Wednesday, August 20, 2008

kumilikmu ( Part 9)

Memang aku resah. Resah sepanjang hari itu. Entah kenapa. Bila membayangkan saat Ain keluar dari kereta Wira tersebut, dan aku lihat bibirnya mengukir senyum. Dan saat lelaki tidak kukenali itu berbual mesra dengan Ain, aku tidak sanggup jadi penontonnya! Aku terus hilang mood. Nasi yang ku tapau terbiar sejuk. Akhirnya tong sampah yang menjadi habuan.


Bila kereta tersebut berlalu tadi, aku terasa seperti ingin turun ke bawah mendapatkan Ain. Ingin ku tanya satu persatu. Pergi kemana, dengan siapa, untuk apa.... tapi bolehkah? Beranikah aku? Nanti apa pula anggapan Ain padaku. Menyibuk, busybody.... tak tahu malu. Buat apa nak ambil tahu hal orang. Mungkin itu yang akan dituturkannya. Tapi aku suaminya. Walau
suami kontrak, tapi dayus jugak aku kalau dengan senang hati membiarkannya
perkara tersebut berlaku depan mata. Bodohlah aku....

Memang aku tidak sepenuh hati meneruskan kerja petang itu. Nasib baik Dato' Rustam tidak ada. Bolehlah aku melayan perasaan sekejap. Perasaan yang entah apa-apa ni.

"Tipah, sambungkan saya ke extension Ain Fathihah" Aku bersuara perlahan selepas menekan interkom. Beberapa saat kemudian nada deringan kedengaran di hujung talian. Hatiku tiba-tiba berdebar-debar. Apa aku nak cakap ni....

"Hello, Ain bercakap.."Suara lembut kedengaran. Aku jadi gugup.

"Hello, siapa tu?..."

"Err.... Ain, Qel ni..."Aku telan liur sambil menarik nafas. Hujung talian senyap tiba-tiba.

"Ain... Ain.. naik atas sekejap." Ya Allah.... apa benda aku melalut suruh dia naik atas pulak. Alamak....

"Naik bilik Qel?"Sedikit terkejut.

"Er... aha.... Ain banyak kerja ke?" Hati kata tak nak tapi mulut aku ni laju je cakapnya.

"Sekarang ni?... emmm boleh le tahan. Ada hal penting ker?'

"Emm.... taklah penting sangat... kalau free naik la atas.. kalau busy...."

"Ok, Ain naik sekarang.."Aku terdiam. Alamak... betul-betul dia nak naik...

Aku mematikan talian. Membetul-betulkan kemejaku. Hai... macam nak berdating je... Aku menanti. 10 minit berlalu tapi dia tidak muncul juga. Aku jadi resah. Resah kerana aku sendiri tidak tahu apa yang hendak aku perkatakan dengannya nanti. Tidak ada perkara yang penting pun. Mulut aku saja yang gatal-gatal.

Ketukan di pintu mengalih pandangan. Sejurus, Ain terjengol dengan mengepit fail-fail. Apahal dia bawa fail banyak-banyak pula ni. Emm... mungkin nak coverline kot.... hati aku berbisik. Dia menarik kerusi lalu duduk di hadapanku. Aku merenung wajahnya yang tenang itu. Aku sedari sejak mula bekerja, Ain sudah pandai bergaya. Solekannya pun semakin ketara.

"Ain dah makan?" Wajahnya berkerut. Mungkin pelik dengan pertanyaanku. Iyalah... sudah sejam waktu lunch berlalu baru sekarang nak tanya dah makan ke belum.

"Sudah" Pendek jawapannya. Aku menunggu kalau-kalau dia akan menyambung kata. Bercerita tentang ke mana dia pergi tengahari tadi, siapa yang menjemput dan menghantarnya pulang tadi. Tapi ternyata hanya itu jawapannya. Aku hampa. Niat di hati ingin bertanya tentang lelaki yang menghantarnya tadi, tapi lidah aku terasa berat. Nanti Ain fikir aku cemburu pula walaupun hakikatnya memang aku cemburu.

