Sunday, October 25, 2009

Menghayati nasihat penulis produktif


C
ATATAN PENGALAMAN

"Masa itu demokrasi dibunuh oleh BN. PAS dipecat oleh BN sehingga terjadinya darurat di Kelantan. Untuk menyuburkan demokarsi saya masuk parti pembangkang."


Di era Perdana Menteri Tun Abdul Razak, tulisannya cukup memeritkan. Pedih bagi yang terpaksa berhadapan dengan hujah-hujahnya yang kukuh dan membuka mata. Kesannya, demonstrasi dan tangkapan menjadi aksi-aksi selepas itu.

Antara bukti ialah ketika dia membongkar kisah 'Dua Abdul' di bawah pentadbiran Tun Razak yang kononnya terbabit dengan subversif sehingga tertangkapnya yang mereka yang terlibat. Begitu juga dengan kritikannya terhadap isu ketiadaan air di Johor sehingga tercetusnya himpunan demontrasi menuntut air.

Selain bidasan dan 'pancungannya' ke atas sikap dan tindakan kerajaan, dia juga diberi kepercayaan membuat liputan kunjungan Tun Abdul Razak ke Peking bersama Utusan Malaysia sekitar tahun 1974 malah pernah mewakili Malaysia dalam Seminar ASEAN mengenai sebaran am di Manila.

Siapa yang tidak kenal dengan Subky Latif, insan yang menjadi pelopor penulisan buku-buku politik semasa dan peneroka �new journalism� di Malaysia sehingga digelar 'Mahaguru' kewartawanan oleh sebahagian besar pengamal media. Malah bagi pemimpin politik dan kerajaan namanya sudah tidak asing lagi bagi mereka.

Di sebalik kesederhanaan watak, gaya hidup dan kopiah merahnya itu, dia telah pun mencecah kaki ke Britian, Perancis, Belanda, Denmark, Swirtzerland, Greece, Brussel dan Amerika bagi menyorot bidang yang diceburinya. Lebih hebat, dia pernah menyertai Kursus Diploma Kewartawanan di Berlin Barat, Jerman. Walaupun pun begitu, kehidupannya masih sama seperti dulu, seiring kehidupan Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat. Tanpa niat mengejar impian kereta dan rumah mewah, beliau masih berjuang dengan tinta tajamnya. Itulah kehebatan tindakan dan tulisan Subky yang tidak boleh diramal sesiapa.

Masakan tidak ketika PAS kalah teruk dalam pilihan raya 1978 dan saat dihalau daripada Barisan Nasional (BN), Subky pula mengambil keputusan melawan arus dengan menyertai parti yang memperjuangkan Islam itu. Usianya ketika itu baru 38 tahun.

Ketika diwawancara, secara tegas Subky menceritakan tujuannya memasuki PAS adalah untuk memastikan demokrasi di Malaysia selamat.

Menceritakan pengalaman manis yang tidak dapat dilupakan oleh beliau ialah sewaktu menjawat Setiausaha Pemuda PAS Pusat sekitar tahun 1982, ketika memulakan usul dan menjadi pelopor konsep Kepimpinan Ulama.

"Cadangan saya diterima dan dibawa ke Muktamar dan akhirnya diluluskan menjadi dasar sehingga sekarang," katanya.

Beliau juga tidak lupa ketika mula 'mendekatkan' PAS dengan masyarakat bukan Islam pada tahun 1985 dan 1986 sehinggakan di Kuala Lumpur dibuat seminar-seminar yang memberi penerangan konsep pemerintahan Islam kepada kaum Cina.

"Sejak itu kita mengorak langkah dengan mengadakan ceramah-ceramah di Dewan Perhimpunan Cina sehingga tertubuhnya CCC Chinese Comunity Council yang dianjurkan PAS.

"Kita pernah dipanggil berceramah di tokong-tokong Cina sekitar Kuala Lumpur, Kepala Batas dan Ipoh. Senario itu cukup membimbangkan BN apatah lagi tentang konsep Islam yang diterangkan oleh PAS," katanya.

