Sunday, August 3, 2008

Kumilikmu ( Part 7)

Mak balik kampung!

Aku rasa bagai ingin terbang bersama ke sana.Biarlah walau harus berhari-hari di sana. Aku lebih sanggup lagi daripada tinggal di sini berdua dengan Ain. Tetapi emak seakan tidak mengerti. Pagi-pagi lagi dia sudah berkemas. Aku lihat beberapa pasang baju dimasukkan ke dalam beg besarnya.

"Berapa lama mak nak duduk kampung ni?" Tanyaku gusar bila melihat barang-barang yang emak bawa bagai mahu tinggal seminggu di sana.



"Mak tak tahu lagi Qel....rasanya 2-3 hari je...nanti nak balik mak telefon
la.." Tangan mak masih ligat melipat baju.

"Tiba-tiba je mak nak balik kampung....atuk telefon ke?"

Mak memandangku yang duduk tercatuk di birai katil. Dengan muka belum berbasuh, gigi belum bergosok. Aku bangun awal pagi itu. Tak sanggup aku nak tidur lama-lama. Sakit-sakit tulang belikatku.

"Pak Long kau tu tak berapa sihat...." Jawab Mak lambat-lambat.Tangannya terhenti sebentar. Melemparkan pandangan ke luar.

"Ain ikut sekali?" Aku ingin memastikan.

"Tak lah.....mak balik seorang je. Biarlah Ain kat sini dulu. Lagipun ada hal yang Pak Long dan atuk nak bincangkan nanti..."

Mak bergerak ke arah cermin. Mengambil sesuatu di atas sana. Kemudian tudung kepalanya dibetul-betulkan agar nampak kemas. Aku memerhati cuma. Dalam usia lewat 40 an, aku akui mak masih nampak bertenaga. Walau garis-garis tua sudah jelas terlihat, tapi kudratnya masih utuh. Mungkin keutuhan yang terlahir itu terbina lantaran kesukaran hidupnya yang lampau. Kematian arwah Ayah dalam kemalangan tragis itu, kepayahan membesarkan aku seorang anak tunggalnya, dan jerih perih melalui hidup sebagai seorang janda. Dengan segala tohmahan dan prasangka. Semuanya ditelan emak bulat-bulat. Tanpa sungutan tanpa sesalan. Dan segala hasil dari keperihan itu telah terlihat kini.

"Apa yang Qel menungkan tu?" Mak menghampiriku.

"Kalau ngantuk lagi, pergilah sambung tidur...

Aku bangun menuruti langkah emak.

"Qel nak pergi tapak projek, mak. Projek yang baru ni nak start bulan depan.
Ni nak kena survey dulu. Rasa-rasanya sampai tengahari kat sana agaknya..."

"Tak makan kat rumah la tu.... kalau macam tu tak payahlah Ain masak. Tunggu
malam je..."

"Er.... malam pun saya nak keluar. Ada dinner kat rumah Dato.."Balasku.

"Emmm. tak habis-habis dinner kau tu. bukan pernah nak makan kat rumah." Dengus mak sambil melabuhkan punggung ke sofa. Aku keluar sebentar untuk memanaskan enjin kereta. Kereta kecil milik arwah ayah,satu-satunya kenangan terindah buat emak. Walau pernah aku bercadang untuk menukarkannya kepada yang baru, tapi emak langsung tidak bersetuju. Biarlah. Selain kereta kecil ini, tiada lagi harta yang ditinggal ayah. Sementelah rumah lama pun telah dijual sejak berpindah ke sini. Itupun setelah puas aku memujuk emak, barulah dia turutkan.

Bukannya sengaja aku ingin meninggalkan segala nostalgia itu yang aku tahu amat berharga bagi seorang isteri seperti Mak, tetapi kerana rumah lama itu sudah agak uzur tambahan agak jauh dari tempat kerjaku, maka rumah inilah yang termampu kubeli sebagai ganti. Lama kelamaan Mak tidak pernah lagi membangkitkan kisah rumah lama itu. Cuma sesekali bila aku terpandang, adakalanya mak termenung jauh. Bagai diimbau segala nostalgia zaman silam. Bersama arwah ayah yang pasti. Dan saat itu kereta kecil itulah yang akan ditatapnya. Lama. Bagai terlihat-lihat bayangan arwah ayah membasuh kereta kecil itu. Duduk dibahagian pemandu,sambil melambai ke arah mak yang menanti di muka pintu. Setia menghantar sang suami setiap pagi. Setelah enjin kereta dihidupkan, aku kembali masuk ke rumah.

"Kenapa tak tunggu minggu depan je Mak. Boleh balik sama-sama.Ni mak nak pandu sorang-sorang. Qel risau la..."Aku pandang wajah mak.

