Monday, January 4, 2010

Mampukah Malaysia Mencapai Target Sebagai Sebuah Negara Maju?

S
etiap pemimpin negara mahupun rakyatnya pasti memiliki hasrat untuk memajukan negara ke tahap optimum, makmur dan sejahtera. Maju dalam ertikata lahiriah selalunya membawa perspektif struktur, pembangunan, kekayaan serta kemampuan memeluk teknologi sofistikated.

Namun begitu maju yang berasaskan pandang sarwa Islam selalunya agak berbeza kerana Islam mengeratkan maksud maju iaitu ‘hadhari’ dengan istilah ‘umran’ iaitu makmur. Makmur yang disebut disini membawa aspirasi kemewahan yang bermanfaat kepada rakyat jelata.


Saya tertarik untuk membawa isi kandungan Forum Dewan Masyarakat yang bertempat di Dewan Seminar Menara DBP pada 6 November yang lalu. Seminar ini mewacanakan tajuk bajet 2010 berlandaskan skop strategi negara berpendapatan tinggi.
Salah seorang panelisnya iaitu Dato’ Dr Norraesah Mohamad ada memberi beberapa hujah berkenaan dilema Malaysia untuk bergerak ke arah menjadikan negara sebagai negara maju.

Negara maju adalah sebutan untuk negara yang menikmati standard hidup yang relatif tinggi melalui teknologi tinggi dan ekonomi yang merata. Kebanyakan negara dengan KDNK per kapita tinggi dianggap negara membangun dan seterusnya maju. Namun beberapa negara telah mencapai KDNK tinggi melalui eksploitasi sumber daya alam tanpa mengembangkan industri secara seimbang, dan ekonomi berdasarkan sumber alam tidak dianggap memiliki status 'maju' atau menjurus kerarah negara maju, sebagai contoh ialah negara kita sendiri.
Pengamat politik global meneliti alasan yang berbeza untuk menilai sebab beberapa negara menikmati perkembangan ekonomi yang tinggi. Banyak alasan menyatakan perkembangan ekonomi memerlukan kombinasi perwakilan pemerintah (atau demokrasi), sebuah model ekonomi pasar bebas, dan kadar korupsi yang minima. [sunting] Beberapa negara maju Organisasi seperti Bank Dunia, IMF, dan CIA, biasanya setuju bahwa sekelompok negara maju termasuk Amerika Syarikat, Jepun, Denmark, Singapura dan sebagainya.

Menurut Dr Norraesah, terdapat tiga kumpulan penting dalam menggerakan ekonomi negara (ke arah negara maju) iaitu sektor swasta, modal insan (pekerja) serta perkhidmatan awam yang cekap (kerajaan). Laporan Global Corruption 2009 telah menjelaskan kepada kita betapa campurtangan kerajaan sehingga menerbitkan rasuah dan ketirisan wang bajet negara yang banyak. Transparent International juga merumuskan dalam memerangi rasuah, Malaysia kelihatan tidak bersungguh-sungguh mencabut akar permasalahan kerana masih mengamalkan penglibatan aktif kerajaan dan politikus dalam sektor swasta yang boleh memansuhkan konsep check and balance antara kerajaan dan sektor swasta.Apabila semua projek mega dan berprofil tinggi perlu dikaitkan dengan ahli politik, birokrasi dan ‘kabel-kabel’, maka kecenderungan untuk terjadi rasuah adalah amat tinggi.

Menurut beliau lagi ketiga kumpulan ini wajib bergerak seiringan demi memenuhi visi menuju ke arah negara maju.

