Wednesday, June 3, 2009

MAMPAT Desak SPRM Siasat Segera Kejadian Stadium Runtuh


M
ajlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (MAMPAT) mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menjalankan siasatan segera berhubung insiden Stadium Sultan Mizan Zainal Abdin di Gong Badak, Terengganu yang baru berusia setahun runtuh semalam.

Dalam kenyataannya hari ini MAMPAT menyatakan rasa terkejut dan sedih terhadap kejadian itu dan menimbulkan kesangsian wujudnya elemen penyelewengan dalam pembinaa stadium bernilai RM300 juta itu.


Berikut siarkan kenyataan penuh MAMPAT:

Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (MAMPAT) merasa sangat terkejut dan sedih terhadap kejadian yagn berlaku kepada Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada 2 Jun 2009. Kejadian Stadium runtuh merupakan satu bencana diatas ketidak telusan pengurusan sehinggakan stadium yang dibina runtuh hanya selepas setahun ianya dirasmikan.

MAMPAT ingin melahirkan keraguan yang sangat tinggi, bagaimana sebuah stadium yang dibina dengan kos yang melebihi RM 250 juta dan dikatakan antara yang tercanggih, boleh runtuh hanya selepas setahun sebulan ianya dirasmikan oleh DYMM Sultan Mizan. Adalah memeranjatkan dan memalukan bagaimana binaan yang menelan belanja sedemikian rupa boleh runtuh dan rosak sehingga melebihi 60% struktur bangunan.

Persoalan yang wujud terlalu banyak. Orang ramai tertanya-tanya bagaimanakah sebuah stadium yang dirasmikan oleh DYMM boleh runtuh. Apakah kualiti CF yang dikeluarkan oleh JKR? Adakah JKR menggeluarkan CF "cap ayam". Siapakah yang menandatangani pengeluaran CF ini?

Rakyat menjadi sesal dan kesal dengan kejadian tersebut kerana pembinaannya adalah menggunakan ”hasil royalti” yang ”DIROMPAK” oleh Kerajaan Persekutuan daripada Rakyat Terengganu. Daripada rungutan dan aduan rakyat Terengganu kepada MAMPAT, pelbagai maklumat diberikan kepada kami.

Antaranya, mereka menyatakan terdapatnya campurtangan orang-orang politik dan peranan mereka dalam menentukan kemasukan kontraktor ke 3 yang dikatakan ada masalah "blacklist" dan pembekal juga dikaitkan dengan orang yang sama yang menentukan kemasukan kontraktor ke 3 tadi.

MAMPAT juga difahamkan bahawa terdapat tuntutan V.O sebanyak RM 30 juta sebelum pilihan raya umum Mac 2008 yang lalu. Alasan tuntutan yang digunakan adalah untuk kerja-kerja baik pulih kerja-kerja "ringan".

Namun MAMPAT tidak tahu kenapa dan bagaimana kelulusan "mee segera" boleh dilakukan dan ke manakah duit-duit dibelanjakan kerana tak nampak apakah yang dimaksudkan dengan "kerja-kerja" ringan tersebut.

MAMPAT merasa sangat terkilan kerana MAMPAT difahamkan bahawa pihak JKR telah sedia maklum bahawa terdapat kerosakan pada struktur bangunan stadium terutama pada atap sebanyak 1 %.

MAMPAT difahamkan ianya pernah dikeluarkan didalam blog-blog pada tahun lepas. MAMPAT juga telah mengeluarkan gambar-gambar tersebut di dalam blog kami di www.mampat.blogspot.com . Ketidakcaknaan ini telah menyebabkan berlakunya "celaka" ini.

MAMPAT yakin pasti terdapatnya unsur-unsur penyelewengan di dalam pembinaan Stadium ini. Oleh itu, MAMPAT menyeru kepada Pihak SPRM untuk membuat siasatan dan mengambil tindakan yang secepatnya sepertimana tindakan pantas yang dilakukan terhadap keruntuhan pasaraya di Selangor baru-baru ini.

MAMPAT tidak mahu kertas siasatan di "senyapkan" begitu sahaja sebagaimana kertas siasatan SPRM terhadap kehilangan Royalti yang dilakukan MAMPAT sebelum ini. Begitu juga siasatan kes banner "Kami nak Deris, Natang", yang sehingga sekarang rakyat tertunggu-tunggu keputusannya.

MAMPAT juga mendesak agar ditubuhkan "satu badan bebas" bagi menyiasat kes ini. Ini disebabkan MAMPAT yakin dengan penglibatan orang-orang politik, kes ini akan "disenyap dan didiamkan" sahaja. Untuk itu, MAMPAT merafak sembah kepada DYMM Tuanku untuk melihat kes ini secara mendalam.

Ampun Tuanku,
MAMPAT merafak sembah memohon Tuanku untuk mengarahkan supaya penubuhan badan ini, demi ” Hak dan Maruah Rakyat Terengganu”.

0 comments:

Newer Post Older Post Home