"Emmm.... bukannya tak biasa. Mak ni dari dulu memang sorang-sorang Qel..."Mak senyum tanpa memandangku. Matanya tunak, terarah ke kereta kecil arwah ayah.
Aku kebam bibir. Kelu lidahku mendengar kata-kata mak itu. Hanya kerana aku, anak tunggalnya yang harus dibesarkan, mak sanggup sendiri sehingga kini. Bukan aku tidak tahu itu. Mak selalu kata begitu dulu-dulu. "Mak tak kisah hidup sorang-sorang Qel.... asalkan Qel dapat membesar depan mata mak... biarlah susah macamana pun.... mak masih ada dua kaki, dua tangan untuk suapkan Qel.." Mak akan usap-usap kepalaku sambil berbisik kata-kata lembut ke cuping telinga. Dan akhirnya aku lena di ribaannya. Lupa sebentar pada keperihan mak mencari sesuap nasi untuk disuakan ke mulutku.

Bermula dengan bekerja sebagai pembantu di pusat kebajikan, kemudian mengambil upah membuat barang-barang hantaran perkahwinan. Sesekali mengambil tempahan menjahit baju. Dulu-dulu bila Mak berhenti berkerja di pusat kebajikan pernah juga dia melahirkan hasrat hendak menjaga anak-anak jiran. Sebulan dua dapatlah 3-4 ratus. Tapi aku tidak benarkan. Waktu itu aku baru kembali ke tanah air. Walau gaji pertama tanpa sebarang pengalaman tidaklah semewah hari ini, tapi aku yakin masih dapat membalas jerih perih mak itu. Walaupun sedikit, kerana aku tahu seumur hidup aku tidak akan dapat membalasnya.

"Hal apa yang nak dibincangkan tu....."Aku kembali bersuara."Kalau Qel berhak tahu...."

Mak menoleh kepadaku. Senyumnya tetap terukir. Senyuman yang sejuk.

"Apa aja yang Qel tak tahu? Yang mak rahsiakan.? Tak ada satu benda pun yang mak tak pernah cerita pada Qel kan..." Mak tarik nafas sebelum menyambung.

" Pak Long kau tu dah tua.... badan pun selalu sakit-sakit. Kalau demam, 3-4 hari demamnya tak kebah.... kalau dah sakit-sakit macam tu mana boleh potong rumput.... cuci kandang..."

Aku menunduk. Dalam keadaan Pak Long yang sebegitu, perlukah aku menambah sengsara? Segala rancangan gila aku dengan Ain nanti.

"Abis tu... Pak Long sakit siapa yang cari rumput?" Tanyaku.

"Rumput tu Pak Long boleh dapat bekal dari orang kampung jugak.... tak ada masalah. Tapi kandang-kandang lembu tu, tak ada siapa nak jaga. Nak cuci. Takkan nak harapkan anak-anak dia. Setakat tukar air, tukar bekas tu tak apalah.... bukan sekor dua lembu Pak Long tu. "

"Upahlah siapa-siapa orang kampung tu mak.... budak-budak bujang kat kampung tu daripada melepak baik jaga lembu..." Aku mendengus.

"Emmm.... budak-budak bujang sekarang.. mana nak jaga lembu.... semua dah kerja kilang. Orang-orang tua je yang tinggal. Kalau Qel pun tak nak kan?"Mak senyum lagi.

"Ish.... takkan Qel belajar sampai oversea, balik nak jaga lembu..... payahlah
macam tu..."Aku ketawa.

Mak ketawa sama sambil bangun dari kerusi. Cepat-cepat aku tarik beg besar lalu dimasukkan ke tempat duduk belakang.

"Mak nak gerak sekarang ke?"Tanyaku. Mak menganguk sambil membuka pintu. Belum sempat mak menutup pintu, Ain tiba-tiba muncul dari belakang. Dia nampak segar pagi itu Dan aku dapat kesan perubahan pada dirinya. Tiada lagi kain batik, tiada lagi t-shirt labuh. Malah dia nampak begitu indah dengan gaun paras buku lali. Rambut ikalnya itu dibiar lepas. Benar-benar menggugat pandanganku.

"Ha, Ain.... mak ingat tak bangun lagi. Ain kan tak sihat sangat.Tidur lebih
sikit pun tak apa.." Mesra benar nada suara mak pada pendengaranku.

"Taklah mak.... Ain dah bangun dari tadi. Siapkan sarapan kejap.

Mak tak sarap dulu ke?"Ain berdiri di sebelahku. Haruman rambutnya menyentuh
deria bau. Mungkin baru lepas dicuci.

