Sunday, June 21, 2009

Peranan Suami dalam mendidik anak-anak


P
erkahwinan adalah perkongsian hidup antara lelaki dan wanita yang digelar suami isteri. Untuk itu dalam segala aspek urusan rumahtangga, suami isteri seharusnya saling bantu membantu antara satu sama lain. Ini termasuklah dalam tugas mengasuh dan mendidik anak-anak.



Namun begitu, ramai suami menanamkan dalam pemikiran mereka bahawa tugas mendidik dan mengasuh anak terletak di tangan isteri memandangkan tugas mereka yang cukup berat iaitu mencari nafkah untuk keluarga. Sebenarnya ini adalah pendapat songsang masyarakat Melayu khususnya yang beragama Islam kerana peranan seorang ayah sangat penting dalam mendidik anak-anak. Mengapa saya katakan songsang, ya? Jelas, mereka yang berpendapat sebegini tidak perihatin dengan surah Luqman yang diturunkan oleh Allah SWT sebagai panduan kepada suami yang bergelar ayah. Luqmanul Hakim dikenali sebagai manusia yang sering meninggalkan peringatan serta manfaat menerusi kata-katanya. Beliau merupakan seorang bapa yang sentiasa menasihati anaknya dengan kata-kata berhikmah. Dan kata-kata itu adalah wajar diambil iktibar oleh kita semua.

Tambahan pula, tuntutan hidup hari ini memaksa isteri turut bekerja bagi membantu suami menampung perbelanjaan keluarga terutama bagi yang mempunyai anak sedang belajar. Justeru pendapat yang mengatakan bahawa tugas mendidik dan mengasuh anak terletak di tangan isteri semata-mata sudah tentu tidak relevan langsung! Tidak adil meletakkan tanggungjawab kepada satu pihak sebaliknya kedua ibu bapa perlu memenuhi amanah mereka.

Suami harus turut sama ringan tangan membantu dalam hal pengurusan dan mendidik anak-anak. Lagipun peranan ayah dalam mendidik anak cukup penting kerana tanpa kehadirannya, segalanya akan menjadi pincang. Anak-anak, terutamanya yang lelaki akan membesar tanpa tokoh yang boleh dijadikan ikutan. Pendidikan dari aspek kepimpinan dan keteguhan yang seharusnya diperolehi daripada seorang ayah mungkin tidak dapat dipelajari oleh si anak. Perkara ini sudah tentu akan memberi kesan kepada perkembangan mereka. Menjadi bapa terbaik tidak bermakna mereka perlu sentiasa berdamping dengan anak, cukup berada di samping apabila kehadiran mereka diperlukan. Ada masa anak mengharapkan kehadiran bapa sebagai penasihat atau penguat semangat.

Bapa terbaik mendidik, bergaul mesra dengan anak

BAPA sebagai ketua dan pemimpin keluarga berdepan tanggungjawab berat memastikan kesejahteraan mereka di bawah kepemimpinannya. Bapa adalah nadi dan tonggak kepada kecemerlangan keluarga. Bapa dibantu oleh ibu mencorak hala tuju rumah tangga dengan mengambil kira keperluan setiap ahli keluarga mengikut kemampuan supaya kehidupan dapat dilayari dengan aman, bahagia serta penuh perasaan kasih sayang.

Menjadi bapa sempurna bukan mudah tetapi itu tidak menghalang seorang lelaki menimba pengetahuan serta kemahiran terutama dalam membimbing isteri serta anak ke arah kehidupan mendapat keredaan Allah. Bukan semua lelaki dilahirkan untuk menjadi bapa yang baik tetapi mereka mempunyai pilihan termasuk menjadikan kejayaan bapa mereka mendidiknya serta adik-beradik lain sebagai contoh teladan selain Rasulullah SAW yang sepatutnya menjadi idola semua umat Islam.

Rasulullah SAW adalah contoh ikatan terbaik bagi bapa melaksanakan atau memainkan peranan memimpin keluarga. Baginda SAW secara langsung menyebut tatacara sebagai bapa dan suami terbaik dengan memberikan contoh. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Orang yang paling baik di kalangan kamu ialah orang yang paling baik (pergaulannya) dengan ahli keluarga dan aku adalah yang terbaik dari kalangan kamu dalam pergaulan dengan ahli keluargaku.” (Hadis riwayat Ibnu Majah dan Ibnu Hibban)

Rasulullah SAW bukan saja mementingkan didikan agama dan akhlak terhadap anak, juga kemesraan dalam pergaulan. Baginda SAW memberi layanan mesra dan perhatian kepada anak termasuklah yang sudah berkahwin. Ramai bapa mengabaikan aspek kemesraan dalam pergaulan dengan anak lantaran sibuk dengan urusan pekerjaan dan aktiviti luar rumah. Adalah tidak adil bagi bapa beranggapan tugas rumah tangga termasuk mendidik anak, tanggungjawab ibu.