Apabila berbincang berkaitan negara maju, ekonomi berpendapatan tinggi adalah sub-topik utamanya. Negara yang ingin maju perlukan ekonomi yang mampan, pencapaian teknologi, produktiviti yang tinggi tanpa bergantung kepada hasil mineral dan alam semata-mata, kematangan politik dan indeks pembangunan insan yang tinggi.
Indeks Pembangunan Insan (Human Development Indeks) 2007 yang dikeluarkan oleh PBB menunjukkan Malaysia jatuh dari kedudukan 63 kepada 66. Indeks ini terkandung dalam HUMAN DEVELOPMENT REPORT 2009. Indeks Pembangunan Manusia (IPM) / Human Development Index (HDI) adalah pengukuran perbandingan daripada sudut kemandirian hidup , celik huruf , pendidikan dan standard hidup untuk semua negara seluruh dunia. HDI digunakan untuk mengklasifikasikan apakah sebuah negara adalah negara maju, negara membangun atau negara mundur dan juga untuk mengukur pengaruh dari segi impak ekonomi terhadap kualiti hidup. HDI mengukur pencapaian rata-rata sebuah negara dalam 3 dimensi dasar pembangunan manusia iaitu Hidup yang sihat dan panjang umur yang diukur dengan harapan hidup saat kelahiran, Pengetahuan yang diukur dengan angka tingkat baca tulis pada orang dewasa dan kombinasi pendidikan dasar , menengah , atas gross enrollment ratio serta Standard kehidupan yang layak diukur dengan GDP (Gross domestic product) atau KDNK.

Di Malaysia sektor perkhidmatan hanya menyumbang 55% ( tahun 2009) kepada KDNK negara dalam masa yang sama untuk mencapai negara maju, sektor ini perlu mencapai 65% kepada pendapatan negara. Malaysia juga hanya mencapai tahap 5% sumbangan sektor pertanian kepada negara sedangkan ia perlu melebihi 6% untuk mencapai tahap maju.
CIA menyatakan Singapura memiliki ekonomi inovatif yang bergantung kepada eksport, penghasilan industri (terutama elektronik), IT, perubatan dan sektor servis seperti pengangkutan dan sebagainya. Peratusan sektor yang menyumbang kepada KDNK Singapura ialah Pertanian: 0%, Industri: 33.2%, Perkhidmatan: 66.8% (2008 est.) Manakala CIA menunjukkan Malaysia masih banyak bergantung dengan sumber alam untuk KDNK, Pertanian: 9.7%, Industri: 44.6%, Perkhidmatan.: 45.7% (2008 est.)

Pada 2008, Perkapita PNK Malaysia berada pada paras AS$7226 (RM 25 291) manakala unjuran pada tahun 2020 ialah sebanyak RM 76 419 dan sasaran ini jauh dari keupayaan sekarang.

Dr Norraesah juga mendedahkan bahawa perlaburan swasta berasaskan KDNK negara pernah berada sebanyak 30% pada tahun 1997 dan kini ia berada pada tahap 10% dan Malaysia disarankan meningkatkan semula perlaburan ini sebanyak 20% sekaligus membina suasana mesra pelabur dalam negara.

Perniaga perlu merasa lapang dan tidak terkongkong melabur di negara ini. Aspek perundangan perlu difahami dengan mudah oleh peniaga dan undang-undang, syarat atau peraturan bertindan perlu dielakkan untuk mengelak bebanan peniaga.
Status negara maju juga perlu diukur dalam pelbagai aspek. Menurut beliau juga, pembangunan sosial perlu dipertingkatkan. Modal insan yang kompeten perlu dilahirkan. Jurang pendapatan bandar dan luar bandar perlu dikecilkan serta penggunaan teknologi tinggi dalam pelbagai sektor ekonomi perlu ditingkatkan.
Bajet 2010 adalah suntikan penting untuk membina suasana negara yang menjurus ke arah negara yang maju. Islam tidak menghalang sesebuah negara untuk bekerja ke arah kemajuan ekonomi dan kemajuan teknologi tinggi malah digalakan pula. Ilmu futuristik adalah aspek penting jika Malaysia ingin mengurus ekonomi dan sosial ke arah negara maju.

