SOALAN
Nabi Muhammad SAW adalah rasul terakhir yang menyebarkan agama dan menyempurnakan ajaran Islam kepada umat manusia. Baginda wafat seperti mana seorang makhluk manusia.
Nabi Isa pula yang menyebarkan agama Kristian tidak wafat tetapi diselamatkan dari pembunuhan pengikut agama Kristian sendiri dan Allah naikkan ke langit untuk diturunkan semula ke dunia di akhir zaman sebelum hari kiamat bagi melawan dajal untuk menolong umat manusia sekelian.
Adakah ini bermakna Allah memberi kelebihan atau keistimewaan kepada Nabi Isa untuk menyelamat umat manusia termasuk umat Islam padahal semasa hayat baginda tidak menyebar agama Islam tetapi Kristian. Ini boleh diambil sebagai modal oleh penganut-penganut Kristian untuk mengatakan bahwa Kristian adalah sebenarnya agama yang benar dan diredai tuhan?
JAWAPAN
Firman Allah SWT menjelaskan bahawa setiap sesuatu yang bernyawa pasti akan menemui fitrah kehidupan: Setiap sesuatu yang bernyawa pasti merasakan mati. (ali-‘Imran: 185)
Dalam ayat yang lain Allah berfirman yang maksudnya: Setiap sesuatu yang bernyawa pasti merasakan mati sesudah itu kepada kami kamu dikembalikan. (al-Ankabut: 57)
Menerusi ayat tersebut jelas bahawa Allah menetapkan kematian ke atas segala sesuatu. Setiap yang ada permulaan pasti ada pengakhirannya. Hanya Allah SWT yang tiada pengakhiran baginya. Selain Allah yang bergelar makhluk ada penghujungnya.
Ini termasuklah Nabi Allah Isa a.s yang akan turun di akhir zaman, iaitu sezaman dengan Imam Mahdi seperti mana dijelaskan dalam hadis-hadis fitan (fitnah) akhir zaman. Kebanyakan riwayat yang menegaskan kedatangan Nabi Isa a.s adalah sahih. Ada sebahagiannya daif malahan ada juga riwayat yang direka oleh golongan pendusta.
Di sini saya tidak akan membincangkan kategori atau kedudukan riwayat-riwayat itu. Malah lebih fokus kepada persoalan meyakini kedatangan Nabi Isa a.s dan mengakhir kehidupan sebagai umat Nabi Muhammad SAW.
Mengikut kepercayaan agama Islam, apa yang dibawa oleh semua dan rasul bermula dari Nabi Adam a.s sehingga Muhammad SAW semuanya adalah agama yang satu bertunjangkan seruan mengesakan Allah SWT semata-mata.
Sekali gus mengajak manusia membebaskan diri daripada pengabdian kepada selain Allah seperti penyembahan berhala atau penyembahan makhluk sesama makhluk.
Rasulullah SAW bersabda, “Sekelian nabi adalah (bagaikan) saudara seibu, dan agama mereka juga satu.” Ayat al-Quran juga menegaskan perkara yang sama: Rasulullah itu telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya daripada Tuhannya, begitu juga orang-orang yang beriman; semuanya beriman kepada Allah, dan malaikat-malaikat-Nya, dan kitab-kitab-Nya, dan rasul-rasul-Nya. (Mereka berkata): “Kami tidak membezakan antara seorang (rasul) dengan rasul - rasul yang lain,”...mereka berkata lagi: Kami akur dan Kami taat keampunan-Mulah yang kami harapkan Wahai Tuhan kami, dan kepadamu jualah tempat kembali (kami). (al-Baqarah: 285)
Demikian halnya tentang hubungan antara Nabi Muhammad dengan Nabi Isa berdasarkan sambungan sabda baginda dari hadis di atas, “Dan sesungguhnya aku adalah nabi terdekat dengan Isa ibnu Maryam kerana antara dia dan aku tidak ada nabi.