Sebagai pengasas akhbar lidah rasmi PAS iaitu Harakah pada tahun 1978, Subky tetap menyelitkan kisah susur-galurnya menerbitkan akhbar yang kini sentiasa panas dan 'hangat' di pasaran itu.

Katanya di awal penerbitan ianya dicetak sejumlah 12,000 sahaja namun beberapa hari selepas diedar di pasaran, Harakah akhirnya 'sold-out'. Tidak cukup dengan itu, ada pembaca dan peminat setia minta ianya diulang cetak.

Tetapi, di sebalik kehebatannya, tidak ada yang tahu bahawa ketika itu tidak ada syarikat percetakan yang bersedia mencetak Harakah kerana dua faktor iaitu kerana ianya akhbar PAS dan keduanya pengasas dan pengarangnya adalah Subky Latif.

"Hanya sebuah syarikat percetakan akhbar Tamil yang bersedia mencetak. Itu pun hanya sekali sahaja. Kemudian tidak sanggup kerana amaran, ancaman dan ugutan daripada kerajaan pada masa itu," jelas Subky yang pernah menjawat jawatan sebagai Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan.

Kemudian beliau bertemu dengan seorang kenalan berbangsa Cina yang sudah hampir tutup bisnes percetakannya sehingga tidak mampu membayar gaji pekerja.

"Saya buat rundingan dengannya iaitu membayar sejumlah RM5,000 untuk setiap minggu Harakah dicetak. Dan setiap bulan syarikat itu memperoleh sejumlah RM20,000 sampai boleh membayar gaji pekerjanya," katanya sesekali ketawa.

Kemudian katanya ada agen Umno yang jadi lembaga pengarah syarikat itu yang mengenakan sekatan dan syarat supaya Harakah tidak mengkritik kerajaan. Ada sekali, tidak dicetak sehingga, pengedar tunggu sampai pukul 1 pagi, kata Subky

"Kita bawa bahan itu ke Pulau Pinang kerana ada yang sanggup mencetak, dan akhirnya kita bawa pada malam yang sama untuk edaran dan 'sold-out' juga!," kata Subky

Selain Harakah, sebelum itu, Subky pernah menjadi 'peneroka' tiga buah akhbar seperti dwi mingguan �Suara Rakyat, �Suara Merdeka� dan �Harian Watan�. Begitu juga dengan beberapa majalah yang 'diciptanya' seperti Sarina, Keluarga, Kisah Cinta dan Kritik.

Sejarah telah menceritakan bahawa Subky seorang yang tidak pernah mengingkari tuntutan tanggungjawab malah dikenali sebagai kolumnis yang paling istiqamah dan tidak pernah 'bercuti' daripada menulis. Sehingga kini Subky tidak pernah gagal mengisi ruangan '1,2 dan 3...' dan 'Mens Sana in Corpore Sano' dalam Harakah dan juga Siasah namun semua itu memerlukan tahap displin yang tinggi

"Mesti ada displin yang tinggi. Mungkin kerana sudah diasuh menjadi wartawan sejak berusia 25 tahun... sejak Utusan Zaman tahun 60an maka saya sudah terbiasa dengan keadaan begitu.

"Ketika saya jadi ketua, saya akan pastikan sesiapa yang mahu menjadi kolumnis, berdisplin dan isi ruang kolum bila sampai tarikhnya. Jika hanya menulis sekali sekala, lupakan sahaja," katanya.

Selain menulis beliau sendiri pernah bertanding pada pilihan raya kecil Pelabuhan Kelang, 1 Disember 1979, merebut kerusi Menteri Pengangkutan yang kosong dengan kematian Mendiang Tan Sri V. Manikhavasagam. Subky merupakan antara pemimpin yang banyak menyertai pilihan raya.

Bertanding di Perak, Terengganu, Setapak Kuala Lumpur, dan pernah 'melawan' Tun Dr Mahathir di Kubang Pasu, Subky yang tidak pernah menang kerusi sekalipun tetap istiqamah dalam perjuangannnya.