"Emmm.... petang ni Ain nak terus balik rumah ke?" Aku sudah dapat idea.

"Balik ke rumah la, abis nak kemana? " Dia menentang mataku.

"Petang ni, Qel nak singgah satu tempat. Mungkin kita sampai rumah lambat sikit. "

"Kemana?"

"Qel nak beli barang untuk... emm.. untuk Suzy. Dia kan nak kahwin.."Aku merepek lagi. Entah betul ke tak apa yang aku cakap ni. Yang aku tahu Suzy memang telah bertunang, tetapi tidak tahu pula bila makan besarnya.

"Bukan ke Suzy kawin bulan 9 ni?" Dia sedikit terkejut.

"Eh.. iya ker..." Alamak, malunya aku. Itulah.. cakap sembarangan je.
"Takde, hari tu Qel ada nampak satu barang cantik. Qel rasa sesuai kalau jadikan hadiah untuk dia. So, Qel ingat nak beli dulu, takut nanti tak ada
rezeki" Aku tersenyum, menutup malu.

Ain turut senyum

"Dah bagitahu mak?"

"Emm.. tak payahlah bagitahu mak. Balik lambat sikit pun dia tak kisah. Bukankah kita......"Lidahku kelu tiba-tiba. Sekali lagi aku rasa janggal untuk menyebut perkataan 'suami isteri' itu.

"Kita apa?" Ain memandangku penuh perhatian.

"Emm.... kita selalu balik sama-sama...."Wajah Ain mengendur.

Seperti tidak menjangka kata-kataku tadi. Dia menarik nafas lama.

"Qel tak ot ker hari ni?"

"Tak. Qel ingat nak balik awal. Dato pun tak ada, tak kisahlah.."Aku senyum nipis.

"Emm... kalau Ain lambat, Qel tunggu la. "Ain mengepit fail-failnya ke dada.

"Kadang-kadang Mr. Wai tu minta Ain stay kejap. Emm.. ada apa-apa lagi ke?"Dia bersedia untuk bangun.

"Err...." Sebenarnya hatiku terdesak untuk bertanya tentang lelaki yang bersamanya tengahari tadi. Tapi lidahku kelu. "Tak ada apa-apa.... apa-apa hal nanti Qel interkom saja....."

Ain segera bangun. Dengan langkah pantas dia menuju ke pintu, dan seketika hilang dari pandangan.. Tampak seolah dia buru-buru untuk meninggalkanku. Entahlah. Aku tidak pantas meneka hatinya saat itu.

*****************************

"Apa yang Qel nak beli sebenarnya ni? "Ain berhenti melangkah, sebaliknya berdiri memandangku. Aku tahu dia sudah penat berlegar-legar di ruang Mid valley yang luas itu. Orang pula berpusu-pusu bagai mengejar sesuatu. Naik rimas dibuatnya walau petang itu agak dingin.

"Entah le... Qel pun tak tahu..." Aku mengeluh sambil mata meliar ke kiri dan kanan. Dah setengah jam berlalu tapi aku tak pasti apa yang aku nak beli.

"Kata tadi nak beli barang?"Ain semakin muncung. Dipandangnya jam berkali-kali. Alah.... belum pun pukul lapan, risau sangat aku bawa dia lari.

"Qel nak beli... tapi barang tu dah tak ada la..."Aku berbohong lagi. Kalau aku tak bohong, mesti susah aku nak bawa dia berjalan-jalan macam ni.

"Emm.... abis tu, nak cari lain?... atau nak balik aje?"

"Kita pergi minum dulu..."Aku senyum nipis. Mengharap agar Ain setuju dengan cadanganku.

"Boleh..... tapi Ain nak solat dulu.."Dia kertap bibir.

"Ok. ok... kita cari bilik solat dulu...."Aku kerling jam di tangan. Sudah masuk waktu Mahgrib rupanya.

