Saturday, January 16, 2010

Tidak sampai sebulan, Ketua Pesuruhjaya SPRM mula pening


A
ntara jawatan yang paling kontroversi dan mungkin disalah-ertikan di Malaysia ialah Ketua Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Pemegang jawatan ini pasti menerima pelbagai kecaman daripada pelbagai pihak jika si pemegang jawatan itu gagal memuaskan hati pihak-pihak yang tidak bersetuju dengan beliau.

Amat menyedihkan lagi si pemegang jawatan ini seringkali dituduh sebagai alat kerajaan oleh mereka yang anti kepada kerajaan.



Justeru itu bukan mudah untuk bergelar Ketua Pesuruhjaya SPRM kerana jawatan ini pasti akan menjanjikan pening kepala, kadang-kala difitnah dan terfitnah serta disandarkan harapan tinggi oleh pelbagai pihak sedangkan ada kalanya mereka tidak berdaya untuk melakukan apa yang diharap oleh sesetengah pihak itu.

Misalnya beberapa hari lalu apabila Ketua Pesuruhjaya SPRM menyatakan bahawa SPRM sedia untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang mendedahkan maklumat aduan mereka kepada umum mengikut Seksyen 29(4) Akta SPRM.

Kenyataan beliau ini terus mendapat respon daripada pemimpin parti pembangkang dan kerajaan.

Misalnya Setiausaha Agung Gerakan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wong Ruen Yuan mengecam sikap Ketua Pesuruhjaya SPRM yang memperlihatkan dirinya mengatasi sistem kahakiman apabila membuat kenyataan yang disebutkan tadi. Baca sini.

Mahfuz Omar, Naib Presiden PAS pula menasihatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima media dan wartawan sebagai rakan dan bukan sebagai "musuh". Baca sini.

Katanya lagi "Saya rasa tidak salah jika pihak media melaporkan kes-kes rasuah kerana apa yang dilaporkan cuma berupa peristiwa (event) dan bukannya mendedahkan maklumat siasatan secara terperinci kepada orang ramai,"

Ternyata jika difikirkan perkara ini menjadi isu kerana menurut Seksyen 29 (4) Akta SPRM 2009,mana-mana individu yang mendedahkan kepada umum laporan dibuat bersabit kes rasuah ketika siasatan kes masih berjalan boleh dikenakan hukuman penjara dua tahun atau denda RM100,000 atau kedua-duanya sekali.

Dengan kata lain ia sudah menjadi undang-undang dan jika untuk menggubalnya semula pemimpin-pemimpin parti yang berkenaan bolehlah berbuat demikian di Parlimen bukan menyuarakannya secara terbuka seperti Ketua Pesuruhjaya SPRM boleh melakukan segalanya.

Begitu juga dengan kes pembunuhan Teoh Beng Hock. Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baru itu sekali lagi 'dibuli' dengan nasihat-nasihat yang manikam kalbu.

Contohnya apabila Lim Kit Siang memberitahu kepada media Ketua Pesuruhjaya SPRM mempunyai dua cara mudah untuk menunjukkan beliau mahu mengembalikan maruah dan reputasi SPRM dengan mengarah pegawai SPRM, Raub Ghani agar menggugurkan semula laporan polisnya ke atas Dr Porntip Rojanasunand dan meminta polis Selangor menghentikan penyiasatan yang terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan Exco Selangor Ean Yong Hian Wah.

Dengan cara ini, kata anggota Parlimen Ipoh Timur itu, keyakinan orang ramai akan boleh pulih begitu juga dengan profesionalisme dan intergriti SPRM. Baca sini.

Secara keseluruhannya tindakan Lim ini kelihatan hanya sekadar untuk memerli Abu Kassim yang pernah berjanji untuk mengembalikan integriti dan kepercayaan rakyat terhadap SPRM sedangkan semua orang tahu suruhanjaya pasti tidak akan sesekali nampak elok pada pemimpin DAP itu jika mengambil tindakan kepada rakan-rakan beliau di dalam Pakatan Rakyat .

Satu lagi perkara yang memeningkan kepala Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baru, Datuk Abu Kassim Mohamed ialah apabila Ketua AMK PKR, Shamsul Iskandar menggesa SPRM mengambil tindakan terhadap adik Perdana Menteri Mohd Nazim Abdul Razak dan Deepak (seorang pegawai polis) yang dikatakan pernah berjumpa dengan saksi kes pembunuhan Altantuya,P.Balasubramaniam tahun lepas walaupun dakwaan beliau ini hanya berasaskan satu temubual penyiasat persendirian itu di internet dan bukan kenyataan rasmi Bala pada pihak SPRM. Baca sini.

Bagaimana agaknya siasatan akan dijalankan jika saksi utama sendiri tidak mahu berjumpa dengan SPRM ?

Boleh disimpulkan, 3 perkara besar yang menjadi cabaran seawal Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baru mengangkat sumpah ini pasti akan membuat beliau mula pening kepala dan semakin bertambah pening selepas ini.

Kerana di sebelah pembangkang beliau di anggap sebagai alat kerajaan dan dianggap sebaliknya jika beliau mengambil tindakan terhadap pemimpin kerajaan.

Ternyata bukan mudah untuk menjadi Ketua Pesuruhjaya SPRM dan tidak hairanlah Ketua Pesuruhjaya sebelum ini bersara awal mungkin kerana tidak tahan dengan permainan politik yang tidak henti-henti dan SPRM juga yang seringkali dipersalahkan dalam apa-apa hal kebelakangan ini.

Tetapi rasanya perkara ini mungkin bukan masalah kepada Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baru, Datuk Abu Kassim Mohamed kerana beliau sunggguh yakin dan belum apa-apa lagi sudah berjanji sebulan lalu untuk mengembalikan integriti dan kepercayaan rakyat terhadap Suruhanjaya itu. Baca sini.

Diharap Ketua Pesuruhjaya SPRM dapat menjalankan tugasnya dengan cemerlang seperti yang dijanjikan.

Jangan dirisaukan dengan persepsi yang cuba-cuba ditanamkan oleh parti-parti politik yang tidak bersetuju dengan anda kerana apabila mereka menjadi kerajaan nanti, pasti anda akan dianggap terbaik dan dibela oleh mereka semahu-mahunya.

Penulis bebas ( Harakah Daily)

0 comments:

Newer Post Older Post Home