“Sesungguhnya ia (Isa) akan turun. Apabila kamu melihatnya, maka kenalilah ia lebih dahulu; warna kulitnya putih agak kemerahmerahan, ia mengenakan dua helai pakaian. Rambut kepalanya seakan- akan menitiskan air sekalipun tidak basah, ia mematahkan palang salib dan membunuh babi, memansuhkan pajak dan menyeru manusia untuk memeluk agama Islam. Di zaman turunnya, Allah melenyapkan semua aliran agama kecuali Islam.
“Pada zamannya, Allah membinasakan Dajal, kemudian terciptalah keamanan dan kedamaian di bumi hingga kita akan menyaksikan seekor macan boleh berjalan bergandingan dengan unta, singa bergandingan dengan lembu, serigala dengan domba.
“Anak-anak kecil bermain dengan ular, tetapi anak-anak itu tidak digigit ular. Isa hidup selama 40 tahun kemudian ia wafat dan disolatkan oleh kaum muslimin”.
Dalam membicarakan berkenaan penurunan Nabi Isa ke bumi pada akhir zaman, Al-Munawi, dalam buku Syarh al-Jami’ ash-Shagir mengatakan: Para ulama sependapat dengan faham turunnya Nabi Isa a.s tetap sebagai nabi, tetapi tetap menerapkan syariat Islam.
Di lain pembahasan, masih dalam buku Syarh al-Jami’ ash-Shagir, al-Munawi mengatakan: Dalam buku al-Mathaami’ diterangkan kesepakatan umat akan turunnya Nabi Isa, dan tiada seorang pun dari ulama syariah yang membantah hal itu. Hanya saja hal itu tidak diterima para ahli falsafah dan penganut ateisme.
Ijmak umat ini disepakati, bahawa Isa akan turun dan menegakkan syariat Muhammad. (al-Munawi).
Justeru, kedudukan Nabi Isa kelak bukan lagi sebagai nabi baru, tetapi penyambung syariat Rasulullah SAW.
Ia bagi umat Islam dan bukan untuk mendukung ajaran Kristian yang telah diseleweng oleh penganutnya selepas 300 tahun dari diangkatnya Nabi Isa ke langit.
Perlu ditegaskan, sewaktu turun ke bumi, Nabi Isa a.s bukan datang sebagai nasrani tetapi sebagai muslim yang menjalankan syariat dan ketentuan agama Islam.
Beliau akan solat bersama muslimin di masjid, menghadap kiblat, mengharamkan khamar, khinzir dan ideologi triniti yang jelas tidak mengesakan Allah. Selain menghancurkan salib yang menjadi sumber kemusyrikan.
Semua keterangan itu bersumberkan hadis-hadis Rasulullah yang sampai kepada umat Islam, antara lain:
l Isa Al-Masih a.s Mengikuti Syariah Islam dan Bukan Menghapusnya Dari Abu Hurairah r.a, dari Nabi SAW, beliau bersabda: Tidak akan terjadi hari kiamat hingga Nabi Isa a.s turun (ke bumi) menjadi seorang hakim yang bijaksana dan pemimpin yang adil, menghancurkan salib, membunuh babi-babi, meletakkan ufti, harta melimpah-ruah hingga tidak ada seorangpun yang menerimanya. (diriwayatkan oleh Al-Imam Al-Bukhari, Kitabul Buyu’ bab Qatlil Khinziri no. 2222, Kitabul Mazhalim bab Kasri Ash-Shalib wa Qatlil Khinziri no. 2476, Kitab Ahaditsil Anbiya` bab Nuzuli Isa bin Maryam no. 3448, 3449; Al-Imam Muslim rahimahullahu dalam Kitabul Iman bab Nuzuli Isa bin Maryam Hakiman Bisyariati Nabiyyina Muhammad SAW no. 242; Al-Imam At-Tirmidzi, no. 2233)
Jabir bin Abdullah meriwayatkan bahawa dia ada mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sekumpulan dari umatku akan memperjuangkan kebenaran dan akan berterusan kehadiran kumpulan seumpama itu sehingga Hari Kebangkitan (Hari kiamat). Isa anak Maryam akan turun, ketua kumpulan itu akan mengajaknya bersama mereka dan menjadi imam solat mereka, tetapi baginda (Nabi Isa) akan berkata: Tidak, sebahagian dari kamu adalah ketua kepada yang lain. Ini adalah satu penghormatan kepada umat Islam ini. (Sahih Muslim, jilid 1, muka surat: 155)
Berdasarkan kepada beberapa riwayat dan hujah para ulama jelas bahawa Nabi Isa a.s pasti akan turun dan menjadi makmum kepada Imam Mahdi sebagai pengiktirafan baginda terhadap Imam Mahdi yang menjadi umat Nabi Muhammad SAW.
