Wednesday, July 15, 2009

SPRM serbu pejabat exco kerajaan negeri Selangor

S
HAH ALAM, 15 Julai (Hrkh) - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu pejabat pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah yang didakwa menggunakan wang rakyat untuk memberi sumbangan.


Serbuan tersebut telah dilakukan oleh lima orang pegawai SPRM dari Putrajaya dan Selangor pada jam 3.30 petang.

Beliau mempertikaikan tindakan pihak SPRM yang mengambil semua fail peruntukan mereka untuk disiasat tanpa sebarang surat kuasa untuk mengeledah pejabat exco.

Namun begitu, tiada sebarang dokumen kerajaan negeri diambil oleh pihak SPRM disebabkan kehadiran pihak media yang terlalu ramai di pejabat beliau.

Pihak SPRM, menurut Ean, enggan menunjukkan kad kuasa mereka ketika diminta dan juga tiada sebarang notis atau waran untuk membuat serbuan di pejabat exco.

Terdahulu, SPRM juga telah menyerbu Pejabat Khidmat Masyarkat Adun Seri Kembangan, pada jam 11 pagi tadi yang dilakukan oleh lima orang pegawai dari Putrajaya dan Selangor.

Beliau juga merupakan Adun Seri Kembangan, berkata, siasatan mengejut SPRM ini adalah ekoran daripada penyiasatan sumbangan parti kompenan Pakatan Rakyat, DAP yang menyampaikan sumbangan kepada sebuah masjid di Puchong.

Sebelum ini, penyerbuan pihak SPRM ini merupakan ekoran dari siasatan tujuh orang Adun Selangor berhubungan dengan sumbangan RM 10,000 kepada sebuah masjid di Puchong bagi membeli pembesar suara.

Tujuh Adun tersebut ialah Adun Kinrara, Elizabeth Wong, Adun Kampung Tunku, Lau Weng San, Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh, Adun Bukit Lanjan, Elizabeth Wong, Adun Bukit Gasing, Edward Lee Po Lin, Adun Damansara Utama, Dr Cheah Wing Yin dan Adun Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah.

Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Teresa Kok dalam sidang media yang diadakan baru-baru ini di bangunan Annex, berkata tindakan itu tidak wajar kerana sumbangan ini adalah bagi faedah kegunaan rakyat.

"Kami berasa aneh kenapa hanya dokumen peruntukan kami, ketujuh-tujuh Adun kami diambil oleh pegawai SPRM.

"Dan juga saya rasa aneh yang mana dalam kes saya yang mana saya beri sumbangan 10 ribu ringgit untuk satu surau di Puchong untuk beli pembesar suara,"katanya./SH _


Muhammad Arif Ismail
Wed | Jul 15, 09 | 6:42:22 pm MYT ( Harakah Daily)

0 comments:

Newer Post Older Post Home