Sunday, December 28, 2008

Kumilikimu (Part 18)

Sampai di perhentian lampu isyarat selepas Taman Gasing, telefon bimbitku berbunyi. Gesa-gesa aku mencarinya di dalam beg sementara menunggu lampu isyarat bertukar hijau.

"You kat mana Qel?"Suara Serina kedengaran nyaring. Tak sempat bagi salam, terus dia menerjah.



"Emm.....I baru keluar rumah dalam 5 minit. I ingat lagi setengah jam I sampai..."

"Jangan lambat tau....tapi takper...I pun on the way ni....flight ticket you jangan lupa bawa..."

"Dah...dah...I dah simpan dlm beg. Ok lah Serina...I tak guna handfree ni.... jumpa kat sana je la nanti.."Aku memasukkan gear.

"Ok honey...I tunggu...bye...."kedengaran ceria.

Aku kembali menumpukan perhatian pada pemanduan. Pagi itu kenderaan sudah kelihatan banyak bergerak di jalan walau jam masih awal lagi. Mungkin kerana minggu ini minggu ke tiga, ramai yang mengambil kesempatan untuk keluar ke mana-mana. Aku tidak terlalu risau dengan kesesakan kerana masih ada 2 jam lagi sebelum penerbangan. Masuk ke lebuhraya KLIA nanti pasti tidak ada masalah.

Sambil memandu, mataku meliar ke kiri kanan, mencari deretan kedai-kedai. Sejak dua tiga hari ini aku makin kerap merokok. Dunhill 20 pun boleh habis tak sampai satu hari. Bila otakku berserabut, mulalah tanganku pantas mencari rokok. Nikmat seketika, kemudian berserabut semula. Sampai bila pun tak reda. Aku menyalakan signal ke kiri. Di depan sana ada sebuat restoran mamak bersebelah pasar mini kecil. Pekena teh tarik dan roti canai sekeping dua bagus juga. Baru aku sedar perutku belum berisi sejak pagi tadi. Bila melihat mamak penebar roti itu, serta merta perutku menjadi lapar gila. Aku berhentikan keretaku di depan pasar mini yang masih lengang.

"Macha!..Dunhill 20 satu!" Mamak bermisai tebal agak terkejut mendengar teguranku. Tanpa bersuara dia membuka cermin rak di belakangnya. Sambil itu aku berkira-kira untuk duduk dulu menikmati roti canai. Aku menarik kerusi di bahagian luar kedai. Sebaik duduk pandanganku tertancap pada sepasang lelaki perempuan, aku kira pasangan suami isteri kerana perempuan itu sedang mengendong bayi disisinya. Aku memerhatikan dengan penuh minat. Tetapi lama kelamaan dadaku menjadi berdebar-debar kerana lagak dan gaya lelaki itu benar-benar terkesan di mataku. Bibirnya yang bengkak dan merah itu jelas kelihatan. Iskandar?

Kelihatan Iskandar beriringan dengan wanita tersebut dan sesekali tangannya menyentuh bayi yang dikendong. Mereka tertawa. Aku benar-benar terpana. Betulkah apa yang aku lihat ini? Benar itu Iskandar, tapi siapa wanita tersebut. Adakah isterinya? Iskandar sudah beristeri? Aku bangun serta merta untuk mengejar pasangan tersebut. Entah kenapa hilang segala rasa marah dan benciku selama ini. Ada sesuatu yang aku perlukan dari dia.

"Iskandar!" Dia seperti tidak mendengar. "Syed Iskandar!!" Lelaki itu menoleh. Terpempam seketika, dan benar dia sememangnya Iskandar. Berkerut-kerut dia memandangku.

"Iskandar, nanti dulu!"Aku berteriak lagi bila melihat dia seperti ingin meneruskan langkah. Seperti tidak mahu mengendahkanku. Wanita di sisinya itu turut pelik melihatku.

"Iskandar....."Tercungap-cungap aku di depannya."Boleh aku jumpa kau kejap...."

Iskandar renungku tunak. Ada kesangsian.

"Aku nak bercakap sekejap dengan kau. Itu pun kalau kau........ok...."Aku senyum tawar.

Iskandar berbisik sesuatu kepada wanita disebelahnya itu. Wanita itu mengangguk-angguk sebelum meneruskan langkah. Iskandar berpaling kembali kepadaku.

"Kau nak apa?"Mendatar suaranya. "Aku tak boleh lama..."