Dalam buku The Future of Muslim Civillization (1988), Prof Ziauddin Sardar telah menggariskan kepentingan pemikiran futuristik sebagai suatu alat membangunkan paradigma dan metodologi baru dalam memahami dan mengimplementasi ajaran Islam secara kontekstual dan praktikal untuk menjana kembali kegemilangan tamadun umat Islam. Beliau telah mengemukakan suatu model projek pembangunan semula tamadun Islam yang dinamakan Projek Umran, serta beberapa pelan tindakan yang perlu diambil oleh umat Islam, khususnya golongan intelektual. Dalam Islamic Futures : The Shape of Ideas to Come pula, beliau menekankan secara lebih khusus matlamat utama bagi masa hadapan Islam ialah untuk menempa satu sintesis yang membawa kepada pengiktirafan bahawa Islam sebagai pandangan hidup yang lengkap boleh mewujudkan suatu suasana yang menyeluruh tentang jalan alternatif yang boleh diambil bagi kebangkitan semula tamadun Islam yang lebih dinamik dan maju (1985). Beliau telah membincangkan bentuk-bentuk pemikiran yang akan datang dalam konteks yang perlu diambil tindakan oleh umat Islam pada masa kini iaitu membina semula epistemologi Islam, menjadikan syariah sebagai kaedah menyelesaikan masalah, bentuk negara Islam dalam era pasca-industri, pengembangan teknologi yang Islamik, pendekatan dalam ekonomi Islam dan teori persekitaran Islam.

Dalam hal ini kemampuan Bajet 2010 masih dipersoalkaan adalah ia mampu memberi impak optimum ke arah menjurus negara maju. Bajet negara ini masih bergantung dengan hasil mineral terutamanya petroleum. Selain daripada hasil minyak yang menguncup akibat kejatuhan ekonomi dunia, kadar eksport barangan keluar negara yang terjejas akibat kejatuhan Dollar Amerika Syarikat, pelabur-pelabur asing juga enggan memasuki pasaran Malaysia. Dalam sesebuah negara yang demokratik dan berdaulat, pengaliran masuk pelaburan asing atau Foreign Direct Investment (FDI) amat penting, kerana ia melambangkan keyakinan pelabur ke atas sistem dan ketelusan kerajaan yang memerintah. Sebaliknya di Malaysia, FDI terus menjunam. Berpunca daripada kegagalan menjana pendapatan negara, maka pendapatan negara semakin merosot. Akibatnya kerajaan terpaksa mengurangkan belanjawan pembangunan, yang terpaksa diturunkan sebanyak 11.2%. Pendapatan PETRONAS, mencatatkan kejatuhan berjumlah RM 59 billion, bermakna cukai yang sepatutnya diperolehi oleh Malaysia berkurangan sekitar 57%. (kerugian negara lebih 50%) Pada 2008 sahaja, sumbangan PETRONAS merupakan 44.9% dari pendapatan Negara. Kebergantungan hanya terhadap PETRONAS ini jelas menjauhkan negara ke arah mencapai tahap negara maju yang inovatif.

Dalam aspek inovasi dan teknologi saya bersetuju dengan kenyataan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim yang menggesa kerajaan membina penyelidikan dan kajian teknologi tempatan tanpa bergantung dengan dunia barat sahaja. Kini daripada lebih 100 hasil penyelidikan yang dilakukan oleh IPT tempatan, hanya 4% sahaja yang digunakan oleh masyarakat tempatan! Beliau juga menjelaaskan bahawa bidang kajian IPT negara ini masih jauh dari koordinasi kepada lapangan praktikal dan ia hanya tinggal sebagai teoretikal indah yang tidak digapai ooleh rakyat. Lantaran itulah ilmuan dan intelegensia negara ini kurang dihormati dan disegani lagi (Harakah 28-31 Disember 2009).

Dalam KDNK negara, hanya 0.64% digunakan untuk kajian dan pembangunan (R&D). Ini jauh daripada amalan negara yang ingin maju iaitu berjaya mencapai 1-2% peruntukan KDNK untuk kajian dan penyelidikan tempatan. Kesimpulannya aspek ekonomi mampan, teknologi seimbang berasaskan tempatan, keadilan dan kesejateraan negara yang jauh dari korupsi, keefisienan pemerintahan, modal insan yang berkemahiran serta aspek pembangunan insan adalah antara syarat penting memajukan negara.

Muhammad Nuruddin Bashah
AJK Lajnah Politik DPP Pusat

(Diambil daripada Blog Cina Islam)

0 comments:

Newer Post Older Post Home