"Tak apa lah Ain, mak kena gerak awal ni. Boleh sampai cepat.Ain jangan risau
sangat ya. Ayah Ain tu tak ada apa-apa.... nanti mak tengok-tengokkan..."Mak
pegang jemari Ain. Ain mengangguk.

"Mak bawak kereta baik-baik tau..... Ain nak ikut mak tak kasi..."

"Alah.... mak biasa balik sorang-sorang, Ain. Dulu Qel ni kalau mak ajak balik kampung, liat sangat.... tu yang mak balik sorang-sorang selalu. Sekarang ni Ain dah ada.... Ain temankan Qel ye..."Mak senyum sambil sesekali memandangku.

Aku bungkam. Terus tak bersuara.

"Emmm... hari ni Ain tak payah masak. Qel makan kat luar. Malam nanti, Ain ikut Qel pergi dinner sekali...."Mak bersuara.

Aik! Mak ni.... bila masa aku nak bawak Ain pula. Pandai-pandai pula mak bagi cadangan. Ahh... kacau.. "Qel....."Aku membuka mulut untuk bersuara tapi Mak bagaikan tahu apa yang ingin aku katakan.

"Qel bawalah Ain sekali. Takkan nak tinggal sorang-sorang kat rumah ni. Kalau
mak ada tak apa juga "Cepat-cepat mak mencelah.

Aku jadi serba salah. Wajah Ain ku pandang sebentar, cuba melihat reaksinya. Mak masuk kembali ke dalam kereta. Sebentar kemudian kereta kecil bergerak meninggalkan halaman teres. Aku lihat Ain masih tercegat di situ. Lama dia berdiri di situ sehinggalah aku mengambil keputusan untuk naik ke atas.

*********************************

Perjalanan selama 45 minit itu terasa seperti berjam-jam lamanya. Adakah keadaan ini kerana aku memikirkan akan apa yang bakal berlaku di sana sebentar nanti, atau mungkin aku merasa sedikit tidak selesa dengan kehadiran dia bersama. Atau mungkin hati degilku berbohong lagi. Berbohong tentang perasaanku yang sebenarnya terlalu memikirkan tetang kecantikannya malam itu.

Aku ingat lagi waktu dia turun tadi. Terasa payah untuk mataku berkedip. Mungkin Ain juga menyedari kerana seketika aku lihat langkahnya jadi tidak keruan. Lalu cepat-cepat aku berpaling. Cuba kembali ke alam nyata.

"Qel!" Aku berpaling ke sisi. "Ain minta maaf kerana merosakkan program Qel
malam ni"

Ain bersuara perlahan. "Ain terpaksa.."

Ya! Kau terpaksa dan aku dipaksa.. Aku melepaskan keluhan panjang.

"Mungkin untuk sekali ini..." Jawabku lemah ketika Ain membuka pintu.

"Tapi ingat....." Dia kembali memandangku.

"Jangan sesekali mendedahkan hubungan kita. Qel belum bersedia lagi untuk itu."Sambungku. lagi. Ain mengebam bibir.. Wajahnya sedikit berubah, tetapi akhirnya dia tersenyum juga. Senyum yang aku sendiri tidak pasti apa maknanya.

Dan akhirnya perjalanan berakhir tatkala kereta memasuki perkarangan rumah Dato' Rustam. Dari jauh kelihatan dua orang pengawal yang bertugas mengawal lalulintas malam itu. Mereka mengangkat tangan sebaik melihatku.

Setelah memberhentikan kereta, aku menarik Ain masuk ke halaman rumah yang sudah dipenuhi tetamu jemputan. Ada banyak muka-muka yang aku kenali. Kebanyakannya rakan-rakan sepejabatku. Ada juga wajah-wajah yang kurang aku kenali. Rata-ratanya mungkin rakan kongsi Dato dan teman-teman rapatnya. Aku mendapatkan Dato' Rustam yang sedang berbual-bual dengan beberapa orang tetamu. Dan aku kenali salah seorang daripada mereka.Faizal Ariffin juga tampak segak malam itu. Dia terlihatku.

"Haiqel!" Dato' menepuk bahuku. "You paling lewat malam ni".Aku ketawa..

"Maaf Dato..... keluar lambat sikit tadi..... acara dah bermula ke?"

"Sudah.... sudah... pergilah makan.... enjoy the dinner..."Dato'menjemput. Sejurus dia menoleh ke arah Ain.

"Oh,.... this is my cousin... Ain Fathihah.." Aku mendorong Ain ke depan. Aku lihat Ain malu-malu. Tapi dia tetap cuba untuk tersenyum.

"Cousin?"Dato' angkat kening. Faizal juga agak terkejut.

