Sunday, December 14, 2008

Kumilikimu (Part 15)

Aku melihat jam di tangan sekilas. 15 minit berlalu masa yang dijanjikan. Mungkin Serena sudah muncung. Aku mempercepatkan langkah menuju ke Western Food restoran. Malam ini tidak ramai yang mengunjungi, mungkin kerana bukan malam minggu. Esok hari bekerja. Tetapi oleh kerana Serina berkeras untuk menemuiku malam ini juga, aku terpaksa turutkan saja. Walaupun sebelum keluar tadi, puas mak bersungut kerana aku tidak mahu makan di rumah sedang lauk sudah banyak yang dimasak.


"Qel nak kemana ni?"Suara mak menerjah pendengaran waktu aku sampai di muka pintu tadi.
"Emm..... Qel nak keluar kejap mak...." Balasku lambat-lambat sambil menyarung stoking.

"Tiap-tiap malam keluar ni, kenapa?" Mak menghampiriku.

"Boring la duduk rumah...."Aku kuatkan suaraku. Mungkin ada orang lain yang mendengarnya-aku harap. Mak menggeleng kepala. Mungkin pelik dengan sikapku.

"Apa yang tak kena ni Haiqel...."Mak seperti mengeluh. Dilabuhkan punggungnya ke atas sofa, memandang tunak ke arahku.

"Tak ada apa-apalah Mak. Qel cuma keluar kejap je. Dah janji dengan kawan."Aku bingkas bangun sambil membetul-betulkan pakaianku. Mak memerhati cuma. Kunci atas meja ku capai pantas. Tanpa menoleh ke dapur, yang aku pasti Ain sedang berdiri di situ, aku terus membuka pintu. Segera enjin kereta kuhidupkan. 20 minit perjalanan, restoran tempat yang selalu aku dan Serina kunjungi sudah kelihatan. Aku segera terpandangkan Serina yang sedang menongkat dagu sambil mengacau minuman. Aku menepuk bahunya lembut dan dia terus berpaling. Senyuman terindah terukir dibibirnya yang merah bercahaya.

"Kenapa lambat sangat...?"Muncung.

"Sorilah.... kena tahan dengan mak tadi..."Aku menarik kerusi.

"Laa.... kenapa.. mak you tak kasi keluar ke?" Aku ketawa.

"Dia bising la... sebab I selalu keluar. Bukannya nak makan kat rumah. Penat dia masak.."Balasku sambil membelek-belek menu.
"Kenapa nak bising..... cousin you kan ada.... siapa nama dia tue..... Fathihah..."Berderau dadaku.
"Boleh la dia temankan mak you makan.."Serina tersenyum nipis. Aku hanya mengangguk. Setiap kali nama itu kudengar, terasa denyut nafasku menjadi laju.

"So, you nak makan tak ni?"Serina sentuh jemariku.

"Nak, I lapar."Aku tersengih. Serina mengangkat tangan kepada pelayan di situ. Seketika lelaki berpakaian kemas itu datang menghampiri.

"Emm... I nak sirlon steak.."

"Wow.... good taste.."

"Dah lama tak makan....."Serina ketawa.

"I nak try this one.... "Pelayan itu menulis sesuatu di atas bukunya.

"Itu saja?"

"Yup!" Serina kembali memandangku. Matanya bersinar-sinar, meruntun hati setiap yang melihat. Rambutnya masih perang, terurai kemas dibahu. Nasib baik dia tidak bermata biru. Sambil menanti makanan yang dipesan sampai, dia memainkan hujung jemarinya di jemariku. Jari-jari yang halus kalau dibandingkan dengan jemariku yang kasar dan kekar. Aku tak dapat bayangkan andainya jari-jari kasar ini jatuh ke pipi Ain tempohari, pasti seumur hidup dia tidak akan menghampiriku.

Kerana seumur hidupku juga, tidak pernah aku berkasar dengan mana-mana wanita. Walau sebingit mana, sesakit mana pun telinga aku mendengar kata-kata sindiran terutama ketika di sekolah dulu, tidak pernah terlintas di hatiku rasa dendam, sakit hati atau dengki terhadap mereka. Jadi, kenapa aku harus memulakannya terhadap Ain. Bagi aku, mereka adalah golongan istimewa walaupun aku bukan pemuja mereka. Bukan pemburu mereka.

