Sunday, December 14, 2008

Kumilikimu (Part 17)

"Buat apa kau ke sini?" Lantang suaraku sebaik sampai di depan Iskandar. Iskandar betul-betul terkejut. Dia berundur ke belakang.

"Saya....ada hal dengan Ain..."Suaranya teragak-agak.

"Kau nak jumpa dia, kenapa tak mintak izin aku. Dia kan isteri aku!"

"Saya tahu.....saya......"

"Kau ni kurang ajar!"Aku menerpa ke arah Iskandar. Dia cuba mengelak tetapi tidak sempat. Tubuhnya memang lebih besar dari aku, tapi peduli apa!



"Haiqel!" Kedengaran suara menjerit. Ain muncul dari pintu. Iskandar sempat menoleh dan disaat itu penumbuk aku sudah pun melayang ke mukanya.

"Aduh!" Lelaki itu terhuyung hayang. Cuba mengimbangi tubuhnya. Aku mahu menerpa lagi tetapi Ain dengan pantas menarik lenganku.

"Qel....sudahlah...."Dia memelukku sambil menangis. Bahunya terhinggut-hinggut.

"Ain ke sana!" Aku cuba melepaskan tanganku. Sekali hayun Ain terdorong ke depan. Satu jeritan kecil keluar dari mulutnya.

"Haiqel......"Lirihnya perlahan sambil menggeleng kepala. Aku pandang kembali Iskandar yang masih menekup mulutnya. Aku pasti bibirnya pecah dek penumbuk sulungku itu. Aku rasa agak kuat jugak kerana jemariku sendiri terasa sengal-sengal dan kebas. Tapi Iskandar tidak bergerak. Tidak ada tanda-tanda ingin menyerang balas. Dia mengonyoh-gonyoh bibirnya beberapa kali. Ada cairan merah di situ. Aku menarik nafas, sedikit puas. Sekurang-kurangnya terbalas rasa sakit hatiku selama ini.

"Baik kau pergi dari sini....sebelum aku naik antu lagi...."Suaraku mereda seketika. Iskandar menggeleng.

"Biar aku terangkan dulu....."

"Tak payah!" Pintasku. "Buang masa aku aje. Baik ko blah cepat....sebelum aku terajang!"

"Haiqel!"Ain bersuara tiba-tiba.

"Kau pun diam! "Herdikku kuat. Ain terkejut. Terkebil-kebil matanya memandangku bagai tidak percaya. "Kau pun satu. Semua jantan kau layan. Tak
cukup dengan Faizal, mamat tak tahu malu ni pun kau nak layan jugak....kau
ni perempuan apa!"Ain terpaku. Peduli apa aku. Selama ini aku berdiam, makin
naik lemak dia rupanya.

"Haiqel...tolong jangan cakap Ain macam tu...."

"Habis, aku nak cakap apa lagi....kau buat aku macam ni...aku nak diam ajer?"

"Haiqel, jangan salahkan Ain dalam perkara ni.."Iskandar menyampuk dengan suara sengau-sengau kerana mulut pecah.

"Kau jangan nak masuk campur. Kerana kau lah kitaorang jadi macam ni. Kenapa kau ni buzybody sangat. Dulu kau tinggalkan Ain terkontang kanting...sampai aku jadi pak sanggup. Lepas tu kau datang balik nak tuntut dia? Kau ni manusia apa...tak ada perasaan ker? Tak ada malu ke?" Aku mencekak pinggang.

"Aku datang bukan nak tuntut Ain, Bukan!"Iskandar cuba mendekatiku.

"Sudahlah....tak payah lah kau nak berpura-pura. Bukan sekali aku nampak kau bersama Ain. Kalau kau betul-betul jujur, kau tak akan jumpa sembunyi-sembunyi macam ni kan?"

"Aku hanya turut permintaan Ain...." Aku tersengih.

"Oh....jadi Ainlah yang masih inginkan kau. Ain yang ingin kembali dengan kau?"

"Tak Haiqel....Ain tak bermaksud begitu...Ain tak pernah....."Ain menarik tanganku. Disembamkan mukanya ke dadaku. Aku jadi panas. Segera aku lepaskan diriku darinya. Air matanya Ain laju menuruni pipi.

"Ain tak pernah fikir macam tu. Ain tak mahu berpisah Haiqel....