"Aku tahu....."Aku telan liur. "Aku cuma...nak minta maaf...atas kejadian tempohari. Aku minta maaf!"Iskandar tersengih sambil menggeleng.

"Itu saja?"

"Aku tahu aku tak patut bertindak macam tu. Aku dah tak boleh kawal diri aku masa tu....."Aku memerhatikan bibirnya yang membengkak kebiruan.

Iskandar mengeluh sambil melempar pandangan ke jalan raya. Dia menarik nafas panjang.

"Aku faham....dia isteri kau. Memang patut seorang suami bertindak begitu bila isterinya diganggu. Tapi aku nak kau tahu......aku bukan mengganggu isterimu. Aku pun salah dalam hal ni..tidak berterus terang dari awal. Tapi aku perlu turutkan permintaan Ain..."

"Maksud kau?

"Ain yang minta aku berjumpanya secara sembunyi..."

"Kenapa dia mesti buat begitu.....aku tak faham....apa hubungan kau dan dia...

"Dia bekas tunangku....."

"Tapi kau tinggalkan dia...."

"Aku terpaksa....."

"Kerana kau sudah beristeri?" Iskandar ketawa kecil.

"Kau memang bijak meneka..."

"Kenapa kau buat macam ni pada Ain. Kau mempermainkan dia...."

"Aku tak berniat pada mulanya. Aku benar-benar mencintai dia..."

"Huh!" Aku tersengih. "Sekarang kau mengaku mencintai dia pula....."

"Benar. Dia gadis pertama yang aku cinta.."

"Dan isterimu?"
Iskandar terdiam seketika. Menarik nafas dalam-dalam sebelum meneruskan kata.

"Ain cinta pertama aku. Tentu kau pelik bukan. Banyak perkara yang kau tak tahu sebenarnya. "

"Kalau kau sanggup menghabiskan segelas teh bersamaku?.."Aku mengharap Iskandar bersedia untuk menceritakan segalanya.

"Ada baiknya kau bertanya dengan Ain sendiri..."Iskandar menggeleng.

"Dia lebih tahu segalanya..."

Giliran aku pula menggeleng. "Ain sudah balik ke kampung. Aku tidak tahu bila akan bertemu dengannya. Sebetulnya.....aku tidak tahu bagaimana untuk memujuk hatinya.."

Iskandar menepuk bahuku. Nyata, dia bukanlah terlalu ego seperti yang ku sangka selama ini. Banyak perkara yang menyimpang dari apa yang aku bayangkan sebelum ini.

"Jom, kita minum dulu....byk perkara yang aku hendak beritahu kau....'

Kami masuk semula ke dalam restoran mamak dan memesan minuman. Aku minum teh tarik saja kerana hilang seleraku untuk menikmati roti canai.

"Isteri kau tak kisah?"

"Isteri aku?...emm....Nadia. Sharifah Nadiatulshima. Sedap bukan?"Aku mengangguk. Bukan sekadar sedap namanya didengar, tetapi pemiliknya juga seorang yang cantik. putih melepak , tinggi persis model. Isteri secantik itu, kenapa Iskandar masih mencari yang lain?

"Orang fikir aku masih bujang bukan?"Iskandar ketawa. Benar, dia seorang lelaki yang tampan. Rona mukanya setiap kali tertawa begitu menyerlah. Kalau tidak kerana aku terserempak dengannya pagi ini, pasti sampai bila-bila aku sangka dia masih bujang.

"Aku kawin masa umur ku 22 tahun. Sudah 6 tahun. Tapi sampai sekarang masih belum punya anak."Dia bersuara bersahaja.

"Yang tadi tu?"

"Itu anak angkat kami.."Balasnya perlahan, seperti merenung jauh.

"Nadia keguguran pada tahun pertama, terus tidak boleh mengandung lagi. Aku masih muda sangat waktu itu. Lantas kebosanan cepat terasa. Tambahan lagi, Nadia bukanlah gadis pilihanku. Ibuku yang memilih dia. Dia tak mahu aku kawin dengan orang kebanyakan. Kami kan golongan bangsawan..."Dia ketawa lagi, seolah menyesali. "Keturunan syed mana boleh kawin dengan gadis biasa. Mesti cari yang keturunan syed juga. Betul tak?"

Aku termangu. Tidak tahu samada mahu mengiyakan atau membiarkan saja pertanyaan itu. Lelaki itu bagai ingin meluah gelodakan hatinya yang terpendam selama ini.

