Wednesday, June 24, 2009

Pas Tidak Pernah Langgar Janji, Tinggalkan Kawan - Idris Ahmad

K
UALA LUMPUR, 24 Jun (Hrkh) - PAS yakin dengan terlerainya isu membentuk kerajaan perpaduan dengan Umno yang telah disepakati oleh tiga pimpinan utama Pakatan Rakyat, isu ini tidak akan diperkatakan lagi.


Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad merakamkan kesyukuran kerana keputusan Majlis Presiden Pakatan Rakyat pada 22 Jun lalu yang menolak pembentukan kerajaan perpaduan kerana mengambil kira suara rakyat khususnya penyokong Pakatan Rakyat.

Jelasnya tindakan tersebut juga bersesuaian ke arah untuk menjadikan kerajaan yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat sebagai kerajaan menunggu dalam Pilihan Raya Umum yang ke 13.

Beliau juga menegaskan keputusan Majlis Presiden Pakatan Rakyat itu juga merupakan salah satu usaha 'mematikan' pihak media yang dilihat melaga-lagakan antara pimpinan PAS.

"Kita juga telah melihat bagaimana kehebatan di kalangan pimpinan PAS yang telah berjaya merungkaikan kemelut yang timbul dalam masa yang singkat.

Penyelesaian yang ditangani dengan roh ukhwah Islamiah yang tidak ada pada Umno.

"Ini merupakan kehebatan yang ada pada pimpinan PAS dalam menangani krisis yang mana pimpinan Umno perlu mempelajari apa yang ditunjukkan oleh pimpinan PAS dalam menghadapi isu yang begitu besar,"katanya, sewaktu dihubungi Harakah.

Beliau percaya isu tersebut menjadi hangat kerana media telah mencorakkan pemikiran dan suasana politik.

Justeru beliau menaruh keyakinan isu tersebut tidak akan ditimbulkan oleh media kerana pendirian tegas Majlis Presiden Pakatan Rakyat itu telah memberikan satu jawapan 'TKO' kepada pimpinan Barisan Nasional dan Umno.

Idris turut menegaskan Barisan Nasional dan Umno bukanlah parti yang jujur dalam persahabatan.

"PAS yang terkenal sebagai parti yang tidak pernah melanggar perjanjian sewaktu berkawan dengan mana-mana parti yang mengikat perjanjian bersama.

Contohnya pada 1986, PAS telah membuat satu ikatan dengan parti-parti komponen kecil pembangkang seperti Nasma, PRSM, SDP. Jadi, bukan PAS yang ingkari perjanjian dengan mereka.

"Begitu juga pada 1989 sewaktu menubuhkan Barisan Alternatif. Bukan PAS juga yang telah meninggalkan kawan. Begitu juga pada 2004, kita tetap juga dengan semangat setiakawan sehingga hari ini,"tegasnya.

Justeru beliau berpandangan, semangat setiakawan yang ada pada PAS menyebabkan musuh-musuh PAS dan Pakatan Rakyat gagal meleraikan perpaduan yang dibina. - azm _


Nyza Ayob
Wed | Jun 24, 09 | 9:39:57 am MYT ( Harakah Daily)

0 comments:

Newer Post Older Post Home