"Err.... baru habis study. Buat masa sekarang tinggal kat rumah mak sekejap. Tengah cari kerja" Apa yang aku merepek ni?

Faizal bergerak hampir ke hadapan. Menghulurkan tangannya kepada Ain tapi Ain kelihatan teragak-agak. Dia memandangku sebelum tangan Faizal disambutnya.

"Ha Ain... jemputlah makan. Jangan malu-malu.."Pelawa Dato' lagi. Ain senyum.
Faizal mendekatiku, lalu menyinggul lenganku.

"Kau tak pernah cerita pun kau ada sepupu..."

"Emmm.... takkan pasal sedara mara pun aku nak cerita..."

"Maksud aku..... sepupu yang secantik ini....."Sesekali matanya mencuri pandang ke arah Ain yang sedang mengambil minuman.

"So?"

"Solo lagi ke?"

"Entah! "Aku mula bergerak. "Aku tak tahu.."Aku meninggalkan Faizal. Malas aku
nak layan mamat sorang ni. Pantang nampak dahi licin.

Dari celah-celah orang ramai aku memandang ke arah Ain.Kelihatan dia bersama- sama beberapa orang wanita lain. Nampak dia dapat menyesuaikan diri dalam kelompok itu. Mungkin dia terpaksa memberanikan diri. Mungkin juga dia tahu aku takkan sentiasa bersamanya, maka dia cuba membawa diri sendiri. Aku mengambil beberapa cucuk sate yang masih panas sambil mataku tidak lepas-lepas memerhatikan Ain. Walaupun mungkin aku sedikit janggal dengan kehadiran dia bersamaku malam itu, tetapi aku perlu mengawasinya. Mengawasi bermaksud bertanggungjawab ke atas dirinya.

"Qel..... cantik gadis yang kau bawa tu?" Satu suara kedengaran dari belakang.
Aku menoleh dan terlihat Latiff yang segak berbaju batik.Aku senyum.

"Sepupu aku...."Balasku

"Cantik. Hai..... sepupu jelita macam tu.... tak terpikat ke?" Aku ketawa kuat
mendengar kata-kata itu.

"Gila!"Aku pandang Ain. Dia sudah hilang dari pandangan.

"Abis,..... Serena aku nak campak mana?"

"This one is quite good untuk kau.... sesuai.."

"Kau ni Latiff.... pandai aje la..."

"Cakap pasal Serena..... dia tak ikut kau ke malam ni?"Latiff meneguk minuman.

"Oh.... dia ke Paris semalam. Jengok family dia di sana."

"Kau tak ikut sekali?"

"He.. hehe.. belum lagi."Balasku sambil cuba mencari kelibat Ain.

"Er.. Wani mana, tak nampak pun dari tadi?"Aku mengalih topik.

"Emm.... dia ada di dalam. Pening-pening sikit. Sekejap lagi aku nak balik ni.
Kesian tengok dia macam tu.."Latiff memandang ke dalam rumah.

"Pening-pening berisi ke?"Aku teringat kata-kata mak tempohari.Latiff tersenyum. Jelas terlihat keriangan di wajahnya. Dia mengangguk.

"Betul Latiff? Wah...... tahniah! Nak jadi bapa dah kau..."Latiff ketawa.

"Itulah... aku rasa happy betul sekarang ni... excited!"

Ah... bahagianya Latiff. Perkahwinan atas dasar suka sama suka. Saling mencintai. Sudah pasti saat-saat seperti ini dilaluinya dengan penuh teruja.
Aku tidak pasti adakah saat-saat itu akan aku lalui suatu masa nanti.

Dari jauh aku terlihat Ain sedang duduk seorang diri di deretan kerusi-kerusi yang di susun mengelilingi pancuran air kecil. Sesekali dia tersenyum. Nampak jelas lesung pipit di kedua belah pipinya. Dulu waktu kecil-kecil lesung pipit tu tidaklah terlalu ketara, tetapi sekarang ia begitu menarik terlihat setiap kali dia tersenyum.Tiba-tiba aku jadi sayu. Sayu melihat wajah bersih itu. Wajah yang aku kagumi suatu ketika dulu. Sehingga kini? Aku tidak berapa pasti.


Seseorang kelihatan sedang menghampiri Ain yang leka melihat pancuran air. Faizal! Hatiku berdetak. Kulihat Faizal menarik kerusi di sebelah. Duduk rapat-rapat di situ. Hatiku tiba-tiba panas. Entah apa yang mahu dibualkan oleh lelaki itu. Nampaknya dia tidak menunggu lama untuk memulakan semua ini. Aku lihat Ain mulanya agak kaget sedikit dengan kehadiran lelaki itu. Tetapi lama kelamaan wajahnya kembali ceria. Rona merah terlihat setiap kali dia ketawa. Sesekali dibetulkan tudungnya yang tersingkap di pukul angin malam.