"Aku kawin dengan Nadia atas desakan ibuku. Tapi cinta tak boleh dipaksa. Mulanya aku sukar menerimanya. Kemudian aku bertemu Ain buat kali pertama. Aku tahu hatiku memang untuknya....."

Aku sedikit cemburu mendengar kata-katanya itu. Tapi aku tahankan saja perasaanku itu. Aku harus mendengarnya hingga ke akhir. Biarlah bagaimana pedas dan sakit hati pun mendengar penjelasan seperti ini.

"Bagaimana kau boleh bertemu Ain?"Tanyaku tanpa menunggu lama. Teh tarik yang belum terusik aku pandang sekilas.

"Aku ke Johor dua tahun yang lalu. Kebetulan projek syarikat aku di kawasan kampung tersebut. Dari situ aku kenal ayah Ain kerana kawasan perternakan lembunya itu berada di atas pelan kami. Aku pernah berbuka puasa di rumahnya. Dari situ aku kenal Ain....."Dia menarik nafas dalam-dalam.

"Ain benar-benar membuka hatiku....sampai satu masa aku sanggup lupakan isteri aku..semata-mata untuk memiliki dia. Aku tak pernah rasa perasaan begini. Aku sayangkan dia Haiqel!" Dadaku semakin meluap. Takkan sampai sekarang pun masih sayang? Kalau sayang kenapa ditinggalkan?

"Aku hantar pinangan....waktu itu aku sudah semakin akrab dengan ayah Ain. Tapi aku tidak pernah beritahu tentang status aku. Aku fikir aku mampu merahsiakannya. Dan orang tua itu terlalu baik hati.....atau mungkin dia memikirkan budi yang telah dimakan....maka dia menerima pinanganku..."

"Apa maksud kau ......makan budi?"

"Kandang lembu ayah Ain terletak di atas pelan kami. Seharusnya dia perlu robohkan kandangnya itu. Tapi atas usahaku, sementara menunggu projek itu bermula, kami benarkan ia di situ sementara waktu...."Iskandar meneguk minuman seketika. Dia memandang ke arah deretan kedai-kedai di sebelah.

"Kau cari isterimu?"Tanyaku, sama melihat ke arah deretan kedai.

"Biarlah dulu. Dia ada appointment dengan doktor peribadi kami. Sekejap lagi aku masuk...."Dia kembali memandangku sambil tersenyum.

"Aku bertunang dengan Ain .....lama juga..sebenarnya kalau ikutkan hati aku, aku tak mahu bertunang.....aku mahu nikah terus. Tapi ayah Ain berkeras minta bertunang dulu. Kerana aku tak mahu statusku diketahui, maka aku terpaksa setuju..."

Aku menggeleng. Hidup-hidup Pak Longku ditipu. Kalaulah tak kerana aku sudah minta maaf tadi, rasanya melayang juga penumbukku sebiji lagi.

"Tapi aku tahu......Ain tidak mencintai aku...."Sedikit mengeluh,dia terhenti sebentar.

"Maksud kau?"Hatiku berdetak.

"Dia mencintai orang lain. Dia mencintai kau Haiqel"Iskandar tancap merenungku. Aku terdiam sebentar. Sekali lagi. Sekali lagi Ain mencintaiku. Kenapa aku tidak pernah tahu.

"Aku lihat gambar kau dalam simpanannya. Gambar kau masa kecil. Aku masih cam lagi muka kau masa tu. Bila aku jumpa kau masa seminar dulu, aku tahu kau lah orangnya."

"Kau kenal aku masa tu?"Sedikit terkejut.

"Aku kenal wajah kau. Ain simpan banyak gambar kau. Aku jumpa secara tak sengaja di rumahnya. Sejak itu aku tahu hatinya bukan untukku. Hatinya milik orang lain."Dia mengeluh lagi. "Bila aku dengar dia kawin dengan kau, aku fikir Ain akan bahagia.....tapi aku pelik dengan rumah tangga korang berdua.... Ain tak bahagia. Kau juga bukan?"

Aku diam.

"Dia menghabiskan usianya menunggu kau, setelah dapat, begini jadinya. Cintanya tak berbalas. Sama seperti aku. Tapi aku rasa menyesal....kerana mengecewakan dia di saat akhir. Aku memang ingin mengahwini dia. Aku tak peduli siapa yang dia cinta. Tapi malangnya, keluargaku dapat tahu entah dari siapa. Mereka halang aku. Aku betul-betul berdosa dengan Pak Hamim sekeluarga lebih-lebih lagi Ain."