"Qel......"Aku angkat muka. Renungan Serina tepat ke wajahku. Adakalanya aku kalah pada renungan itu. Renungan yang adakalanya membawa aku ke satu situasi yang menguatkan hati bahawa Serina adalah pilihanku yang tepat! Tapi entahlah.... seringkali dorongan hati tak seiring dengan tingkah laku. Hati selalu berkata-kata tetapi gerak laku tidak menggambarkannya.

"Qel, kenapa you senyap?"Jariku dicuit. Aku senyum nipis.

"I terkedu sekejap, tengok you cantik sangat malam ni..."Serina tersenyum lebar.
"I memang cantik, sejak baby lagi..."Dia ketawa. Aku tahu, memang itu jawapan yang sering dia berikan tiap kali aku memujinya.

"Macamana dengan plan you nak start keja tu?"Aku mengalih topik.

"Oh itu! Qel..... I tak nak citer pasal kerja. I just nak inform, I dapat offer dari satu agency kawan I. You ingat lagi Elisa.?" Aku angguk.
Elisa amoi berkaca mata itu. Dulu waktu mula-mula aku kawan dengan Serina, Elisa kerapkali pandang serong pada aku. Bercinta dengan lelaki Melayu. Sesuatu yang janggal pada dia, mungkin. Tapi lama-kelamaan dia dapat menerima aku. Bercinta dengan lain bangsa bukan bermakna dia perlu menjadi bangsa tersebut. Biarkan ia lahir dan terbina dengan sendirinya. Sampai saat ini pun aku tidak pernah meminta Serina menjadi seorang Melayu. Memakai baju kurung, makan menggunakan tangan atau membatasi pergaulan. Terpulanglah pada dia untuk menjadi dirinya yang sebenar. Cuma Serina lama kelamaan sendiri tahu, sikap aku yang tidak gemarkan pakaian yang terlalu terdedah, atau kemanjaan yang berlebihan. Selebihnya, terpulang pada dia. Malah, aku tidak pernah memaksa dia untuk mempelajari tentang Islam. Aku tahu sampai sekarang Serina 'kosong' tentang agamaku itu.

"Habis tu, you terima ke offer dia? Sampai bila you nak free macam ni?"

"It's depends to you, Haiqel"

"Maksud you?"

"Depends on your decision."Serina menguntum senyum. "Macamana, you dah decide?" Aku tarik nafas dalam-dalam. Kata-kata Serina semasa di kafe tempohari masih jelas dalam ingatanku. Rancangannya benar-benar mengejutkan. Sesuatu yang mustahil.

"Qel.... you kena buat keputusan dalam minggu ni jugak .Next week I akan bertolak semula ke Paris."

"I macam tak confident."Jawabku teragak-agak.

"Apa yang you tak confident. I bukan nak ajak you kahwin kat sana. I nak bawa you jumpa daddy dan relatives kat sana."

"And then?"

"And then...... it's up to you!"

"Kita nikah?" Meluncur perkataan itu dari mulutku. Serina terdiam.

"Are you serious, Qel?"Aku mengangguk. Serina tersenyum lebar.

"You kena jumpa daddy dulu. Lepas tu kalau kita nak nikah, I tak kisah..." Genggaman semakin erat.

"You sedia jadi isteri I?"Serina mengangguk.
"Sedia masuk agama I?"Dia terdiam seketika. Sejurus kemudian baru dia
mengangguk.

"You tak menyesal nanti?"Geleng. Helaan nafasnya kedengaran.

"I sayangkan you, Qel. I tak kisah kena tukar agama atau whatever, as long as I dapat dengan you. Parents I pun tak halang. I rasa, I dah sedia...."Dia bersuara perlahan sambil matanya tunak memandangku.

'Once you tukar agama, you kena tukar semuanya. Life you akan berubah..... I tak nak you masuk Islam semata-mata untuk kahwin dengan I. It's more than that. You dah fikir habis?"

Serina diam.

"I tak nak paksa you...."