Beliau yang berpendidikan Melayu dan menengah Inggeris dilahirkan Setiawan Perak 28 Julai 1940, kini berusia 70 tahun pernah menjadi pemberita Utusan Melayu dan Warta Negara di Pulau Pinang mulai 1963.

Semenjak empat tahun kebelakangan ini, Subky berusaha menyiapkan buku 'Analitikal' tentang hikayat para Nabi khususnya 25 Rasul yang dijangka akan terbit dalam jangka masa terdekat.

"Bangun awal untuk baca Quran sebelum solat Subuh, lepas solat siapkan tulisan untuk Harakah, Siasah dan juga Buletin Rakyat. Kolum tetap maka displin mesti ada.

"Saya sudah pun siapkan buku 25 Rasul itu dan terpulang kepada pihak yang nak meneribitkannya nanti," katanya.

Ditanya tentang petua menjadi penulis dan wartawan yang berjaya, Subky teringat sebuah buku penulis berbangsa India yang mencebiskan kata-kata semangat untuk beliau terus menulis tanpa henti.

"By mearly wishing to be a writer you do not become once but by writing everyday you will and can become a good writer (Sekadar hajat nak menulis belum boleh menjadi penulis tetapi jika menulis setiap hari anda akan menjadi penulis yang baik)," lontar Subky memetik kata itu.

"Seperkara lagi, saya suka bertengkar, dari kecil lagi dan saya mahu menang. Dari pertengkaran itulah saya mendapat ilham dan idea baru untuk menulis," katanya mengimbau kenangan zaman kanak-kanaknya.

Nasihatnya kepada akhbar Siasah dan Harakah ialah sentiasa menghidupkan isu.

"Buat follow-up. Ini...keluar sahaja, isunya mati begitu sahaja. Sepatutnya dibiarkan hidup. Ini keluar sahaja-mati.

"Jadi lead... 'first news' bukan pengekor cerita orang,"

Beliau teringatkan kata-kata ketua dan wartawan kanannya tentang kayu ukur menjadi wartawan yang berjaya.

"Kata Osman Abadi, wartawan yang berjaya ialah yang berjaya menumbangkan kerajaan," katanya terkenang kata-kata ketua dan wartawan kanannya itu.

Subky sambil menyatakan matlamatnya sebagai penulis ialah menjadi 'starter' atau pencetus sesuatu isu dalam landskap politik negara malah sebagai pembimbing kepada para pembaca yang tidak tahu perkembangan terkini isu-isu semasa khususnya membabitkan politik.

Kepada penulis dan wartawan, setiap kali keluar pejabat mesti 'balik' dengan berita dan tengok seseorang bagaiamana nak jadikan dia 'bahan' berita, kata Subky

"Jumpa 'Public Figure' atau para pemimpin, jangan himpit atau sembang kosong sahaja. Cari jalan supaya orang itu bercakap dan jadikan berita," katanya.

Apa yang paling penting dalam dada seorang wartawan, ialah prinsip tidak teragak-agak untuk menyatakan kebenaran walaupun kadang-kadang salah, katanya.

"Kalau tidak betul akhirnya akui kesalahan kita.

"Sesiapa yang tidak puas hati dan kata salah, mesti buktikan kesalahan dan sanggah saya dengan penuh yakin, jika tidak saya tidak akan terima," katanya dengan mengahkiri perbualan yang penuh dengan kata-kata hikmahnya, menyuntik semangat jiwa wartawan.

(Tulisan ini adalah untuk siaran akhbar Siasah keluaran terbaru yang kini berada di pasaran)

(Sebarang pandangan dan teguran bolehlah dimajukan kepada azaminamin@yahoo.comAlamat email ini telah dilindungi dari spam bots, anda perlukan Javascript enabled untuk melihatnya atau urespons@gmail.comAlamat email ini telah dilindungi dari spam bots, anda perlukan Javascript enabled untuk melihatnya ) _

0 comments:

Newer Post Older Post Home