Saturday, February 28, 2009
Kemunculan Nabi Isa
Siti Masitah pertahankan akidah
KISAH ini berlaku di negara Mesir ketika pemerintahan Firaun yang terkenal sebagai pemerintah yang kejam dan tidak berperikemanusiaan. Firaun ingkar kepada Allah dan membunuh sesiapa sahaja yang tidak mengakuinya sebagai tuhan. Pada ketika itu, ada seorang tukang andam istana bernama Siti Masitah yang beriman kepada Allah di istananya.
Suaminya bernama Hazaqil yang menjaga perbendaharaan kerajaan Mesir dan menjadi sahabat Firaun. Walaupun dia rapat dengan Firaun, hatinya sudah beriman kepada Allah. Pada suatu hari, Hazaqil tidak berpuas hati dengan hukuman mati yang dijatuhkan Firaun kepada 40 ahli sihir yang beriman kepada Allah. Dia berdebat dengan Firaun.
"Tuanku, saya tidak bersetuju dengan hukuman mati kepada ahli sihir kita. Walaupun mereka beriman kepada Allah, mereka sudah berjasa kepada negara Mesir." Hazaqil mempertikaikan hukuman yang dijatuhkan oleh Firaun.
"Mereka dihukum mati kerana tidak mengaku beta sebagai Tuhan mereka!" Firaun kelihatan marah dengan kata-kata Hazaqil itu.
"Sekiranya kamu mempertahankan nasib ahli sihir itu, beta percaya kamu sebenarnya juga salah seorang daripada mereka yang beriman kepada Allah". Firaun mula berfikir mengapa Hazaqil mempertahankan nasib ahli sihir yang dihukum mati.
"Oleh kerana kamu salah seorang daripada mereka, beta jatuhkan hukuman mati ke atas kamu". Firaun tanpa teragak-agak menjatuhkan hukuman ke atas Hazaqil walaupun dia merupakan sahabat dan pegawai kerajaannya.
Hazaqil terus ditangkap oleh pegawai Firaun dan dibawa keluar dari istana. Dia diikat pada sebatang pohon kurma dan dipanah oleh pengawal Firaun sehingga mati. Kematian Hazaqil membuatkan hati Siti Masitah tidak tenteram dan hatinya semakin benci melihat muka Firaun yang membunuh suaminya.
Pada suatu pagi, Siti Masitah menyikat rambut puteri Firaun di bilik tidur. Pada mulanya dia menumpukan perhatian menyikat rambut puteri Firaun. Tiba-tiba hatinya teringat kepada Hazaqil yang mati dibunuh oleh Firaun kerana beriman kepada Allah. Jiwanya mula menjadi keluh resah sehingga dia hilang tumpuan. Justeru, sikat yang sedang dipegangnya terjatuh ke lantai.
"Allah". Kata Siti Masitah, lalu mengambil sikat dari lantai.
"Kamu akan dihukum kerana berkata begitu! Adakah tuhan lain selain bapa beta?" puteri Firaun bertanya kepada Siti Masitah dengan keras.
Siti Masitah tidak memohon maaf atas kata-katanya itu. Dia juga menyatakan ada tuhan lain yang patut disembah dan bukan bapanya.
Puteri Firaun terus mendapatkan ayahnya dan mengadu tentang apa yang diucapkan oleh Siti Masitah kepada Firaun. Firaun menjadi marah lalu memanggil Siti Masitah bagi dibicarakan.
"Siapakah Tuhan kamu?" bergema suara Firaun menakutkan Siti Masitah yang berdiri di hadapannya.
"Tuhan saya Allah," balas Siti Masitah dengan tenang dan berani.
