Sunday, November 16, 2008

Kumilikimu (Part 13)

Aku tidak pernah gagal. Benar. Waktu kecil-kecil dulu aku tidak pernah merasa sebenar-benarnya erti kegagalan. Aku tidak pernah kecewa walau himpitan kehidupan keluarga begitu mendesak. Walaupun setiap hari harus menjamah makanan yang sama, tapi aku tidak pernah merasakan itu satu kegagalan dalam menikmati kemewahan. Seingatku, sekejap waktu saja aku dapat merasa sedikit mewah. Waktu arwah ayah masih ada. Tapi itu pun terlalu singkat rasanya. Banyak perkara yang tidak lagi aku ingat sekarang ini. Yang aku ingat aku masih terlalu kecil waktu itu. Hanya 10 tahun sewaktu ayah kembali ke rahmatullah. Kalau ada pun kekecewaan waktu itu ialah disaat kematian ayah, aku tidak dapat melihat jenazahnya buat kali terakhir.


Tidak dapat mengucup dahinya. Tidak dapat mengusap rambutnya. Walaupun masih terlalu kecil waktu itu, tapi aku sudah mula dapat berfikir. Sudah dapat membayangkan apa itu kematian. Sudah dapat mengerti perasaan terkilan. Terkilan kerana tidak dapat mendakap jenazah arwah ayah. Kerana atuk melarang keras aku menghampiri apalagi menyaksikan jenazah ayah. Aku selalu terfikir, kenapa mak langsung tidak berkata-kata denganku. Aku lihat mak hanya duduk diam-diam di sisi nenek. Matanya sudah bengkak kemerahan dan dia lupa untuk mengusap-ngusap kepalaku seperti selalu. Ternyata mak terlalu sedih waktu itu. 2-3 hari dia tidak makan, sampai aku naik bingung kerana kerap ditegur nenek kerana asyik
merengek minta dielus mak.

Akhirnya aku sendiri faham. Ayah pergi tinggalkan mak buat selama-lamanya. Bukan sedikit kesedihan yang ditanggung mak sehinggakan mak terlupa sebentar pada anak tunggalnya ini. Tapi aku sedikitpun tidak terkilan kerana aku sudah mulai memahami. Erti kasih sayang sekaligus keperihan ditinggal orang tersayang. Emak terlalu muda untuk menghadapi semua itu.

Mungkin ada yang berbekas dalam hatiku sejak peristiwa itu. Membuatkanku
sedikit terkilan. Aku tidak melihat wajah akhir arwah ayah. Aku hanya melihat jenazah ayah setelah siap dikafankan. Itu pun dari jauh saja. Sempat juga aku mendengar perbualan orang-orang yang ada disitu. Kata mereka kematian ayah amat menyedihkan. Kemalangan itu terlalu tragis. Tubuh ayah remuk. Kepalanya hampir pecah. Aku lihat kain yang membalut jenazah ayah juga berwarna merah. Darah ayah tidak henti-henti keluar. Kerana itu atuk melarang keras aku melihatnya. Mak yang terjelepuk pun tidak dibenarkan menjenguk, apalagi aku.

Aku rasa itulah satu-satunya kekecewaan yang pernah aku rasa. Selepas itu
tidak pernah lagi. Aku tidak pernah gagal pada hari-hari mendatangku selepas itu. Pelajaranku amat cemerlang. Selepas UPSR, aku ke Johor Bahru menetap di asrama penuh. Walaupun permulaannya mak agak keberatan melepaskanku pergi. Apa lagi yang menyedihkan seorang ibu tunggal yang kehilangan suami dan harus pula berjauhan dengan anaknya yang seorang ini?


Selepas SPM aku cemerlang lagi. Dan atas pertolongan atuk, Pak Long dan wang KWSP arwah ayah, aku terbang ke Nottingham. 4 tahun di sana, aku tidak pernah gagal walau sekali. Segalanya berjalan dengan lancar. Segalanya berjalan seperti yang diinginkan. Segulung ijazah kepujian dan satu jawatan yang membanggakan. Perjalanan hidup berjalan lancar. Amat lancar.
Sehinggalah....... sehinggalah ke hari ini. Hari kegagalanku yang pertama.
Setelah segalanya seperti berada dalam genggaman. Setelah semuanya seperti
telah dimiliki. Tetapi akhirnya... aku gagal. Gagal dalam perkara yang langsung tidak pernah aku terfikirkan. Gagal dalam merebut sekeping hati
mungkin. Ah.. lucu! Kenapalah aku mesti gagal dalam perkara seremeh ini.
Bukankah ini perkara yang tidak sepatutnya aku beratkan dalam fikiran.

