Wednesday, August 20, 2008

Kumilikmu ( Part 10)

Pantai Lido pada malam hari memang menarik. Walaupun hari bekerja, orang ramai tetap mengunjunginya untuk bersantai. Meluangkan masa, mungkin dengan keluarga, kawan-kawan, atau kekasih hati. Lampu neon di sekeliling laluan pejalan kaki menambahkan hangat malam itu. Di celah celah pokok, di atas kerusi batu, pasangan-pasangan kekasih bergelak ketawa penuh ceria. Bagai lupa keadaan sekeliling. Lupa pada mata-mata yang menjeling. Ah.... mereka masih terlalu muda untuk kelihatan begitu mesra. Kenapa tidak ada batas-batasnya?


Adakah aku cemburu? Cemburu melihat perlakuan muda-mudi itu. Yang pasti tidak pernah aku rasai dulu-dulu. Zaman remajaku bukan untuk itu. Bukan untuk mengulit kekasih hati dengan tanpa batasan. Bukan untuk bercengkarama di hadapan mata orang. Zaman remajaku lebih kepada melihat gelagat orang. Menimba pengalaman melalui pengamatan terhadap jiwa-jiwa yang aku temui. Itu semua sudah cukup untuk menggambarkan kepadaku betapa hebat dan indahnya kuasa cinta. Cinta yang tidak pernah aku rasai dulu-dulu sehinggalah aku ketemui gadis Tionghua berdarah Jerman itu. Serina yang membuka pintu rasa.

Tapi kini , Serina juga telah jauh dari pandangan. Dari hati?

Pintu rasaku mungkin telah diketuk sekali lagi. Tapi kali ini bukan oleh Serina. Kerana aku sendiri dapat rasakan kelainan getarnya. Yang amat halus. Tetapi begitu ngilu, menusuk ke sudut hati. Dan saat-saat ini perasaan itu begitu kuat mencengkam. Ainkah yang telah mengetuk pintu hatiku? Ia tidak terlalu pantas, tetapi begitu mendalam. Kerana aku sangat merasakan perubahannya. Perubahan perasaanku dari hari ke hari. Dari tidak mempeduli, hinggalah sekarang jadi ternanti-nanti. Aku ternanti-nanti untuk berhadapan dengannya. Ternanti-nanti untuk berbicara dengannya. Kalau tidak pun cukuplah dengan hanya memandangnya. Itu sudah cukup untuk menyuburkan getar-getar yang tumbuh dalam jiwaku kini. Ahh.... kenapalah aku jadi seromantik ini? Afizi
Haiqel... apa yang telah merubahmu?

"Ala.... Haiqel si ulat buku tu. Tak nak aku!" Masih terngiang-ngiang
jerit pekit itu di telingaku.

"Tapi dia hensem tau Arin..." Sahut yang lain.

"Hensem pun tapi takde perasaan buat apa... macam bercinta dengan kayu!" Ketawa gempita mereka pun berderai. Meninggalkan dengung yang menyakitkan di hujung telingaku. Aku ingat gadis itu. Marina anak pegawai daerah yang sama sekolah denganku. Dengan perangainya yang begitu, aku tidak tahu macamana dia boleh tercampak ke sekolah berasrama tersebut. Walau cantik, lakunya keterlaluan. Pakaiannya pun... aduuhhh... juling mata lelaki-lelaki yang memandang. Yang ditegah, yang itulah paling dibuat. Tapi yang pelik, dalam ramai-ramai pelajar lelaki yang cuba menaklukinya, aku si ulat buku ini jugak yang diperhatikan. Yang cuba ditawan. Banyak kali juga aku menerima bingkisan. Tapi banyak kali juga aku tidak mengendahkan. Akhirnya gadis cantik bertahi lalat di tepi bibir itu sendiri yang berpatah arang berkerat rotan denganku bilamana salam dan sapaan nya tidak pernah aku layan. Waktu itu hati aku masih keras. Tidak pernah sepicing pun perasaanku terusik dengan sapaan-sapaan nakal itu. Dan sejak itu Marina seakan berdendam denganku. Setiap kali terserempak, kata-kata sindirian yang akan keluar dari bibir mongelnya. Pelik. Bukan tidak ada lelaki lain yang inginkannya. Kenapa aku, anak yatim kampung ini jugak yang ditunggu.