Selesai solat, aku bawa Ain makan kek di Secret Recipe. Tempat yang paling aku suka dan tak pernah lupa untuk singgah bila ke sini. Sebenarnya aku jarang-jarang juga ke sini. Kalau tak Serina yang selalu beriya-iya mengajak, aku tak akan pergi sorang-sorang. Bukan hobi aku untuk berjalan-jalan di celah-celah orang ramai yang tak pernah lengang ini. Tapi yang aku pelik, tempat macam inilah yang Serina suka benar. Kalau sehari suntuk menghabiskan masa di sini pun tak apa.

"Macamana kerja Ain sekarang?"Aku memulakan bicara sebaik sama-sama melabuhkan punggung di kerusi.

"Emmm.... biasa saja. Kadang-kadang rasa seronok, kadang-kadang bosan juga..." Dia mengeluh kecil. Cebisan kek di suakan ke mulut.

"Bosan kenapa pula?"Aku cuba memancing.

"Bosan bila banyak kerja yang perlu disiapkan, tetapi tak berapa faham nak buat. "Ain merenungku polos. "Kadang-kadang rasa give up jugak, tapi bila fikirkan Qel...."

"Fikirkan Qel ?"Aku memintas.

"Fikirkan Qel yang rekomenkan Ain kerja di situ.... Ain tahu, Ain tak boleh give up..."Dia tersenyum nipis.

"Emm... Ain janganlah fikir macam tu. Qel tak rekomenkan apa-apa..... Ain memang berkelayakan. Dato sendiri cakap..."

"Faizal pun cakap macam tu..."Ah... lelaki itu! Namanya tak pernah ketinggalan dalam setiap perbualan.

"Faizal cakap apa?"Malas aku nak dengar apa-apa tentang Faizal.

"Emm.. dia support Ain. Bagi semangat pada Ain agar terus kerja di situ. Jangan mudah give up.." Iyer la tuh! Gerutu hatiku.
"Dia tak ada cerita apa-apa tentang Qel?" Hati aku kurang senang. Kalaulah Faizal kepoh kat Ain tentang Serina, sudah pasti Ain tahu keadaan aku sekarang ini.

"Ada juga. Tapi tak banyak. Dia cuma kata Qel bernasib baik, walaupun baru berapa tahun bekerja di sini, sudah dinaikkan pangkat jadi senior executive."

"Emm...."Aku mengeluh."Itu saja..?"

Ain senyum nipis.

"Dan betul kata Faizal, gadis dalam photo atas meja Qel tu memang cantik!"

Aku tergegau. Wajah Ain aku pandang tanpa berkelip. Ain tahu. Ya, Ain nampak photo itu. Photo yang aku letak atas meja pagi tadi. Macamana aku boleh tak perasan. Ah... kantol.....

"Kenapa Qel tak cakap dengan mak?"

"Ain, makanlah cepat kek tu..." Aku menghirup Cappucino panas. Takut untuk mendengar kata-kata yang akan lahir dari bibir mongel itu.

"Qel, kenapa terburu-buru?" Ain menarik tanganku. Aku lihat jemarinya yang putih itu sudah tersangkut di lenganku.

"Kita ingin menjadi diri masing-masing bukan. Kenapa Qel cuba lari dari semua ini?"

"Qel tak lari dari apa-apa..."Aku membalas.

"Kenapa Qel tak cuba berterus terang?"Ain renung wajahku sungguh-sungguh.

"Berterus terang apa?"

"Berterus terang tentang Qel dan gadis itu...."

"Jujur bagi sebelah pihak? Ain nak Qel berterus terang tentang dia pada Ain, tapi bagaimana dengan Ain. Pernah Ain cuba berterus terang?"

"Tentang apa?"Ain sedikit terkejut.

