Thursday, September 17, 2009

WARTAWAN 'BALING KASUT' DIBEBASKAN


B
AGHDAD - Wartawan Iraq, Muntazer al-Zaidi yang dipenjarakan kerana membaling kasut ke arah bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), George W Bush dibebaskan semalam.

Dia pada mulanya dijadualkan dibebaskan kelmarin tetapi ditangguhkan sehari kerana beberapa prosedur undang-undang belum diselesaikan.

Muntazer, 30, dalam satu sidang media selepas pembebasannya semalam mendakwa dia dipukul, disebat dan dikenakan kejutan elektrik selama beberapa hari ketika dalam tahanan.



Pembebasannya itu disambut oleh beberapa ahli Parlimen Iraq yang menyokongnya di luar penjara di Baghdad, kata abangnya, Uday al-Zaidi.

"Hari ini saya bebas lagi, tetapi negara saya masih lagi sebuah penjara," katanya dengan merujuk kepada kehadiran tentera AS di Iraq selepas tumbangnya rejim Presiden, Saddam Hussein.

Rakaman daripada televisyen Al-Baghdadia menunjukkan Muntazer tampil dengan memakai kaca mata hitam dan tubuh dibalut bendera Iraq untuk memberikan kenyataan media pertama selepas dibebaskan.

Kakitangan Al-Baghdadia menyembelih sekurang-kurangnya tiga biri-biri sebagai meraikan kepulangan wartawan berani itu.

Muntazer dihukum penjara tiga tahun kerana menyerang ketua negara asing tetapi dikurangkan kepada setahun selepas mahkamah menerima rayuannya.

Dalam insiden 14 Disember tahun lalu, Muntazer mengutuk Bush dengan berkata, 'ini ucapan selamat tinggal untuk kau, anjing' sambil membaling kasutnya ke arah bekas Presiden AS itu.


Diambil daripada Blog Cina Islam

0 comments:

Newer Post Older Post Home