Monday, April 13, 2009

Jumlah Jawatankuasa Kabinet Diperkecil, Kata Muhyiddin

KUALA LUMPUR, 13 April (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata jumlah jawatankuasa kabinet akan dikurangkan bagi melicinkan urusan pentadbiran dan memastikan setiap perkara dibincangkannya dapat terlaksana.

Beliau berkata bahawa dalam pertemuannya dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak beberapa hari lepas, mereka bersetuju agar jumlah jawatankuasa kabinet berkenaan diletakkan di bawah kumpulan tertentu, umpamanya bidang ekonomi diletakkan dalam satu kumpulan dan sosial dalam satu kumpulan.


Bercakap kepada pemberita selepas beliau menyerahkan tugas sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri kepada Datuk Mustapa Mohamed di sini hari ini, Muhyiddin berkata bahawa setiap minggu, menteri perlu menghadiri sehingga empat mesyuarat jawatankuasa Kabinet.

"Jumlah jawatankuasa kabinet itu banyak dan semua penting belaka. Kita juga ada urusan lain kita harus laksanakan untuk negara," katanya.

Muhyiddin berkata sebahagian daripada jawatankuasa Kabinet itu akan dipengerusikan oleh beliau manakala sebahagian lagi akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri.

Pada majlis perjumpaan khas dengan pegawai dan kakitangan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri sebelum itu, beliau berkata kini terdapat 30 hingga 40 jawatankuasa kabinet.

Muhyiddin berkata walaupun MITI mempunyai hanya 3,000 kakitangan berbanding sesetengah kementerian yang mempunyai kakitangan yang lebih ramai, beliau yakin mereka mampu menjalankan tugas dengan profesional dan baik.

Katanya kerajaan menggubal dasar yang pro-perniagaan yang menghendaki agar kementerian itu perlu berusaha supaya segala inisiatif yang telah dan akan diambil terus berkembang dalam situasi ekonomi yang paling teruk dalam sejarah sejak 80 tahun lepas.

"Peranan dan tanggungjawab MITI adalah mencabar dan inisiatif yang diambil kerajaan dan PM dalam pakej rangsangan sebanyak RM67 bilion perlu dapat dilaksanakan supaya ekonomi tidak merosot dengan begitu teruk," katanya.

Katanya MITI perlu mengambil tindakan cepat, berani dan berkesan menangani kebimbangan sektor swasta, dewan perniagaan dan industri kecil dan sederhana supaya kumpulan ini tidak terbeban dengan kegawatan ekonomi.

-- BERNAMA

0 comments:

Newer Post Older Post Home