Saturday, January 23, 2010

Kemangkatan Sultan : Pimpinan dan ahli Pas Rafak Takziah


K
UALA LUMPUR, 23 Jan: PAS merakamkan ucapan takziah kepada kepada kerabat Diraja Johor di atas kemangkatan Sultan Johor, Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail semalam.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi awang dalam satu kenyataan berkata, PAS mendoakan semoga Allah mencucuri rahmat dan menempatkanroh baginda bersama orang-orang yang soleh.

"Seluruh kepimpinan dan ahli Parti Islam Se-Malaysia (PAS) ingin merakamkan ucapan takziah kepada KDYMM Sultan Johor dan kerabat Diraja Johor di atas kemangkatan Almarhum Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail pada hari Jumaat 22 Januari 2010.


"Patik sekalian berdoa moga-moga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Almarhum dan ditempatkan baginda di kalangan orang-orang yang soleh," katanya.

Selain itu PAS negeri Johor juga turut merafak takziah kepada kerabat Diraja Johor di atas kemangkatan Almarhum Sultan Iskandar.

"Saya bagi pihak PAS negeri Johor, mengucapkan banyak-banyak takziah kepada keluarga Diraja Al-Marhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor.

"Saya juga memohon doa moga-moga Allah mencucuri rahmat ke atas roh baginda," kata Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Dr Mahfodz Bin Mohamad.

Beliau berkata demikian sewaktu dihubungi ketika sedang dalam perjalan ke istana untuk memberikan penghormatan terakhir kepada Almarhum pagi tadi.

Pada masa sama, beliau turut merakam ucapan tahniah kepada Tengku Ibrahim Ismail telah dimasyhurkan secara rasminya sebagai Sultan Johor dalam pengumuman yang dibuat oleh Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman di Singgahsana Istana Besar Johor Bahru pada 10.31 pagi tadi.

"PAS Johor juga mengucapkan tahniah kepada Tengku Ibrahim yang telah ditabal sebagai Sultan Johor yang baharu.

"Semoga beliau akan memerintah Johor dengan penuh keadilan, kesaksamaan dan mementingkan kesejahteraan rakyat jelata seperti Almarhum Ayahanda baginda," katanya.

Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail, 77, mangkat pada pukul 7.15 malam tadi di Hospital Pakar Puteri, Johor Bahru selepas dimasukkan ke hospital itu semalam kerana gering.

Kemangkatan baginda diumumkan oleh Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman di sini, malam tadi. Jenazah Almarhum akan dimakamkan di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah pada pukul 2 petang hari ini.

Rakyat jelata boleh memberikan penghormatan terakhir di Istana Besar dari pukul 9 pagi hingga 10.30 pagi sementara orang kenamaan dari pukul 11 pagi hingga petang.


Harakah Daily

0 comments:

Newer Post Older Post Home