"Kenapa tak mahu berpisah. Bukankah itu yang Ain tunggu selama ni. Kalau benar Ain nakkan si Iskandar ni, Qel sanggup lepaskan"

"Qel!"Ain terjerit halus. Air mata semakin banyak membasahi pipi. Dia menggeleng-geleng.

"Bagaimana Ain ingin kembali pada orang yang tidak Ain cinta......"Aku tersenyum.

"Uh, tunang sendiri pun tak cinta? Pelik!"Aku menjuihkan bibir. "Habis, kalau bukan Iskandar, siapa? Faizal?"Aku renung Ain tajam. Ain menggeleng lagi.

"Ain tak cinta pada siapa-siapa..." Dia tersedu-sedu. Diseka airmata yang berjuraian.

"Emm..bagus! Bercinta dengan orang lain tunang dengan orang lain, kawin dengan orang lain. Apa yang Ain nak sebenarnya ni?"

"Ain cuma inginkan cinta Ain yang sebenarnya....."Aku menggeleng.Pening aku layan perempuan ni.

"Sudahlah Ain......Qel dah tak sanggup nak hadapi semua ini. Qel surrender. Kalau Ain nak tinggalkan rumah ni, nak cari cinta lama Ain tu, Ain pergilah. Qel tak halang!" Aku berpaling. Iskandar terkaku di pintu pagar.

"Qel....Ain takkan kemana-mana. Cinta Ain bukan diluar sana. Cinta Ain ada di sini, dirumah ini...."Ain mengesat air mata. Semakin dikesat,semakin berjuraian ia. "Kenapa Qel tak pernah tahu...hati Ain..." Aku kembali berpaling kepadanya.

"15 tahun Ain simpan cinta ini...dan Ain tahu ia takkan kesampaian.....jadi kemana saja harus Ain pergi. Sedang cinta untuk Ain tidak pernah ada......Ain tak mampu untuk milikinya......"

"Ain cuba untuk memilikinya....tapi Ain tahu ia mustahil. Dia tak pernah tahu...

Aku mendekati Ain. Ada sesuatu yang menarik dari kata-katanya itu.

"Apa maksud Ain 15 tahun?"

"15 tahun....jarak perpisahan kita....sudah cukup untuk Ain tersiksa menanggung perasaan ini....."

"Maksud Ain.?" Hatiku menjadi semakin debar. Siapa yang Ain cinta? 15 tahun, lamanya!


Ain terdiam. Dia seakan baru tersedar. Perlahan dia mengundur langkah, ingin berpaling dariku. Cepat-cepat aku tarik tangannya.

"Apa maksud Ain sebenarnya...Apa?"Aku semakin tidak sabar. Ain menggeleng. Dengan teragak-agak dia bersuara.

"Ain tahu, perasaan ini tak sepatutnya wujud dalam diri Ain. Kita sepupu. Ain tahu itu.. mustahil untuk Qel balas cinta Ain. Tapi Ain tak mampu untuk menghilangkannya. Maafkan Ain...." Dia cuba melarikan diri tapi genggaman tanganku masih kejap.

"Maksud Ain?"

"Apa lagi yang Qel tak faham?" Ain mendongak, menentang mataku. "Perlukah Ain katakan betapa Ain mencintai Qel? Dan betapa Ain rasa bodoh, kerana mencintai Qel diam-diam, yang Ain tahu ia adalah mustahil untuk Qel menerimanya. Perkahwinan ini amat bermakna bagi Ain.....kerana ...."Ain menarik nafas seketika sambil menyeka air mata."...kerana Ain sangkakan Qel akan menerima Ain...tapi...Ain hanya bertepuk sebelah tangan....hanya Ain yang gembira dengan perkahwinan ini tetapi tidak bagi Qel.......Qel..sudahlah, Ain tak nak ungkit lagi hal nie..."Dia menarik tangannya pantas, berpaling untuk masuk ke rumah.

"Ain!" Langkahnya terhenti. Aku menghampirinya. Berdiri betul-betul dibelakangnya.

"Kenapa.....kenapa Ain tidak pernah memberitahu perasaan Ain pada Qel?"Aku sedikit sebak. Ain berpaling kembali kepadaku. Matanya yang berkaca memandang tepat ke wajahku.

