Thursday, April 9, 2009

Pengundi Kini Lebih Bijak, Kata Ahli Sains Politik

KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) -- Keputusan tiga pilihan raya kecil semalam menunjukkan pengundi masa kini berfikiran bebas tanpa sebarang pengaruh serta pembayar cukai yang bijak, dan aliran sebegini akan terus kekal, menurut seorang pensyarah sains politik.

Prof Madya Saliha Hassan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata rumusan itu mungkin frasa yang diulangi berkali-kali sejak keputusan pilihan raya umum 8 Mac tahun lepas, tetapi itulah yang gagal difahami kebanyakan pemimpin politik arus perdana.


"Sebilangan pemimpin politik arus perdana masih lagi berkempen dengan cara lama, memandang rendah, berinteraksi dengan rakyat di kawasan pilihan raya dan menganggap mereka tidak cerdik untuk memahami isu-isu.

"Tetapi mereka seharusnya menyedari hakikat bahawa kita sekarang ini mempunyai pemikiran bebas tanpa sebarang pengaruh dan pembayar cukai yang bijak sebagai pengundi, ia bukan lagi seperti dalam tahun 70-an di mana rakyat dianggap bersikap tidak peduli dan jahil," kata pensyarah pengajian sains politik dan strategik di Pusat Sejarah UKM.

Ketiga-tiga pilihan raya kecil yang diadakan serentak semalam menyaksikan status quo dikekalkan apabila Barisan Nasional mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Ai, di Sarawak; Parti Keadilan Rakyat (PKR) kekal di DUN Bukit Selambau, Kedah dan PAS berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Bukit Gantang di Perak.

Ditanya sama ada perubahan kepimpinan negara memberi sebarang kesan untuk mempengaruhi pengundi, Saliha berkata ia tidak memberi kesan besar kerana pengundi meletakkan penekanan kepada ciri-ciri dan prestasi calon.

"Pada masa dulu, apabila tiba pilihan raya pemimpin politik akan melawat ke rumah-rumah pengundi dan membaca doa dan makan bersama mereka dan berfikir mereka telah melakukan peranan mereka untuk meyakinkan rakyat.

"Tetapi, pengundi hari ini lebih bijak dalam permainan politik semasa. Mereka melihat latar belakang calon, prestasi masa lalu dan membuat penilaian sendiri terhadap ciri-ciri calon berkenaan," katanya.

Saliha berkata ramai pengundi melihat tindakan kerajaan membebaskan 13 tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), termasuk dua pemimpin Hindu Rights Action Force (Hindraf), sebagai "tiada apa yang perlu dihebohkan".

"Ramai rakyat Malaysia percaya mereka yang dibebaskan itu sepatutnya tidak ditahan sejak dari awal lagi, maka mereka berpendapat pembebasan mereka memang sudah sepatutnya.

"Satu perkara lagi, apa yang berlaku di peringkat pusat biasanya jarang mempunyai kesan terhadap kepercayaan dan idealisme mereka yang tinggal di luar bandar," katanya.

Mengenai kemenangan BN di Batang Ai, Saliha berkata gabungan parti pemerintah itu mempunyai formula kemenangan di Sarawak yang boleh dilaksanakan di negeri-negeri lain bagi mencontohi kejayaan di Batang Ai.

"Selagi mereka meletakkan kepentingan rakyat dalam perjuangan mereka, rakyat akan terus mengundi mereka," katanya.

Saliha berkata beliau gembira rakyat Malaysia menjadi semakin kritikal ketika memilih pemimpin mereka dan pada masa sama ahli politik seharusnya bergerak mengikut perubahan masa.

"Aliran pengundi sebegini akan berkekalan, maka kedua-dua pihak seharusnya waspada," katanya.

Sementara itu, Prof Madya Dr Azahari Ismail daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata kurangnya jumlah majoriti ketara yang diperoleh pemenang menunjukkan kedua-dua pihak menghadapi kesukaran untuk menang besar.

Beliau mengakui wujud kesukaran untuk menerima hakikat bahawa pengundi Malaysia kini sudah "matang".

"Kematangan ini bermakna keupayaan untuk berfikir dengan mendalam dan rasional terhadap sesuatu isu selepas mengumpulkan segala fakta dan banyak membaca tentang sesuatu isu.

"Ada orang menyatakan pengundi-pengundi kita kini lebih matang sebagaimana pengundi di negara maju, tetapi masyarakat umum di negara berkenaan lebih celik huruf dan banyak membaca, serta terdedah kepada pendidikan politik.

Beliau berkata rakyat Malaysia masih jauh ketinggalan dalam amalan membaca dan masalah ini perlu ditangani segera.

-- BERNAMA

0 comments:

Newer Post Older Post Home