"Tentang apa-apa. Tentang diri Ain mungkin. Atau.... mungkin tentang lelaki yang menjemput Ain makan tadi !"Kali ini aku lihat wajah Ain pula merubah. Jadi merah. Mungkin dia tidak sangka aku akan menyentuh perkara itu. Atau mungkin dia tidak pernah menyangka bahawa aku melihat segala-galanya yang terjadi tadi.

Ain terdiam, menundukkan kepala sambil menarik nafas. Tiada kata-kata yang keluar dari mulutnya buat seketika. Aku jadi puas hati sedikit. Dia ingin aku bersikap jujur dengannya. Mungkin dia ingin aku bercerita tentang Serina. Tapi bagaimana dengan dia. Bolehkah dia jujur menceritakan tentang lelaki tadi. Sanggupkah dia?

"Ok, Ain minta maaf kalau Ain bersifat ingin tahu. Ain cuma fikir kalau Qel berterus terang sejak awal dulu, mungkin nasib kita tak begini. Mungkin perkahwinan ini masih dapat dielakkan."Ain bersuara lambat-lambat.

Aku senyum nipis mendengar kata-katanya itu.

"Ain,..... Ain lupa ke macamana keadaan Qel masa tu? Keadaan Mak Long dan Pak Long, keadaan Ain sendiri. Ain fikir dengan berterus terang macam tu, semuanya akan kembali normal? Perkahwinan tersebut akan berjalan lancar? Mungkin Ain sanggup bersanding sorang-sorang atas pelamin, tapi bagaimana perasaan orang tua Ain? Maruah mereka?"Suaraku kembali tenang.

Wajah Ain ku renung dalam-dalam. Seketika aku lihat manik-manik jernih bertakung di bibir matanya. Menunggu masa untuk lerai ke pipi.

"Qel tak kata Qel terpaksa, cuma semuanya tidak disangka. Susah nak percaya. Qel tidak tahu kisah hidup Ain dulu. Siapa yang Ain cinta. Siapa yang Qel cinta. Adakah itu menjadi persoalannya sekarang?"

"Kita ingin menjadi diri masing-masing. Ok. Sekarang kita hidup dalam haluan sendiri. Kita cuma ada 6 bulan lagi untuk hidup bersama. Selepas itu terpulang pada diri masing-masing. Qel tak mahu sekat kebebasan Ain walaupun Ain isteri Qel. Dan Ain pun tak pernah sekat kebebasan Qel. Tapi itu tak bermakna Qel tak berhak tahu apa-apa. Qel tak akan tanya kisah Ain dulu. Tapi apa yang berlaku sekarang, depan mata Qel. Qel ada perasaan untuk mengetahuinya."

"Qel nak Ain berterus terang dengan Qel, bagaimana dengan Qel? Bagaimana dengan Serina? "Aku amati wajah Ain lagi. Cemburukah dia? Nada suaranya membayangkan begitu.

"Kenapa Ain ingin tahu tentang Serina?"

"Dan kenapa Qel ingin tahu tentang lelaki itu?"

Aku mengeluh. Terasa payah berbicara kali ini. Semakin berbelit. Aku kalau boleh tak mahu bercerita tentang Serina. Mungkin Ain juga berfikir begitu. Tidak perlu dia menceritakan tentang lelaki itu. Tapi hati masing-masing... Hati aku sendiri. Aku memang ingin tahu, siapa lelaki itu dalam hidup Ain Fathihah. Mustahil 2 minggu bekerja Ain sudah bertemu orang baru. Mustahil. Aku yakin lelaki itu sudah lama wujud dalam hidupnya. Seperti Serina hadir dalam hidupku dulu.

"Ok, biar Qel berterus terang. Serina adalah kekasih Qel" Aku bersuara lambat-lambat, cuba mencari reaksi Ain. Ternyata wajah Ain benar-benar berubah. Jadi kelat. Aku tidak tahu kenapa dia berubah begitu.. Bukankah dia sudah mengetahui , dan dapat mengagak siapa Serina dalam hidupku. Ternyata penerimaannya saat itu berlainan sekali. Aku dapat lihat garis-garis kekecewaan pada wajahnya. Benarkah?