Dia meraba-raba bibirnya yang bengkak. Mungkin sedikit ngilu kerana banyak berkata-kata.

"Dua minggu selepas kau berdua berkahwin, aku jumpa Pak Hamim untuk minta ampun. Mujur dia maafkan aku. Orang tua itu memang baik hati. Aku halalkan semua hutang piutangnya selama ini. Tapi Ain berkeras.

Dia kata dia akan bayar semuanya...."

"Pak Long berhutang?"

"Sewa tanah kandang lembunya itu.......company aku minta bayaran. Aku tak boleh nak buat apa. Jadi aku dahulukan duitku....hari itu aku jumpa Ain di rumah kau....kerana Ain ingin membayar segala hutang ayahnya.....dia tak mahu kau tahu. Dia malu....kerana itu dia jumpa aku secara senyap-senyap."

Ya Allah!...kejamnya aku memarahi dia begitu...Aku tekup mukaku dengan kedua tapak tangan. Hati aku pilu. Kenapa Ain terlalu merahsiakan? Jauh sangatkah aku dari sisinya sehingga dia tidak mahu berkongsi semuanya?

"Dia benar-benar sayangkan kau Haiqel. Kenapa kau mensia-siakan dia?"Iskandar geleng kepala. "Aku tak tahu samada kau sudah ada pilihan sendiri atau tak, tapi melepaskan gadis sebaik dia....."

"Aku benar-benar tak tahu apa nak buat...."

"Jangan lepaskan dia. Kalau kau benar-benar sayangkan dia, pergilah jumpa dia. Sebagai lelaki, aku memang cemburu pada kau kerana berjaya memiliki dia. "Iskandar menghabiskan baki minuman. Mengeluarkan not dua ringgit dan meletakkannya atas meja.

"Aku tahu aku tak boleh paksa Ain menerimaku. Dan aku tahu aku harus setia pada isteriku. Anak angkat kami lelaki, Syed Ikhmal Aaz bin Syed Mutazir. Dia anak salah seorang sepupu kami yang kematian isteri. Kau tahu....untuk ambil anak angkat pun ibuku minta cari yang keturunan Syed. Pelik kan?"Iskandar bangun dari kerusi. Tanpa bersuara lagi, dia melangkah pergi. Masuk ke sebuah klinik di hujung bangunan. Syed Omar Clinik & Surgery!

***************************************************
Kata-kata Iskandar melekat terus di kepalaku. Segala yang dinyatakan tadi bagai sukar dipercayai. Benarkah Ain mendambakanku selama ini. Bertahun-tahun dia menunggu, memanjat doa siang malam dan akhirnya doanya diperkenan. Jodohnya memang denganku. Cuma aku saja yang tak menghargai. Buta mata.Buta hati. Emas di depan mata pun tak nampak kilauannya. Ah....sudah terlalu lama dia merahsiakan. Kenapa baru sekarang semuanya terbongkar. Setelah keputusan gila yang kuambil ini. Bagaimana aku ingin berpatah arah.

Hujan renyai-renyai mula turun. Pelik. Tadi cuaca kelihatannya terang benderang. Belum masuk ke tol KLIA, hujan sudah mula lebat. Aku memperlahankan kelajuan. Kenderaan bersimpang siur di kiri kanan. Lampu kereta kupasang, dan radio ku perlahankan. Deruan hujan di luar semakin lebat, membataskan pemandangan.

Kalau Ain benar-benar mencintai aku, kenapa aku mesti lari. Kenapa aku mesti takut untuk berterus terang dengannya. Bukankah ini yang kutunggu selama ini. Sekarang ini ternyata, aku tidak sendiri dalam melayan perasaanku. Getar-getar dalam dadaku tidak wujud sendirian. Ada sekeping hati di sana yang menantikan. Aku tidak bertepuk sebelah tangan! Sungguh tidak adil bagiku untuk membiarkan Ain terus menunggu.Setelah bertahun-tahun menahan perasaan, kemudian memperolehinya, tetapi kemudian terpaksa melepaskan kembali. Kenapa aku harus bertindak sebegini. Alangkah baiknya kalau aku dapat balik ke kampung. Dapat dakap Ain erat-erat sebagai isteriku, dan menyatakan tentang kasih sayangku. Tapi...itu mustahil. Aku sekarang bersama Serina. Serina sedang menungguku. Bukankah aku telah berjanji untuk mengikutnya ke Paris. Bertemu dengan daddy dan keluarga belah sana. Dan dalam waktu terdekat ini, mungkin aku akan mengahwininya. Kerana aku tidak ada alasan lagi untuk meninggalkannya. Kerana gadis itu pun sudah separuh mati mengharapkanku. Alasan apa yang hendak aku beri.