Ah...

Faizal! Aku lihat Faizal lebih-lebih lagi ketawa. Celaka! Lelaki buaya itu sudah mula jual temberang. Hatiku berdegup semakin laju.

Aku meminta diri dari Latiff lalu dengan langkah yang laju tetapi teratur aku
menghampiri mereka berdua. Ain melihatku, segera dia mematikan tawanya.

"Rancaknya berborak!"Aku tidak tahu adakah nada suaraku itu berbaur cemburu atau sebaliknya. Yang pasti nafasku tertahan-tahan waktu itu. Terasa panas meruap naik hingga ke kepala.

"Ha... Qel... kau ni, kenapa tinggalkan Ain sorang-sorang. Apa la kau..." Faizal menarik kerusi untuk aku. Langsung tidak menunjukkan rasa serba salah.

"Kau tu... kenapa tak join diorang semua?"Balasku lalu melabuhkan punggung di sebelah Ain. Aku lihat wajah Ain memerah.

"Alah.... diorang tu tiap-tiap hari boleh jumpa"Faizal merenung Ain. Macam lupa pada aku yang tercatuk di depannya. Panas betul hatiku.

"Qel cakap tadi Ain baru habis belajar... so sekarang ni tengah cari kerjalah
ye?"Faizal mengajukan soalan. Aku kertap bibir.

"Emmm..."Ain mengangguk tanpa memandangku.

"Kalau macam tu, bolehlah cuba kat ofis kita. Macamana Qel?"Faizal mendongak ke arahku. "Ofis kita kan nak pakai orang"

"Iya ke?"Balasku acuh tak acuh.

"Bahagian akaun, sekarang tengah cari orang untuk gantikan Aileen."

Aku tarik nafas panjang."Kenapa dengan Aileen, dia nak resign ke?"

"Lagi seminggu dia resign. Dia kan nak kawin. Lepas kawin dia ikut husband dia
ke Langkawi"Nampaknya banyak perkara di pejabat yang aku ketinggalan.

"Emmm....."Aku termenung. Otakku berputar ligat mencari alasan.

"Tak payahlah. Ain tak tahu buat akaun."Aku renung Ain dan renunganku dibalas.

"Ala.... bukannya susah sangat. Buat kerja clerical je. Tak susah. Ain pun baru habis belajar kan..."Beriya-iya Faizal mencadangkan.

"Er... saya..." Ain teragak.

"Tak apa.... nanti aku inform kat Dato'. Dato' mesti okey punya!"Faizal mengangguk-angguk dengan senyum lebar. Kurang ajar.. getusku. Pandai-pandai saja buat keputusan.

"Berapa umur Ain sekarang?"Ah.. sudah.. sudah...

"Kau nak interview dia kat sini ke?"Sindirku lagi. Faizal ketawa. Matanya tidak lepas-lepas memandang Ain. Aku rasa macam nak tumbuk saja batang hidung mamat ni. Biar kemek.

"Ala... kau ni Qel. Tegas sangat. Aku bukannya apa. Saja nak kenal-kenal..." Kenal-kenal kepala otak kau! Kau tahu tak dia tu bini aku!

"Apa salahnya.... bukannya aku kacau Serena pun...."Aku tergegau seketika. Aduhh.... Kurang ajar Faizal. Kenapa disebutnya nama Serena! Aku lihat Ain termangu memandangku.

"Semalam kau hantar Serena ke airport. Berapa lama dia ke Paris?" Aku gigit bibir sampai terasa sakit. Faizal..... tak boleh harap langsung! Aku cuba melihat reaksi Ain. Ternyata kosong. Tiada lagi rona merah, tiada lagi ukiran senyum. Dia hanya memandang ke arah kelompok manusia yang masih menjamu selera. Seolah tidak mahu mendengar segala kata-kata yang keluar dari mulut Faizal mahupun aku.

"Serena ke Paris.... kau bawa orang lain pula ya..."Faizal tersengih memandangku. Sudahlah Faizal... aku malas nak layan kau, bisik hatiku.

"Esok bolehlah kau bawa Ain ke pejabat... untuk interview."

"Ain tak kata pun dia setuju..."Aku kembali memandang Ain. Aku harap kata-kata
aku tadi mendapat sokongan.

"Boleh juga Ain cuba..."Tiba-tiba Ain bersuara setelah lama mendiamkan diri.
Aku pandang wajah Ain dengan rasa terkejut. Tetapi Ain seperti tidak merasa apa-apa.

"Ain pun memang tengah cari kerja... tak sangka boleh dapat secepat ni.."Dia
senyum. Langsung tidak dipandangnya aku. Aku tarik nafas dalam-dalam.