"Kamu akan dijatuhkan hukuman berat atas kesalahan menghina beta!" Firaun memerintahkan pengawal memasak minyak panas di dalam sebuah kuali besar. Firaun juga memerintahkan tenteranya memanggil rakyatnya berkumpul dan melihat hukuman yang bakal dilaksanakan kepada Siti Masitah.
"Dengar rakyat semua, inilah hukuman kepada orang yang tidak mengaku beta sebagai Tuhan." Firaun terus memandang Siti Masitah. Dia berkata, "Beta berikan satu peluang terakhir kepada kamu, adakah kamu mengaku beta sebagai tuhan kamu?"
Sebelum Siti Masitah menjawab, syaitan datang lalu membisikkan hasutan di hatinya. "Kamu tidak sayang nyawa anak-anak kamu. Kamu tidak kasihan kepada bayi yang masih kecil itu. Beta tidak akan hukum kamu sekiranya kamu mengaku beta sebagai tuhan." Siti Masitah mula berjalan menaiki tangga menuju ke kuali besar yang berisi minyak mendidih.
"Wahai ibu, janganlah terpedaya dengan kata-kata syaitan yang dilaknat Allah. Kematian kita mendapat rahmat daripada Allah dan pintu syurga terbuka menanti kedatangan kita," tiba-tiba, bayi dalam gendongan Siti Masitah berkata dengan izin Allah.
"Allahhu Akbar!" teriak Siti Masitah lalu terjun bersama dua orang anaknya ke dalam kuali besar berisi minyak mendidih itu.
Rakyat Mesir yang hadir melihat kejadian itu terhenti nafas seketika melihat keimanan Siti Masitah dan dua orang anaknya yang rela berkorban demi mempertahankan kebenaran agama Allah. Tiba-tiba mereka tercium bau wangian harum keluar dari periuk besar berisi minyak mendidih itu apabila Siti Masitah dan dua orang anaknya menghembuskan nafas terakhir di dalam minyak mendidih itu.
Keteguhan iman Siti Masitah sekeluarga tidak disembunyikan daripada pengetahuan Firaun. Mereka berterus terang dan mendapat hukuman Firaun kerana mengejar cinta Allah yang lebih agung dan yang lebih dirindui.
Posted by keristamingsari at 9:06 AM 0 comments
Tafsir - Pelbagai jenis dan syaratnya
TAFSIR al-Quran boleh dibahagikan kepada beberapa jenis: 1. Mengikut masa l Tafsir zaman sahabat. Terdapat sahabat yang mentafsir al-Quran seperti Abu Bakar, Umar, Aisyah dan terutamanya Abdullah Ibn Abbas. Ini kerana berkat doa Rasulullah s.a.w. kepadanya ketika dilahirkan, di samping kesungguhan dan kesabarannya dalam menimba ilmu sehingga dikenali sebagai Turjuman al-Quran, juga dikenali dengan Habr al-Ummah. Katanya Demi Allah, kalau kamu tanyakan makna-makna ayat dalam al-Quran apa maksudnya, di mana diturunkan dan segala maksudnya nescaya aku akan menjawab untukmu.
* Tafsir zaman tabiin seperti Said bin Jubair yang banyak meriwayatkan daripada Ibn Abbas, Ibn Masud, Ibn Umar, Abu Hurairah dan lain-lain. Dikatakan Abu Ubaidah Ma'mar bin al-Muthanna, perintis pertama dalam pembukuan tafsir yang dinamakan al-Majaz Fi al-Quran al-Karim pada tahun 188H.
* Tafsir zaman selepas Tabi' at-Tabiin atau golongan kemudian. Seperti Ibn Jarir (310H) dengan tafsirnya Jami' al-Bayan Fi Tafsir al-Quran, al-Zamakhsyari dengan tafsirnya al-Kasyfu `an Haqaiq al-Tanzil Wa `Uyun al-Aqawil Fi Wujuh al-Ta'wil dan lain-lain.
2. Cara tafsiran
* Tafsir al-Quran dengan al-Quran.
* Tafsir al-Quran dengan hadis, terutamanya yang sahih dan mutawatir.
* Tafsir al-Quran dengan pendapat sahabat.
* Tafsir al-Quran dengan bahasa dan sastera.
