M
enteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pernah berkata, harga petrol subsidi hanya diberikan kepada rakyat tempatan yang menggunakan kenderaan mengikut kapasiti enjin yang ditetapkan. Pelaksanaannya dijangka bermula pada 1 Mei ini.
Sebelum dilaksanakan saya harap kementerian telah mengkaji dari semua aspek keberkesanan pelaksanaannya. Di samping untuk menjimatkan perbelanjaan, berlaku adil kepada semua, aspek ketirisannya harus difikirkan semasak-masaknya.
Ada ura-ura untuk menggunakan MyKad sebagai kawalan. Bagaimana kita boleh mengawal di pam jika pengunjung dari Singapura misalnya menggunakan rakyat tempatan membantu mengisi minyak dengan hanya menggunakan MyKad? Saya rasa ramai yang boleh menjadi ‘pak sanggup’ jika ada habuannya.
Bagaimana kita boleh mencegah seseorang yang mengunakan kereta Kancil misalnya menjual minyak kepada seseorang yang menggunakan kereta berkapasiti tinggi? Kita tidak dihadkan mengisi minyak pada sesuatu masa, hari atau bulan. Juga tidak adil mengecualikan subsidi minyak kepada pemilik kereta yang berkapasiti tinggi.
Saya bersetuju dengan kenyataan Presiden Persatuan Automatif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad, yang pengguna kenderaan tersebut tidak harus ‘dihukum’ kerana bilangan mereka adalah kecil, sekitar 2.3 peratus sahaja (Utusan Malaysia, 21hb. Januari 2010).
Tambahan lagi, pemilik kereta yang berkapasiti tinggi ini bukanlah jenis mereka yang suka meronda-ronda tak keruan menghabiskan petrol.
Cadangan yang terbaik ialah dengan mengedarkan smartkad kepada semua pemilik kereta apabila mereka memperbaharui cukai jalan kenderaan. Kerajaan harus mengehadkan jumlah subsidi bagi setiap kenderaan (jumlah liter bagi tempoh cukai jalan).
Subsidi ini hanya terhad bagi perjalanan pemilik kenderaan berulang-alik pergi bekerja sahaja. Satu kajian harus dibuat bagi menentukan jumlah perjalanan ke tempat kerja pada setiap hari.
Dengan cara ini kerajaan dapat menyelamatkan subsidi kepada pemilik kenderaan yang menggunakan kenderaan sendiri untuk tujuan kerja seperti jurujual misalnya. Secara tidak langsung kerajaan mensubsidi majikan mereka.
Kerajaan juga akan berlaku adil kepada pemilik kenderaan berkapasiti tinggi kerana mereka telah menyumbang cukai kenderaan yang besar kepada kerajaan berbanding dengan mereka yang menggunakan kereta nasional misalnya.
Kerajaan juga tidak patut menghukum pemilik kenderaan kapasiti tinggi yang menggunakan green enjin disel. Mereka ini menyumbang kepada pengurangan penggunaan petrol kenderaan.
Esa Adam, Bandar Sunway. ( Harakah Daily)
Saturday, January 23, 2010
Subsidi Petrol usah sampai tiris..
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Post a Comment