"I buat semua ni bukan kerana terpaksa. I dah lama fikirkan. I sedia..." Terhenti sebentar kerana makanan yang dipesan telah tiba. Agak lama menanti pelayan itu menghidangkannya satu persatu. Penuh tertib. Aku segera menyedut minuman kerana sudah terlalu haus sejak tadi.
"Tapi, you akan ikut I kan?"Serina bersuara.

"Ke Paris?" Dia mengangguk. Aku tarik nafas dalam-dalam. Kalau aku turutkan permintaan Serina, bermakna aku harus lupakan semua yang aku alami sekarang ini. Bersetuju bermakna separuh dari hatiku adalah untuk Serina. Bermakna aku harus tidak menaruh apa-apa harapan pada Ain lagi. Dan bermakna aku akan mengambil satu tindakan yang akan memberi kesan yang panjang pada masa depan aku. Lupakan Ain dan langsaikan segala perjanjian bodoh itu hujung tahun ini?

"Ok, you ikut I. Just untuk jumpa daddy. Itu saja. No nikah, no kahwin. I pun tak nak paksa you. Yang penting you mesti jumpa daddy dulu.... you nak kawin sekarang atau in future, itu terpulang. I tetap akan tunggu"

Aku mengamati wajah Serina lama. Gadis itu jujur, aku tahu. Dia tak jemu-jemu berusaha untuk memilikiku. Dia selalu mengharapkanku. Entah. Tidak adakah lelaki lain yang dapat mencuit hatinya. Di luar sana, masih ramai lagi. Tapi dia tetap setia pada aku. Kalau aku kawin dengan dia pun, aku takkan rugi apa-apa. Aku masih boleh bahagia. Cuma, mungkin sebahagian dari cara hidupku akan berubah, kerana perbezaan taraf dan budaya. Mungkin awal-awalnya akan wujud sedikit kesulitan tetapi ia masih boleh diatasi. Aku sendiri pernah melihat golongan ini.
Di Nottingham dulu, teman sekolejku, Huzair sendiri jatuh cinta dengan warga sana. Malah sempat menikah lagi. Aku tengok bahagia saja. Tapi sekarang memang aku tidak pernah tahu lagi tentang mereka. Masih bersama ker.... atau sebaliknya. Aku tahu cinta mengatasi segalanya. Bila tiada rasa cinta, semuanya akan porak peranda. Dan aku tahu, masih ada cinta untuk Serina, kalau itu yang dinamakan cinta. Dan masih ada peluang untuk aku hidup bahagia dengannya.

"Serena...."Aku bersuara perlahan. Serina membalas renunganku.

"I tak janji untuk ikut you, tapi I akan fikirkan. I kena settlekan hal office dulu, kemudian baru kita plan sama-sama ok?"Serena tersenyum lebar. Digenggamnya jemariku erat.

"I'll call you tommorrow?" Dia mengangguk pantas.

****************************************

"Haiqel!"Aku toleh belakang. Faizal menggamit aku kepadanya. Aku buka pintu kereta dan memasukkan fail-failku di kerusi sebelah pemandu.

"Aku ada hal nak cakap dengan kau"Dia sudah hampir kepadaku.

"Hal apa? aku kena pergi Maju tech ni"

"Pasal Maju tech la ni aku jumpa kau"Mukanya berkerut, menahan panahan
matahari pagi. Aku berdiri berpeluk tubuh, bersedia menanti kata-kata yang akan keluar dari mulut lelaki itu. Sejak pertemuanku dengannya tempohari,
aku akui sudah jarang benar aku berbual-bual dengan lelaki ini.

"Kenapa kau ke Maju Tech?"

"Maksud kau?"

"Aku yang handle projek ni, kenapa tiba-tiba Dato' suruh kau pergi?"

"Aku tak tahu!"Aku angkat bahu.

"Kau jangan nak kelentong Qel. Kau sengaja ambil alih projek ni, kan?"Wajah Faizal mencuka.

"Dato tak suruh pun aku ambil alih projek ni. Dia tak ada mention apa-apa. Dia cuma minta aku follow up. So pagi ni aku kena pergi.."Balasku.

"Samalah tuh!"Faizal mendengus. "Dia suruh kau follow up, maknanya dia suruh kau ambil alih. Dia kan tahu aku yang incharge projek ni. Kenapa tak suruh aku follow up, kenapa suruh kau?"Suaranya meninggi.