Entah. Kenapa hati aku begitu keras ketika itu. Aku sendiri tidak tahu. Malah sewaktu di Nottingham pun tidak pernah aku terlintas untuk berdampingan dengan mana-mana perempuan. Agaknya betullah apa yang mereka kata. Haiqel si ulat buku. Kalau tak takkan Julia Hanim juga kecewa denganku. Aku suka nama itu. Kerana nama itulah aku dipertemukan dengannya. Dia junior ku sewaktu tahun ke dua. Cantik dan lincah. Walau berlainan kursus, Julia tetap ingin ke mana-mana denganku. Ke perpustakaan denganku, buat kertas kerja pun dengan aku. Naik rimas aku dibuatnya. Berhari-hari juga aku cuba elak diri darinya.

Sampai akhirnya, dia menangis-nangis bila bertemuku, menuduh aku mempermainkan dia. Lagi aku pelik. Berkasih pun tak, tiba-tiba dia tuduh aku putuskan perhubungan. Aku lelaki yang harus tegas. Terus terang aku katakan yang aku tidak pernah anggap dia apa-apa. Cukup sekadar teman yang aku hormati. Merembes air matanya dan selepas itu dia tidak pernah lagi mengunjungiku. Paling akhir, sebulan sebelum aku pulang ke tanah air Radhi teman serumahku mengkhabarkan yang dia akan mengikat pertunangan dengan Julia sekembali ke tanah air nanti. Sesuatu yang tidak aku jangka. Sungguh! Tetapi, biarlah.....

Adakah aku ini lelaki dungu yang tidak pernah tahu hati perempuan?

Pandangan ku lemparkan ke seberang sana, ke bandar temasik yang bermandikan cahaya. Dulu-dulu waktu kecil selalu juga aku menyeberang ke sana, mengikut arwah Ayah ke rumah kaum keluarganya. Selepas Ayah meninggal, memang tidak pernah lagi aku berkunjung ke sana. Sanak saudara ayah pun sudah tidak jumpa-jumpa lagi. Kalau jumpa sekarang pun, pasti aku tidak kenal lagi. Iyalah... waktu itu aku masih kecil, tidak kenal manusia-manusia yang kutemui.

Paling akhir aku ke sini sebelum masuk ke asrama, itupun selepas puas
merengek dengan Mak untuk ikut Pak Long ke bandar. Pak Long tidak kisah. Tapi Mak yang melarang benar. Dia takut aku minta yang bukan-bukan dari Pak Long. Bukan Mak tidak tahu, anaknya ini tidak pernah diajar untuk meminta-minta. Aku tahu sifat aku yang satu itu. Aku ingat lagi waktu itu Ain juga masih kecil. Masih comot, walau sudah menginjak ke tahun 6. Puas dia merayu untuk ikut sama. Ah.. anak gadis itu memang pantang tengok aku ke mana-mana. Kalau boleh dia tak mahu aku lepas dari pandangannya. Tapi kerana dia seorang perempuan, yang mana seorang perempuan tempatnya lebih utama di rumah, seperti yang selalu Mak Long bisingkan. Maka hari itu sekali lagi Ain berputih mata. Berputih mata dan bertambah muncung bila pulang petangnya aku dapat sepasang selipar baru. Aku tidak kisah, walau mulut emak puas berbunyi. Meleteri aku. Bukan emak tidak tahu, selipar itu Pak Long yang belikan. Bukan aku yang minta-minta.

Mungkin kali ini aku boleh belikan sesuatu untuk Ain. Rasanya sejak akad nikah dulu, tidak pernah aku membelikan dia apa-apa walau sepasang selipar sekalipun. Ah.... suami apa aku ini? Langsung tak berjiwa romantik. Mungkin esok, selepas tamat seminar untuk hari yang kedua, aku masih sempat singgah ke mana-mana. Ke Eden Garden mungkin, atau ke City Square saja. Rasanya tidak susah untuk membelikan sesuatu untuk seorang wanita. Lebih-lebih lagi untuk seorang isteri.

Derai ketawa halus kedengaran lagi. Aku menoleh sekilas. Jejaka yang sama, gadis yang sama. Masih berdua, masih mengulit mesra. Aku menggeleng. Ahh..... Kenapa hari ini mata ini terlalu mudah untuk melihat adegan-adegan seperti itu. Bagai ada di mana-mana. Aku di Nottinghamkah?

