Thursday, January 21, 2010

Dzulfikar Mashoor : GST- Memindah Beban Sang Kaya Kepada Si Miskin

S
idang Parlimen Mac depan begitu penting untuk seluruh Ahli Parlimen PAS dan Pakatan Rakyat (PR) demi menghalang kerajaan dari meluluskan sistem Cukai Barangan da Perkhidmatan (GST) yang dianggap membebankan rakyat.

Beban ini bukan sahaja dijangka terpikul pada rakyat yang menyokong PAS dan Pakatan Rakyat sahaja, ahli-ahli Umno juga adalah rakyat; para penjawat kerajaan, askar, polis, tentera hatta sebilangan ahli ‘bawahan’ Umno juga adalah rakyat.

Mengambil pertimbangan-pertimbangan ini mungkin, beberapa pemimpin dari pelbagai pertubuhan semalam sebulat suatu menyuarakan bantahan terhadap cadangan kerajaan memperkenalkan sistem pencukaian baru tersebut, yang dijangka akan dikuatkuasakan bermula pertengahan tahun depan.


Bercakap pada suatu Forum anti GST di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAL) semalam, Kongres Kesatuan Buruh Malaysia (MTUC) merupakan salah satu pertubuhan yang dilihat jelas membantah akta percukaian yang baru tersebut.

“Jika GST wujud, kaum pekerja tidak akan boleh membaiki hidupnya...kedudukan MTUC dalam GST adalah membantah (dan) tidak setuju sama sekali,” tegas Timbalan Presiden MTUC, A. Balasubramaniam.

Menurut beliau, rakyat digalakkan menilai semula penjelasan Menteri Kewangan II Datuk Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah ketika membentangan rang undang-undang berkaitan GST di Dewan Rakyat lepas, kononnya kadar cukai GST adalah serendah 4 peratus sahaja.

Bagi Subramaniam, kenyataan Ahmad itu hanya suatu ‘permulaan’ sahaja untuk mempengaruhi semua Ahli Parlimen dan rakyat supa bersetuju dengan rang undang-undang tersebut.

“Kerajaan permulaan (GST) yang diumumkan (oleh) kerajaan adalah empat peratus...(saya) tidak percaya (dan) angka ini permulaan yang akan terus ditingkatkan kelak.”

Jelasnya lagi, kuasa mutlak yang diberikan kepada Menteri untuk menentukan kadar peratus GST dari semasa ke semasa sebagaimana yang disarankan dalam rang undang-undang berkaitan GST tersebut, membolehkan kerajaan memanfaatkan akta yang ada sebaik mungkin untuk satu-satu kepentingan.

Takkan kerajaan mahu mengurangkan kadar peratusan cukai GST tersebut pada masa depan, sedangkan kerajaan mengamalkan perbelanjaan secara defisit masuk tahun ke-12 sekarang?

“Kalau dilihat di negara-negara jiran sendiri pun, memang (GST) dimulakan dengan angka (peratus) yang begitu kecil tetapi terus ditingkatkan...(dan) tidak pernah ada mana-mana kerajaan menurunkan kadar peratus (dari) GST kerana ia menguntungkan pemerintah,” jelasnya.

GST jadikan buruh terus miskin!

Menurut beliau, GST akan menjadikan majoriti rakyat Malaysia, khususnya kaum pekerja tidak berpeluang untuk berunding dengan majikan serta menuntut kenaikan gaji yang lebih munasabah untuk mendepani kos hidup awam yang kian meningkat.

“Dari 27 juta rakyak di negara ini, separuhnya adalah golongan pekerja, lebih kurang 13 juta ini pula, lebih 80 peratus adalah golongan rendah...dari golongan rendah ini, yang berpersatuan (sekerja) hanya 11 peratus sahaja dan dari 11 peratus ini, hanya lapan peratus sahaja pekerja swasta (yang terlibat),” jelasnya.