Hati anak mudah terguris jika di saat mereka mengharapkan kehadiran bapa, perhatian diharapkan tidak diterima. Ada kala anak tidak memerlukan masa yang lama, sekadar ingin bertanya dan mendapatkan pandangan. Jika itu juga sukar dipenuhi, pastinya hati mereka akan rasa kecewa. Waktu terbaik untuk menunjukkan sifat prihatin dan kasih sayang bapa terhadap anak adalah ketika makan bersama dan solat berjemaah. Kesibukan atau kehilangan bapa seharian melakukan tugas akan terganti apabila dapat makan bersama serta bersolat dengan anak.

Kebanyakan bapa yang baru menimang cahaya mata berasa tidak sabar untuk pulang ke rumah dan bermain dengan bayi pengikat kasih sayang keluarga. Menghairankan, perasaan itu seakan luntur apabila anak bertambah serta meningkat dewasa. Sedangkan, sebuah keluarga adalah satu anugerah atau nikmat terbesar Allah kurniakan kepada manusia. Perasaan cinta dan kasih sayang yang disulami dengan rasa tanggungjawab serta keimanan menjadikan kehidupan berkeluarga sebagai asas kepada segala kehidupan lain.

Ramai bapa sekarang sibuk bekerja dan bersosial. Satu budaya yang tidak sihat apabila banyak bapa lebih suka menghabiskan masa di luar rumah bersama rakan sehingga larut malam. Amalan minum sambil berborak dan merokok sehingga larut malam menjadi pemandangan biasa di kedai dan restoran. Mereka lebih rela melayan pelawaan rakan untuk beraktiviti luar daripada melayan permintaan anak sendiri. Sebab itu kes bapa terlupa menunaikan janji untuk bersama-sama anak sentiasa berlaku. Anak dimarah jika terlalu mendesak supaya bapa lebih banyak masa bersama mereka. Setiap janji wajib ditunaikan termasuk janji kepada anak. Mungkir janji dengan anak bukan saja mengecewakan mereka bahkan mendidik mereka melakukan amalan sama. Amat buruk kesannya jika anak terdidik dengan sikap negatif seperti tidak menunaikan janji dan tidak mengasihi ahli keluarga.

Interaksi secara fizikal banyak membantu membentuk hubungan emosi anak dengan bapa dan seluruh ahli keluarga. Anak akan berasa lebih dihargai dan disayangi. Hubungan itu secara langsung mewujudkan perasaan kasih anak kepada bapa yang mencetuskan keinsafan untuk mengutamakan keluarga dalam semua perkara. Dalam banyak hal, anak ingin berkongsi pengalaman dengan bapanya terutama kalangan anak lelaki meningkat remaja. Bapa menjadi individu paling rapat dan menjadi contoh terbaik kepada anak lelaki. Mereka menyimpan impian untuk menjadi bapa seperti bapanya apabila bergelar bapa nanti.

Betapa bangganya bapa dapat mendidik anak mengikut langkahnya menjadi bapa yang baik dan sudah pastinya paling penting ialah dapat menunjukkan jalan agama yang baik.

Firman Allah yang bermaksud, “Dan orang-orang yang beriman, dan yang anak cucu mereka mengikuti mereka dalam keimanan, Kami hubungkan anak cucu mereka dengan mereka, dan Kami tiada mengurangi sedikit pun daripada pahala amal mereka. Tiap-tiap manusia terikat dengan apa yang dikerjakannya.” (Surah at-Thuur, ayat 21)

Dalam hal mendidik anak-anak, seorang suami atau bapa perlulah memahami beberapa perkara. Tidak salah bapa-bapa di luar sana mempelajarinya. Kali ini diberikan beberapa perkara yang perlu diberi perhatian oleh si suami dalam membantu isteri mendidik dan mengasuh anak.

Tips # 1 - Jangan terlalu memberi harapan yang tinggi

Terutama sekali jika anak masih kecil. Terlalu banyak harapan diberikan kepada si anak mungkin menyebabkan tekanan kepada mereka. Sebabnya, bila anak tahu bahawa anda terlalu berharap kepadanya, dia akan berusaha memberikan semampunya. Dan jika dia tidak mampu memenuhinya, anak akan berasa sedih dan berasa diri tidak disayangi oleh ayahnya.

Tips # 2 - Menerima kesalahan

Orang yang sudah dewasa pun melakukan kesalahan, apatah lagi anak-anak yang masih kecil. Apabila mendapati anak melakukan kesalahan atau menimbulkan masalah di rumah, janganlah terus menyalahkannya. Ramai bapa yang bertindak memarahi malah memukul anak-anak yang berkelakuan sedemikian.