Aku menggeleng sambil menarik nafas panjang. Aku sendiri tidak tahu kenapa tiba-tiba Dato minta aku ke Maju Tech. Memang selama ini Faizal yang menguruskannya.

"Aku rasa tak salah kalau aku tolong handle. Ini projek usahasama kan... semua orang terlibat..."

"Ya... aku tahu. Tapi kau sepatutnya uruskan projek kat Sarawak tu. Takkan dua-dua sekali kau nak jaga?"

Aku menggeleng lagi.

"Aku ikut arah Dato', itu saja. Kalau kau nak tahu kenapa, lebih baik kau tanya Dato sendiri.."

"Kau memang sengaja pintas aku. Semua projek kau nak kaut. Kawan apa kau ni Haiqel?" Hati aku jadi panas tiba-tiba.

"Kalau kau tak suka aku secara personal. It's ok. Aku boleh terima. Tapi kalau sampai kau nak sabotaj aku...."

"Jai!.... kau cakap apa ni. Kau ingat aku nak sabotaj kau. Kau jangan nak tuduh sembarangan. Kalau kau betul-betul tak puas hati, kita boleh jumpa Dato sama-sama.."

"Ah.... blah lah!" Faizal mengangkat tangannya. Matanya merenung tajam ke arahku. Aku jadi bingung dengan lelaki ini. Marahnya kelihatan benar.
"Faizal, aku tak nak kau campur aduk hal personal dengan kerja. Kau marah aku pasal Ain?"

"Kau pun sama Haiqel. Kau tak suka aku kawan dengan Ain, sampai hal kerja pun kau nak halang aku?"

"Jai... kau dah salah sangka...."

"Whatever lah! Aku memang betul-betul frust dengan kau Qel... kau bukan kawan yang jujur!"Dia bersedia untuk berpaling.

"Jai.. kau tak boleh tuduh aku macam tu...."

"Pi jahanamlah...."Faizal berpaling untuk melangkah. Aku termangu. Benar-benar tidak sangka dengan anggapan dia terhadapku. Rasa macam tak nak pergi ke Maju Tech itu. Ahh..... Dato... kenapa tiba-tiba suruh aku pulak.... tak pasal-pasal aku kena tuduh bukan-bukan..

****************************

Ain berdiri di tepi katil. Melihat aku yang sedang memasukkan pakaian ke dalam beg. Serba salah aku dibuatnya. Waktu aku turun tadi aku lihat dia masih bersama mak, mengemas dapur. Aku naik ke atas semula untuk menyusun pakaian. Tiba-tiba dia muncul di depanku. Cepat-cepat aku letak kembali beg ke dalam almari.

"Qel nak pergi mana, berkemas ni?"Wajah Ain berkerut memandangku.

"Er..... tak ke mana-mana. Berkemas.... mungkin Qel akan pergi kursus tak lama lagi..."Balasku acuh tak acuh.

"Bila, hujung minggu ni?"Aku menggeleng. Tidak ku pandang wajahnya. Takut dia dapat melihat air mukaku.

"Tak tahu lagi. Kemungkinan besar..."

"Minggu ni Qel ada masa lapang tak?"Aku pandang sekilas.

"Kenapa?"

"Ain ingat nak balik kampung..... ayah tak berapa sihat..."Ain bersuara perlahan. Aku tarik nafas panjang. Hujung minggu ini rancangan aku untuk bersama Serina. Aku sudah buat keputusan. Baru dua hari yang lepas aku telefon Serina untuk mengesahkan persetujuanku. Dan malam ini aku sudah mula berkemas.

"Ayah telefon ke tadi?" Ain angguk.

"Ayah suruh balik?"

"Mak yang call. Ayah tak suruh balik... tapi Ain ingat nak tengok ayah.... lama rasanya tak balik..."Dia mengeluh. Aku menghampiri Ain. Teringat pertelingkahan tempohari. Aku sedar sejak hari itu Ain seperti cuba menjauhkan diri. Waktu makan diam, waktu pergi kerja pun diam. Cuma hari ini saja tiba-tiba dia bersuara. Mungkin dia ingin aku menemani dia pulang ke kampung. Aku tahu, sudah lama aku tak jengok Pak Long dan nenek di kampung. Sejak majlis kahwin hari itu, aku tidak terfikir untuk pulang ke kampung.