Dia mengangguk perlahan. Pandangannya dibuang ke luar. Seperti tidak sanggup menentang wajah aku lagi. Apa yang dia fikirkan? Benci, marah, atau gembira dengan pengakuanku? Bukankah dia sendiri yang ingin mengetahuinya. Kenapa sekarang dia bungkam begitu?

"Ain?"Aku bersuara. Ain menoleh kepadaku. Bibirnya membuah senyum. Senyuman paksa-mungkin.

"Sejak bila Qel.... berkawan dengannya?" Dia teragak-agak.

"Em.... dua tahun.. sejak Qel balik ke sini...."

"Ehmm...."Ain mengangguk. Sepi lagi.

"Ok, Qel dah berterus terang pada Ain. So, sekarang Ain bagitahu Qel, siapa lelaki tadi?" Dadaku kembali berdebar-debar. Aku harap lelaki itu hanyalah manusia yang ditemui Ain sewaktu makan tengahari tadi, yang kemudiannya menumpangkan Ain pulang. Hanya itu!

"Emm... baiklah... Dia Iskandar.."Dia terhenti.

"Iskandar?"

"Iskandar..... bekas tunang Ain!"

Dumm!! aku rasa bagai bom meledak di hujung telinga. Aku tahu! Aku dah agak ! Aku dah dapat rasakan! Benar, benar apa yang aku takutkan selama ini. Dia bekas tunang Ain. Si lelaki tak guna itu! Lelaki yang telah melempar tahi ke padaku. Aduuhh.... aku rasa panas meruap naik ke muka. Tapi cuba ku kawal riak wajahku. Aku tak mahu Ain sedari perubahanku. Aku tak mahu dia dapat membaca air mukaku. Aku tak mahu dia tahu aku cemburu!

Aduuh.... mak.... Kalaulah mak tahu anaknya ini sedang berperang dengan perasan sendiri. Sedang bermain perasaan dengan isteri sendiri.Isteri yang tidak pernah aku miliki. Dayuskah aku? Dayuskah aku membiarkan Ain bersikap begini. Keluar dengan bekas tunang? Ah... gila! Suami mana yang boleh duduk diam. Aku pun dah panas punggung dah ni. Cappucino pun tiba-tiba dah bertambah pahit pula. Aku telan liur berkali-kali.

"Dan dia juga yang menghantar Ain dari kampung tempohari?"Ain mengangguk. Hati aku jadi makin hancur.

"Ain masih menjalin hubungan dengannya?"

"Cukuplah Qel.... itu saja yang dapat Ain katakan. Selebihnya.... biarlah masa yang menentukan..."Ain mengeluh.

"Qel tak faham...."

"Ain sendiri tidak faham dengan situasi kita sekarang ni. Ain Cuma perlu tunggu dan tunggu..... sehingga hujung tahun ini mungkin."

"Ain ingin kembali kepadanya?"

"Cukuplah Qel.... Ain tak mahu cerita lagi..."Dia menggeleng. Aku tidak jadi meneruskan kata-kata. Wajah Ain yang berkerut itu membantutkan hasratku untuk bertanya lebih lanjut. Banyak yang ingin aku korek sebenarnya tetapi aku tahu ia agak sukar. Sukar untuk mengetahui rahsia hati gadis ini. Perjalanan pulang menjadi sepi. Tiada kata-kata yang lahir dari mulut masing-masing. Masing-masing melayan perasaan sendiri. Hatiku berkata-kata. Adakah ini satu permainan yang adil? Aku miliki Serina dan dia miliki Iskandar. Dan perkahwinan ini hanya atas satu nama? Tidak menerima atau memberi apa-apa?

*****************************************

Mak merenungku lama. Aneh benar pandangannya. Aku tahu mesti ada sesuatu yang bermain dibenak mak. Pulang petang tadi, Ain terus naik ke atas. Sampai sekarang tidak turun-turun lagi. Aku yang sakit hati, kenapa dia pula yang mengurung diri. Pelik. Dia pun sakit hati macam aku juga ke?


