Sunday, October 26, 2008

Ku Milikmu (Part 12)

Melihat gambar yang terpampang didepanku itu, hatiku tiba-tiba menjadi sayu. Dari debar yang menggila, akhirnya ia beransur menjadi rasa ngilu yang amat. Kerana senyuman gadis itu masih membayang walau pancaran matanya begitu redup. Seperti tersimpan perasaan mendalam yang sukar untuk ditafsirkan. Adakah gembira, adakah duka.


Genggaman di jari, lelaki disampingnya. Walau tiada secalit senyuman, tetapi terlihat pancaran kasih dari sinar matanya. Dan aku bagai tidak percaya. Melihat wajah lelaki yang tersenyum itu. Sesungguhnya lelaki itu adalah aku!

Gambar yang satu ini waktu usai pernikahan dan selepas cincin ku sarungkan ke jari manis Ain. Aku ingat lagi jurufoto hari itu. Si Azhar yang becok dan tak habis-habis meminta aku bergaya yang bukan-bukan. Sekejap duduk, sekejap berdiri. Nasib baik tak disuruhnya aku menelentang. Ada satu pose yang aku ingat. Aku bersila di atas katil dengan Ain bersimpuh di sisi. Waktu itu aku rasa bagai nak pengsan. Aku pasti kalau ada gambarnya di sini, pasti mukaku kelihatan merah padam. Mesti buruk dah tak handsome langsung.

Aku menyelak lembaran yang kedua. Lalu terlihat jelas setiap adegan pernikahan gila yang terpaksa dilangsungkan jua. Waktu ini aku sedang duduk di hadapan lelaki tua berkopiah itu. Aku ingat lagi. Aku ingat pada muka-muka dan mata-mata yang memandang. Bagai ingin ditelan aku hidup-hidup waktu itu. Ah.... kelakarnya. Mukaku merah padam. Berpeluh-peluh.... He. he. he.. aku bagai ingin ketawa sekuat hati. Muka tak siap macam ni pun nak diambil gambar ke?

Yang ini pula waktu berjabat tangan dah melafaz akad. Bagai tak percaya aku boleh melakukannya dengan sekali lafaz saja. Satu kebanggaan untuk aku. Mana tidaknya, sudahlah dikahwin paksa, dan dalam sekejap waktu aku harus menghafalnya pula. Naik terbelit-belit lidahku waktu itu. Tapi sungguh, mungkin perkara yang mulia sebegini menjadi keredhaan Allah. Maka dipermudahkan segala urusan.

Gambar Ain berdiri di tepi katil dengan aku disisi, memeluk pinggangnya. Dan apa yang membingungkanku...... Ain tersenyum! Senyumannya indah, terpancar di seluruh wajah. Kenapa Ain kelihatan gembira? Kenapa dia tersenyum? Adakah dia tidak kisah dengan perkahwinan ini? Adakah dia tidak berasa kecewa? Lagaknya seolah aku dan dia memang selayaknya disandingkan berdua. Adakah dia gembira
dengan perkahwinan ini.

Yang ini Ain sedang tersenyum, yang itu pun Ain sedang tersenyum. Waktu atas pelamin juga tersenyum. Tidak langsung terlihat garis-garis kesedihan di wajahnya. Hanya aku yang kelihatan canggung. Saat menatap gambar-gambar ini baru aku perasan baju songket yang ku pakai itu rupanya berwarna biru muda. Sumpah! Aku tidak pernah sedar dengan apa saja yang berada didepanku saat itu. Aku cuma ingat kelipan cahaya dari kamera Azhar yang tidak putus-putus sepanjang masa. Yang menyilaukan mata.

Selesai yang pertama, aku buka pula album yang kedua. Sama juga, hanya gambar-gambar perkahwinanku yang tidak pernah terlintas di hatiku untuk melihatnya. Kalaulah bukan kerana niat jahatku pagi ini sudah pasti aku tidak akan pernah melihat gambar-gambar ini. Tapi aku benar-benar terasa kelainannya. Ain tidak seperti yang aku sangka. Dia langsung tidak menunjukkan wajah duka. Malah ada satu gambar yang memperlihatkan dia ketawa. Dia bahagia?

Sebaliknya, wajahku pula yang nampak aneh. Antara senyum dan paksa. Kaku dan tidak mesra. Mungkin, hanya satu yang mampu menyelamatkan keindahan gambar-gambar ini. Kerana wajah yang seiras antara aku dan Ain menjadikan rakaman-rakaman tersebut kelihatan cantik dipandang.