3. Sumber tafsiran
* Tafsir dengan ma'thur dikenali juga tafsir riwayat.
* Tafsir dengan ra'yi (akal).
Imam as-Syaukani di dalam tafsirnya Fath al-Qadir (1 / 12) membahagikan dua cara ahli tafsir :
* Terikat dengan riwayat.
* Mengembangkan tafsir kepada aspek bahasa dan ilmu-ilmu alat yang lain.
Ulama sepakat menerima tafsir dengan ma'thur dan beramal. Ibn Kathir berkata dalam mukadimah tafsirnya (1 / 3) - Jika kami tidak mendapati tafsir dalam al-Quran dan juga sunah, kami akan kembali kepada pendapat sahabat kerana mereka lebih mengetahui dengan penyaksian dan hal ehwal mereka ketika turunnya ayat.
Ijtihad
Antara kitab-kitab tafsir mathur : Jami' al-Bayan - Ibn Jarir at-Tabari, Al-Kashfu Wa al-Bayan - ath-Tha'alabi, Ma'alim at-Tanzil - Abu Muhammad al-Husain bin Masud al-Baghawi, Ad-Durru al-Manthur - Jalaludin as-Suyuti, Tafsir al-Quran al-'Azim - Abu al-Fida' Ismail Ibn Kathir.
Adapun tafsir ar-Ra'yi yang dibina atas asas akal dan ijtihad para ulama berkhilaf hukum keharusannya. Ada yang menyokongnya dan ada yang mencegahnya. Imam al-Ghazali dan ar-Raghib al-Asfahani menganggap khilaf ini bersifat lafzi bukan hakiki, justeru tidaklah menjadi masalah beramal dengan tafsir ra'yi tetapi disyaratkan dengan syarat-syarat yang dinyatakan oleh ulama. (Lihat Tafsir Bi ar-Ra'yi, Dr. Hamad al-Zaghlul hal 107-115).
Walaupun begitu kalau ditafsirkan al-Quran semata-mata dengan akal, hukumnya haram seperti nas hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas - sabda Rasulullah s.a.w. : Sesiapa yang berkata tentang al-Quran tanpa ilmu, nescaya disediakan tempatnya daripada neraka. Riwayat Abu Daud dan Tirmizi.
Antara tafsir ar-Ra'yi ialah: Madarik at-Tanzil oleh Imam Abdullah bin Ahmad an-Nasafi, Anwar at-Tanzil Wa Asrar at-Ta'wil oleh Al-Baidhawi, Lubab at-Ta'wil oleh Al-Khazin, Ruh al-Ma'ani oleh Al-Alusi, Tafsir al-Kabir atau Mafatih al-Ghaib oleh Al-Fakhr al-Razi.
4. Ada juga ulama membahagikan tafsir mengikut subjek, seperti berikut :
* Tafsir Tahlili.
* Tafsir Al-Mathur.
* Tafsir Alr-Ra'yi.
* Tafsir As-Sufi.
Ibn as-Salah dalam `fatawanya' menyatakan ``Aku dapati daripada Imam Abi al-Hasan al-Wahidi ahli tafsir berkata : Telah mengarang Abu Abdul Rahman as-Sulami - Haqaiq at-Tafsir dan jika dia beriktikad begitu maka hukumnya kafir. Justeru an-Nasafi berkata dalam akaidnya, ``Segala nas-nas mengikut zahirnya dan berpaling daripadanya kepada mana-mana yang didakwa oleh ahli batin termasuk dalam ilhad.
