P
uas dan seronok baca kolum Mohd Hanipa Maidin, Prima facie, dalam Harakah keluaran lalu, bertajuk "Mahkamah Rayuan ketepikan doktrin Raja Berperlembagaan".
Puas dan seronok bukan sebab boleh baca dan khayalkan yang Najib Tun Razak akan dilucutkan jawatannya oleh Yang di-Pertuan Agong pada awal Januari 2010. Tetapi puas dan seronok sebab tulisan yang seperti itu ditulis oleh seorang peguam yang mahir dalam selok belok undang-undang negara. Bukan oleh sebarang penulis yang saja suka-suka mengkhayalkan sesuatu mengikut sedap hatinya, berdasarkan rasa marah dan emosi yang tak terkawal.
Maka tahniah dan syabas kita ucapkan kepada Hanipa Maidin. Seperti katanya dalam tulisan itu, episod cerita rekaannya itu adalah "cara terbaik untuk memahamkan para pembaca tentang kesan keputusan Mahkamah Rayuan pada hari ini".
Betul, rakyat biasa sudah macam tak boleh faham lagi apa yang sedang berlaku pada kerajaan negeri Perak. Kedudukan dan jawatan Menteri Besar, serta peristiwa dalam sidang Dewan Undangan Negeri yang melihat Speaker dipaksa keluar dan dikurung dalam stor, dan Speaker baru dilantik secara tidak mengikut peraturan, semuanya itu tiba-tiba menjadi seperti cerita budak-budak main pondok-pondok.
Maka ramai orang mencadangkan kepada saya supaya mencipta sebuah skrip teater berdasarkan kepada peristiwa pelik tetapi benar itu, dan kemudian mementaskannya, dengan tujuan untuk memberi kefahaman kepada orang ramai akan apa sebenarnya yang sedang berlaku.
Memang tidak susah sebenarnya untuk mengolah semula peristiwa tersebut ke dalam bentuk skrip teater mahupun skrip filem, sekiranya kita mempunyai niat yang jelas dan didorong oleh keazaman tertentu. Tetapi entah kenapa, saya tidak begitu ghairah untuk melakukannya. Sekurang-kurangnya buat masa ini. Saya fikir ini bukan masa yang sesuai.
Dalam keadaan begitu tiba-tiba saya membaca tulisan Hanipa Maidin yang berkenaan. Wah, memang tepat sekali, dan sangat sesuai. Seorang peguam yang terlibat dalam kes itu sendiri menulis dan menerangkannya secara yang sangat kreatif dan menarik. Itulah implikasinya dari penghakiman tiga hakim Mahkamah Rayuan pada 22 Mei yang sangat mengejutkan itu.
Seorang peguam yang cerdik dan kreatif telah bertindak balas sesuai dengan "semangat teater" yang sedang ditunjukkan oleh pelbagai pihak yang terlibat dalam kemelut undang-undang dan Perlembagaan di negeri Perak sekarang.
Memang rakyat semakin tak faham apa yang berlaku. Semuanya seperti suatu permainan, seperti sebuah teater yang didalangi oleh tangan-tangan ghaib dan misteri. Mereka itu semua seperti sedang beraksi dengan suatu "semangat teater" yang tiba-tiba menguasai mereka, hingga mereka yang pakar dan mahir dalam hal undang-undang dan Perlemba-gaan pun seperti tidak lagi mempedulikan undang-undang dan Perlembagaan.
Yang peliknya ialah kerana ia melibatkan instisusi istana dan institusi kehakiman. Sepatutnya dua institusi ini berperanan mengawal kesejahteraan hidup rakyat dengan berpandukan kepada agama, adat dan undang-undang. Tetapi tiba-tiba dua institusi ini pula yang membuat celaru. Maka rakyat pun bertambahlah bercelaru dan bengong.
Tepat, memang tepatlah kiasan yang dibawa oleh Hanipa Maidin itu. Teater politik itu telah dimainkan, maka mainkanlah terus, ya! Main sampai ke hujungnya. "Mari kita lihat siapa yang kena!" kata P Ramlee.
Hanipa Maidin hanya berkias sahaja. Tetapi kiasnya bukan sebarang kias. Kiasnya berpandukan lunas undang-undang dan penghakiman yang baru sahaja dibuat oleh tiga orang hakim Mahkamah Rayuan. Dan kiasnya melibatkan dua tokoh tertinggi dalam politik dan Perlembagaan negara. Agong menulis surat melucutkan jawatan Perdana Menteri yang disandang oleh Najib, dan baginda meminta Najib dan isterinya keluar dari kediaman rasmi PM.
Kiasan hanya. Tetapi itulah makna dan implikasinya. Samada akan terjadi begitu atau boleh terjadi begitu atau tidak, itu perkara lain. Yang pentingnya sekarang bagaimana rakyat harus memahami akan hakikat sebenar apa yang berlaku.
Memang sukar hendak memahaminya. Ia bukan sahaja di luar dari kebiasaan, tetapi ia juga di luar dari kemungkinan yang dibenarkan oleh adat, agama dan undang-undang. Bahkan ia juga di luar dari kefahaman rakyat mengenai peranan institusi istana dan institusi kehakiman.
Apakah akan berlaku perubahan kepada institusi istana, daripada doktrin Raja Berperlembagaan (Constitutional Monarchy) kepada doktrin Raja Mutlak (Absolute Monarchy), seperti yang disebut oleh Hanipa Maidin itu? Apakah rakyat akan menjadi lebih merdeka, berdaulat dan sejahtera di bawah sistem Raja Mutlak, berbanding dengan sistem Raja Berperlembagaan?
Dan apakah ini penyelesaian yang diharapkan oleh rakyat, walaupun peguam yang cerdik dan kreatif seperti Hanipa Maidin telah membayangkan kemungkinan Agong akan memecat PM Najib Razak?
Apa pun, semua itu hanyalah kemungkinan-kemungkinan. Mungkin akan berlaku apa yang kita bayangkan itu, dan mungkin juga akan berlaku sesuatu yang tidak kita bayangkan. Tetapi kalaulah doktrin Raja Mutlak yang akan kembali berperanan, seperti kata Hanipa Maidin itu .... Oh tidak, saya tak mahu bayangkan kemungkinan itu, dan saya tak percaya pada kemungkinan itu.
Saya percaya rakyat Malaysia hari ini semakin matang dan semakin cerdik. Apa-apa yang sedang berlaku sekarang ini adalah sebahagian daripada proses yang sedang menuju kepada kematangan dan kecerdikan itu.
Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.myAlamat email ini telah dilindungi dari spam bots, anda perlukan Javascript enabled untuk melihatnya atau SMS 0136362408_
Saturday, May 30, 2009
Agong boleh pecat Najib, dan kemudian?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Post a Comment