D
aripada judul taktik "Untuk Menangkap Sesuatu, Lepaskannya Dahulu" sudah dapat kita tangkap maksud yang hendak disampaikan iaitu untuk menangkap atau mengalahkan musuh, kita seharusnya melepaskan atau mengabaikan sasaran supaya mereka terpedaya dan percaya bahawa mereka telah bebas dan selamat dan tidak lagi berjaga-jaga atas serangan yang mungkin dihadapi, akhirnya kita akan menyerang musuh pada masa yang sesuai untuk menghapuskannya.
Meneliti taktik tersebut, "tangkap" dan "lepaskan" adalah saling bertentangan. Dalam bidang ketenteraan, "tangkap" ialah tujuan, manakala "lepaskan" ialah kaedah. Di China, ada satu bidalan yang berbunyi "jangan mengejar musuh ke jalan mati". Ini kerana jika kita mengejar musuh ke jalan mati, maka musuh yang kita kalahkan akan melakukan serangan balas dengan sehabis-habisnya kerana mereka sudah tidak ada apa-apa boleh hilang. Dalam keadaan ini, kita lebih baik melepaskan mereka dulu supaya musuh tidak lagi berwaspada atas pergerakan kita, lalu menyerang mereka secara habis-habis.
Cerita mengenai ahli ketenteraan termasyhur China, Zhuge Liang tujuh kali menangkap Meng Huo merupakan satu contoh baik yang berjaya menggunakan taktik "Untuk Menangkap Sesuatu, Lepaskannya dahulu".
Pada tahun 225 Masihi, untuk mengukuhkan pertahanan Negeri Shu, Perdana Menteri negeri itu, Zhuge Liang telah mengetuai tentera untuk berperang dengan kekuatan di selatan China. Ketika tentera Zhuge Liang sedang bersiap untuk balik ke Negeri Shu setelah berjaya menewaskan musuh, ketua puak Etnik Yi di selatan, Meng Huo telah mengetuai tentera untuk menyerang tentera Negeri Shu, lalu Meng Huo dikalahkan dan ditangkap oleh Zhuge Liang.
Biasanya, jika ketua sesebuah tentera telah ditangkap, tentera itu tentu akan hilang semangat untuk berjuang dan mudah dikalahkan. Namun, memandangkan Meng Huo mempunyai kewibawaan yang tinggi dan pengaruh yang besar di selatan China, Zhuge Liang telah memutuskan untuk menggunakan taktik "Untuk Menangkap Sesuatu, Lepaskannya dahulu" iaitu melepaskan Meng Huo untuk menawan hatinya supaya dia sanggup menyerah kalah. Jika Meng Huo tidak mengakui kalah dengan penuh kerelaan, namun serangan daripada pelbagai puak di selatan China terhadap Negeri Shu tidak akan berhenti-henti dan menjadi ancaman terhadap pertahanan negeri itu.
Selepas itu, Meng Huo telah lima kali mengetuai tentera untuk bertempur dengan tentera Zhuge Liang, akan tetapi, tentera Meng Huo telah dikalahkan setiap kali dan Meng Huo sendiri juga lima kali ditangkap oleh Zhuge Liang. Walaupun begitu, Meng Huo masih tidak mengakui kalah, kerana dia menganggap bahawa kekalahannya merupakan peristiwa kebetulan. Selepas dibebaskan berturut-turut enam kali, Meng Huo telah mengetuai tentera bertempur dengan Zhuge Liang dalam kali ketujuh, lalu sekali lagi dikalahkan dan ditangkap oleh Zhuge Liang. Kali ini, Meng Huo akhirnya menyerah kalah dan mengakui dia tidak setanding dengan Zhuge Liang dalam menggunakan kekuatan tentera.
Dia dengan tulus ikhlas mengucapkan terima kasih kepada Zhuge Liang kerana tujuh kali tidak membunuhnya dan sanggup tunduk kepada Zhuge Liang. Sejak itulah, Negeri Shu tidak lagi menghadapi ancaman daripada pelbagai puak di selatan. Daripada cerita tersebut, bolehlah kita melihat kebijaksanaan Zhuge Liang dalam menggunakan taktik "Untuk Menangkap Sesuatu, Lepaskannya dahulu". Zhuge Liang yang pandai menggunakan taktik tersebut mengetahui bahawa kuncinya bagi kejayaan taktik tersebut ialah "lepaskan dulu" iaitu melepaskan untuk menangkap.
Dalam kehidupan harian kita, mungkin kebanyakan peminat memancing ikan mempunyai pengalaman seperti berikut:
Ketika mata kail yang disangkut ikan besar disentap dengan kuat, kita sama sekali tidak boleh menarik joran dengan terlalu cepat, sebaliknya perlu melakukannya dengan perlahan-lahan; Kadang kala kita perlu melonggarkan tali joran, ini kerana jika kita menarik joran dengan kuat, ikan yang berat itu akan meronta-ronta dan mungkin menyebabkan joran terpatah. Usaha melonggarkan dan menarik ikan itu mungkin kena diulangi banyak kali, baru dapat menarik ikan itu ke luar permukaan air.
Inilah contohnya dalam kehidupan kita yang berjaya menggunakan taktik "Untuk Menangkap Sesuatu, Lepaskannya dahulu".
Dalam penggunaan taktik tersebut, kita juga kena berhati-hati kerana jika kita membuat penilaian yang salah, melepaskan musuh mungkin betul-betul memberi peluang kepada musuh untuk memulihkan semangat. Jadi, kita harus menimbangkan situasi dengan sepenuhnya supaya keputusan yang bijaksana dapat dibuat untuk mencapai kemenangan muktamad.
----Puspa.CRI/-
Diambil daripada blog Cina Islam
Sunday, December 6, 2009
36 Taktik Peperangan: Untuk Menangkap Sesuatu, Lepaskannya Dahulu
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Post a Comment