Sunday, July 26, 2009

Bekas pemimpin MIC sertai KeADILan

K
UALA LUMPUR, 25 Julai (Hrkh) - Barisan Nasional (BN) menerima satu lagi tamparan hebat hari ini apabila bekas Naib Presiden MIC, Dato' SS Subramaniam mengumumkan menyertai KeADILan dalam satu majlis yang diadakan di MBPJ tengahari tadi.


Sebelum ini, bekas pemimpin MCA, Dato' Chua Jui Ming telah menyertai KeADILan dan menyatakan sokongan secara terbuka terhadap dasar-dasar perjuangan yang dibawa oleh Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Tengahari tadi, dalam majlis di Petaling Jaya itu, Subramaniam juga mengumumkan bahawa 10 buah cawangan MIC di Petaling Jaya akan dibubarkan dan ahli-ahlinya akan menyertai KeADILan secara besar-besaran.

Dianggarkan seramai 1,700 ahli MIC daripada cawangan-cawangan tersebut akan menyertai KeADILan.

"Saya telah menyokong KeADILan dan Anwar Ibrahim sejak dahulu lagi, cuma sekarang saya dapat memberanikan diri untuk menyatakan bahawa saya akan sertai parti ini,"katanya sambil mendapat sorakan daripada lebih 350 hadirin dalam majlis tersebut.

Menurut laporan daripada Malaysiakini, Subramaniam telah berkhidmat sebagai Naib Presiden MIC lebih 20 tahun dan juga merupakan bekas Naib Pengerusi MIC Selangor untuk tiga dekad.

Selain itu, beliau juga pernah menjadi Adun Bukit Raja dan Ahli Parlimen Segamat.

Sementara itu, di awal majlis tersebut, pemimpin MIC cawangan Pekan Meru, AR Palaya juga mengumumkan menyertai KeADILan dan akan membubarkan cawangannya. - mks._

Harakahdaily
Sat | Jul 25, 09 | 6:35:59 pm MYT

0 comments:

Newer Post Older Post Home