Aku menekan brek agak tergesa. Bunyi hon kedengaran di belakang sana. Cepat-cepat aku bagi signal kecemasan dan memandu keretaku ke tepi. Ya Allah...apa yang harus aku lakukan. Teruskan perjalanan, atau kembali kepada yang memerlukan? Aku pandang cermin yang kabur. Silau dengan cahaya lampu dari arah bertentangan. Kalau aku teruskan perjalanan, aku akan menjadi milik Serina. Aku akan masuk ke dunia yang baru. Dunia dua bangsa. Walaupun Serina mengatakan dia bersedia menjadi Islam, tapi aku sendiri tidak pasti adakah wajar mengahwininya. Aku rasa aku pun sama dua kali lima seperti Iskandar. Bersembunyi di balik kebenaran. Merahsiakan statusku semata-mata menurut ego seorang lelaki. Kenapa aku tidak berterus terang saja pada Serina tentang diriku yang telah menjadi suami orang. Kenapa aku takut menghadapi realiti. Kalau aku boleh berkorban menerima Ain, kenapa Serina tidak boleh berkorban melepaskanku? Bukankah aku lelaki, yang mesti tegas mengikut kehendak hati. Bukan ini yang aku kehendaki. Aku tahu ada satu gesaan dalam hatiku untuk tidak meneruskan perjalanan ini. Aku beristigfar berkali-kali. Kenapa aku tidak kembali kepada yang azali? Tuhan itu memerhati. Bukankah dia yang lebih mengkehendaki. Dia yang menggerakkan hatiku. Ya Allah!

Aku mencapai telefon bimbit. Menanti suara Serina dihujung sana.

"Hello honey.....you kat mana?"Sayup-sayup suaranya ditelan deru hujan.

"Serina.....I'....on the way..."Hatiku berdebar-debar.

"Kenapa lambat sangat. I dah lama sampai. You tahu kat sini hujan lebat"

"I tahu.....kat sini pun hujan..."

"Lama lagi ke you nak sampai.....flight lagi satu jam tau...."

"I tahu......I tak boleh drive laju...emm..."

"Tak per.....you drive carefully...I tunggu...."

"Serina!"Talian putus-putus."Serina...I..I rasa I tak dapat jumpa
you..."

"Haiqel...I tak dengar..."Suaranya seperti menjerit. Sakit telinga
aku.

"I tak dapat jumpa you..."

"Kalau you lambat sangat...I postpone flight..I tunggu you sampai datang ok!"

"Serina...nanti dulu..I minta maaf..I tak dapat jumpa you......sampai bila-bila...."

Senyap seketika.
"Serina, you dengar tak?.....I tak dapat jumpa you. I kensel pergi Paris. I nak break off.." Ya Allah...terasa kejamnya aku.

"You jangan nak buat joke, Haiqel. I tunggu you ni. You datang ya" Suaranya masih ceria.

"Serina....please..dengar cakap I...I serius ni....I kensel plan kita. I tak boleh kawin dengan you. I...suami orang, I dah kawin!"Aku tinggikan suaraku sambil memerhati kenderaan yang bertali arus. Signal kecemasan masih terpasang.

"You, what?"Kedengaran tawa dihujung talian."You ni cakap apa? Dah kawin... bila you kawin... you jangan nak mainkan I..." Aku menarik nafas. Kalau inilah yang dikatakan 'mempermainkan'...aku harus melakukannya!

"I dah kawin. You ingat Ain Fathihah? Dia wife I....I'm so sorry.... I bukan nak mainkan you....Serina...alamak!" Aku pandang telefon bimbit sebentar, bateri tinggal satu bar. "Serina....bateri I nak abis....I minta maaf banyak-banyak....

"Haiqel!...you...you..damn!" Esak tangis kedengaran. "Sampai hati you...."