At-Taftazani menyatakan, dinamakan Malahidah (golongan mulhid) dengan batiniah kerana dakwaan mereka bahawa segala nas-nas bukan mengikut zahirnya, tetapi mempunyai makna-makna batiniah yang tidak diketahuinya kecuali guru, matlamat mereka menafikan syariah semuanya. Al-Alusi dalam tafsirnya Ruh al-Ma'ani berkata : Adapun ucapan ahli tasawuf tentang al-Quran, ia termasuk dalam isyarat kepada kehalusan-kehalusan yang terdedah kepada golongan ini, dan mungkin dilaksanakan antaranya dan zahir yang dikehendaki, inilah kesempurnaan iman dan sebenar-benar makrifat. Mereka beriktikad bahawa yang zahir bukan kehendak tetapi batin sahaja, sebenarnya termasuk iktikad batiniah yang mulhid membawa kepada menafikan syariah semuanya, jauh sekali daripada tuan guru tasawuf kita terbabit seperti ini. Sedangkan kenyataan mereka : Tidak dapat tidak mesti daripada zahir per-tamanya, sesiapa yang sangka sampai kepada faham rahsia
al-Quran sebelum hukum-hukum tafsir samalah seperti yang mendakwa sampai ke dalam rumah sebelum masuk pintu lagi.
Menafikan
Secara umumnya tafsir sufi dibolehkan dengan syarat-syarat :
* Jangan menafikan bagi zahir al-Quran.
* Mempunyai dalil syarak yang menyokongnya.
* Tidak bertentangan dengan syarak dan akal.
* Jangan mendakwa bahawa yang dikehendaki itu sahaja tanpa yang zahir tetapi mesti mengiktiraf yang zahir seperti dinaskan oleh al-Alusi.
Antara tafsir tasawuf ialah: Tafsir al-Quran al-Azim oleh al-Imam at-Tusturi (383H), Haqaiq at-Tafsir oleh al-Allamah as-Sulami (412H), `Arais al-Bayan Fi Haqaiq al-Quran oleh as-Shirazi (606H), Tafsir Al-Fiqhi, Tafsir Al-Falsafi, Tafsir Al-Ilmi (sains). Era teknologi terkini dengan ciptaan-ciptaan moden serta penemuan-penemuan hukum sains baru, adalah dibolehkan al-Quran dimasukkan dalam bidang ilmu ini bagi menyatakan bahasa sains dan al-Quran tidak bertentangan tetapi seiring.
Mengenai hukum mentafsir al-Quran dengan sains atau sebaliknya, ulama telah khilaf antara yang menyokong dan menentangnya. Antara yang menentang ialah Imam al-Azhar Syeikh Mahmud Syaltut dengan berhujah, ia boleh membawa kepada pemikiran yang tidak dikehendaki oleh al-Quran. Ini kerana Allah tidak menurunkannya bermatlamatkan teori-teori ilmu sains dan perkara-perkara seni. Kerana teori boleh berubah sedangkan al-Quran bersifat thabit dan tetap. Justeru selayaknya ditinggalkan al-Quran sebagai kitab suci dengan keagungannya. Lihat Mukadimah Tafsir Syaltut halaman 11-14.
Pendapat
Sependapat dengan Syeikh Syaltut ialah Syeikh Amin al-Khauli yang menaqalkan pendapat Imam as-Shatibi, inilah juga pendapat Imam Akbar Muhammad Mustafa al-Maraghi, Syeikh al-Azhar Dr. Abdul Halim Mahmud, Syeikh Abdullah Masud, Syeikh Abu Bakar Zikri dan termasuk juga pengarang Zilal al-Quran as-Shahid Syed Qutb.
Antara yang menyokongnya pula Imam al-Ghazali melalui kitab tafsirnya - Jawahir al-Quran yang dikarang selepas Ihya', kerana berhujah segala ilmu daripada Allah, mengikuti pendapat ini Ibn Abi al-Fadl al-Mursi yang dinyatakan oleh as-Suyuti dalam Itqan 4 / 27-31.
Pandangan yang rajih
Dengan mengamati hujah-hujah daripada kedua-dua pihak, al-Qardhawi menyeru pa-
ra ulama kepada beberapa perkara :
* Keperluan mengkaji keutamaan ilmu-ilmu ini apabila mencakupi kefahamannya, sudah tentu lebih mudah untuk berkhidmat menjelaskan makna-makna al-Quran.
* Kesedaran golongan pakar dalam ilmu yang tidak disedari oleh golongan lain.
* Mensyaratkan penggunaan sains dalam tafsir seperti kepakaran, tidak menyusahkan, meraikan bahasa al-Quran, menjauhkan daripada tuduhan semua umat jahil dan beberapa syarat lagi.(Lihat Bagaimana Kita Berinteraksi Dengan Al-Quran, halaman 379-385).
