Sunday, October 26, 2008

Kumilikimu (Part 11)

Gumpalan awan kelabu terlihat di luar sana. Hujan rintik-rintik masih merembes. Bagai hujan di hatiku. Perjalanan singkat dari Johor ke Kuala Lumpur hanya memakan masa 45 minit. Sebentar lagi kapalterbang akan mendarat di KLIA. Sebentar lagi juga akan kutemui dia. Akan kutatap wajahnya sungguh-sungguh. Biarlah, walau hanya sekadar menatap saja. Mungkin hanya itu yang layak untukku.


Kotak kecil berbalut kemas dengan reben merah cantik melekat di bucunya, tetap terletak rapi di dalam beg kertas di sebelahku. Dua tiga kali aku melihatnya. Sejak malam tadi, hatiku berbelah bagi samada ingin kuserahkan hadiah kecil itu atau kusimpan saja untuk suatu jangka masa yang aku sendiri tidak tahu sampai bila. Mungkin bila suatu masa nanti, saat aku harus melepaskan Ain. Dan bunga-bunga yang berkembang di hatiku pun layu.

Aku cuba pejamkan mata. Mencari-cari wajah Ain. Tapi wajah itu hilang, diganti pula dengan seraut wajah lain. Wajah lelaki. Ya, lelaki itu. Bagai terlihat lelaki itu di sisi Ain, berjalan bergandingan penuh mesra. Lalu jemari mereka tergenggam erat. Sama-sama mengukir senyum sambil melangkah, meninggalkan aku terkulat-kulat memandang. Dan mereka tidak menoleh kepadaku lagi.

Ahh... sampai hatikah Ain melakukan aku begitu. Tiada sedikitkah rasa kasih dalam hatinya untuk aku. Sampai saat ini pun, adakah hatinya masih untuk lelaki itu. Ahhh... Syed Iskandar!

"Dia tu Iskandar bukan?"Aku cuba tanya pada Norhakim sewaktu di dalam lif semalam.

"Yang baru keluar tadi tu?" Aku angguk. "Yup, Syed Iskandar dari
Sendana Engineering.. kalau tak silap.."

"Oo.."Aku buat-buat tersenyum.

Memang tepat telahanku. Dialah Iskandar, lelaki yang bersama Ain tempohari. Lelaki yang telah meninggalkan malah mengecewakan Ain suatu ketika dulu. Dan tiba-tiba dia muncul semula. Dan Ain pula, adakah dia lupa pada apa yang telah lelaki itu lakukan terhadapnya. Kalau bukan terhadap dirinya pun, terhadap keluarganya. Keluarga Pak Long dan Mak Long. Lupakah Ain pada kepahitan itu sehingga dia masih sanggup bersama lelaki tersebut. Masih sanggup melayaninya. Sebesar mana cinta Ain pada dia?

Aku membuka mata bila terasa gegaran yang agak kuat. Pandangan ku lempar keluar seketika. Tiada apa-apa. Hanya pemandangan kosong. Aku membetulkan duduk, apabila suara halus kedengaran memaklumkan pendaratan yang akan dilakukan. Saat-saat seperti ini aku terkenangkan suatu ketika dulu, sewaktu penerbangan pulang dari luar negeri. Saat-saat awal aku kenal Serina, gadis yang duduk di sebelahku. Dari duduk sebelah, akhirnya dia benar-benar menjadi temanku. Aku sendiri tidak tahu kenapa aku boleh terpikat dengannya . Yang sebetulnya, aku tidak benar-benar terpikat ketika itu. Tapi sikap Serina yang
menghiburkan, malah hari-hari dia berusaha mendampingi aku, akhirnya tanpa sedar aku menerima dia menjadi sebahagian daripada hidupku.

Andainya Ain tidak pernah menginginkan aku, kenapa aku mesti gusar. Bukankah aku masih punya Serina?

*****************************
Sampai di Lapangan Terbang KLIA, jam menunjukkan hampir ke pukul 7.00 petang, Aku mengambil keputusan untuk menaiki teksi terus ke rumah. Tidak perlu singgah ke pejabat kerana sudah pasti rata-rata mereka telah beransur pulang. Dan yang pasti Ain juga sudah pulang. Lainlah kalau dia tersangkut dalam trafik jam petang-petang begini.