Mungkin begini rasanya kegagalan. Kekecewaan. Kehilangan. Mungkin ini yang
dirasakan mak sewaktu pemergian ayah dulu. Marina setelah kad-kadnya tidak
pernah aku endahkan. Atau Julia Hanim setelah cintanya ku tolak bulat-bulat. Mungkin kesedihan dan sakit hati begini yang mereka rasa. Kecewa setelah apa yang diingini tidak tercapai. Dikecewakan, ditinggalkan. Dan kini aku sedang merasakan bagaimana perasaan-perasaan itu. Kesakitan-kesakitan itu. Sungguh! ia amat menyakitkan. Berbekas dalam hati seolah tidak mampu di buang lagi.

Saat melihat Ain bergandingan pagi tadi, aku tahu segala yang aku angan-angankan sebelum ini tidak menjadi. Apa yang aku harapkan dan apa yang aku rasakan sebenarnya tidak wujud dalam diri Ain. Mungkin hanya aku seorang yang merasa getar-getar halus itu. Merasakan keindahan perasaan itu. Tetapi tidak pada Ain.


**************************************************

"Cepat balik Qel, kata nak pergi makan dengan Ain?" Aku sangka mak tak akan tanya bila melihat aku pulang tengahari itu.

"Emm... tak sempat mak..."Balasku lambat-lambat tanpa memandang mak. Cepat-cepat tubuh kurebahkan ke atas sofa sambil memejam mata. Mata kupejamkan dengan harapan mak tidak akan terus-terusan bertanya.

"Apa yang tak sempatnya.... habis rehat pukul berapa?" Mak melabuhkan punggung di sofa bertentangan denganku.

"Qel sampai diorang dan masuk ofis semula. Lagipun Qel tak bagitahu Ain pun Qel nak makan dengan dia. Tak apalah......"Malas rasanya hendak mengingati peristiwa tadi.

"Habis tu, Qel dah makan belum?"

"Dah mak....."Sekali lagi aku berbohong. Aku tidak tahu apa yang hendak dikatakan. Untuk menceritakan perkara sebenar rasanya tidak mungkin.

"Mak tak menjahit ke?" Mak tersenyum.

"Sekejap lagi Qel. Mak nak solat dulu.." Mak bangkit dari sofa. Mungkin dia faham kekeruhan pada wajahku. Aku sedikit lega.

Aku merenung ke syiling. Melihat gerakan kipas yang berpusing. Agak laju tetapi tetap tidak dapat meredakan kepanasan hatiku. Rasanya akulah manusia paling bodoh sebentar tadi. Paling lurus atau paling mengikut kata hati. Aku terburu-buru? Atau sudah terlewat? Apa yang Ain Fathihah inginkan sebenarnya? Perkahwinan atau kebebasan. Kalau sebuah perkahwinan, dia sudah punya itu. Kalau sebuah kebebasan, dia juga akan punyai itu. Aku akan berikan kebebasan kalau benar itu yang dia inginkan. Tapi bukan begini caranya.


Aku lebih rela menyerahkan dia kepada Iskandar kalau itu yang sebaiknya. Biarlah sekali ini aku merasa kegagalan dan kekecewaan. Iskandar pernah memiliki dia dulu dan aku tidak ralat andai menyerahkan semula miliknya itu. Biarlah aku beralah. Tetapi kenapa Ain tidak telus. Dia bukan saja tidak jujur denganku, malah dengan Iskandar juga. Aku bukannya buta lagi. Aku lihat jelas gandingan mereka berdua tadi. Dan aku tidak sangka, Faizal telah memulai langkahnya. Ketiadaanku telah dijadikan satu kesempatan. Kesempatan untuk menakluki hati Ain.

Kenapa Faizal? Aku tidak sanggup melihat Ain menjadi milik Faizal. Faizal
bukanlah lelaki yang sesuai untuk Ain. Walaupun mungkin ditakdirkan jodohku tiada dengan Ain, aku masih rela melepaskan dia, tetapi bukan untuk Faizal. Sesekali tidak.

****************************************

"Haiqel, ada someone nak jumpa you kat bawah ni. You turun ya.."Suara Tipah kedengaran melalu interkom.

"Siapa, Tipah? I tak ada appointment hari ni.."Aku menjawab dengan malas. Aku menarik laci meja. Melihat kotak berbalut cantik dengan reben merah di tepi. Aku rasa macam nak campak saja bungkusan itu ke luar.

"Someone yang nak sangat jumpa you. You nak turun atau nak dia naik atas?"