Mengenai perbezaan mukjizat sains dalam al-Quran dengan tafsir sains, mengikut al-Qardhawi, pada kedua-duanya terdapat perbezaan, iaitu mukjizat sains dalam al-Quran lebih sempit berbanding tafsir sains atau ilmu ini. Justeru itu Rabitah al-'Alami al-Islami menubuhkan satu badan dinamakan Badan Ilmiah Alam Bagi Mukjizat al-Quran. Antara yang terlibat secara langsung seperti Syeikh Abdul Majid az-Zandani, Profesor Dr. Zaghlul an-Najjar dan lain-lain.
Selain tafsir-tafsir yang disebut tadi ada juga Tafsir Al-Adabi, Tafsir Ijmali, Tafsir Muqaran (perbandingan) dan Tafsir Maudhu'i.
Pendirian
Tafsir Maudhu`i ini seperti mengambil satu-satu tajuk untuk dikaji seperti kejadian langit, manusia atau lain-lain. Dr. Muhammad al-Bahi dalam kitabnya Nahwa al-Quran halaman 89 menjelaskan seperti berikut - seperti menjadikan al-Quran dalam perlembagaan masyarakat atau pendirian al-Quran terhadap madiah atau menyelesaikan kehendak surah.
Mengikut Ibn Jarir at-Tabari, dengan sanadnya kepada Ibn Abbas, tafsir terdapat empat bahagian :
* Difahami oleh orang arab.
* Tafsir yang tidak diuzur seorang pun dengan kejahilannya.
* Tafsir yang hanya diketahui ulama.
* Tafsir yang tidak diketahui kecuali Allah. Lihat Mukadimah Tafsir at-Tabari 1 / 75.
* DR. ZULKIFLI BIN MOHAMAD AL-BAKRI, Pensyarah Kanan Kolej Uniti, Pasir Panjang, Port Dickson, Negeri Sembilan.
Posted by keristamingsari at 8:59 AM 0 comments
Sunday, February 8, 2009
ORANG TERKAYA MALAYSIA
Majalah Malaysian Business keluaran Februari 2008 telah menyenaraikan 40 orang yang terkaya di Malaysia berdasarkan jumlah pegangan saham yang dilaporkan di Bursa Saham Malaysia dan lain-lain pegangan saham yang boleh dinilaikan pada 18 Januari 2008. Blog ini pernah juga memaparkan 40 orang terkaya di Malaysia pada tahun lepas berdasarkan kajian yang di buat oleh majalah Forbes. Terkini : Senarai 40 Terkaya di Malaysia 2008 oleh Forbes Asia.
Tan Sri Robert Kuok adalah orang yang terkaya di Malaysia.
Berdasarkan kedua-dua senarai tersebut Raja Gula, Tan Sri Robert Kuok Hock Nien, 84, kekal sebagai orang terkaya di Malaysia. Turut tersenarai Ong Beng Seng, jutawan harta yang kini tinggal di Singapura adalah orang yang bertanggungjawab membawa perlumbaan Formula One ke republik itu. Hanya ada dua orang wanita yang tersenarai iaitu Raja Datuk Seri Eleena Raja Azlan Shah dan Puan Sri Chong Chook Yew.
Manakala bumiputra yang berada di dalam senarai tersebut adalah seramai 8 orang. Mereka selain daripada Raja Datuk Seri Eleena adalah Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary, Tan Sri Azman Hashim, Datuk Mokhzani Mahathir, Tan Sri Hamdan Mohamad, Tan Sri Rozali Ismail, Shaari Ismail dan Datuk Abdul Hamed Sepawi.