"Serina......"Hati aku sebak." I'm sorry.....ish....shit!" Talian putus. Bateri kong! Aku mendengus. Aku campak telefon bimbit ke belakang. Hidupkan signal kanan, dan terus masuk semula ke jalan besar. Hujan masih lebat. Aku mencari-cari papan tanda U. Aku harus berpatah balik. Cari susur ke Johor Bahru. Sekali sekali aku pandang cermin belakang. Sinaran lampu kelihatan di sana sini. Aku berusaha untuk masuk ke sebelah kanan kerana tak silap aku di depan sana ada pusingan U. Lebih kurang dalam 50 meter. Aku menambah kelajuan. Hujan tidak selebat tadi tapi nampaknya tidak ada tanda-tanda untuk berhenti.

Serina, maafkan aku....aku sayangkan kau....tapi sayang tidak bermakna harus memiliki. Tiada jalan yang terbaik selain perpisahan ini. Aku tahu kau terluka, tapi apa lagi yang mampu aku lakukan. Salah satu hati harus aku korbankan. Dan aku tahu kau lebih tabah menghadapinya. Aku tak mahu melukai Ain lagi. Cukuplah bebanan perasaan yang dia tanggung selama ini. Dia berhak memiliki aku. Kerana dia mencintai aku. Dan yang lebih penting kerana aku juga mencintai dia.

Ya, aku pasti dengan perasaan aku kali ini. Aku yakin. Aku tidak perlu berdolak dalih lagi. Ain memang ditakdirkan untukku. Kerana Allah telah mewujudkan perasaan ini, kenapa aku harus menidakkan. Bukankah Dia lebih mengetahui. Ain, tunggu aku! Aku datang untuk mendapatkanmu. Akan ku kucup keningmu, seperti yang kuharap selalu. Akan ku mohon kemaafan kerana menyiksa zahir dan batinmu. Akan kudakap tubuhmu erat-erat. Biarlah semua orang memandang. Aku tidak peduli lagi.

Sampai di pusingan U, aku memperlahankan kereta. Panjang deretannya. Ehmm..... hujan-hujan begini semua jadi lambat belaka. Tapi bukankah itu satu rahmat juga. Mengajar manusia menjadi berhati-hati. Kenapa tak ramai berfikiran begitu. Aku menggeleng sambil tersengih. Lampu di depanku semakin terang. Apsal kereta depan ni?.....tiba-tiba slow sangat. Aku cuba menukar gear tapi Ya Allah....kenapa kereta ku laju. Sinaran lampu dari arah depan semakin membesar. Ish! berenti kat tengah jalan, giler apa! Aku tak sempat hendak memperlahankan kereta, terus masuk signal kiri dan membelok.

Nyaringan hon dari arah belakang kedengaran begitu kuat. Aku pandang cermin. Ya Allah....lampu besar sudah terlalu hampir. Aku tak tahu nak bawa keretaku ke mana, kiri kanan penuh dengan kenderaan. Aku rasa lori itu sudah terlalu hampir denganku.

"Dummm!!!!"Belakang keretaku bergegar. Melambung rasanya sekejap. Stering berpusing laju. Ya Allah, terasa kereta terbuai-buai ke sana ke mari. Apa dah jadi ni. Aku sempat menekan brek, tapi saat aku pandang ke cermin kanan, sebuah kereta sedang meluncur laju ke arahku.

*************************************

Sebentar tadi, aku rasa seperti kaku. Seluruh tubuh menjadi beku. Aku hanya mampu memandang kereta laju itu merodok pintu kananku. Dentumannya terlalu kuat. Terasa berpinar telinga dan pandanganku. Keretaku terdorong ke bahu jalan. Terperosok di tepi tidak bergerak lagi.

Kepalaku seperti dihentak dengan pemukul besi. Cairan hangat terasa mengalir laju di dahiku. Masuk ke mata, hidung dan mulut. Bahuku terasa longlai. Ya Allah.... sakitnya..... deru hujan masih kedengaran di luar sana. Aku masih mendengarnya jelas. Tapi kesakitan ini tak mampu aku tanggung. Mataku terlalu sakit. Seperti ada jarum-jarum tajam mencucuk di seluruh mukaku.

"Eh....cepat-cepat...bukak pintu ni"Suara menjerit kuat.

"Tak boleh! dah kemek sangat....tolong ni.."Satu suara lain menyampuk

"Call ambulans .....budak ni dah teruk sangat....pintu tak boleh bukak! " Aku terasa gegaran di sebelahku. Aku cuba buka mata. Sakitnya......Ya Allah... terasa panas mukaku. Berdenyut-denyut. Ada cairan hangat yang keluar laju dari seluruh tubuhku. Seram sejuk. Dingin. Sakit, amat sakit.