"Emm.. ok, ok lah... I turun!"Aku sedikit mendengus. Pagi-pagi dah kena kacau. Siapa pula yang rajin benar nak jumpa aku ni? Setahu aku hari ini aku tidak ada temujanji dengan mana-mana syarikat. Kalau Faizal, aku tak tahu pula. Dia pagi-pagi lagi sudah keluar entah kemana. Aku tak mahu tahu kemana lelaki itu pergi. Bukan urusan aku.


Aku turun ke bawah dengan perasaan yang berbaur. Hari ini aku agak kurang bersemangat untuk bekerja. Pelan-pelan yang perlu disiapkan untuk projek
bulan depan juga terbengkalai begitu saja. Biasanya kalau tidak sempat sangat aku akan serahkan kepada Faizal untuk prosiding seterusnya tetapi sejak peristiwa tempohari rasa-rasanya aku tak mahu melihat wajah lelaki itu lagi. Hendak bercakap pun rasanya tidak sepenuh ikhlas.

"Tipah! " Aku bergerak ke arah Tipah. Seorang gadis yang sedang membelakangku segera berpaling.

"Surprise!!!!" Dia terjerit halus lalu menerpa ke arahku. Aku tergamam. Tidak sempat berbuat apa-apa bila terasa leherku telah dipagut oleh tangannya. Tipah yang melihat tersipu-sipu, sedikit terkejut.

"Haiqel! " Pelukan terlerai. Aku masih terkejut. Wajah gadis di hadapanku itu kutatap.

"Serina?" Bagai mahu luruh jantungku. Terkejut dengan kemunculannya secara tiba-tiba. Terkejut dengan tindakannya yang tanpa segan silu memelukku.

"Haiqel, I'm sure you mesti terkejut kan....'Dia ketawa penuh ceria. Jemariku digenggam erat.

"Serina,... behave yourself please.... inikan ofis.."Aku berbisik perlahan sambil menahan debar di dada.
"Sorry Qel... but I'm really excited to see you right now..."Dia tersenyum lebar. Nampak perbezaan pada wajah itu. Sebulan dia meninggalkanku, rasanya terlalu banyak yang berubah.

"Bila you balik ?" Aku tarik tangan Serina menuju ke sofa. Tipah tersenyum melihat gelagatku.

"Malam tadi..."Serina menguak rambutnya yang tampak lebih keperangan. Seingat aku rambutnya dahulu agak gelap sedikit berbanding yang kulihat sekarang ini. Serina seakan mengerti.

"Qel, I tak dye rambut I ni tau... I banyak berjemur. That's why jadi perang macam ni..."Aku mendengus.

"Betul! " Serina mengangkat tangannya seperti bersumpah. "Last 2 week I pergi Florida. Beach kat sana cantik tapi panas sikit. You tengok kulit I pun dah nampak tan sekarang..." Aku memerhatikan Serina seketika. Kulitnya agak kemerahan. Aku melihat rambutnya kembali.

"Ok, nanti I hitamkan semula, ok!" Dia melurut-lurut rambutnya.

"Qel, you sihat tak? " Tangannya menyentuh pipiku. Aku menarik kembali tangannya, tak mahu dilihat Tipah, kerana aku tahu ia agak kurang manis.

"Serina, kenapa tak call I. Balik pun senyap-senyap je.. kenapa?" Aku menarik nafas. "You buat I terkejut aje..."

"I saja nak kejutkan you..."Aku menggeleng kepala. Melihat betisnya yang terdedah. Skirtnya terlalu pendek pada pandanganku. Sekali lagi Serina menyedari ekor mataku.

"Emm... I dari rumah mama tadi.... terus ke sini. so I tak sempat nak tukar baju..."

"Kat sana pun you seksi-seksi macam ni?"

"Eh.... tak.... I tak seksi... kalau Qel tak percaya, nanti I tunjuk gambar-gambar I kat sana. Banyak sangat..."Dia senyum lagi. " I ganggu you ke?"

"Emm.... tak jugak. Tapi lain kali call lah dulu.."

"Kan I dah cakap... I saja nak surprisekan you..."Aku tersengih.

"Sebulan you tak call I langsung. I ingatkan you dah kawin dengan mat saleh kat sana..."Serina mencebik.

"You ni memang nak sangat I kawin dengan mat saleh kat sana agaknya?"Mulutnya memuncung. "You kan tahu I sayang you sungguh-sungguh....."Aku pura-pura mencebik. Serina tarik muka.

"You tak percaya ke... you tak rindukan I langsung?" Aku renung wajah Serina dalam-dalam. Segaris senyuman terukir di bibirku. Mungkin, perasaan rindu itu masih ada dalam hatiku. Belum terhakis sepenuhnya.

