Sunday, June 14, 2009

PAS mahu Majlis Fatwa siasat SIS!


K
UALA LUMPUR, 14 Jun (Hrkh) - PAS tetap bertegas supaya Majlis Fatwa Kebangsaan melakukan penyiasatan terperinci ke atas pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Sisters In Islam (SIS) dan mengharamkannya jika bertentangan dengan syariat Islam.


Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menjelaskan, SIS bukannya NGO Islam malah ahlinya juga tidak mampu untuk memperkata atau membahaskan isu-isu mengenai Islam berdasarkan ilmu.

Beliau menegaskan, PAS pernah berunding dan menegur pandangan SIS yang bercanggah dengan Islam tetapi usaha itu tidak dipedulikan.

"Kita telah menghantar (Ahli Jawatankuasa PAS Pusat) Dr Mariah Mahmood menyertai majlis anjuran SIS dan menegur pandangan mereka yang bercanggah dengan Islam. Tetapi mereka sentiasa beri pandangan bukan daripada ilmu mereka.

"Adalah tak wajar seorang yang bukan nelayan cakap mengenai nelayan, orang dari Somalia kita suruh cakap tentang angkasa lepas, nak cakap mengenai angkasa lepas mestilah orang dari NASA (Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan), kalau tanya tentang lanun dan rompakan bolehlah dia jawab," katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada media sejurus selepas tamatnya Mesyuarat Jawatan Kuasa PAS Pusat kali pertama bagi penggal 2009-2011, di Pejabat Agung PAS, dekat sini baru-baru ini.

Muktamar PAS Ke-55 baru-baru ini, telah menerima tanpa bahas usul PAS Kawasan Shah Alam supaya Majlis Fatwa Kebangsaan membuat penyelidikan ke atas SIS yang didakwa membawa aliran Islam liberal dan mengharamkannya jika terbukti bertentangan dengan syariat Islam.

Ditanya adakah pendirian itu akan 'mencederakan' persepsi masyarakat bukan Islam kepada PAS, Abdul Hadi menegaskan: "Yang 'mencederakan' ialah SIS sendiri, orang tahu dia bercakap tanpa ilmu."

"Itu saya tidak tahu, yang saya beritahu adalah pandangan PAS," tegas beliau ketika memberi reaksi pakatan pembangkang yang dikatakan kurang bersetuju dengan usul yang telah diluluskan itu.

Ustaz Hadi menjelaskan, usul yang dihantar kepada jawatankuasa usul parti itu 'bukanlah versi terakhir tetapi yang belum dipinda'.

Usul itu, katanya, datang dari Dewan Muslimat PAS kawasan. Tetapi oleh kerana kesuntukan masa dan tergesa-gesa, ia tidak dibahaskan dalam mesyuarat kawasan dan terus dihantar ke Pusat. - mks. _

Harakahdaily
Sun | Jun 14, 09 | 6:34:25 pm MYT

0 comments:

Newer Post Older Post Home