Kulit Ain putih, tidak jauh beza dengan kulitku. Hidungnya terletak, sama juga seperti hidungku. Kalau siapa-siapa yang tidak tahu kami sepupu, pasti mereka menganggap aku dan Ain pasangan yang paling secocok bagai pinang dibelah dua.

Tapi, kalau Iskandar yang menggantikan tempatku, tentu ianya menjadi lebih secocok lagi. Mereka memang dilahirkan untuk bersama mungkin. Sama cantik sama padan. Tapi sayang, Iskandar tidak datang. Tidak jenguk muka, mahupun sampai khabar berita. Iskandar pengantin malang, yang telah mensiakan-siakan peluangnya untuk hidup bersama Ain. Gadis secantik ini ditinggalkan, dalam keadaan yang tragis dan memalukan. Ia adalah sesuatu yang merugikan.

Aku simpan kembali album-album itu di bawah lipatan baju setelah selesai membelek semuanya, dan setelah puas hati kerana tidak ada sekeping pun gambar Ain bersama Iskandar. Dan lebih bagusnya, gambar-gambar Iskandar juga langsung tidak ada. Ternyata Ain tidak menyimpannya. Semua laci-laci aku geledah dengan cara yang paling sopan-agar tidak meninggalkan apa-apa kesan yang mencurigakan. Di dalam laci meja solek juga tidak ada. Malah di mana-mana. Puas aku cari tapi tidak terjumpa.

Entah-entah memang dia tidak pernah menyimpannya langsung. Atau tidak pernah ingin menyimpannya lagi sejak perkahwinan ini. Mana tahu. Masakan bercinta sekeping gambar pun tidak ada. Paling tidak pun sebagai pengubat rindu. Sedang aku yang belum bertunang, hanya boleh dikatakan berkawan baik dengan Serina pun sudah penuh satu album gambar-gambarku dengannya. Paling banyak photo-photo ketika melancung. Dan kerana gadis itu satu kegemarannya adalah memotret photo walau dimana-mana saja maka aku akhirnya terikut-ikut juga. Tapi mujurlah gambar-gambar itu tidak pernah ada denganku. Semuanya ada dalam
simpanan Serina. Walaupun gambar-gambar tersebut bukanlah apa-apa sangat, tapi kalau dilihat Mak, teruk juga rasanya aku di'basuh'nya. Apalagi kalau dilihatnya, minah salleh pula yang menjadi temanku. Pasti panjang bebelannya.

Aku merebahkan badan ke katil sambil memandang syiling. Andai Ain tidak lagi menyimpan apa-apa khazanah pemberian Iskandar, adakah ini bermakna Ain sudah melupakan lelaki itu. Sudah tidak mengharap apa-apa lagi. Mungkin Ain sudah dapat menerima hakikat perkahwinan ini. Perkahwinan tanpa cinta bukan semuanya punah belaka. Mak dah ayah juga tidak pernah bercinta muda-muda dulu. Perkahwinan semuanya diatur keluarga. Tapi akhirnya lahir juga aku seorang anaknya. Kalau arwah ayah masih ada sekarang, tentu aku tidak keseorangan. Tentu aku punya adik-adik yang ramai yang dapat berkongsi kasih denganku. Tapi aku hanyalah seorang anak tunggal. Tidak punya apa-apa. Cuma seorang ibu
tua, dan seorang isteri yang amat payah untuk kutakluki hatinya. Untuk
kukongsi kasih sayangnya.

Mungkin benar Ain sudah melupakan Iskandar. Mungkin pertemuan hari itu adalah satu kebetulan. Atau satu kecelakaan yang tidak disengajakan, kalau itu boleh dikatakan suatu kecelakaan. Atau sesuatu yang aku tidak tahu apa perlu dinamakan, tetapi sesuatu ketidaksengajaan yang boleh dimaafkan. Dan seharusnya aku tidak perlu terlalu memikirkan sangat tentang kejadian itu. Anggaplah saja ia satu mimpi ngeri siang hari dan seharusnya perlu dilupakan.

Mungkin Ain sudah dapat menerima diriku. Buktinya, gambar-gambar perkahwinan itu. Kelihatan Ain terlalu menjaganya, dan amat menghargainya. Kalau tidak masakan dia menyimpannya. Kalau dia benar-benar tidak dapat menerima aku, seharusnya gambar-gambar itu ditinggalkan saja di kampung, atau dimana-mana asal saja tidak terlihat olehnya. Tetapi tidak! Ain tetap menyimpannya, malah aku lihat riak2 pada wajahnya. Indah dengan senyuman yang tidak membayang kedukaan. Dia kelihatan bahagia!

