Sunday, December 28, 2008

Ku Milikmu (Akhir)

Tanah merah itu masih basah. Air berwarna merah mengalir dicelah-celah tanah yang merekah. Sebahagiannya bertakung, menjadi becak . Daun-daun puding yang kaku, hanya menadah titis-titis hujan yang turun. Seakan tidak mahu berhenti. Mengiringi kesedihan hati-hati yang sedang bertafakur. Waktu talkin dibacakan tadi, hujan turun agak lebat. Masing-masing berhimpit-himpit sambil berkongsi payung. Lama-kelamaan menjadi sedikit reda. Beberapa orang, yang sama-sama
bertafakur sebentar tadi, sudah mula beransur. Kerana hari pun sudah semakin kelam. Hanya tinggal gadis itu. Masih kaku berdiri di situ, tidak berganjak walau sedikit. Kain batik yang di pakai sudah memerah di percik becak. Tidak dihiraukan. Baju kurung juga sudah hampir lencun, juga tidak dikisahkan. Matanya tancap, merenung butir-butir tanah merah yang basah. Air mata sudah kering, bercampur dengan air hujan yang menimpa pipi si gadis. Dia hampir-hampir terjelepuk.



"Fathihah........"Tidak menoleh.

"Fathihah.....mari balik nak...."Lembut suara yang menerjah telinganya. Seraya tangan berkedut itu memaut lengan si gadis.

"Sudahlah tu, mari balik sayang, hari dah petang..."Si gadis menoleh sekilas.

"Tak baik berhujan lama-lama...nanti boleh demam..."Wanita tua itu memimpin tangan si gadis. Si gadis mula bergerak. Tapi langkahnya amat perlahan. Satu-satu bagai dipaksa saja sekujur tubuh itu bergerak.

"Tak baik menangisi orang yang dah pergi. Biarlah.....kita yang masih hidup ni hanya boleh berdoa semoga rohnya aman di sana.."Gadis itu mengesat pelupuk matanya. Hatinya masih sebak. Banyak perkara yang menyedihkannya akhir-akhir ini. Dan dia hanya mampu menerimanya. Tak dapat mengubah apa-apa.

Mereka berjalan lambat-lambat. Melintasi celah-celah pokok puding yang merimbun, dan batu-batu putih yang kaku. Ain Fathihah hanya melihat. Dia tidak gentar lagi dengan batu-batu putih itu. Esok dia akan datang lagi. Dan juga hari-hari seterusnya. Batu-batu putih akan menjadi teman dia nanti.

*************************

Selesai mengemas pinggan mangkuk, Ain Fathihah terus masuk ke bilik.

Badannya letih benar. Ditambah dengan bebanan kesedihan yang ditanggung. Terasa sakit dadanya menahan sebak dan pilu sejak semalam. Dia biarkan ibunya di dapur, melayan bual dengan jiran dan juga emak mentuanya, ibu Haiqel. Kenduri arwah yang berlangsung sebentar tadi dikunjungi ramai jiran-jiran. Masing-masing menghulur tangan. Terasa ringan sedikit beban.

Baru dua hari lepas dia sampai di kampung. Dan hari ini dia berasa sepi sekali. Dia teringatkan Haiqel. Baru 2 hari yang lepas mereka bertengkar. Dan hari ini dia berasa rindu sekali. Dia teringatkan wajah Haiqel. Wajah gembira lelaki itu, wajah marah, atau apa saja yang terlihat, dia tetap suka wajah itu. Dia amat mengkagumi wajah itu. Dan dia terlalu ingin memiliki wajah itu. Ain Fathihah menghela nafas panjang. Air matanya luruh ke pipi. Diseka sekali lagi. Mudah benar air mata ini mengalir. Sejak semalam lagi.

Dia mencapai sesuatu di bawah bantal. Keratan akhbar semalam. Gambar kereta yang remuk itu dilihat sekali lagi. Dahsyat sungguh. Bagaimana keadaan Haiqel waktu itu. Menurut akhbar itu pemandunya sedang dalam perjalanan ke Johor Bahru. Benarkah itu? Air matanya semakin laju. Pandangannya menjadi kabur. Baru 2 hari lepas dia berada di dalam kereta itu. Duduk di sebelah lelaki itu, amat dia senangi walaupun masing-masing hanya berdiam diri. Walaupun Haiqel tak akan senyum padanya lagi. Walaupun hatinya sentiasa mengharapkan. Kalaulah dia ada bersamanya waktu itu.....

Malam terlalu panjang rasanya. Dia tidak sabar menunggu siang hari. Pagi-pagi esok dia akan ke kubur lagi. Dia sudah petik bunga petang tadi. Esok dia akan tabur bunga atas tanah merah. Dia harap esok tidak hujan lagi.

*******************************************
"Ain dari kubur ker?...."Ain mengangguk. Jag kosong yang berisi air Yassin tadi di letak atas meja. Kain tudung ditanggalkan.

"Nak ikut mak pergi kedai?"Ain menggeleng.