Hampir setengah jam kemudian teksi yang aku naiki membelok ke Taman Gasing Indah yang waktu-waktu begini , tidak banyak kenderaan yang kelihatan. Kerana taman itu terletak di kawasan agak tinggi, dan di bawah sana terdapatnya perhentian Komuter yang sampai sekarang tidak pernah aku naiki.

Kereta kecil Mak, tersadai depan rumah, bersebelahan dengan Satriaku. Cahaya berbalam-balam dari arah dapur, membayang tubuh seseorang. Selepas membayar wang teksi, aku menekan loceng pintu. Lama, sebelum pintu terbuka. Dan seraut wajah yang aku kenang-kenang selalu muncul sejurus itu. Dia terpaku.

"Ain?" Tegurku perlahan. Tanganku telah berpaut dilengannya, secara spontan. Tiba-tiba aku rasa seperti ingin memeluk dirinya saat itu. Terasa sungguh rindu.

"Bila Qel sampai... Qel naik apa tadi?" Wajah Ain ceria. Aku tersenyum
sama sambil melangkah masuk.

"Qel naik teksi dari airport tadi, mak mana?"Aku melabuhkan punggung ke sofa sedang Ain berdiri betul-betul di hadapanku. Sungguh indah dia saat itu. Dengan baju tidur satin warna putih berbunga merah. Rambutnya yang ikal dibiar lepas.

"Mak kat atas tengah sembahyang..."Dia duduk di sebelahku.

"Ain dah solat?" Ain mengangguk perlahan. Merenung ke arahku dengan pandangan yang.... sukar untuk dimengerti. Ada sesuatu pada pandangannya itu.
"Macamana dengan kursus Qel kat sana?"

"Emm... Ok jugak" Balasku lambat-lambat. Pertanyaan Ain mengembalikan ingatanku kepada lelaki itu. Ringan saja mulutku untuk mengatakan kepada Ain kisah pertemuanku dengan Iskandar. Tentang betapa aku sangat memerhatikan lelaki itu. Betapa lelaki itu amat secocok dengan dia. Dan betapa wajarnya Ain kecewa kerana terpaksa mengahwiniku, lelaki yang jauh berbeza dengan pilihan hatinya.

"Qel nak makan sekarang ke atau nak mandi dulu?"Ain pandang aku lagi. Aku menggeleng. Baru sebentar tadi hatiku melonjak-lonjak bila bertemunya kerana aku merasa sedikit getar-getar halus dalam hatiku ini menjadi resa dan lapang bila memandangnya. Tetapi bila wajah Iskandar menerpa, diikuti wajah Ain, dan aku rasakan betapa berpadannya mereka berdua, hati aku jadi layu tiba-tiba.

"Kalau Qel nak makan, Ain boleh siapkan dulu...." Aku dapat rasakan suara Ain begitu mesra saat itu, seperti hubungan ini baru terjalin tapi aku tak dapat membohongi diri sendiri. Setiap kali wajah itu kupandang, aku membayangkan betapa sebelum ini wajah itu yang menjadi milik Iskandar. Bukankah mereka bercinta dulu. Bertunang dan hampir melangkah ke gerbang perkahwinan. Dan aku percaya, Ain benar-benar mencintai lelaki itu. Sampai saat ini pun.

"Qel?"

Aku bingkas bangun. Ain terpinga-pinga memandangku. Mungkin dia menyedari perubahan wajahku . Aku sudah mula merasakan bibit-bibit kemesraan sebentar tadi, tapi wajah Iskandar....... menyapu segalanya.Aku mencapai beg sandang yang berisi pakaian kotor. Menoleh ke arah Ain sekilas.

"Qel naik atas mandi dulu. Nanti kita makan sekali dengan mak.."Hampa kelihatan wajah Ain. Biarlah. Kenapa mesti dia hampa. Bukankah dia tidak ikhlas dalam melayaniku. Kalau dia benar-benar menerimaku, kenapa mesti dia bertemu lagi dengan lelaki itu. Secara sulit tanpa pengetahuanku. Kenapa mesti saling berhubungan lagi?


