Thursday, May 28, 2009

Ideologi komunis, nasionalis perlu ditolak rakyat - Nik Aziz

K
OTA BHARU, 28 Mei (Hrkh) - Tuan Guru Dato� Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan sebarang ideologi yang jelas bertentangan dengan akidah Islam tidak boleh diterima rakyat di negara ini.


Mursyidul Am PAS itu berkata, fahaman-fahaman yang jelas bertentangan dengan Islam termasuk komunis dan nasionalisme perlu ditolak.

"Mengapa kita takut sangat hal ini. Rakyat negara ini bukannya buta sejarah, kita seharusnya sedar. Fahaman komunis hanyalah sebahagian sahaja dari pelbagai fahaman.

"Orang komunis dan nasionalis sama sahaja seperti adik beradik kerana sama-sama menolak hukum Islam.

"Orang nasionalis tolak hukum Islam dan ambil separuh sahaja," katanya selepas majlis penyampaian sumbangan bantuan Imam Al-Ghazali kepada 100 pelajar miskin di Dewan Teratai petang semalam.

Semalam Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak menjelaskan kerajaan tidak membenarkan bekas pemimpin Parti Komunis Malaya, Ching Peng kembali ke negara ini kerana ia boleh menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan rakyat.

Sebelum ini Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Dato' Dr Teng Hock Nan dilaporkan meminta kerajaan membenarkan bekas pemimpin komunis itu pulang ke Malaysia.

Ketika negara dilanda darurat pada 1948 hingga 1960 kira-kira 2,500 orang awam dan 1,865 anggota pasukan keselamatan terbunuh angkara komunis.

Oleh itu Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan menolak cadangan untuk membawa pulang bekas pemimpin komunis terbabit.

"Jangankan komunis perjuangan nasionalis pun saya tidak suka," katanya.

Menurut beliau kesengsaraan rakyat negara ini di zaman penjajah dan era keganasan komunis bukannya perkara yang boleh dilupakan begitu sahaja.

Ketua Pemuda PAS negeri, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman berkata, rakyat negara ini sudah serik dengan tindakan komunis ketika zaman darurat dahulu kerana telah menyulitkan rakyat.

Kata beliau isu terbabit tidak usah diperbesarkan kerana banyak lagi perkara lain yang perlu diselesaikan termasuk krisis politik di Perak dan keyakinan rakyat terhadap sistem kehakiman semakin terhakis.

"Kini rakyat didedahkan dengan pelbagai isu melalui blog-blog dan seharusnya mereka diberi peluang untuk berfikir secara matang kerana sejarah kezaliman komunis diketahui semua rakyat," katanya.

Ketika diminta mengulas cadangan supaya wakil rakyat PAS mengisytiharkan harta, khususnya calon-calon yang bakal bertanding pada muktamar tidak lama lagi Menteri Besar berkata, ia boleh dilakukan.

Namun beliau berkata, ia terpulang kepada mereka untuk melakukannya dan setahunya orang PAS bukannya kaya raya.

"Orang PAS ni mana ada harta sangat," ujarnya.

Abdul Latif yang juga Yang Dipertua PAS Kuala Krai berkata, terdapat tiga nama calon PAS yang telah disenaraikan pendekkan bagi mempertahankan Dun Manek Urai pada pilihan raya kecil 14 Julai depan.

Katanya, tiga nama tersebut kini diserah kepada Badan Perhubungan PAS Kelantan untuk dipertimbangkan PAS Pusat.

"PAS Kuala Krai akan akur terhadap siapa sahaja yang menjadi calon nanti. Apa yang penting kita perlu bekerja lebih keras bagi mempertahankan kerusi tersebut," katanya. - mj _

Salmah Mat Husain & Mohd Nor Yahya
Thu | May 28, 09 | 1:42:20 pm MYT

0 comments:

Newer Post Older Post Home