"Ain nak masak bubur dulu la mak. Dah tengahari ni..."Balasnya perlahan. "Mak belikan ikan masin jeruk sekali ye, mak...." Dia melangkah masuk ke dapur. Adik-adiknya semua sudah ke sekolah. Rasa lapang sedikit rumahnya. Cuma pinggan mangkuk yang digunakan malam tadi saja masih bertangkup di atas simen dapur beralas surat khabar. Ain menjenguk ke luar. Tidak terlihat kelibat emak mentuanya. Dia ke belakang pula. Mungkin emak mentuanya sedang mengopek kelapa.

"Mak nak buat bubur kacang ke, mak?"Tegurnya. Orang tua itu menoleh sambil tersenyum.

"Buat sikit, takut kempunan pulak dia nanti..."Ain tersenyum."Ain dah jerang nasi?"

"Belum lagi mak. Kejap lagi. "Balasnya. "Ikan masin jeruk, Ain suruh mak beli tadi..."Dia tahu Haiqel memang gemar makan ikan masin jeruk. Kalau makan dengan bubur nasi, memang dia boleh bertambah 2-3 kali. Lagi-lagi kalau ada kangkung belacan dan ikan bilis goreng. Hati Ain tersentuh. Sudah lama dia tidak makan bubur dengan Haiqel macam dulu-dulu.

"Haiqel memang suka makan bubur campur macam tu. Kalau musim hujan, memang dia selalu suruh mak masakkan bubur. Sekarang ni...tak tahulah dia boleh makan ker tak...."Tersedu orang tua itu. Ain tarik nafas panjang.

"Takpelah mak....Ain masuk dulu...."Ain Fathihah cepat-cepat masuk kembali ke rumah. Hatinya sebak. Dia tak mahu airmatanya jatuh di depan orang tua itu. Sudah acapkali benar. Dia menjerang nasi. Menyiang ikan bilis untuk digoreng. Sayur kangkung di patah-patah lalu di bersihkan. Cebisan belacan di bakar atas periuk nasi. Baunya semerbak. Esok pagi dia akan ke kubur lagi. Petang nanti
boleh petik bunga banyak-banyak. Sementara dia masih bercuti ni, biarlah dia mengunjungi pusara itu hampir saban hari. Selepas ini dia akan kembali ke Kuala Lumpur. Dia akan ke tempat kerja seorang diri. Tidak tahulah sampai bila. Rasanya semua teman sepejabat sudah mengetahui nahas yang menimpa Haiqel. Dato' sendiri ada menelefonnya bertanyakan tentang Haiqel. Apa yang boleh dia katakan. Dia hanya mampu menangis!

"Ain....."Dia sedikit tersentak. Disekanya air mata.

"Kenapa Ain bersedih lagi....."Rambut ikalnya diusap. "Sudahlah tu...janganlah menangis lagi...biar mak masak ...Ain pergilah bersiap..."Ain tidak berganjak.

"Takpelah mak, biar Ain saja yang siapkan semua ni. Bukannya susah sangat. Mak kata nak buat bubur kacang tadi?"Ain cepat-cepat kupas bawang.

"Mak nak perah santan dulu. Ain pergilah mandi. "Akhirnya dia mengalah. Dibiarkan emak mentuanya yang menyiapkan semuanya. Dia tahu orang tua itu lebih pantas darinya. Ain duduk di anak tangga dapur memerhatikan cuma.

"Ain....apa yang termenung lagi tu. Pergilah siap cepat. Nanti waktu mmelawat habis pula."Ain senyum nipis.

"Ain ingat nak petik bunga dulu banyak-banyak. Tak payah beli nanti...."

"Bagus jugak tu Ain, boleh jimat sikit nanti. Lagipun, Ain beli mahal-mahal pun, bukannya dia boleh nampak bunga tu. Esok lusa, nak kena tukar lagi"Ain mula senyum. Dia sudah bersiap-siap untuk turun ke laman yang penuh dengan bunga-bunga. Dia ingin petik bunga banyak-banyak setiap hari. Sebahagian, dia akan tabur di pusara dan sebahagian lagi dia akan gubah menjadi jambangan bunga indah. Walaupun Haiqel tidak dapat melihatnya, dia tidak kisah.

Ain Fathihah menarik nafas panjang. Dia masih sedih , dia tahu, tapi dia harus menghadapi hari yang baru ini. Hari yang amat berbeza. Dia tidak kisah walau hari-hari harus mengunjungi pusara ayahnya, dan hari-hari harus memasak bubur dan memetik bunga untuk suaminya. Yang penting dia pasti, Haiqel tahu kehadirannya. Dia tahu Haiqel menyukainya. Dia mahu Haiqel cepat sembuh, dan jadi seperti sediakala. Dia tidak kisah walau bagaimana rupa Haiqel nanti. Dia tahu cintanya pada lelaki itu tetap utuh. Dia segera memetik bunga-bunga. Dia mahu cepat sampai. Dia mahu jadi orang pertama di sisi Haiqel bila waktu melawat tiba nanti.

Ain Fathihah melihat kuntuman bunga yang mekar indah. Dia tersenyum indah.

TAMAT

0 comments:

Newer Post Older Post Home