***********************************

Selepas makan malam, aku mengambil keputusan untuk menonton tv di ruang tamu sambil berasap sebatang dua. Satu kebiasaan selepas makan yang sukar untuk dikikiskan. Rasanya sudah lama aku tidak menonton siri kegemaranku 'Era @ria' di saluran Astro. Sebenarnya aku suka melihat pengacaranya yang persis Serina. Comel dan manis.

Sambil menghembus asap rokok, aku menyandar badan ke sofa dan melunjur kaki. Penuh rasanya perutku malam itu penangan nasi ayam Mak. Bunyi pinggan mangkuk berlaga masih kedengaran di dapur. Mungkin Ain masih belum usai mencuci pinggan. Mak selepas makan tadi terus saja meneruskan kerjanya, menjahit baju di dalam bilik kecil sebelah dapur. Banyak tempahan, katanya. Semestinya tempahan dari butik Puan Aisyah. Ah... lama aku tidak menjenguk ke butik wanita separuh umur itu.

Aku mengerling ke dapur, tetapi tidak terlihat kelibat Ain. Ah.. terasa
tekak ingin minum Neslo kegemaranku pula. Aku bangkit menuju ke dapur. Ain tidak memandangku langsung sebaik aku masuk ke dapur. Mungkin dia terasa dengan sikapku senja tadi. Waktu makan tadi pun dia tidak banyak cakap. Cuma sesekali menyampuk cakap Mak, kerana orang tua itu sibuk bercerita tentang tempahan bajunya dan tidak pernah menyedari kebisuan antara aku dan Ain.

Aku melihat dia buru-buru ingin beredar dari situ. Selepas meletak pinggan ke dalam cabinet, dia bergegas untuk keluar dari situ. Aku segera memalingkan tubuhku dan langkahnya terhenti di depanku. Wajahnya berubah.

"Ain nak ke mana?"

"Naik atas..."

"Tolong bawakan air ni ke depan..."Aku menghulurkan mug yg masih berasap. Ain mengerling. Tiada riak di wajahnya, tetapi tangannya pantas meraih mug di tanganku. Terus berlalu meninggalkanku. Ah..... marah benar dia agaknya dengan sikapku yang tiba-tiba berubah petang tadi. Mungkin dia kecil hati dengan perangaiku yang sekejap mesra sekejap dingin. Tapi sungguh! Perasaan itu bukan dibuat-buat. Aku tidak sanggup untuk memesrainya sedang wajah Iskandar ada di mana-mana.

Aku kembali ke ruang tamu dengan menatang piring berisi kerepek pisang. Biasanya waktu-waktu begini, menikmati makanan ringan sambil menonton tv dan melayan borak dengan Mak adalah perkara yang amat menyenangkan. Tapi malam ini Mak pun agak sibuk dengan tempahan baju-bajunya. Pasti dia agak kepenatan dan tiada masa untuk bersembang denganku. Hendak berbual dengan Ain, rasanya tidak banyak topik untuk diperkatakan selain dari perasaan-perasaan aneh yang sering aku rasakan tiap kali berhadapan dengannya.

Mug Neslo ku sudah berada di atas meja, tapi kelibat Ain sudah tidak kelihatan. Mungkin dia sudah naik ke atas. Mungkin baginya malam-malam seperti ini tiada yang lebih indah selain mengurung diri pada setiap kali selepas pertemuan-pertemuan wajib di rumah ini seperti makan malam, sarapan atau ke tempat kerja. Selain itu, tiada pertemuan, tiada bicara. Aku tidak tahu bagaimana hari-hari seperti ini telah berlalu hampir 4 bulan lamanya. Dan aku masih mampu bertahan. Menanti 6 bulan lagi jangkamasa yang diperlukan, dan selepas itu masing-masing akan mengikut haluan sendiri.

