering digunakan. Misalnya, jika kadar pertumbuhan pelaburan terhadap sektor yang bergantung kepada pinjaman meningkat dengan terlalu pesat, keadaan ini mungkin akan mengakibatkan gelembung ekonomi atau berlakunya inflasi. Dalam keadaan ini, bank pusat akan menyusun semula dasar pinjaman seperti meningkatkan kadar faedah pinjaman dan nisbah rizab simpanan bank-bank komersial. Dengan pelaksanaan langkah-langkah tersebut, mata wang yang beredar di pasaran akan berkurang dan kadar pertumbuhan pelaburan tersebut akan menurun.

----Puspa.CRI/-

Diambil daripada Blog cina Islam

0 comments:

Newer Post Older Post Home