Tuesday, September 15, 2009

EDISI RAMADHAN : SEMAKIN MENYUSUT?


M
akin nak ke akhir Ramadhan, bilangan tiang pun lebih ramai dari orang”

Inilah fenomena yang biasanya terjadi dalam masyarakat kita di Malaysia, apabila Ramadhan semakin menyusut harinya.

Sekarang sudah hari yang ke-25. Separuh lebih sudah Ramadhan.

Macam mana stamina anda dalam mengejar kebaikan-kebaikan di dalamnya?

Semakin menyusut?

“Tiada sesiapa yang mampu menyayangi Ramadhan dengan sebaiknya, tanpa memahaminya”

Itu satu kata-kata yang saya rasa, patut kita renung-renungkan, apabila hendak mempersoalkan, kenapa kebanyakan kita menyusut keghairahannya dalam mengejar kebaikan-kebaikan yang Allah sediakan di dalam Ramadhan.


Faham.

Di dalam Usul 20 yang disusun oleh Iman Asy-Syahid Hassan Al-Banna untuk organisasi yang dipimpinnya, yakni Ikhwanul Muslimin, dia telah menetapkan Al-Fahmu(kefahaman) sebagai usul yang pertama, mendahului usul-usul lain seperti ikhlas dan sebagainya.

Guru-guru saya, apabila mentakrifkan bagaimana sesuatu kerja itu menjadi amal Islami, mereka menetapkan empat perkara:

1. Perkara itu mestilah selari oleh Syara’

2. Perkara itu mesti dilakukan dengan ikhlas

3. Perkara itu mestilah membangunkan ummah

4. Perkara itu mestilah meruntuhkan jahiliyyah

Kalau dilihat dari empat perkara ini, nombor satunya adalah - mestilah selari dengan syara’ -, dan kita tidak akan mampu menggerakkan sesuatu itu selari dengan syara’, atau mengukur sesuatu itu sama ada ia selari dengan syara’ atau tidak, tanpa kefahaman.

Kefahaman mendahului keikhlasan, kerna dengan kefahamanlah, keikhlasan itu boleh didorongkan ke arah yang benar. Saya yakin, di dalam kefahaman komunis, ada orang-orang yang ikhlas di dalamnya. Kerna itu, mereka mampu berjuang bersungguh-sungguh. Saya yakin, dalam pergerakan zionis, ada orang-orang ikhlas di dalamnya. Sebab itu mereka mampu mendominasi dunia. Saya yakin, dalam pergerakan agama-agama sesat, ramai orang ikhlas di dalamnya. Sebab itu mereka berani menyebarkan kefahaman mereka.

Namun mereka tidak selari dengan syara’. Maka keikhlasan mereka tiada makna.

Begitulah kita dengan Ramadhan. Tanpa kefahaman, tanpa mengetahui apa itu Ramadhan, tanpa mendalami makna kenapa Ramadhan itu dihadirkan, tanpa meneliti betapa besar makna Ramadhan kepada insan, maka manusia tidak akan mampu menggapai satu stamina untuk bersama Ramadhan hingga ke penghujungnya, dengan penuh kesungguhan.

Pepatah melayu menyatakan: Tak kenal maka tak cinta. Begitulah kita dengan Ramadhan. Tak mengenalinya dengan sebenar-benar pengenalan, hanya akan membuatkan kita akhirnya muak beramal di dalamnya. Kita rasa amal kita telah banyak, kita rasa letih bangun tarawih berakaat-rakaat, mulut rasa sengal membaca Al-Quran panjang-panjang dan sebagainya.

Raya semakin hampiar, kerlip-kerlip lampu raya itu juga yang menyenangkan hati kita, kuih-muih raya juga yang menawan hati kita, baju raya, langsir raya, sofa raya, semuanya itu memenuhi pemikiran kita. Seronok memeluk kita, membuatkan pelukan kita terhadap Ramadhan semakin terurai.

Kerana kita tidak kenal dengan Ramadhan.

Pernahkah dalam hidup anda, anda melihat manusia yang menangis apabila Ramadhan meninggalkannya? Kalau anda pernah melihat mereka ini dalam kehidupan anda, maka anda akan nampak betapa besarnya Ramadhan dalam hidup manusia.

Saya baru sahaja menghadiri kuliah yang disampaikan oleh Dr Isy Lababneh, seorang pensyarah di University of Yarmouk yang merupakan pakar di dalam bidang tafsir. Katanya:

“Kalaulah manusia tahu apa yang ada di dalam Ramadhan, menyedari betapa besarnya ia, maka sesungguhnya manusia akan menangis gembira dengan kewujudannya, dan menangis kesedihan dengan kehilangannya”

Dr Isy Lababneh menerangkan bahawa, kita sebagai insan tidak lepas dari dosa. Manusia saban hari melakukan dosa. Dosa kecil dan dosa besar. Dosa-dosa ini, saban hari kita lakukan, bertimbun ibarat gunung, sehingga mampu menghancurkan akhirat kita. Bagi manusia yang meyakini bahawa akhirat dan timbangan amal itu adalah pasti, maka ini adalah satu kegusaran untuknya.

Tetapi, kata Dr Isy Lababneh, apabila manusia melihat sabda Rasulullah SAW:

“Barangsiapa yang mendirikan Ramadhan, dengan penuh keimanan dan berkira-kira(bersungguh-sungguh), maka akan diampunkan untuknya segala dosanya yang lalu”

Manusia yang faham, yang beriman, akan menangis kegembiraan dengan hadith ini. Kenapa?

Dr Isy Lababneh kata: “Kerna mereka melihat, jalan keluar untuk mereka menyucikan diri dengan cara termudah. Yakni beramal bersungguh-sungguh dalam 30 hari, dan mereka akan diampunkan”

Besarnya Ramadhan.

Namun, besarnya Ramadhan ini, hanya mampu dirasakan oleh manusia yang inginkan keredhaan Allah SWT. Ramadhan seakan-akan jalan keluar untuk kita yang sentiasa berdosa. Ramadhan seakan-akan talian hayat kita.

Kalau anda melihat ini dengan kefahaman, tidak kah anda melihat betapa Allah SWT itu amat mengasihi manusia? Seakan-akan Allah SWT secara halus berkata kepada kita:

“Aku tahu hamba-hambaKu lemah, banyak berdosa dan sering melupakanKu, maka Aku beri Ramadhan, agar mereka mampu membersihkan diri dan mendekatkan diri mereka kepada Aku”

Tidakkah anda melihat apakah hadiah Ramadhan?

Taqwa…

Besarnya Ramadhan.

Namun siapakah yang merasai?

Semakin menyusutkah amal kita?

Mari kita muhasabah. Ujian Allah terhebat untuk hamba-hamba yang ingin membersihkan diri di dalam Ramadhan adalah, segala hadiah-hadiah besar dalam Ramadhan, diletakkan di penghujungnya, diletakkan pada hari-hari manusia sudah letih beribadah dan hanya nampak hari raya.

Tidakkah anda terfikir untuk mendapatkan Lailatul Qadr?

Dengan kesungguhan anda sekarang, adakah anda layak mendapatkannya?

Mungkin kita kena duduk sebentar, dan muhasabah bersama….


Diambil daripada Langit Ilahi

0 comments:

Newer Post Older Post Home