Sebelum menambah dosa, rasanya baik aku beredar saja. Malam yang indah itu hanya dicemari dengan pemandangan sebegitu. Aku bangun, mengibas-ngibas punggung. Petang tadi sampai di Lapangan Terbang Senai, aku ambil teksi ke Cristal Crown, dimana Dato Rustam sudah menunggu di lobi. Nampak santai orang tua itu dengan kemeja pendek batik dan bermuda. Topi di kepala menutup rambut yang tinggal sehelai dua.

Dia mengatakan yang aku akan menginap di situ mungkin untuk jangka masa 3-4 hari kerana satu seminar akan diadakan pada minggu itu, dan Dato' meminta aku untuk menyertainya. Itulah Dato Rustam. Selalu ambil keputusan tanpa perancangan. Dan selalunya akulah yang jadi mangsa. Tidak mustahil kalau malam ini aku di Johor pagi esok mungkin ke Pulau Pinang atau ke mana-mana saja. Sebab itu dia agak keberatan kalau aku ingin mengambil cuti. Kalau tidak, tentu sekarang aku sedang bersama Serina. Menyusuri bandar Paris yang indah. Ah... rasa-rasanya sudah agak lama aku tidak menghabiskan cuti dengannya. Paling akhir di Phuket setahun yang lepas. Dan selepas itu tidak pernah lagi.

Serina yang manis. Serina yang manja. Dan Serina juga yang telah sepi kini. Tiada khabar berita. Ingin berpisahkah dia? Ingin jauhkah dia? Atau mungkinkah ini rahmat Tuhan, menjauhkan aku dengan Serina agar jarak masa ini dapat digunakan untuk menyuburkan getar-getar halus dalam dadaku ini? Getar-getar yang tidak keruan, malah kadangkala menyakitkan. Dan aku dapat rasakannya saat ini.

Rindukah aku pada Ain? Dan rindukah Ain padaku? Andai dalam hati ini masih ada ruang untuk dia memiliki, adakah Ain juga akan memberi ruang yang sama untukku bertakhta di hatinya. Andai getar-getar halus itu telah tumbuh dalam hati kecil ini, adakah Ain turut merasakannya?

Atau dia tidak pernah ingin mencintai aku. Dan cinta itu tidak pernah ada. Di hatinya atau di mana-mana. Dan andai cinta itu ada, tetapi bukan untukku.... bagaimana? Kecewakah aku? Kecewakah aku bila saat getar-getar dalam dada ini semakin memgembang, maka aku harus pula melupakan. Memaksa diri menerima kenyataan yang cinta Ain bukan untukku.

Ahh.... kalaulah kutemui Ain dulu. Atau kalaulah cinta itu pernah hadir dulu!

**************************************************

Seminar yang berlangsung di Hotel Cristal Crown itu di sampaikan oleh seorang tokoh korporat dari Singapura yang banyak melabur perniagaan di Malaysia terutama di Johor Bahru. 'Process Innovation & Improvement' dalam era IT menjadi topik utama pada hari kedua. Aku duduk terkebelakang, sambil menahan mata setelah beberapa kali menguap. Mujurlah cuaca tidak terlalu panas diluar. Selepas 2 jam berlalu peserta dibenarkan rehat. Masa yang aku nanti-nantikan sejak tadi.

Hidangan yang disediakan agak ringan tetapi cukuplah untuk mengalas perut sehingga tengahari. Aku mengambil 3 keping sandwich ayam dan secawan teh, lalu mengambil sudut untuk duduk. Bersebelahan, seorang lelaki India sedang berbual dengan beberapa peserta yang lain. Aku tidak menghiraukan. Yang penting perutku perlu di isi.

Sambil mengunyah, mataku meliar ke sana sini. Melihat gelagat peserta-peserta yang rata-rata sebaya denganku juga. Tampak masih muda dan bersemangat. Salah seorang dari mereka, memakai kemeja coklat cerah, kelihatan agak menonjol dari yang lain. Ada sesuatu padanya yang tampak jelas. Karismanya menyerlah. Aku melihatnya dari jauh. Lama, sehingga aku rasakan wajah itu seolah pernah aku lihat sebelum ini. Siapa?