"Cuma interview saja kan... belum tentu dapat.."Sambung Ain lagi.

"Ah... mesti dapat punya. Haiqel ada!" Aku telan liur mendengar kata-kata Faizal."Kalau kerja satu ofis, senang nanti, pergi balik ada orang yang hantar. Tapi kalau Serena dah balik dari Paris nanti.... Ain kenalah pulang sendiri. Tapi takpe... Jai ada..." Dia ketawa.

Aku rasa kalau Ain tak ada di situ dah lama aku bagi penumbuk!

*************************************

Bersungguh-sungguh aku meminta diri untuk pulang tadi. Walau dihalang Dato' berkali-kali. Faizal juga agak keberatan untuk melepaskan Ain. Dan itu yang tidak mahu aku lihat. Pancaran mata Faizal setiap kali memandang Ain benar-benar menggugat perasaanku, dan kewujudanku.

"Kenapa cepat sangat ni Haiqel, you tak jumpa lagi dengan En. Baharom dan yang lain..."Dato' bersuara lambat-lambat bagaikan berat untuk melepaskan.

"Minta maaf banyak-banyak Dato but it's too late untuk Ain...."Aku memberi alasan. Jam dipergelangan tangan ku kerling sekilas.Belum mencecah angka 11. Memang terlalu awal untuk aku beredar. Faizal di sebelah resah menanti.

"Emmm.... tak apalah... you hantarlah Ain balik. Esok jangan lupa kita kena
pergi sekali lagi ke tapak projek tu.."Dato' mengingatkan.

"Itu memang saya ingat, Dato'"Aku ketawa kecil."By the way,thanks for the dinner..."Entah macamana jemari Ain sudah berada dalam genggamanku. Cepat-cepat aku lepaskan kerana aku tidak mahu ia dilihat oleh mata-mata yang lain.

"So, you pun nak balik jugak ke Faizal?"Dato menoleh ke arah Faizal yang sedang berpeluk tubuh.

"Eh... tak adalah... Dato'... saya orang bujang. Belum ada komitmen.... bila-
bila pun boleh balik.."Dia tertawa sendiri.

Aku tidak menunggu lama untuk menarik Ain keluar dari kelompok itu.Walaupun aku lihat ada sedikit kekerutan pada wajah Faizal saat melepaskan Ain berlalu. Aku tidak mahu dia berprasangka apa-apa tetapi dalam masa yang sama juga aku tidak mahu dia merasa apa-apa dengan pertemuan ini. Aku seakan nampak keadaan itu.

Sepuluh minit selepas itu, aku telah pun berada di dalam perut kereta, membelah malam hening yang masih hangat dengan segala aktiviti penghuninya. Sedari tadi, tiada kata-kata yang keluar dari mulut aku mahupun Ain. Ain hanya merenung tancap ke depan. Tiada sebarang reaksi. Aku tidak tahu hatinya saat itu. Adakah dia menyedari tindak tandukku ini, yang sedikit menjengkelnya mungkin. Atau dia langsung tidak mahu mengedahkan. Menerimanya bulat-bulat.

Aku menarik nafas dalam-dalam. Irama dari radio hanya menambah kerungsinganku. Cepat-cepat aku tutup. Apa yang aku rungsingkan sangat ni.?? Aku melurut-lurut rambutku. Ain menoleh kepadaku, tetapi tiada kata-kata yang lahir dari mulutnya. Kembali dia memandang ke hadapan.

"Ain dah mengantuk ke?"Aku cuba memulakan kata. Tiada balasan, hanya gelengan.

"Ain lapar lagi?" Hai.... macam soalan orang baru nak bercinta!

Sekali lagi dia menggeleng. Aku jadi panas tiba-tiba. Minyak ku tekan lagi.

"Kenapa Ain diam? Ain sakit kepala lagi?"Ain menoleh kepadaku. Aku menunggu kata-kata yang akan keluar dari bibirnya. Lama.

"Qel marahkan Ain?"Tidak terduga dengan soalan itu. Aku kerut dahi.

"Marah kenapa?"Tanyaku kembali. Wajah gadis itu ku kerling sekilas.Ain menarik
nafas.

"Marah kalau Ain terima pelawaan Faizal tadi..."

"Pelawaan? Pelawaan yang mana satu?"Hatiku tidak keruan.

"Pelawaan untuk pergi temuduga tu nanti...."Balasnya perlahan.

Aku senyum nipis. Ingatkan pelawaan makan malam atau jalan-jalan.Manalah tahu! Bisik hatiku. Mamat buaya tu bukannya betul sangat.

"Ain serius ke nak mintak kerja tu?"