Nasi yang ku kepal-kepal rasa payah benar untuk ditelan. Sedikit-sedikit aku kunyah. Walaupun perut lapar sejak petang tadi kerana sebiji nasi pun tidak masuk ke perutku. Tetapi malam itu seleraku terbantut. Ain langsung tidak menunjukkan muka. Waktu aku keluar dari bilik mandi tadi aku lihat dia hanya berbaring membelakangkanku. Pakaian pun belum berganti. Cepat-cepat aku sarung baju lalu keluar dari bilik. Aku tak berani nak tegur dia. Biarlah. Mungkin angin 'kewanitaan'nya tengah pasang.

Mak mencedok sambal udang ke dalam pingganku. Yang tadi pun belum terluak, sudah ditambah lagi.

"Ain tak makan sekali Qel?" Mak memecah sepi. Aku berhenti menyuap.

"Ada kat atas...."Balasku lambat-lambat.

"Kenapa tak ajak makan sama?"

"Dia tidur agaknya...."

"Pergi panggil Ain.."Mak renung aku.

"Dia tak nak makan agaknya mak. Kalau tak mesti dia dah turun...."

"Pergilah Qel ajak...."Mak mendengus. Ah.. mak ni...

Aku basuh tangan. Dengan langkah lambat-lambat aku menapak ke atas. Pintu ku kuak perlahan. Ain masih berbaring. Matanya terpejam rapat. Aku menghampirinya lalu duduk di birai katil. Perlahan-lahan Ain membuka matanya. Renungannya yang lembut menusuk ke mataku... terus ke hati. Seketika dadaku menjadi sedikit debar. Seketika kami hanya berpandangan, tiada kata-kata yang terlontar. Hanya degup nafas kedengaran dan dari ekor mata aku lihat dada Ain berombak laju. Adakah saatnya telah tiba? Entah macamana jemariku sudah melingkar di atas lengannya. Lengan yang terdedah. Dan aku seakan lupa seketika bila Ain pun seperti merelakan. Dan seperti mendambakan. Ah... hati aku semakin berdegup kencang. Setelah tiga bulan bersama, adakah ini saat-saat untuk memulakan?

Ain menggerakkan tubuhnya, seakan ingin rapat denganku. Dan aku juga seperti terdesak. Lengannya ku pegang erat, mendorong tubuhnya agar lebih dekat denganku. Seketika aku menjadi seperti lelaki yang kurang sopan. Ahh... Tetapi dia isteriku! Aku berhak. Dan setelah 3 bulan hidup dalam kepuraan aku rasa ni satu-satunya perkara yang wajib aku buat dulu-dulu lagi. Tapi..... dia tidak mencintaiku! Aku tahu.... Bukan aku lelaki yang dia dambakan. Bukan! Pautan di lengan mula menjadi longgar. Ain membuka matanya luas-luas. Tidak percaya dengan tindakanku-mungkin.

"Maafkan Qel...."Aku sedikit mengeluh. Wajah Ain berubah serta merta. Dia menjauhkan wajahnya yang sudah hampir benar dengan wajahku.

Seakan tersedar, cepat-cepat dia menjauhkan dirinya dariku. Aku bingkas bangun. Aku tidak tahu adakah aku telah merosakkan suasana tadi? Aku lihat rona merah pada raut wajahnya.

"Err... Ain tak nak makan ke? Mak dah tunggu kat bawah tu..." Ain menggeleng sambil menarik nafas.

"Qel makanlah.... Ain tak lapar..."Dia bersuara perlahan. Dia kembali merebahkan badan, membelakangiku.

"Ain nak Qel hantarkan nasi ke atas?"

Menggeleng lagi.

"Qel keluarlah... Ain nak tidur..."