“Golongan sekecil inilah sahaja yang ada kesempatan berunding dengan majikan (supaya) gaji dinaikkan disebabkan kos hidup naik (meningkat)...lebih 90 peratus pekerja tidak berpeluang menuntut gaji yang lebih munasabah apabila GST diperkenalkan.”

Ditambah dengan pengalaman malang MTUC menuntut suatu polisi gaji minima dari kerajaan sebelum ini, GST menjadikan malam yang gelap menjadi gelita.

“Sejak 17 tahun lalu sehingga hari ini, MTUC gaji minima sebanyak RM900 juga...tetapi setiap kali Menteri Sumber Manusia bertukar, janji tinggal janji,” jelasnya.

“Walaupun Menteri ada mengumumkan tuntutan gaji minima satu demi satu sektor, sejauhmana kenyataan Menteri tersebut boleh dipercayai?”

Di depan lebih 200 orang hadirin, beliau menjelaskan bahawa bukan tidak ada polisi kerajaan yang menguntungkan rakyat, tetapi polisi-polisi tersebut tidak menyelesaikan masalah pekerja keseluruhannya.

“Kita tidak membantah apabila kerajaan mengumumkan COLA (untuk kakitangan kerajaan) ketika harga minyak (melambong) naik beberapa tahun lalu, tetapi kerajaan tidak mempedulikan kaum pekerja swasta,” jelasnya.

GST vs ‘Keadilan Sosialan’

Nada bantahan ang sama turut disuarakan oleh Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Phua.

“Saya tidak membantah teori pakar-pakar ekonomi tentang sistem ini, tetapi sistem ini tidak memberikan keadilan sosial kepada semua rakyat...walaupun saya tidak berfahaman sosialis keseluruhannya, saya tetap membantah (GST),” tegas beliau.

Menurut beliau, sistem cukai yang progresif seperti cukai pendapatan sebenarnya lebih menguntungkan rakyat berbanding sistem cukai yang regresif seperti GST tersebut.

“Kalau gaji RM3000 (hingga) RM5000 dikenakan cukai pendapatan (sebanyak) 8 peratus...kalau gaji RM15 ribu ke atas dikenakan cukai (sebanyak) 25 peratus hingga 27 peratus...(maknanya) kalau gaji lebih tinggi, maka kadar cukai (pendapatan lebih) tinggi...rakyat bergaji rendah dibantu dengan sistem progresif ini,” jelasnya.

“Sistem cukai yang regresif bermakna mereka (yang) bergaji rendah lebih banyak membayar cukai disebabkan cukai GST ini berasaskan kadar berbelanja...kalau gaji RM100 (dan) berbelanja RM900 kerana tiada pilihan (disebabkan inflasi), bermakna anda dipaksa membayar cukai yang lebih.”

“Kalau orang kaya bergaji RM10 ribu atau RM15 ribu, dan mereka berbelanja sebahagian saja dari gaji mereka, bermakna mereka masih boleh menyelamatkan simpanan mereka yang begitu besar dari dikenakan GST.”

“Dengan ertikata yang lebih mudah, cukai regresif (seperti) GST di mana beban cukai yang dikenakan ke atas yang miskin lebih tinggi berbanding mereka yang kaya...seolah-olah beban cukai golongan yang kaya dipindahkan sedikit demi sedikit kepada golongan miskin (dan) bergaji rendah.”

Beliau yang juga salah seorang Penasihat Ekonomi bagi Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Lim Guan Eng turut menyanggah Ahmad kononnya GST ini lebih adil berbanding sistem cukai pendapat yang diamalkan kerajaan sebelum ini.

“Hanya 15 peratus (iaitu 1.8 juta pekerja) pekerja-pekerja di Malaysia hari ini dikenakan cukai (pendapatan), selebihnya (iaitu 12 juta) bukan lari dari membayar cukai, tetapi pendapatan yang begitu rendah (sehingga) melayakkan mereka (untuk) tidak dikenakan cukai,” jelas Tony Phua lagi.