"Siapa Ain di sisi Qel? Terlalu jauh beza antara kita. Ain hanya gadis kampung yang hanya memandang Qel dari jauh. Itu saja yang mampu Ain lakukan. Kasih ini telah lahir sejak kita kecil lagi Qel. Ain tak mampu membendungnya. Ain tahu Qel milik orang. Perkahwinan ini mungkin satu kesilapan. Ain tak kisah kalau Qel melepaskan Ain kerana Qel tidak pernah mencintai Ain. Tapi Ain nak Qel tahu, Ain tak pernah ada hubungan cinta dengan Iskandar mahupun Faizal.....itu semua satu kepuraan!"

Aku terkebil-kebil memandang Ain. Penjelasan yang sungguh tidak disangka.

"Saban hari Ain terpaksa menahan perasaan. Mengharapkan belaian. Ain bersabar. Cinta tak boleh dipaksa. Setiap hari Ain berdepan dengan orang yang Ain cintai,tapi......sayangnya...Ain tak mampu memilikinya. "Ain tersedu. Cepat-cepat dia mengesat air mata. "Ain saja berbaik dengan Faizal, Ain ingin duga hati Qel. Kerana Ain ingin tahu perasaan Qel sebenarnya. Tapi........"

"Tapi?"

"Tapi....bila Serina hadir, Ain tak mampu nak teruskan lagi. Ain tahu Ain telah tewas. Dia terlalu sempurna untuk Qel...."

"Ain!" Hatiku bagai luruh ke bumi. Sungguh, aku tak sangka semua ini.

"Ain tak mahu teruskan kepuraan ini. Ain rela Qel bersama Serina kerana Qel memang miliknya. Tapi bagilah peluang untuk Ain bersihkan nama. Ain tak pernah buat jahat dengan sesiapa, Baik Faizal mahupun Iskandar. Ain nak Qel tahu tu" Dia menarik nafas dalam-dalam, sudah berjaya mengawal sebaknya.

"Tapi Faizal menyukai Ain...."

"Ain tahu.....mungkin Ain silap di situ. Ain tahu perasaan dia, tapi Ain tidak mengelakkannya. Ain sengaja jadikan dia sebab untuk buat Qel cemburu, tapi ternyata....Ain yang cemburu. Ain cemburu melihat Qel dan Serena!"Ain pantas berpaling. Berlari meninggalkanku. Aku terkedu.


***************************************

Beg besar yang kaku di tepi katil aku pandang lesu. Sejak malam tadi aku biarkan ia di situ. Kerana sejak 2-3 hari yang lepas aku sudah mula berkemas sedikit demi sedikit. Aku tidak tahu samada ingin meneruskannya atau menangguhkan. Atau membatalkan. Seketika aku termenung memikirkan keputusan yang telah aku ambil ini.


"Tuk, tuk, tuk.."Terdengar pintu diketuk. Perlahan tapi cukup untuk menerjah ke pendengaranku. Aku berjalan ke arah pintu. Sebaik pintu dikuak, tersembul wajah Ain, yang sedikit pucat, dengan mata kemerahan.

Dia sudah siap bertudung dan cantik berbaju kurung.


"Ain nak ke mana?"Tanyaku gusar.

"Ain nak balik kampung..."Jawabnya perlahan. Wajahnya dipaling ke arah lain, seakan tidak mahu bertentangan denganku.

"Balik kampung?"Dia mengangguk.

"Ain nak minta izin Qel untuk pulang ke kampung. Ain dah telefon mak. Mak suruh minta izin Qel dulu."

Aku menarik nafas dalam-dalam. Merenung wajah Ain yang tampak tidak bermaya.

"Ain...."Aku menyentuh jemarinya. Dingin. Cepat-cepat dia tarik kembali tangannya.

"Kenapa Ain?" Aku merapatinya.

"Anggaplah Qel tidak pernah mendengar apa yang Ain katakan semalam."Dia bersuara perlahan."Lupakan saja..."

"Adakah Ain benar-benar mencintai Qel?" Ain mengangkat mukanya, tiada reaksi. "Bukan satu kepuraan?"

Dia tersenyum tawar.

"Ain tidak perlu berpura tentang perasaan Ain, Haiqel. 15 tahun Ain berpura tidak mengendahkannya, itu sudah cukup bagi Ain. Ain tak sanggup nak berpura lagi."Dia berpaling untuk beredar, tetapi terhenti seketika."Qel tak perlu fikirkannya. Ia tidak bermakna bagi Qel bukan? Ain katakan ini semua bukan untuk meraih simpati. Ain tak harapkan apa-apa. Cuma Ain rasa Ain dah lepaskan semua bebanan perasaan yang Ain pendam selama ini. Jangan anggap ia satu paksaan. Kembalilah pada orang yang memiliki Qel selama ini..."