"Kita lunch sama-sama ya. I nak makan dengan you.... dah lama rasanya tak makan sama kan?"

"Serina, you tengok sekarang baru pukul berapa.."

"That's why lah I datang awal-awal. I nak booking you dulu. You tu kalau tak book awal-awal... sure sibuk aje dengan kerja you tu..."

"So you nak tunggu I?"

"Gila! satu jam lagi. You nak I jadi batu kat sini?... I nak keluar dulu cuci gambar dulu. Pukul 12.00 nanti I datang semula..."Serina merenungku sungguh-sungguh. Dan matanya masih cantik seperti dulu-dulu.

Bila Serina beredar, aku termenung seketika. Bagai tak percaya. Saat hati aku sedang gundah gulana, gadis itu menghadirkan dirinya. Adakah dia akan menyelamatkan keadaaan ini. Membaik pulih hatiku seperti dulu-dulu.

**********************************

Pukul 12.30, aku sudah berdiri di depan pintu kaca. Aku keluar 5 minit lebih awal kerana tidak mahu bertembung dengan sesiapa. Baik Faizal, mahupun Ain. atau sesiapa saja. Aku dapat rasakan perasaanku sedikit lega dengan kemunculan Serina pagi itu.

Tak lama. Dari jauh aku lihat kereta Serina membelok ke arah bangunan lalu
berhenti betul-betul di depanku. Cermin kereta diturunkan.

"Naik kereta I sajalah...."Serina menggamitku. Aku segera masuk ke dalam kereta. Selesa dan dingin. Sempat melempar pandangan ke pintu kaca.Belum ada sesiapa yang keluar makan.

"Nak makan kat mana?"Serina bersuara sambil membetulkan kaca mata hitamnya. Dia benar-benar tampak berkeyakinan. Rambutnya yang perang menyerlahkan lagi gaya kebaratannya. Seketika aku bagai tidak percaya punya seorang gadis sepertinya. Patutlah Faizal sering mencemburuiku.

"Makan kat area-area sini sajalah. You tahu kan waktu lunch I bukannya panjang sangat.."

"Bos you tak ada ke?"

"Tak..."

"So.... boleh masuk lambat sikit...."

"Tak boleh sayang...."Balasku mendatar. "Malam ni kalau you nak, I boleh spend time untuk you.. tapi hari ni I kena masuk ofis on time, ok..."

"Malam ni tak boleh la Qel..... I nak kemas rumah dulu. Emm.. ni I keluar pun mama dah bising.... I bawa balik banyak barang. Tak sempat nak kemas.."Matanya tancap memandang ke depan. "Barang you pun I tak sempat nak bawa. Weekend ni you free, kita jumpa ya..."

"Emm... tengok la nanti.... I tak janji...."Serina menoleh ke arahku.

"You ni lain la Qel.... kenapa dengan you ni? Sakit ker?" Aku tersenyum, menggeleng.

" I ok . Sihat.."
"Tak... I rasa you dah lain sikit.... you macam tak happy..."

"Kita makan kat sini je la..."Aku memotong cakapnya. Bukan untuk mengelak, tetapi kebetulan selekoh untuk masuk ke kafe yang dimaksudkan sudah dekat benar. Segera Serena memperlahankan kelajuan.

Masuk saja ke dalam kafe aku terus memesan makanan. Kebetulan tidak begitu ramai pelanggan pada waktu itu. Maka makanan yang dipesan siap dalam tempoh yang singkat. Untuk beberapa minit yang pertama, masing-masing tidak bersuara. Hanya menikmati makanan dengan penuh selera. Aku, memang kebetulan waktu itu perutku terasa lapar benar. Serina, aku tidak pasti adakah dia juga berselera kerana lapar atau terlalu gembira berjumpa denganku.

"I ada inform daddy pasal kita..."Aku terhenti mengunyah. Wajah Serina aku pandang seketika.

"You cerita apa.?"

"I cakap tentang you..... apa kerja you... macamana kita boleh kenal..... itu saja.."

"Daddy you?"

"He wish me luck!"Serina ketawa. "Daddy tak kisah lah Qel.... dia memang sporting... bila I bagitahu dia you're Muslim, dia terdiam sekejap."

"Dia marah?"

"Dia tak marah..... cuma terkejut. Dia tanya, how can his daughter in love with a Muslim guy... but I said, that's a normal matter... cinta tak kenal siapa bukan?"Serina senyum penuh makna. Aku hanya mengangguk-angguk. Tak tahu apa yang harus dikatakan. Persoalan cinta melibatkan agama?... ah... kalut! aku tak mahu terfikir sebegitu jauh. Persoalan aku dengan Ain pun belum selesai lagi. Yang ini lagi berat nampaknya!