Mungkin selama ini aku saja yang tersalah sangka. Apa salahnya kalau aku mulakan semula. Cuba menambat hatinya sebaik mungkin. Biar perlahan, tetapi berkesan. Mungkin lama kelamaan dia akan dapat menerimaku seperti diriku sendiri yang terasa semakin ingin dekat dengannya. Mungkin lama kelamaan cintanya akan hadir. Siapa tahu?

Aku bingkas bangun dari katil. Mencapai tuala yang tersangkut di tepi pintu. Hasrat untuk menyambung tidur terus terpadam. Aku rasa ada yang lebih bermakna untuk dilakukan pada hari ini. Sesuatu yang mungkin merubah perjalanan hidupku. Mungkin. Aku berendam di dalam tub agak lama. Selepas mandi, cepat-cepat kusarung kemeja lengan pendek, dipadankan dengan jeans hitamku. Nampak biasa-biasa saja tetapi tetap menepati citarasa. Muka ku tapukkan dengan sedikit bedak agar tidaklah nampak terlalu pucat pagi-pagi begini.

Setelah selesai, aku turun ke bawah mendapatkan Mak yang sedang menyiang ikan. Terkejut mak memandangku.

"Kata nak tidur. Belum pukul 10 dah bangun?"Tegur mak. Aku tersengih.

"Nak keluar kejap la mak. Mak nak masak ke? Qel nak makan kat luar nie....."

"Hai.... sesekali bercuti pun nak makan kat luar ker.... kata tak keja... takkan nak jumpa orang jugak...."Mak merungut-rungut.

"Qel.... nak pegi ofis sekejap. Ingat nak makan dengan Ain....."Balasku
lambat-lambat. Mak kembali memandangku sambil tersenyum.

"Nak makan dengan Ain? Emm... baguslah tu. Kenapa tak suruh Ain cuti sekali... boleh dia temankan Qel.".

"Alah mak...... Qel ni pun cuti emergency.... tak sempat nak mintak dengan bos..." Balasku sambil sempat memasukkan goreng pisang ke mulut.

"Tak payah masak lebih la mak, Qel dah nak keluar nie..."Aku mencapai kunci yang tersangkut di dinding. Suara sahutan mak tidak kedengaran lagi. Cepat-cepat aku menyarung kasut. Memanaskan enjin sebentar, sambil sempat menyalakan sebatang rokok.

************************************

Dalam perjalanan aku memikirkan apa yang patut aku lakukan hari itu. Sebelum keluar rumah tadi, aku seakan pasti tetapi saat ini hatiku menjadi tidak keruan pula. Apa anggapan Ain nanti. Terkejutkah dia? Mungkin dia akan menggeleng kepala, atau ketawa berdekah-dekah melihat gelagatku yang secara tiba-tiba ini. Atau mungkin dia akan tersenyum indah lantas memelukku. Ah.... rasanya itu tidak mungkin. Itu terlalu teruja.

Aku akan katakan kepadanya, saat ini aku telah mula mengasihinya. Telah mula menginginkannya. Sungguh! Menginginkan bukan sekadar keinginan seorang suami terhadap isteri, tetapi lebih dari itu. Aku ingin memulakan segalanya. Mengenalinya, mengasihinya dan seterusnya hidup dengannya. Menjalani perkongsian bersama. Bukankah itu sesuatu yang tidak mustahil. Aku ingin meminta maaf padanya kerana telah mengabaikan dirinya selama ini. "Bolehkah kita mulakan semula?" Dan Ain pasti akan tersenyum mendengar pertanyaan itu.

Aku membelok ke kiri, berhenti di deretan kedai yang agak lengang.

Setelah mematikan enjin, aku melangkah ke kedai, yang aku pernah lihat dulu. Kedai bunga 'Jasmeen Florist'. Jambangan bunga beraneka warna, tersusun cantik di setiap penjuru. Menarik perhatian setiap mata.

"Boleh saya tolong Encik..?"Seorang wanita berbangsa Singh, yang kukira pemilik kedai ini menegurku sebaik aku masuk ke dalam.

"Tolong bungkuskan saya..... er.... I mean tolong gubahkan bunga untuk seorang wanita...."Balasku pantas.

"You nak combination macamana. Ros merah, putih atau....."

"Apa-apa saja, yang penting nampak cantik...... eemm.. kalau warna merah ok jugak.. you buat untuk 1 dozen yea...."

Wanita itu tersenyum sebelum berlalu. Aku tersengih sama. Aku bukan tahu sangat pasal bunga ni. Apa jenis, apa warna itu semua tak penting. Yang penting cantik dan menarik hati Ain. Bukankan wanita sinonim dengan bunga. Aku pasti Ain akan suka.