“Kalau kerajaan kata, kita turunkan sedikit cukai pendapatan dan naikkan cukai GST, maka (sistem cukai) ini lagi tidak berimbang kerana membabitkan lebih 12 juta pekerja (yang berpendapatan rendah).”

Alasan Kerajaan

Pengenalan GST ini dikatakan kerajaan, demi menampung kos pengurusan dan pembangunan negara yang kian melebar.

Bagi Tony Pua pula, kerajaan diminta terlebih dahulu meninggalkan amalan kronisme, rasuah dan pembaziran wang rakyat sebelum memperkenalkan GST ini.

“Satu AP (Permit Import) bernilai sekurang-kurangnya RM40 ribu (dan) kerajaan telah memberikan lebih 60 ribu AP kepada kroni-kroni mereka...kalau mereka menjual AP ini secara terbuka, tidak payah lagi dikutip cukai (menggunakan) GST kerana setiap tahun kerajaan boleh mandapat sekurang-kurangnya RM2.4 bilion,” jelasnya.

“Kenapa mereka nak sangat laksanakan GST, (alasan kerajaan) nak menambahkan pendapatan negara RM1 bilion lagi...sedangkan dia (kerajaan) boleh dapat RM2.4 bilion jika tinggalkan (amalan) kronisme dalam penjualan AP sahaja.”

Kerajaan juga, menurut beliau cuba mengelirukan rakyat kononnya GST ini adalah model pencukaian negara-negara maju.

“Kalau nak ikut negara-negara kaya seperti Singapura (yang mengamalkan GST), bukan sekadar laksana GST (sahaja) seperti negara-negara yang maju, tetapi kenapa tahap gaji pekerja di Malaysia tidak (setimpal) ikut gaji negara-negara yang maju,” jelasnya.

Beliau yang juga Setiausaha Publisiti Kebangsaan menjelaskan bahawa tahap pendapatan buruh di Singapura lima belas kali ganda lebih baik dari tahap pendapatan gaji buruh di Malaysia.

Atas nama menyokong keadilan sosial, Tony Pua menyeru rakyat memperjuangkan bersama-sama membantah GST di Parlimen dan dalam masyarakat.

Mewarisi era Mahathir

Bagi Exco Aliran, Subramaniam Pillay pula, dasar-dasar yang menindas kaum pekerja tersebut bermula pada zaman Tun Dr. Mahathir Mohamed (dulu Datuk Seri) menjadi Perdana Menteri Malaysia.

“Pada zaman (Tun) Abdul Razak (iaitu bapa kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak) banyak pembangunan dan jalan raya dibuat, zaman Mahathir memperkenalkan tol dan penswastaan.”

“Mahathir bertanggungjawab memperkenalkan beberapa polisi (yang) memindahkan kekayaan daripada orang miskin kepada orang yang telah pun kaya...(Tun) Abdullah (Ahmad Badawi, Perdana Menteri) dan Najib hanya mengikut saja (polisi Mahathir).”

Menurut beliau, GST yang mahu diperkenalkan oleh Najib lebih menakutkan; iaitu dikenali sebagai ‘reverse capitalisme’ dari pemerintahan Mahathir.

“Ini (GST) seperti ‘reverse capitalisme’ (iaitu) beban cukai (yang sepatutnya dibayar oleh) orang kaya dipindahkan kepada pekerja-pekerja yang miskin dan berpendapatan rendah...inilah yang lebih menakutkan,” jelasnya lagi.

Menggamit Inflasi

Menurut Subramaniam lagi, lebih 100 buah negara yang menggunakan GST terus mengalami inflasi yang begitu tinggi.

“Mula-mula Singapura mengekalkan (GST) tiga peratus, sekarang (meningkat pada) tujuh peratus dan apa setiap kali GST dinaikkan, maka inflasi juga akan turut meningkat. Tindak pernah (inflasi) menurun.”