Aku melihat seseorang di luar rumah. Ain kelihatan seorang diri, merenung kegelapan malam, sambil diperhatikan lampu-lampu di tepi jalan. Aku segera bangun, menapak ke muka pintu. Aku terfikir, saat-saat seperti ini, apakah yang diinginkan oleh seorang isteri? Seorang isteri mungkin berasa amat bahagia, tatkala dia bersendirian begitu, si suami lalu dengan amat perlahan datang dari arah belakang, lalu memeluk tubuh itu dalam-dalam. Lalu dikucupnya kening si isteri tanda sayang. Lalu kasih si isteri menjadi semakin mendalam, Adakah Ain juga inginkan sesuatu seperti itu? Atau dia pernah membayangkan semua itu?

"Ain....."Ain menoleh sekilas bila mendengar suaraku. Senyuman nipis kelihatan.

"Kenapa duduk kat luar... kan sejuk ni..."Aku bersuara perlahan. Ain mengeluh tiba-tiba.

"Kat dalam pun sejuk juga..."Balasnya tanpa memandangku.

Aku terdiam. Memikirkan kata-kata tadi yang lain benar pada pendengaranku. Apa maksud dia? Adakah dia menyindirku kerana menjadi suami yang tidak berfungsi.?

"Ain tak nak temankan Qel tengok tv?"Aku cuba memancing hatinya. Ain berpaling kepadaku.

"Tak apalah, Ain naik atas dulu..."Emm.... aku dah pelawa, tak nak pula!

"Er... Ain..."Langkah Ain terhenti. Dia kembali memandangku.

"Esok Qel tak datang kerja." Aku telan liur sebentar. "Qel ingat nak ambil cuti. So Ain pergi kerja dengan Suzy ye?" Wajah Ain sedikit berubah.

"Kenapa tak datang? Qel tak sihat ke?"Risau jugak dia padaku.

"Qel ingat nak rehat sehari. Ni pun tak habis penat lagi. Qel dah telefon Suzy tadi so esok dia datang ambil Ain macam biasa...."

"Emmm..... suka hati Qel la..."Ain menjawab malas sambil berlalu meninggalkanku. Aku termangu-mangu. Ah.... aku dah mula nak berbaik-baik, dia pula yang dingin nampaknya. Jual mahal!

*************************

Dari celah tingkap, aku memandang ke bawah. Langkah Ain teratur, satu persatu gerakannya menuju ke pintu pagar. Di situ dia berdiri sebentar, melihat jam di tangan. Seketika membetul-betulkan tudung yang tersingkap. Dari atas, wajahnya tidak kelihatan, tetapi aku tahu pasti dia kelihatan manis pagi itu. Seperti hari-hari yang lalu.

Kereta Kancil putih muncul dari arah simpang. Berhenti betul-betul di depan Ain. Suzy menurunkan cermin tingkap dan berkata sesuatu kepada Ain. Gelak ketawa mereka mula kedengaran. Nampaknya mereka sudah menjadi akrab. Dan ini satu perkembangan yang bagus untuk Ain. Sekurang-kurangnya dia punya teman lain yang boleh mengisi kesunyian. Atau kebosanan?

Sejurus, kereta kancil hilang dari pandangan. Dan aku kembali ke dunia sepiku. Di pagi-pagi hening seperti ini, tiada apa yang boleh dilakukan selain menyambung mimpi. Ah... kali ini aku ingin tidur di atas katilku, yang sudah lama ditinggalkan. Rindunya! Sudah terlalu lama rasanya aku tidak beradu di atasnya.

Aku merebahkan tubuh ke atas katil yang sudah siap dikemas oleh Ain tadi. Terasa enaknya. 10 kali lebih enak dari tidur di atas comforter dalam bilik komputer. Aku melihat jam di dinding. Belum pun pukul 8. Hari ini aku ingin habiskan masa dengan tidur sepanjang hari. Alang-alang bercuti, biar aku rehat sepuas-puasnya. Tidak perlu pening-pening kepala menghadap pelan-pelan yang selalu tertunda. Tidak perlu sakitkan mata melihat cerucuk-cerucuk yang terbengkalai di tapak projek. Tidak perlu mengerah idea atau apa saja. Yang penting aku harus tidur dan tidur.