10 minit berlalu, wanita itu kembali semula dengan jambangan bunga yang agak besar dan aduh.... cantiknya. Aku yang lelaki ini pun boleh geram dibuatnya. Aku membelek-beleknya sebentar, nyata berpuas hati.

"Berapa?"

"RM65.00" Mak oi, mahal jugak tu.

"Tak ada diskaun?"Wanita Singh itu tersengih.

"Valentine's day, or during celebration, kita ada bagi diskaun...."Balasnya tersenyum lagi.

Valentine's day buat apa! Aku bukannya sambut pun.... bisik hatiku. Selepas membuat pembayaran, aku segera kembali ke kereta. Semangat semakin berkobar-kobar. Aku rasa inilah salah satu kerja gila yang pernah aku buat selain jadi bidan terjun ketika bernikah dulu. Aku harap Ain akan faham tindakanku ini. Aku tidak sanggup lagi hidup berpura-pura. Berpura-pura tidak mengendahkannya sedang dirinya hampir setiap saat berada dalam khayalanku.

Kedai bunga yang ku singgah tadi tidaklah terlalu jauh dari pejabatku.
Beberapa minit memandu sudah kelihatan bangunan warna kuning yang tersergam diantara deretan bangunan lain. Melihatnya hatiku menjadi semakin berdegup tidak tentu arah. Aku kerling sekilas jam di dashboard. Aku tahu waktu-waktu begini sebentar lagi semua akan keluar menikmati makan tengahari. Ain juga akan keluar-aku percaya.

Aku berhentikan keretaku agak jauh. Sengaja. Supaya nanti aku akan dapat melihat Ain. Bila dia melangkah keluar untuk ke seberang, aku akan mendapatkannya. Menyerahkan jambangan bunga..,, dan oh ya! Bungkusan hadiah yang ku beli di Johor tempohari masih ada dalam simpanan. Aku terfikir untuk menyerahkannya sewaktu makan nanti. Pasti Ain suka dengan jam tangan yang ku pilih itu. Jam tangan bertali halus warna emas, yang rasanya begitu sesuai dengannya.

Aku menyandarkan badanku sambil mata tidak lepas-lepas memandang ke arah pintu kaca. Sebentar tadi aku melihat Farid dan Mustakim berlalu keluar. Diorang pasal makan memang selalu on time! Aku menunggu-nunggu lagi, kalau-kalau kelibat Suzy kelihatan. Kalau ada Suzy pasti ada Ain. Sebentar kemudian pintu kaca terbuka lagi. Suzy muncul agak tergesa-gesa. Hatiku menjadi berdebar-debar. Kelihatannya dia berlari-lari anak menuju ke kereta. Apa hal minah ni? Mana Ain?

Ishh...... apsal lambat sangat....

Tak lama kemudian... Yesss! hatiku melonjak girang. Ain keluar dan berjalan agak perlahan. Aku sudah sedia untuk membuka pintu bila tiba-tiba kelihatan seorang lelaki muncul secara tiba-tiba dari belakang. Aku termangu. Melihat mereka agak lama. Iskandar?.. Bukan! Lelaki itu bukan Iskandar. Mereka berbual sesuatu dan kedengaran derai ketawa. Ya Allah! Bunga di tangan terasa seperti panas membakar setiap urat, terus naik ke kepala.

Mereka berjalanan beriringan menuju ke kereta. Aku terasa seperti seketul batu menghempap ke mukaku. Terasa sakit.... sakit amat. Aku tidak dapat bergerak. Kaku. Debar dadaku yang menggila kini tiba-tiba menjadi sayu. Ngilu. Aku rasa seperti ingin ketawa, menangis dan entah apa-apa lagi. Bodohnya aku....... kenapa bodoh sangat. Kenapa membodohkan diri pada sesuatu yang tak pasti. Bukankah kau tahu Ain tidak sukakan kau. Kenapa kau nak teruskan juga...... Sekarang kau yang kecewa. Kau yang merana. Kau tak mampu berbuat apa! Ahh.... Bodohnya Afizi Haiqel!

Bayang mereka telah hilang dari pandangan menuju entah ke mana. Biarlah. Biarlah mereka hilang terus. Aku tak mahu lihat lagi. Aku tak sanggup merasa kesakitkan ini. Beginikah rasanya putus cinta? Sungguh! aku tidak pernah merasakannya. Sakitnya.... terasa disegenap ruang hatiku. Kalau beginilah rasanya kecewa, aku lebih rela tidak punya siapa-siapa. Aku lebih rela tidak punya cinta.

Ain.... kalau lah kau tahu hati aku... yang telah mula mengasihimu!

bersambung....

0 comments:

Newer Post Older Post Home