Tidak ada, negara yang menggunakan GST menawarkan kos hidup yang lebih baik dan sederhana walaupun skala persaingan ekonomi yang begitu kompetetif; kerana kerajaan mengambil kesempatan daripada rakyat dengan mengaut cukai GST.

Manakalah, peniaga dan pemodal mengangut keuntungan daripada tawaran cukai eksport yang lebih rendah dari polisi GST tersebut.

Sesuatu yang menarik, menurut beliau, Amerika Syarikat dan Hong Kong merupakan antara negara maju yang tidak menggunakan GST, walaupun kebanyakan kaum pemodal yang memanfaatkan GST tersebut datang dari negara jolokan ‘kapitalisme’ tersebut.

“Dalam negara maju pun ada yang tidak menggunakan GST, (kerajaan) Hong Kong belum memperkenalkan GST (dan) begitu juga dengan Amerika Syarikat, ini yang banyak orang tidak tahu,” jelasnya.

Beliau berkata, kedua-dua negara maju tersebut boleh menolak GST disebabkan kebolehupayaan masing-masing memberdaya ekonomi yang lebih bersifat inovatif seperti dalam sektor perkhidmatan dan sektor berteknologi tinggi.

Jelasnya lagi, Malaysia juga boleh tidak menggunakan GST sekiranya memperkasakan sektor kepakaran, inovasi pada beberapa bahan mentah di Malaysia.

Penilaian Lapangan

Panel terakhir, Dr. Jeyakumar Devaraj yang mewakili penganjur, Parti Sosialis Malaysia (PSM) turut mendedahkan beberapa penyelidikan lapangan terkini yang dibuat ke atas kaum pekerja, tanpa mengambil kira impak berantai hasil perlaksanaan GST tersebut.

Dari empat ribu respondan yang ditemui, lebih 75.8 peratus pekerja mengalami masalah gaji tidak cukup disebabkan inflasi yang sedia ada.

Sebahagian daripada responden tersebut, sebanyak 55 peratus pekerja gagal membayar balik pinjaman-pinjaman konvensional tertentu demi memenuhi keperluan asasi hidup seperti makan, pakaian, minuman dan tempat tingga.

Di samping itu, sebanyak 50.9 peratus pekerja gagal melangsaikan loan bank demi memenuhi keperluan asasi untuk hidup.

Lebih mengejutkan, menurut Dr. Jeyakumar 56.5 peratus responden terbabit mengamalkan sikap mengurangkan makan makanan asasi dari kadar kebiasaan disebabkan masalah inflasi.

Mengenang Perjuangan ‘PROTES’

Sewaktu menjadi aktivis mahasiswa enam tahun yang lalu, ingatan saya masih segar dengan perjuangan Gerakan Memprotes Kenaikan Harga Minyak dan Barangan (Protes).

Saya masih ingat beberapa pemimpin PAS seperti Muhammad Sabu, Salahuddin Ayub, Ustaz Idris Ahmad, Dr. Mohammad Hatta Ramli, Saudari Aiman Athirah al-Jundi bersama-sama para pemimpin PKR, PSM dan pelbagai NGO meniupkan gelombang kesedaraan dalam kalangan rakyat.

Berbulan-bulan juga seingat saya, pelbagai ceramah dan perhimpunan aman diatur supaya rakyat boleh digamit-gamit untuk turun ke jalan raya menuntut perubahan daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi (dulu Datuk Seri).

Selama itu juga, saya melihat beberapa pemimpin diheret ke lokap kerana tidak tahu menghormati ‘agama kapitalisme’ yang dianuti oleh Sang Penguasa Umno BN di Malaysia.

Hari ini, dilihat PSM memulakan gerakan kefahaman tentang bahayanya GST. Esok lusa, saya berharap PAS pula yang mengepalai gerakan rakyat demi menegur Sang Penguasa.


Dzulfikar Mashoor ( Harakah Daily)

0 comments:

Newer Post Older Post Home