Berikut adalah senarai 40 orang yang terkaya di Malaysia berdasarkan kajian yang dibuat oleh majalah Malaysian Business;
1. Robert Kuok Hock Nien, 84, RM 58.110 billion, Kerry/Kuok Group
2. Tan Sri T. Ananda Krishnan, 69, RM 19.625 billion, Usaha Tegas
3. Tan Sri Lee Shin Cheng, 69, RM 14.943 billion, IOI Group
4. Tan Sri Quek Leng Chan, 65, RM 11.098 billion, Hong Leong Group
5. Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary, 57, RM 8.550 billion, Albukhary Foundation
6. Tan Sri Teh Hong Piow, 78, RM 8.06 billion, Public Bank
7. Tan Sri Tiong Hiew King, 71, RM 3.87 billion, Rimbunan Hijau
8. Tan Sri Vincent Tan, 56, RM 3.40 billion, Berjaya Group
9. Tan Sri Lim Kok Thay. 56, RM 3.16 billion, Genting Group
10. Tan Sri Azman Hashim, 68, RM 2.87 billion, Arab-Malaysian Corp
11. Datuk Lee Yeow Chor, 42, RM 2.33 billion, IOI Group
12. Lee Yeow Seng, 29, RM 2.29 billion, IOI Group
13. Tan Sri Yeoh Tiong Lay, 78, RM 1.74 billion, YTL Group
14. Ong Beng Seng, 62, RM 1.73 billion, Hotel Properties Ltd
15. Tan Sri Jeffrey Cheah Fook Ling, 62, RM 1.49 billion, Sunway Group
16. Datuk Yaw Teck Seng, 70, RM 1.39 billion, Samling Group
17. Datuk Seri Lee Oi Hian, 58, RM 1.304 billion, Batu Kawan
18. Datuk Lee Hau Hian, 55, RM 1.301 billion, Batu Kawan
19. Tan Sri Francis Yeoh Sock Ping, 54, RM 0.99 billion, YTL Group
20. Datuk Mokhzani Mahathir, 46, RM 0.97 billion, Kencana Petroleum
21. Datuk Yeoh Seok Hong, 49, RM 0.883 billion, YTL Group
22. Datuk Yeoh Seok Kian, 51, RM 0.881 billion, YTL Group
23. Datuk Micheal Yeoh Sock Siong, 48, RM 0.87 billion, YTL Group
24. Datuk Mark Yeoh Seok Kah, 43, RM 0.86 billion, YTL Group
25. Tan Sri Hamdan Mohamad, 52, RM 0.85 billion, Ranhill
26. Raja Datuk Seri Eleena Raja Azlan Shah, 47, RM 0.83 billion, Gamuda
27. Tan Sri Dr Lim Wee Chai, 50, RM 0.78 billion, Top Glove Corp
28. Tan Sri Kua Sian Kooi, 56, RM 0.75 billion, Kurnia Asia
29. Puan Sri Chong Chook Yew, 85, RM 0.71 billion, Selangor Properties
30. Datuk Tony Tiah Thee Kian, 61, RM 0.67 billion, TA Enterprise
31. Datuk Tan Chin Nam, 82, RM 0.61 billion, Tan & Tan
32. Tan Sri Rozali Ismail, 52, RM 0.59 billion, Puncak Niaga Holding
33. Shaari Ismail, 53, RM 0.57 billion, Puncak Niaga Holding
34. Datuk Seri Panglima Lau Cho Kun, 72, RM 0.533 billion, Gek Poh Holdings
35. Datuk Lin Yun Ling, 52, RM 0.532 billion, Gamuda
36. Datuk Seri Liew Kee Sin, 49, RM 0.52 billion, SP Setia
37. Ong Leong Huat, 64, RM 0.50 billion, OSK Holdings
38. Datuk Abdul Hamed Sepawi, 57, RM 0.49 billion, Naim Cendera Holdings
39. Datuk Tony Fernandes, 43, RM 0.47 billion, AirAsia
40. Kwan Ngen Chung, 48, RM 0.40 billion, Kwantas Corp
Perlu diingat bahawa nilai yang disebut di atas adalah berdasarkan maklumat yang boleh didapati secara umum dan ditolak hutang yang diisytiharkan. Sudah tentu ada lebih ramai mereka yang mempunyai nilai harta yang sama atau lebih daripada yang tersenarai di atas. Nama mereka tidak ada di sini kerana pegangan saham tersebut tidak dapat dikaitkan secara langsung kepada mereka.
Senarai ini diperolehi daripada blog Warkah.
Posted by keristamingsari at 7:08 PM 0 comments