"Ain nak balik minggu ni?"Tanyaku lagi. Ain angguk.

"Qel tak boleh ke?" Aku renung wajah Ain sungguh-sungguh. Takkan aku nak suruh dia balik kampung seorang. Naik bas pula. Apa kata Pak Long nanti. Dulu, bila Ain berkeras hendak balik kampung naik bas, aku terpaksa izinkan walau puas Mak berleterkan aku. Bukan aku tak nak hantar. Tapi Ain yang tak mahu tunggu aku. Hujung minggu ini pun sudah pasti aku tak dapat pulang sama. Aku sudah suruh Tipah bookingkan flight tiket ke Paris.

"Nanti Qel fikirkan samada nak balik atau tidak... hujung minggu ni Qel memang ada hal......"Ain tampak kecewa.

"Kalau macam tu Ain naik bas sajalah......"Dia tersenyum tawar. Aduh....... kalau naik bas gerenti mak akan bising kat aku. Dulu pun setengah hari dia berleterkan aku. Kali ini, pasti lebih teruk lagi.
"Nantilah Qel bagitahu kemudian..."Ain berpaling ke pintu. Menoleh ke arahku sekilas.

"Emm... kalau Qel sibuk, tak apalah. Kita boleh balik minggu depan. Nanti Ain telefon mak.."Ain buka pintu. Sejurus dia berlalu.

*******************************

Aku dah agak, mak akan marah aku. Pagi-pagi lagi, sewaktu sarapan tadi dia dah jeling aku. Bila Ain naik ke atas sekejap, dia terus tarik tangan aku.

"Qel nak kemana minggu ni?"Suara mak keras.

"Kenapa, mak?"

"Kenapa tak balik kampung sekali dengan Ain?" Aku menggeleng.

"Qel ada hal minggu ni.... tak boleh balik. Ain kata dia nak balik minggu epan aja....."Balasku.

"Pak Long kau tu tak berapa sihat. Qel pun dah lama tak balik kampung, kan?" Aku berjalan ke arah pintu."Mak ingat nak balik kampung sabtu ni, kita balik sama-sama ya...."

"Tak boleh mak, Qel ada hal...."Aku mendengus."Hal company.... mak balik dengan Ain sajalah...."

"Kau ni Qel..... ingatkan lepas kawin, berubah. Pun liat jugak nak balik kampung...."

Aku memerhatikan anak tangga. Menanti Ain yang belum turun-turun. Cuaca hari ini agak mendung. Mungkin hujan akan turun. Segera aku masukkan payung ke dalam kereta. Hari ini aku harus ke Maju Tech lagi. Semalam, bila Faizal marah-marah, aku fikir aku tak akan ke sana lagi. Tapi pulang dari Maju Tech Dato sudah mengingatkan aku agar bersiap sedia dengan maklumat-maklumat untuk mesyuarat pagi ini. Apa lagi yang hendak dimesyuaratkan ntah! Aku pun tak tahu. Aku masuk semula ke rumah, dah lihat Ain sudah berdiri di sebelah mak. Dia bersalam dengan mak sebelum masuk ke dalam kereta.

"Ain minta mak balik kampung hari ini"Ain bersuara sebaik masuk ke dalam kereta. Aku sedikit terkejut.

"Kenapa?"Ain tersenyum

"Tolong tengokkan ayah. Ain tak sedap hati. Biarlah mak balik dulu. Kita balik minggu depan je..."Aku mengeluh dalam hati. Nak marah pun tak boleh juga. Hati seorang anak. Tentunya dia risau dengan keadaan ayahnya. Lainlah aku. Ayah sudah lama meninggal, tinggal mak saja yang perlu aku risaukan. Itu pun mak tinggal bersamaku. Mungkin lain keadaan yang dirasakan Ain. Aku mendiamkan diri, kerana tahu aku tidak boleh marah-marah Ain sesuka hati. Aku yang tak mahu balik kampung. Jadi aku tidak boleh marah dengan tindakan yang dia ambil. Terpulanglah. Yang penting, rancangan aku dah Serina berjalan lancar.

bersambung..

0 comments:

Newer Post Older Post Home