R
aja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah perkenan meluluskan permohonan Ahli Jawatankuasa Kariah Masjid Taman Tasek Jaya Ipoh bersama Persatuan Cina Muslim Cawangan Ipoh untuk membina sebuah masjid baru di Taman Tasek Jaya Ipoh.
Baginda bertitah, kerajaan yang diterajui oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 10 Ogos 2005 telah bersetuju merizabkan kawasan seluas 3,776 meter persegi di Taman Tasek Jaya bagi tujuan pembinaan masjid itu.
Titahnya, reka bentuk masjid tersebut akan menerima pakai ciri-ciri seni bina kebudayaan Cina.
“Masjid ini akan dapat menjadi pusat ibadat, pusat perkembangan ilmu, pusat maklumat, pusat kemasyarakatan untuk manfaat tujuh kawasan perumahan iaitu Taman Seri Tasek, Taman Tasek Baru, Taman Manikavasagam, Taman Tasek Jaya, Taman Musim Bunga, Taman Tasek Mutiara dan Taman Tasek Berlian.
“Beta suka menyarankan supaya komponen pusat niaga dan kafeteria turut dimasukkan supaya masjid ini memiliki kemudahan yang lengkap,” titah baginda pada Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak Kali Ke 166 di sini, semalam.
Baginda turut mengumumkan geran pelancaran sebanyak RM2 juta yang disumbangkan oleh Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak untuk pembinaan masjid itu.
Selain itu, baginda menghargai peranan aktif salah seorang ahli Majlis, Tan Sri Datuk Dr Ahmad Azizuddin Zainal Abidin yang berperanan menjadi penasihat utama kepada projek berkenaan di samping Datuk Dr Fadzli Cheah Abdullah dan Datuk Sheikh Mohamah Nor Mansor Al-Hafiz.
Titah baginda, keindahan dan kesempurnaan Islam akan lebih terserlah dan meyakinkan jika kegiatan yang dianjurkan atas nama Islam dapat diterjemahkan kepada masyarakat.
"Islam tidak hanya indah secara teori bahkan lebih terserlah dalam amalan hidup seharian.
“Contoh teladan yang murni dan sifat `kota apa yang dikata’ merupakan pendekatan dakwah lebih ketara dan bermakna berbanding aktiviti berbentuk kuliah dan ceramah," titah Baginda.
Baginda juga mengingatkan rakyat jelata tentang kepelbagaian etnik, budaya dan bahasa di kalangan umat manusia sebagai rahmat ciptaan Allah SWT yang mesti dimanfaatkan untuk membuktikan bahawa Islam adalah universal.
Titahnya, ciri-ciri budaya yang pelbagai adalah cermin kekayaan Maha Pencipta dan Islam tidak menolak budaya yang tidak bercanggah dengan prinsip ajarannya.
“Selagi budaya tersebut tidak bercanggah dengan prinsip-prinsip Islam, perkembangannya tidak harus disekat atau dihalang.
“Kegagalan mentafsir kepelbagaian budaya dan bahasa merupakan satu kelemahan yang perlu diatasi," titahnya.
Justeru itu, Baginda berkata, persepsi Islam jangan sama sekali disempitkan, penjelasan antara konsep dan hubung kait agama dengan budaya dan kumpulan etnik perlu difahami.
"Agama Islam untuk umat dunia tanpa ada sempadan kaum atau budaya Islam bukannya hanya milik Melayu," titah Baginda. - sinar harian
Wednesday, June 3, 2009
Raja Muda Perak perkenan bina masjid Cina Muslim.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Post a Comment