Ain berlalu meninggalkanku. Tidak tergamak untuk aku mengejarnya. Walaupun hatiku meronta-ronta untuk menyatakan padanya bahawa aku turut mengasihinya, tapi aku tahu pasti ia sukar untuk diterima Ain. Aku tak mahu dia menganggap itu semua simpati semata-mata. Hatinya sudah terluka, aku tahu. Sukar untuk aku pujuk lagi mungkin. Atau aku sendiri yang masih belum pasti keputusan akhirku ini.

Aku kembali ke bilik, merapati tingkap yang terbuka lalu memandang ke bawah. Kelibat Ain sudah hilang dari pandangan. Aku memandang sayu teksi yang meluncur laju itu. Hatiku seperti ingin menangis kerana tidak mampu berbuat apa-apa. Untuk menghalangnya, aku tak mampu. Aku tahu Ain takkan menerimanya. Mana mungkin tiba-tiba aku katakan tentang perasaan sayangku padanya. Tentang cinta dan pengharapanku. Pasti Ain sukar untuk menerimanya. Pasti dia anggap aku hanya berpura-pura. Hanya simpati semata-mata. Adakah aku seorang yang kejam. Membiarkan isteriku pergi begitu saja?

Segala-galanya sudah terlambat. Aku sudah pun buat keputusan. Rasanya sukar untuk aku berpatah arah. Serina sudah pasti sedang bersiap-siap sekarang. Malam tadi puas dia mengingatkan aku agar bangun awal pagi ini. Flight ke Paris berlepas sebelah tengahari. Pakaian dan barang-barang keperluan untuk seminggu di sana sudah di masukkan ke dalam beg besar awal-awal lagi. Pagi ini aku hanya perlu mandi dan bersiap seadanya. Enjin kereta juga sedang dipanaskan.

Aku menelefon mak dikampung. Memberitahu tentang urusan kerjaku yang memakan masa seminggu. Terpaksa aku membohongi mak buat kali pertama. Aku hanya katakan aku harus ke luar negara untuk mengendalikan satu projek syarikatku bekerja. Aku tidak tahu samada mak mempercayainya atau tidak. Yang nyatanya, rumah ini akan kosong untuk seminggu ini. Melainkan kalau mak ingin pulang semula. Aku rasa tidak, Mak kata dia akan lama di kampung bagi menemani Pak Long, yang menurut mak kesihatannya kembali buruk sejak seminggu dua ini.

Aku tahu aku bertindak kejam. Dalam keadaan macam ni pun aku masih pentingkan diri sendiri. Tetapi keputusan telah pun diambil. Borang cuti telah dihantar dan diluluskan. Semua kerja di pejabat yang belum diselesaikan telah kuserahkan kepada Faizal. Aku ingat lagi wajah lelaki itu waktu aku tinggalkan dia terpinga-pinga tempohari. Ah....balik cuti nanti akan kujelaskan semuanya. Agar kekeruhan antara aku dengan dia kembali jernih seperti sedia kala. Aku tak sanggup nak bermasam muka dengannya sepanjang masa.Tambahan, sudah jelas Ain tidak mencintainya.

Aku mengangkat beg besar, menuruni tangga. Agak berat kerana hampir separuh pakaian dalam almari aku sumbatkan ke dalamnya. Tak lupa sepasang baju melayu untuk hari pernikahan nanti. Itu pun kalau jadi. Menurut Serina, dalam masa seminggu nanti dia ingin aku lebih berdampingan dengan ahli keluarganya. Lebih-lebih lagi daddynya. Penting untuk mendapat restunya. Secara kasarnya orang tua itu tidak menghalang hasrat anak gadisnya untuk menjadi isteri seorang Melayu, tetapi Serina ingin memperkenalkan aku dengan lebih dekat lagi. Entah macamana aku sendiri setuju. Dan di KLIA nanti Serina akan ditemani mamanya, yang juga belum pernah aku temui.

Aku mempastikan untuk kali terakhir, segala tingkap dan pintu telah dikunci. Setelah memasukkan beg ke dalam kereta, aku mula memandu. Dari jauh, aku lihat sekali lagi rumah yang telah sepi itu. Segala-galanya tampak suram. Sesuram hatiku.

0 comments:

Newer Post Older Post Home