Sunday, December 6, 2009

36 Taktik Peperangan: Merampas Rumah Terbakar


M
erampas Rumah Terbakar bermaksud merampas barang-barang dalam keadan kekacauan ketika rumah sedang terbakar, dan juga difaham sebagai mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan ketika seseorang berada dalam keadaan kesukaran dan kecemasan. Walaupun taktik Merampas Rumah Terbakar boleh dikatakan satu muslihat yang jahat dan kejam, akan tetapi taktik tersebut memang sangat praktikal untuk digunakan dalam peperangan. Dalam buku 36 Taktik Peperangan, Merampas Rumah Terbakar juga dijelaskan sebagai mengambil kesempatan untuk menyerang ketika musuh dalam keadaan kecemasan, kerana inilah waktu yang paling senang untuk mencapai kemenangan.


Sebenarnya, taktik mengambil kesempatan untuk menyerang ketika musuh dalam keadaan kecemasan sudah lama dikuasai oleh orang China. Dalam buku abad ke-5 Sebelum Masihi sudah ada taktik menyerang sebaik sahaja musuh dalam keadaan kelam-kabut. Dalam "Seni Perang Sunzi", sebuah buku strategi peperangan yang sangat terkenal di China, malah dunia juga ada disebut taktik yang hampir sama dengan Taktik Merampas Rumah Terbakar. Dalam konteks itu, keadaan kelam-kabut tersebut boleh difahami sebagai ketidaktenteraman dalam negeri dan pencerobohan dari luar yang mungkin berlaku dalam bidang politik, ekonomi, sosial, bahkan malapetaka yang tidak dapat dijangka. Boleh dikatakan, walaupun betapa kuatnya sesebuah negara, syarikat ataupun kumpulan, jika hilang ketenteraman dan tatatertib, musuh atau pesaingnya akan memperoleh kesempatan yang dapat dipergunakan.

Dalam sejarah China, terdapat juga banyak pertempuran yang telah menggunakan taktik Merampas Rumah Terbakar. Saya bagi satu contoh:

Pada abad ke-5 Sebelum Masihi, China sedang berada dalam keadaan terpisah-pisah dan diduduki oleh pelbagai negeri kecil yang sering berperang antara satu sama lain untuk merebut seberapa luas wilayah. Negeri Wu dan negeri Yue yang terletak di kawasan tenggara China merupakan negeri berjiran. Kedua-dua negeri itu mempunyai kekuatan yang hampir sama dan juga mahu menewaskan pihak lain. Oleh sebab itu, pertempuran antara kedua-dua negeri ini sering berlaku. Akhirnya, negeri Yue dikalahkan oleh negeri Wu. Raja negeri Yue, Gou Jian telah ditahan di negeri Wu dan dijadikan hamba raja negeri Wu yang bernama Fu Chai. Gou Jian dengan tabah hati telah menanggung semua penghinaan daripada Fu Chai dan mengatasi kesukaran seperti kurang makan, tidur di kandang kuda dan kerja berat. Baginda juga melayani Fu Chai secara berhati-hati dan mengikut segala perintah Fu Chai serta tidak kisah akan apa-apa jua penghinaan yang dilemparkan terhadapnya. Dengan begitu, Gou Jian telah mendapat kepercayaan Fu Chai. Akhirnya baginda dibebaskan dan balik ke negeri Yue pada tiga tahun kemudian.

Selepas kembali ke negeri Yue, Gou Jian masih berpura-pura mengikut perintah negeri Wu seperti memberi ufti, mempersembahkan gadis yang cantik-cantik, barang kemas dan tukang mahir pada tiap-tiap tahun untuk mengambil hati Raja Fu Chai agar dapat menghapuskan kewaspadaannya terhadap negeri Yue. Serentak dengan itu, negeri Yue juga sedang mengambil langkah-langkah untuk mengukuhkan pertahanan dan mengembangkan ekonomi. Beberapa tahun kemudian, kekuatan negeri Yue telah banyak meningkat dengan pertambahan jumlah penduduk dan bahan-bahan keperluan yang mencukupi.

Di samping itu, Raja Gou Jian juga telah menyogok pegawai utama negeri Wu untuk memujuk Raja Fu Chai supaya menghantar tenteranya untuk berperang dengan negeri yang lain. Dengan ini, kekuatan negeri Wu tentu akan menjadi lemah setelah menggunakan banyak sumber semasa peperangan.

Raja negeri Wu merupakan seorang yang tidak suka mendengar nasihat orang lain dan hidup secara bermewah-mewah. Baginda telah menolak nasihat yang betul daripada para menterinya dan terus menikmati kehidupan yang mewah dengan sesuka hati sehingga sumber kewangan negeri hampir habis diguna.

Pada tahun 473 Sebelum Masihi, bencana kemarau yang serius telah melanda negeri Wu dan perasaan ketidakpuasan hati rakyat negeri itu juga telah mencapai kemuncaknya. Jadi, raja Gou Jian telah mengambil kesempatan tersebut untuk menyerang negeri Wu secara besar-besaran. Negeri Wu yang kekuatan pertahanannya sudah lemah ketika itu telah dikalahkan oleh tentera negeri Yue dalam masa yang pendek.

Raja Gou Jian dapat mengalahkan negeri Wu betul-betul kerana telah menggunakan kesempatan ketika musuh dalam keadaan kelam-kabut dan telah menjadi pelajaran klasik dalam sejarah ketenteraan China.

Taktik Merampas Rumah Terbakar juga banyak diguna pakai dalam perang zaman moden ini. Misalnya, pada penghujung abad ke-19, kekuatan negara penjajah Sepanyol semakin hari semakin lemah. Pada masa itu, rakyat di Cuba dan Filipina, dua negara yang dijajahinya telah melancarkan pemberotakan bersenjata untuk menggulingkan pemerintahan jajahan Sepanyol di sana. Jadi, A.S. yang baru muncul sebagai kuasa baru dunia telah mengambil kesempatan untuk melaksanakan tindakan ketenteraan dan telah mengambil alih kuasa pemerintahan terhadap Puerto Rico, Guam dan Filipina daripada tangan Sepanyol dengan kos yang sangat rendah.

Walau bagaimanapun, taktik Merampas Rumah Terbakar juga memperingatkan orang ramai supaya sentiasa mengekalkan perpaduan dalaman bagi mencegah berlakunya "kebakaran". Dengan begitu, kita tidak akan memberi kesempatan kepada musuh atau pesaing yang sentiasa mencari kesempatan untuk mengalahkan kita dan juga boleh mengelakkan kerugian atau kekalahan ketika dalam keadaan yang di luar jangkaan.

----Puspa.CRI/-

Diambil daripada Blog Cina Islam

0 comments:

Newer Post Older Post Home