Tuesday, May 12, 2009

Mahkamah Rayuan: Benar Rayuan Zambry (update 1)


Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan Datuk Seri Zambry Abd Kadir untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam yang mengisytiharkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar Perak yang sah.

Keputusan mengejut itu dibuat oleh Hakim Ramly Mohd Ali dan membelakangkan tradisi kes-kes seumpamanya didengar oleh sekurang-kurangnya tiga hakim di peringkat Mahkamah Rayuan.


Hakim berkenaan bingkas setuju mendengar permohonan Zambry sebaik sahaja ia difailkan oleh peguam Zamry Kadir.

Keputusan Ramly bermakna Nizar tidak dapat menjalankan tanggungjawabnya sebagai Menteri Besar selagi Mahkamah Rayuan tidak mendengar penuh rayuan peguam Zambry terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.

Peguam Nizar, Sulaiman Abdullah meminta Mahkamah Rayuan untuk menetapkan tarikh mendengar rayuan itu secepat mungkin.

Keputusan terbaru Mahkamah Rayuan hari ini dijangka mengusutkan lagi keadaan politik di Perak dengan pertikaian kuasa yang berlarutan antara Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat.

Sebaik sahaja diisythiarkan sebagai Menteri Besar semalam, Nizar berkata beliau akan memohon supaya Dewan Undangan Negeri dibubarkan bagi membolehkan pilihanraya negeri diadakan sejajar dengan hasrat rakyat Perak.

Namun Perdana Menteri Najib Razak membayangkan bahawa UMNO tidak mahu kembali kepada rakyat dan lebih rela kemelut itu diselesaikan cara lain yang dapat memelihara kepentingan UMNO dan Barisan Nasional.

0 comments:

Newer Post Older Post Home