Aku mengeluh. Aku dah salah laku ke? Adakah dia marah dengan perbuatanku tadi. Aku hanya pegang lengannya. Aku hanya mendorong dia, tapi belum sempat apa-apa. Tapi dia sendiri seperti merelakan. Adakah dia mengharapkan lebih dari itu?

*************************************

Panggilan telefon dari Dato Rustam pagi tadi membuatkan aku bungkam.

"Tipah, you tolong bookingkan flight ticket ke Johor petang ni..."

"Hari nie?"

"Ya, I nak ke Johor Bahru petang ni jugak."Balasku lagi.

"You nak flight pukul berapa, Haiqel?"

"Pukul 6 atau 6.30... I tak sure, tapi mesti sebelum pukul 7.."

"Okey, after lunch I confirm"


Aku mengeluh lega. Menyandarkan badan seketika sambil menarik nafas. Wajah Ain tertera di ruang mata. Pagi tadi gadis itu murung. Bisu sepanjang perjalanan. Dan aku lelaki yang tak romantik ini memang tidak tahu bagaimana untuk memulihkan suasana beku itu. Kalau Serina lainlah cerita. Bila muncung, boleh aku elus-elus rambutnya, tarik hidung mancungnya. Tak pun aku cucuk pinggangnya. Gadis itu akan terjerit-jerit kecil. Tak padan dengan anak Mat saleh, melatah juga. Tapi Ain, gila lah kalau aku nak bergurau-gurau begitu. Walau dia isteriku. Ah.... janggalnya kalau aku hendak bermesra-mesra begitu. Aku tak nak ia pura-pura. Dan aku tak nak Ain menerimanya juga secara pura-pura. Ain tidak mencintaiku. Aku tahu. Tapi..... benarkah? Bagaimana dengan malam tadi. Dia seperti mengharapkan sesuatu. Apa? Adakah sesuatu yang hangat? Aku tersenyum kecil. Adakah aku seorang suami yang berdosa, kerana hingga saat ini aku tidak pernah menyentuhnya lebih dari apa yang sepatutnya. Adakah Ain juga memikirkan hal sebegini?

Aku menekan butang interkom, meminta Tipah menyambungkan talian ke department Ain.

"Assalamualaikum..."Aku memberi salam.

"Waalaikumussalam, Haiqel ker?"Emm.... cam pulak suara aku.

"Ain ok ker?"

"Sekarang baru nak tanya?" Aik, macam mesra pula.
"Ehmm.... Qel nak bagitahu, petang ni Ain balik sama Suzy ye.."

“Kenapa? Qel balik lambat?"

"Tak... Qel kena pergi Johor petang ni. Lepas lunch ni, Qel balik rumah sekejap untuk pack baju.." Senyap di hujung talian.

"Ain?"

"Er... berapa hari Qel kat sana?"

"Tak tahu lagi Ain. Mungkin 2-3 hari, mungkin seminggu."Aku terdengar Ain mengeluh kecil.

"Kenapa Ain?"

"Emm ... tak ada apa-apa. Dah beritahu mak?"

"Belum, nanti balik Qel beritahu. Lagi satu, Qel akan minta Suzy ambil Ain pergi kerja nanti."

"Menyusahkan dia saja la Qel. Biar Ain naik bas sajalah..."

"Ain jangan sesekali naik bas. Suzy akan ambil Ain nanti. Ain tunggu kat pondok telefon tepi jalan tu,. okey!"

Senyap seketika.

"Qel......"

"Ya?"

"Emm.... tak ada apa-apa la."Dia terhenti. "Jaga diri baik-baik ya.."

Aku senyum lebar. Jaga diri baik-baik? Dia risaukan aku ker.... Risau tandanya sayang.... ahh... hatiku jadi berbunga-bunga.

"Ain pun.... take care.." Balasku penuh yakin. Yakin dengan perasaanku saat ini. Mungkin segala-galanya akan bermula selepas ini. Siapa tahu!



bersambung.....

0 comments:

Newer Post Older Post Home