"Emm.... cuba-cuba dulu. Mana tahu boleh dapat.."

"Ain betul-betul nak kerja?"Ain mengangguk.

"Adik-adik Ain kat kampung tu ramai lagi yang belum lepas,Haiqel.... kalau Ain tak kerja, siapa lagi yang nak tanggung. Ayah pun selalu sakit-sakit."Hatiku tersentuh. Kata-katanya seolah membayangkan aku adalah orang asing dalam hidupnya. Orang yang tidak perlu dikongsi dalam segala hal.

"Kita kan....."Kata-kataku terhenti. Terasa janggal pula untuk menyebut perkataan 'suami isteri' itu. Aku rasa perkataan itu tidak layak langsung untuk dipadankan dengan aku dan dia. Suami isteri hanya pada nama. Bagaimana untuk berkongsi masalah kalau begini situasinya.

"Kita apa?"Ain merenungku.

"Err.... tak ada apa-apa.."Balasku. Aku terdengar keluhan dari mulutnya. Tidak tahu apa yang dikeluhkan. Seketika perjalanan kembali sepi. Aku menumpukan perhatian kepada pemanduan dan Ain, aku tidak pasti adakah dia masih terjaga. Perlahan aku menoleh kepadanya.

Ternyata dia masih memandang ke depan. Tiba-tiba dia menoleh, dan pandangan kami bertaut. Aku terasa sedikit debar. Dan debar itu masih terasa saat kereta mula memasuki perkarangan rumah. Setelah kereta betul-betul berhenti, Ain terus membuka pintu. Kasut tumitnya diletakkan di tepi pintu.Lalu dia menanti
aku membuka grill.

"Kalau Ain betul-betul nak kerja, Qel boleh bawa Ain ke ofis esok" aku bersuara, cuba memecah kebisuan.

"Qel tak kisah?" Aku menggeleng perlahan lalu melangkah masuk sebaik pintu terbuka. Segera kurebahkan tubuh ke atas sofa. Memandang Ain yang masih tercegat di depanku.

"Kalau dah itu yang Ain minta...... Qel tak boleh halang." Nafas kutarik perlahan. "Bukankah kita ingin menjadi diri masing-masing?"

Aku tidak tahu kenapa aku harus membangkitkan hal itu lagi. Dan aku tidak pasti nada suara aku waktu itu. Adakah terlalu lembut tetapi pedas sehingga ku lihat wajah Ain sedikit berubah dengan kata-kataku tadi.

"Dan Qel telah menjadi diri Qel yang sebenarnya?" Ain membalas. Dan aku tahu dia cuba untuk mengelirukan diriku.

"Ya!"Balasku yakin. Ain tersenyum.

"Benar-benar diri Haiqel seperti yang dulu?" Sekali lagi dia mempersoalkan.Aku
pandang wajah Ain yang masih tersenyum.

"Qel ingin menjadi diri Qel yang dulu bukan? Tapi Qel sendiri tahu ia agak sukar. Banyak benda telah berubah..... termasuk perasaan Qel sendiri.."

"Apa maksud Ain?" Aku sedikit panas.

"Manusia boleh melihat dan merasa Haiqel. Dan Ain ada kedua-dua deria itu."Ain
berlalu meninggalkanku. Aku tidak tahu apa maksudnya dan apa yang ingin disampaikan gadis itu. Aku termangu.

****************************************

Jambangan mawar merah dan lili putih menyambut kedatanganku pagi itu. Harumannya memenuhi ruang kecil bilikku itu. Aku menghidupkan penghawa dingin, dan semerbaknya semakin ketara kini. Setelah meletakkan beg di atas meja aku mengambil jambangan bunga tersebut dan membelek-beleknya seketika. Sekeping kad kecil warna merah jambu terselit di celah-celah dedaun aku tarik perlahan-lahan.

'Untuk si cantik manis... salam perkenalan....' "Si manis?"

Pintu bilikku diketuk kuat. Cepat-cepat jambangan bunga kuletakkan di atas kerusi.

Bimbang kalau-kalau Dato' Rustam yang muncul pagi-pagi itu. Tapi Faizal yang tergesa-gesa masuk.

"Haiqel.... apasal kau lambat pulak hari ni..." Aku mengerut dahi.

"Apa lambat pulak.... biasa time-time macam ni la aku datang..." Aku tidak mengendahkannya."Pagi-pagi lagi kau dah menempel kat bilik aku ni, kenapa?"

Faizal tersenyum sambil menarik kerusi.

"Aku nak mintak kau tolong aku satu perkara....'

"Emm.." Aku mengeluh ".tolong apa... by the way Dato' dah sampai belum?"