'Eh.. you tengok siapa tu?"Mata Serena membulat bagai melihat sesuatu. Aku segera berpaling.

"Itu Faizal, bukan?" Lehernya dipanjangkan. Aku menoleh sama. Terlihat kelibat Faizal sedang berjalan masuk ke dalam kafe dengan seorang gadis di sisi. Darahku menyirap. Serina melambaikan tangannya menggamit Faizal.

"Biarkanlah mereka..."Aku mendengus tapi nampaknya Faizal telah terlihat lambaian Serina. Dia mengubah haluan, menuju ke arah kami. Saat itu aku rasakan darah panasku naik ke muka. Membuak-buak bagai ingin pecah dada.

"Hai Serena.... bila you balik?" Faizal menyambut huluran tangan Serena. Aku menjeling lelaki itu. Bila pula dia pulang ke ofis. Waktu aku keluar tadi tak ada pula.

"Malam tadi, you apa khabar?"

"Sihat.... wah... malam tadi you sampai... pagi ni dah jumpa buah hati?"Serina ketawa. Manis gelaknya, tetapi tidak mampu meredakan perasaanku. Aku sedari ada ekor mata yang sejak tadi tertumpu ke arahku. Tidak mampu aku balas renungan itu.

"You all nak lunch ker... jom lah join us.."Aku tidak mampu menghalang Serina dari terus bersuara.

"It's okay, I makan dengan kawan...."

"Siapa ni? Girlfriend baru you ya?" Serina menguntum senyum. Hatiku semakin panas. Kalau ikutkan angin gila aku ni mahu terbalik kerusi meja ni nanti.

"Eh, tak lah. Ini officemate I. Ain Fathihah. Eh, Qel tak ada bagitahu you ke? Inilah sepupu Qel...."

"Cousin?"Serena agak terkejut. Dia mengalih pandangan ke arahku.

"Hai Qel.... kau tak cerita kat Serena ker? "Faizal memandangku.

"Belum lagi...."Aku menjawab malas. "Masa Ain start kerja dulu kan Serina dah ke Paris...."Faizal ketawa kecil.

"Ain, inilah Serena yang I cerita dulu. Haiqel punya mata air..."

Ain senyum, sambil menghulurkan tangannya. Serena pantas menyambut. Nyata
dia gembira dengan perkenalan itu. Aku pula yang macam cacing kepanasan.

"Okeylah... we all nak order makan dulu.. see you ..."Faizal menarik tangan Ain. Ya Allah!..... sakitnya hati aku melihatnya. Mamat ni dah terlebih benar... sejak bila pegang-pegang tangan pulak. Si Ain pun satu. Macam orang bodoh. Biarkan saja jantan tu sentuh dia. Tak ingatkan suami dia ke?

"You tak pernah cerita pun tentang cousin you tu."Serina mengalih pandangan kepadaku. Sesekali dia menoleh ke arah Faizal dan Ain yang duduk tidak jauh dari meja kami.

"Nak cerita apa. Tak ada apa yang menarik untuk diceritakan.."Balasku perlahan. "She is working at my office since 3 week ago... I yang introduce dia to my boss. That's all "

"She is beautiful, right? Do you notice it?"

"I pun handsome, kan. No wonder lah dia pun cantik. We all kan sepupu." Serina ketawa.

"Sudahlah you Qel. Tak boleh puji sikit. Mulalah nak lebih...." Tapi aku sudah tak mendengar kata-kata Serina lagi. Kerana mataku, otakku dan semua pancainderaku telah beralih ke sana. Ke pasangan yang sedang leka menikmati makanan tanpa memikirkan perasaanku. Pasangan yang tidak padan langsung pada pandanganku. Ah.... perasan aku menjadi semakin tidak tentu arah. Sekejap-sekejap mataku meliar ke sana. Kenapa mereka selalu nak menyakitkan hati aku. Sengaja bermesra-mesra didepanku. Ain Fathihah, kau tak terfikirkah perasaan suamimu ini. Kenapa kau sengaja sakitkan hati aku. Tidak cukupkah ketidakpedulian kau terhadapku selama ini dan kini kau bersama pula dengan lelaki yang kurang aku gemari. Sengajakah engkau? Atau memang kau benar-benar menginginkannya.

Aku pandang Ain dari jauh. Sejauh hatiku. Entah bagaimana Ain tiba-tiba menoleh kepadaku dan mataku terus kaku.

bersambung.....

0 comments:

Newer Post Older Post Home