Sebenarnya tindakan ini tidak akan menjadikan keadaan lebih baik. Bapa akan berasa puas bila dapat memarahi dan menyalahkan anak, tapi dia hanya akan memburukkan lagi keadaan. Beritahu kesalahan mereka dan ajarkan perkara yang sepatutnya anak lakukan. Yakinlah bahawa mereka akan dapat berubah dari masa ke semasa.

Tips # 3 - Kenali anak lebih mendalam

Ketahui dan kenali sebanyak mungkin perkara tentang anak anda. Cari apa mainan dan warna kesukaan mereka, siapa teman terdekatnya, siapa tokoh pahlawan mereka dan selalulah bertanya perkembangan mereka. Dengan memperlihatkan perhatian dan rasa cinta, anak akan merasai diri meraka diberi kasih sayang sepenuhnya. Sikap tidak ambil peduli terhadap perkembangan anak-anak kerana terlalu sibuk dengan kerja akan menyebabkan anak berasa mereka tidak dipedulikan atau merasakan diri mereka tidak penting.

Tips # 4 - Katakan ‘tidak’

Arus kemodenan kini mendedahkan anak-anak kepada banyak pengaruh tidak sihat. Bapa haruslah memantau anak-anak supaya tidak terjebak dalam hal yang tidak diingini. Namun mereka tidak boleh sentiasa memerhatikan anak, untuk itu, anak harus diajar tentang disiplin dan pengendalian diri. Anda juga harus berani mengatakan ‘tidak’ kepada aktiviti anak-anak yang dianggap tidak mendatangkan faedah. Mengatakan ‘tidak’ bererti membantu anda memiliki anak yang sihat, bahagia dan dapat bekerjasama.

Tips # 5 - Memukul kerana tidak belajar

Ramai bapa yang menunjukkan ketegasan terhadap pendidikan anak-anak dengan cara memukul jika anak tidak belajar atau tidak mendapat pencapaian yang mereka inginkan. Tapi banyak kajian yang telah dilakukan mendapati tamparan atau pukulan akan hanya mengurangkan keyakinan diri anak dan mereka memiliki rasa percaya diri yang rendah. Memukul atau menampar anak hanya akan meningkatkan rasa takut anak terhadap ayahnya. Apakah memang ini yang anda inginkan?

Tips # 6 - Tindakan lebih keras daripada kata-kata

Ramai ibubapa yang mengancam atau mengugut anak sendiri bila tidak mendapat kerjasama yang diinginkan. Jika tidak, mereka tidak akan mengendahkan permintaan anda. Perkara ini seharusnya dihentikan segera.

Tips # 7 - Dengar dengan bersungguh-sungguh

Walaupun anak masih kecil, tetapi janganlah abaikan apa yang diceritakan atau diperkatakan oleh si anak. Jangan hanya memperdengarkan sepintas lalu tetapi cubalah belajar memahami apa yang mereka katakan. Nilaikan kembali apa yang dikatakannya. Sebab sekiranya anda mahu anak mendengar kata-kata anda, anda juga harus mendengar apa yang mereka katakan.

Tips # 8 - Layan isteri dengan baik

Bagaimana anda melayani atau memperlakukan isteri yang menjadi petunjuk penting bagi anak tentang hubungan lelaki dan wanita? Jadi, usahalahlah untuk melayani isteri dengan cara yang paling baik. Elakkan bertengkar di hadapan anak-anak kerana anda mungkin mengajar sesuatu yang negatif kepada anak.

Tips # 9 - Katakan ‘luar biasa’

Puji dan katakan betapa luar biasanya anak bagi anda. Hal ini sangat penting utnuk disampaikan terutamanya jika anak memiliki masalah. Tunjukkan kepada anak, apa yang membuatkan dia luar baisa kerana ini akan lebih bermakna buatnya.

Tips # 10 - Beri tanggungjawap sesuai dengan usia

Ketika anak masih kecil, apa yang dapat dilakukan mungkin hanya membereskan temapt tidur atau mengemaskan permainannya. Namun, apabila mereka semakin membesar, tambahkan tanggungjawab untuknya. Katakan kepada anak bahawa dalam keluarga setiap anggota punya tanggungjawab masing-masing. Jangan beri hadiah untuk tanggungjawab yang memang harus mereka lakukan.

Semoga tips-tips yang diberikan ini dapat memberi idea bagaimana bapa boleh menyumbang secara positif dalam mendidik anak-anak agar mereka menjadi generasi yang berakhlak dan cemerlang di dunia dan juga di akhirat, insya Allah.

0 comments:

Newer Post Older Post Home