"Belum. "Jawabnya ringkas. "Emm.. Berbalik pada cerita aku tadi, aku nak kau tolong aku satu perkara."

"Tolong apa? Kalau boleh aku tolong, kalau tak boleh, aku surrender.

"Balasku sambil memerhatikan skrin komputer. Lama rasanya aku tidak melihat email-email baru ku.

"Emm.... macam ni... bunga tu...." Aku berhenti mengadap komputer. Menoleh kepada Faizal.

"Bunga tu aku belikan untuk Ain...." Faizal tersengih. "Kau tolong sampaikan pada dia ye!"

Aku terkelu seketika. Wajah Faizal aku tatap lama.

"Maksud kau?"

"Kau tolong berikan bunga ni pada Ain..... sebab aku tak tahu macamana nak contact dia..."Faizal mengeluh."Puas aku tanya dia semalam,dia tak nak bagi nombor telefon. Aku nak hantar balik pun dia tak mahu.."

Aku telan liur. Bahang panas meruap naik ke muka. Seketika aku termenung. Jambangan bunga aku tatap lama.

"Emmm.... kenapa tiba-tiba kau bagi Ain bunga ni?"

Aku bersuara satu-satu. Agar getarnya tidak ketara didengar.Faizal ketawa.

"Entahlah Qel, aku rasa macam dah jatuh hati je....."

Sialan! Gerutu hatiku. Wajah Faizal semakin mengecil pada pandanganku.Dan ketawanya itu bagai meledak di hujung telinga. Benar-benar mengubah emosiku pagi itu.

"Hai.... takkan sekali jumpa je dah terus jatuh hati..."Perliku.

Ketawa Faizal belum terhenti.

"Agaknya itu lah yang dikatakan cinta pandang pertama!"

Ah karut! Aku bangun dari kerusi. Berdiri sebentar di tepi tingkap,melihat pemandangan di luar yang tetap sama setiap hari.Tiada perubahan. Kesibukan waktu pagi yang menjengkelkan.

"Ain sekarang tinggal kat rumah kau kan?"Aku rasa macam mahu halau saja Faizal dari bilikku. Aku tidak mahu dia terus berbicara tentang Ain.Tentang isteriku.

"Eh, Qel... aku tanya kau ni"Faizal bersuara lagi.

"Betul ke Ain tinggal kat rumah kau sekarang?" Aku beralih menghadap Faizal.

"Kalau iya, kenapa?"

"Emm.. kalau macam tu boleh la aku call dia.."

"Tak boleh!" Tiba-tiba mulutku lancar bersuara. Aku sendiri sedikit terkejut
dengan tindakanku. Wajah Faizal yang berkerut, tunak memandangku.

"Er... maksud aku... telefon rumah aku tu..... emm.. dah tukar number..."Ah... alasan bodoh apa yang aku guna ni? Aku mengeluh dalam hati.

"Oh..."Faizal ketawa." Kau bagi ler number tu pada aku..."

Aku menggeleng. Cuba mencari alasan yang lebih masuk akal. Hai..macamana aku nak kelentong mamat sorang ni. Banyak betul songehnya

"Tak... aku takkan bagi. Kalau kau nak, kau tanya Ain sendiri. Nak tackle awek kenalah usaha sendiri. Takkan nak harapkan orang lain." Aku senyum nipis.

"Alah.... Qel... dia kan sepupu kau... aku ni kawan kau... apa salahnya tolong kawan..."Faizal mendengus.

Aku pura-pura ketawa.

"Ohh... dalam hal ni aku tak mahu masuk campur."Aku tersengih dalam hati.Aku rasa kali ini aku dapat menghalangnya. Tentu sukar bagi Faizal untuk mendapatkannya dari Ain.

"Kau mintak sendiri dari Ain. Aku tak nak pandai2 bagi. Nanti dia mengamuk kat
aku siapa nak jawab?"Aku menjengilkan mata.

"Emm.... okey takper. Kau macam cabar aku je.... aku akan cuba dapatkan...." Dia menganguk-angguk sambil mengertap bibir.

" Tapi bunga tu kau tolong sampaikan pada dia ya" Faizal bangun dari kerusi.

"Bila kau nak bawa dia datang interview?" Faizal kembali memandangku. "Aku teringin berjumpanya."

Aku angkat bahu."Terpulang pada Ain. Kalau dia nak datang.....kalau tak aku tak paksa.."Mataku mengekori langkah Faizal.

"Aku mesti dapatkan dia!"Faizal bersuara sebaik pintu dibuka.

Aku tersengih dalam hati. Percayalah, sebentar lagi jambangan bunga itu akan kulemparkankan ke bakul sampah. Di situ tempatmu!

bersambung....

0 comments:

Newer Post Older Post Home