Kepalaku seperti tidak boleh bergerak. Setiap kali aku cuba angkat kepala, cairan yang mengalir semakin laju menuruni seluruh muka. Sudah patah ke leherku? Remukkah kepalaku..aduh...sakitnya Ya Allah....suara-suara diluar tidak kedengaran lagi. Deru hujan pun sudah lama mati. Aku tak dengar apa-apa.

Ada cahaya putih di sana. Pelik, aku dapat melihatnya, sedang mataku sudah tidak boleh dibuka. Cahaya itu semakin membesar, lama-lama ia menyerlah, membentuk sekujur tubuh. Tubuh itu seperti terawang-awang tidak cecah bumi. Putihnya sungguh tidak pernah ku lihat. Wajahnya menghampiri. Aku seperti kenal wajah itu. Wajah yang pernah mengucupku dulu-dulu. Bukankah tangannya yang selalu mengusapku? Dan wajah itu yang pergi dulu. Meninggalkan aku dan tidak pulang-pulang lagi.

Air mataku mengalir. Terasa sakitnya tiap kali ia keluar dari mataku. Aku menangis teresak-esak. Wajah Ayah yang sangat aku rindu. Ingin jemput aku kah ayah? Sudah masanyakah untuk aku menurut jejakmu. Menemanimu. Aku terlalu rindu padamu ayah....tapi sungguh....aku belum mampu menemanimu. Masih ada manusia-manusia yang perlu aku temui. Jangan panggil aku dulu ayah....izinkan aku temui mereka dulu. Ya Allah....jangan tarik nyawaku lagi. Aku ingin jumpa Ain. Aku ingin kucup keningnya. Aku ingin mohon maaf darinya. Izinkan aku jumpa dia dulu.

"Haiqel....jangan tinggalkan Ain!!!" Aku pandang ke belakang. Budak perempuan comot itu melambai padaku. Aku merengus.

"Jangan ikut, duduk situ diam-diam"

"Qel.....Ain nak ikut...."

"Degil betullah....orang cakap jangan ikut....kau tu pompuan...budak pompuan pi main pondok-pondok. Buat apa ikut kitaorang..."Aku terus meredah arus sungai. Pancing buluh aku angkat tinggi-tinggi supaya tak kena air.

"Qel...jangan tinggal Ain...Qel..."Budak perempuan itu terjerit-jerit. Aku tak pandang lagi. Terus aku melangkah ke depan. Tiba-tiba di depanku ada mangkuk yang masih bertutup, berasap. Aku cepat-cepat buka. Ah....semerbak baunya.

"Itu orang punya lah....."Budak perempuan itu muncul lagi.

"Sibuklah kau..."Aku tolak dia.

"Kan Qel dah makan banyak tadi...."Dia merengek-rengek. Aku terus duduk di depan mangkuk. Ada nasi juga. Ah...sedapnya ketam masak lemak cili padi.

"Ain punya sebelah jer.....dua ekor ni orang punya.!"

"Alah...tipu..tipu..Qel tipu....orang dapat sikit jer..dia dapat banyak...tak aci...."Dia menghentak-hentak kaki. Peduli apa aku! Aku terus melahap ketam-ketam tersebut. Ain terkebil-kebil memandang. Air mata laju menuruni pipi.

"15 tahun Ain simpan perasaan ini. Ain tak mampu pendam lagi. Ain cintakan Qel!!!" Wajah Ain semakin hilang. Aku cuba cari lagi. Budak perempuan comot itu juga sudah hilang. Pancing dan ketam pun sudah tiada.

Ain.......maafkan aku. Mak....maafkan Haiqel. Sakitnya sudah tak tertanggung lagi. Haiqel dah tak mampu bertahan. Tinggallah ya....biarlah....biarlah Qel temankan Ayah saja di sana. Mak akan menyusul juga nanti kan.. Tubuhku semakin dingin. Darah sudah tidak mengalir. Mungkin sudah membeku. Kebas tidak terasa apa-apa lagi. Cahaya itu datang lagi. Semakin mendekat.

Ya Allah...ampuni dosaku....Bisikkan ke hati Ainku, bahawa aku juga mencintainya.

bersambung...

0 comments:

Newer Post Older Post Home