Kepada Mak, kuingatkan supaya tidak mengejutkanku sehingga jam melewati pukul 10 nanti. Cuma pagi tadi saja, selepas selesai Subuh, aku tergerak hati untuk melihat Ain bersiap-siap ke tempat kerja. Dua tiga kali aku pura-pura keluar masuk ke bilik air. Dua tiga kali juga Ain terhenti berdandan, dan tersipu-sipu memandangku. Bila dia keluar dari bilik, cepat-cepat aku berlari ke tingkap untuk melihatnya. Lama, barulah kelihatan bayang tubuhnya bergerak ke pagar rumah. Itupun setelah lenguh kakiku berdiri di tepi tingkap.

Ah... Ain! andainya saat ini dia berada disampingku alangkah bagusnya. Melayani aku dengan mesra persis seorang suami yang paling diingini. Aku janji aku tidak akan menghampakan dia. Aku akan bahagiakan dia sepertimana Iskandar membahagiakannya. Iskandar! Wajah lelaki keturunan arab itu menerpa depan mata. Aku ingat lagi gaya dan lagaknya semasa seminar tempohari. Menonjol dan berkarisma. Bagaimana Ain boleh bertemu dengannya? Seterusnya bercinta. Bukankah Ain gadis kampung, yang hidupnya hanya di situ-disitu juga. Kalau setakat bandar Muar, apalah sangat untuk dia boleh bertemu dengan lelaki itu. Bagaimana lelaki sehebat itu boleh berkenan dan mencintai gadis kampung seperti Ain. Amat tidak wajar. Bukankah ramai gadis-gadis kota yang lebih
menarik, berpenampilan dan berkarier, yang pastinya amat sesuai untuk
lelaki seperti Iskandar itu. Kenapa mesti Ain juga?

Aku bingkas bangun bila sesuatu tiba-tiba bermain dalam fikiranku. Sesuatu yang tidak pernah aku terfikirkan sebelum ini. Aku menghampiri almari pakaian lalu membukanya. Pakaian yang tergantung, kebanyakannya baju kurung dan kebaya, kuselak satu persatu. Laci yang tidak berkunci di sebelah kiri almari ku tarik perlahan. Sedikit debar kerana aku pasti di dalamnya adalah barang-barang kepunyaan Ain. Aku yakin, kalau Ain masih mengingati lelaki itu, pasti segala surat dan barang yang pernah diterima daripada lelaki itu disimpan di sini. Paling tidak, sebagai tanda ingatan kasih mereka. Dan sudah pasti Ain masih menyimpan gambar-gambar mereka berdua. Siapa tahu. Atau, setiap malam, saat aku telah lena beradu, gambar-gambar itu yang menjadi pengubat rindunya.. Ah..... geramnya aku. Kalaulah aku jumpa, memang aku bakar-bakar.

Memang tepat jangkaanku. Dan dadaku bagai ingin meledak tatkala melihat ada 2-3 album yang diselit dicelah-celah baju yang berlipat. Di sini rupanya dia simpan.... bisik hatiku. Aku memejamkan mata, kerana aku tidak sanggup membayangkan Ain di dalam pelukan orang lain. Tapi aku harus bertindak cepat, sebelum keadaan menjadi semakin rumit. Biarlah apa yang akan kulihat nanti menjadi alasan kukuh untuk aku hapuskan segala perasaan-perasaan aneh yang telah tumbuh di hatiku kini. Biarlah ia menjadi titik noktah untuk aku menidakkan Ain dalam hidupku. Dan sampai saatnya nanti aku dapat melepaskan Ain dengan relahati.

Ketiga-tiga album itu kukeluarkan dan kubawa ke atas katil. Perlahan-lahan aku selak album yang pertama, yang kelihatan lebih kecil dari yang dua lagi. Saat aku terpandang wajah-wajah di dalam gambar itu, aku tersentak. Ya Allah! Aku rasa bagai nak pitam sekali lagi.


bersambung....

0 comments:

Newer Post Older Post Home