Tidak sempat aku bertegur sapa dengannya, para peserta telah dipanggil semula masuk ke conference room. Aku hanya memerhatikan lelaki itu, duduk di depan berselang dua baris denganku. Rambutnya berombak, keperangan. Mungkin kesan berjemur di bawah matahari. Baru balik dari pantai mungkin, bisik hatiku. Dari sisi, aku seperti terkesan dengan raut wajah itu. Ya! hatiku tersentak. Berdebar secara tiba-tiba. Lelaki itu..... lelaki itu yang aku lihat kelmarin. Dari celah tingkap, mungkin. Lelaki yang memberhentikan keretanya, lalu keluar lah seorang gadis dari kereta itu dan lelaki itu terus menghampiri. Berbisik
sesuatu kepada gadis itu sambil tersenyum dan .... Ahhhh!!.....

"Yes sir?" Satu suara menerjah pendengaranku tiba-tiba. Aku tergegau. Berpasang-pasang mata terarah kepadaku.

"Any questions?" Tanyanya lagi. Aku terkebil-kebil memandang fasilitator berbangsa Cina itu menunjuk ke arahku. Apa yang aku dah buat? Apa yang aku dah cakap.?

"Do you have any problems?"

"Err.... no.. no sir..."Aku rasa darah merah naik ke mukaku. Apa aku melalut ni.

"If you dont understand, just ask me ok... then we proceed....." Fasilitator Cina itu kembali ke mejanya. Lega aku. Aku terkhayalkah tadi? Kuat sangatkah aku mengeluh tadi?

Tetapi aku sempat menangkap ekor mata lelaki berkemeja coklat itu ketika dia menoleh ke arahku. Aku pasti. Aku takkan lupa. Pada alis matanya, pada ikal rambutnya, pada hidung mancungnya. Ya, aku pasti dialah lelaki itu. Lelaki yang telah melempar tahi ke mukaku!

*******************************


Hari ini hari terakhir seminar. Selepas ini aku bercadang untuk ke Eden Garden untuk membelikan sesuatu untuk Ain. Mungkin minyak wangi atau apa-apa saja yang digemari wanita. Atau mungkin sesuatu yang boleh menggamit perasaannya. Seperti...... baju tidur? Aku senyum nipis. Buat apa aku beli baju tidur. Bukan aku boleh bersama dengan dia pun. Kau boleh Haiqel, kalau kau mahu. Tapi aku takkan paksa dia. Aku tak mahu dia menerima aku secara paksa. Biarlah lambat asal ikhlas dan rela hati. Aku yakin masa masih ada. Dan aku ada kesempatan itu. Harap-harap!

Selepas merakam gambar dan menerima sijil, masing-masing mula bersurai. Tetapi masih ada yang berlegar-legar di situ sambil berborak, mungkin mengambil nombor telefon masing-masing. Aku mencari-cari kelibat lelaki berambut perang itu. Tak silap aku hari ini dia berkemeja biru. kerana waktu makan tengahari tadi dia sempat melempar senyum padaku. Aku tidak sedar samada aku membalasnya atau tidak. Tapi satu yang aku akui. Lelaki itu memang tampan. Sebagai lelaki, aku sendiri tidak menafikan kelebihannya yang satu itu. Alis matanya tebal dan hidung bagaikan terletak. Mungkin ada darah arab yang mengalir di tubuhnya. Mungkin dia keturunan Pak Sheikh dari negara pengeluar minyak sana. Siapa tahu?

Aku masuk ke dalam lif yang masih terbuka. Dua-tiga orang yang aku kenali turut sama masuk. Jamaludin dari Melaka dan Norhakim dari Johor. Masing-masing berbalas senyum. Belum sempat pintu lif tertutup, seorang lagi masuk dengan tergesa-gesa. Lelaki berkemeja biru.! Jantungku serta merta berdegup kencang. Lelaki itu berdiri betul-betul di sebelahku. Dan aku dapat menghidu aroma wangianya, CK contradiction mungkin. Kekar tubuhnya jelas terlihat walau berkemeja panjang. Ternyata dia benar-benar lelaki yang menarik perhatian. Dan kalaulah ini lelaki yang ku lihat bersama Ain dulu, aku tidak perlu menyakitkan kepala untuk memikirkan sebab kenapa Ain tidak pernah memandang aku. Kalau pandang pun mungkin sebelah mata. Ahh..... terasa kerdilnya aku saat itu. Inikah lelaki yang telah mencuri hati Ain Fathihah?

0 comments:

Newer Post Older Post Home